Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Pertanyaan Pembaca

Pertanyaan Pembaca

Semasa Daud menulis kata-kata di Mazmur 61:8 bahawa dia akan memuji nama Tuhan buat “selama-lamanya,” adakah dia bersikap tidak realistik atau berfikir bahawa dia tidak akan mati?

Tidak. Apa yang ditulis oleh Daud memang benar dan tepat.

Perhatikan apa yang ditulisnya di ayat itu dan ayat-ayat yang serupa. Dia menulis, “Aku akan menunaikan ikrarku setiap hari dan menyanyikan lagu untuk memuji nama-Mu selama-lamanya.” “Ya Yehuwa, Tuhanku, aku akan memuji-Mu dengan sepenuh hati, dan aku akan memuliakan nama-Mu buat selama-lamanya.” “Aku akan memuji nama-Mu selama-lamanya.”​—Mzm. 61:8; 86:12; 145:1, 2.

Semasa menulis kata-kata itu, Daud tidak berfikir bahawa dia tidak akan mati. Dia tahu Yehuwa telah berfirman bahawa dosa akan mengakibatkan kematian, dan dia mengaku bahawa dia seorang pendosa. (Kej. 3:3, 17-19; Mzm. 51:4, 5) Dia tahu bahawa bahkan orang yang diperkenankan Tuhan, seperti Abraham, Ishak, dan Yakub, telah meninggal, dan dia sedar bahawa dia sendiri akan meninggal suatu hari nanti. (Mzm. 37:25; 39:4) Namun, kata-katanya di Mazmur 61:8 mencerminkan azamnya untuk terus memuji Tuhan selagi dia masih hidup.​—2 Sam. 7:12.

Sesetengah mazmur yang ditulis Daud menggambarkan pengalaman hidupnya, seperti yang kita lihat dalam penerangan bagi Mazmur 18, 51, dan 52. Di Mazmur 23, Daud menggambarkan Yehuwa sebagai gembala yang memberikan bimbingan, kesegaran, dan perlindungan. Sebagai seorang gembala, Daud tahu betapa pentingnya sifat-sifat ini. Jadi dia terdorong untuk menyembah Yehuwa ‘sepanjang hayatnya.’​—Mzm. 23:6.

Ingatlah, yang mengilhami Daud untuk menulis mazmur itu ialah Yehuwa. Catatannya merangkumi nubuat tentang apa yang akan berlaku pada masa depan. Sebagai contoh, di Mazmur 110, Daud merujuk kepada masa apabila tuannya akan ‘duduk di sebelah kanan Tuhan’ di syurga. Tuan itu akan menerima kuasa yang besar untuk menakluki musuh Tuhan dan “menjatuhkan hukuman kepada bangsa-bangsa” di bumi. Daud ialah nenek moyang kepada tuan itu, iaitu Mesias, yang akan memerintah dari syurga dan “menjadi imam untuk selama-lamanya!” (Mzm. 110:1-6) Yesus telah mengesahkan bahawa nubuat yang terdapat di Mazmur 110 adalah tentangnya dan akan menjadi kenyataan pada masa depan.​—Mat. 22:41-45.

Jadi, di bawah ilham Yehuwa, Daud telah menulis tentang apa yang berlaku pada zamannya dan apa yang akan berlaku pada masa depan, semasa dia dibangkitkan dan dapat memuji Yehuwa untuk selama-lamanya. Begitu juga, Mazmur 37:10, 11, 29 menggambarkan keadaan hidup pada zaman Israel kuno dan keadaan hidup di serata dunia pada masa depan, iaitu semasa Tuhan menunaikan semua janji-Nya.—Lihat perenggan 8 dalam rencana “Kamu Akan Bersama-Sama Aku di Firdaus” dalam majalah ini.

Mazmur 61:8 dan ayat-ayat tadi menunjukkan bahawa pada zaman Israel kuno, Daud ingin memuji Yehuwa sepanjang hayatnya. Ayat-ayat itu juga menunjukkan apa yang dapat dilakukan oleh Daud pada masa depan, selepas Yehuwa membangkitkannya.