Dibimbing oleh Pandangan Tuhan mengenai Alkohol
ANDA pasti bersyukur Yehuwa telah memberi kita banyak kurniaan, termasuk kebolehan untuk memilih bagaimana kita mahu menggunakan kurniaan yang diberikan-Nya. Bible juga menyatakan bahawa wain ialah kurniaan daripada Tuhan. Bible kata, “Roti membuat orang girang, dan wain membuat orang riang.” (Pkh. 10:19; Mzm. 104:15) Namun, anda mungkin pernah melihat sesetengah orang menyalahgunakan alkohol. Selain itu, dalam pelbagai budaya di seluas dunia, terdapat pandangan dan standard yang berlainan tentang alkohol. Jadi apakah yang dapat membantu seorang Kristian membuat keputusan yang bijak berkenaan alkohol?
Tidak kira di mana kita tinggal atau bagaimana kita dibesarkan, kita mahu dibimbing oleh pandangan dan fikiran Tuhan. Dengan itu, kita akan menikmati hidup yang bahagia.
Seperti yang anda tahu, banyak orang di dunia sering minum berlebihan. Sesetengah orang mungkin meminum alkohol untuk berasa relaks. Yang lain pula menggunakan alkohol kerana ingin melupakan masalah mereka. Di sesetengah tempat, orang yang meminum alkohol secara berlebihan dianggap kuat atau hebat.
Sebagai orang Kristian, kita ada bimbingan yang bijak daripada Pencipta kita yang pengasih. Contohnya, di Amsal 23:29-35, kita diberi gambaran yang terperinci tentang seorang pemabuk dan masalah yang dialaminya. a Daniel, seorang penatua di Eropah, pernah ada tabiat minum berlebihan. Dia berkata, “Semasa saya minum berlebihan, saya membuat keputusan yang buruk. Akibatnya, saya mengalami pengalaman-pengalaman pahit yang membawa kesan emosi yang negatif sehingga hari ini.”
Bagaimanakah orang Kristian dapat menggunakan kebebasan memilih dengan bijak dan mengelakkan kesan buruk yang disebabkan oleh penyalahgunaan alkohol? Kuncinya adalah dengan mengizinkan pandangan Tuhan untuk membimbing fikiran dan perbuatan kita.
Mari kita lihat apa yang dikatakan Bible tentang alkohol dan mengapa sesetengah orang memilih untuk minum alkohol.
AJARAN BIBLE
Firman Tuhan tidak melarang kita daripada meminum alkohol. Bible berkata, “Makanlah dengan gembira, dan minumlah wain dengan hati yang sukacita.” (Pkh. 9:7) Yesus dan hamba Yehuwa yang lain juga kadangkala minum alkohol.—Mat. 26:27-29; Luk. 7:34; 1 Tim. 5:23.
Biarpun begitu, Firman Tuhan melarang amalan minum berlebihan dan kemabukan. Bible kata, “Janganlah kamu menjadi mabuk kerana wain.” (Ef. 5:18) Bible juga kata bahawa ‘orang yang mabuk tidak akan mewarisi Kerajaan Tuhan.’ (1 Kor. 6:10) Ya, Yehuwa mengutuk amalan meminum alkohol secara berlebihan dan kemabukan. Oleh itu, kita tidak mahu dibentuk oleh adat atau kebiasaan tempatan. Sebaliknya, kita mahu dibimbing oleh pandangan Tuhan.
Sesetengah orang berasa bahawa mereka dapat meminum banyak alkohol tanpa menjadi mabuk. Namun, hal itu pun sangat berbahaya. Bible kata bahawa orang yang “menjadi hamba kepada banyak wain” mungkin melakukan dosa serius yang dapat menjejaskan hubungan mereka dengan Yehuwa. (Tit. 2:3; Ams. 20:1) Yesus bahkan kata bahawa amalan “minum berlebihan” mungkin menghalang seseorang daripada memasuki dunia baharu Tuhan. (Luk. 21:34-36) Jadi apakah yang dapat membantu orang Kristian mengelakkan masalah yang disebabkan oleh penyalahgunaan alkohol?
PERIKSA TABIAT MINUM ANDA
Semasa membuat keputusan untuk meminum alkohol, adalah bahaya jika kita membiarkan kebiasaan atau adat tempatan untuk membentuk pandangan kita. Maka, dalam soal makan dan minum pun, orang Kristian yang bijak akan mempertimbangkan pandangan Yehuwa. Bible mengingatkan kita, “Sama ada kamu makan, minum, atau melakukan hal-hal yang lain, lakukanlah semuanya untuk memuliakan Tuhan.” (1 Kor. 10:31) Perhatikan beberapa soalan dan prinsip Bible berikut:
Adakah saya minum untuk diterima oleh orang lain? Keluaran 23:2 kata, “Jangan terikut-ikut dengan orang ramai.” Di ayat ini, Yehuwa memberikan amaran kepada orang Israel agar tidak mengikut kebiasaan orang yang tidak menyenangkan hati-Nya. Nasihat ini juga berguna bagi orang Kristian hari ini. Jika kita terikut-ikut pandangan rakan sebaya semasa membuat keputusan berkenaan alkohol, kita mungkin melanggar perintah Yehuwa, dan hubungan kita dengan-Nya mungkin terjejas.—Rm. 12:2.
Adakah saya minum untuk menunjukkan saya kuat? Dalam sesetengah budaya, minum secara berlebihan dianggap biasa dan diterima banyak orang. (1 Ptr. 4:3) Namun, perhatikan apa yang dikatakan di 1 Korintus 16:13, “Hendaklah kamu berjaga-jaga, berpegang teguh pada iman, bersikap berani, dan menjadi gagah.” Bolehkah alkohol membantu seseorang menjadi gagah? Tidak. Sebenarnya, alkohol dapat melemahkan kebolehan seseorang untuk berfikir dan membuat keputusan yang baik. Jadi, alkohol tidak membuat seseorang menjadi gagah, tetapi membuatnya menjadi lemah. Yesaya 28:7 juga menggambarkan orang yang minum berlebihan sebagai orang yang terhuyung-hayang dan membuat pertimbangan yang salah.
Kegagahan atau kekuatan sejati datang daripada Yehuwa dan diperlukan untuk tetap berjaga-jaga dan berpegang teguh pada iman. (Mzm. 18:32) Seorang Kristian akan tetap berjaga-jaga dan bertindak tegas untuk melindungi dirinya daripada bahaya rohani. Yesus menunjukkan kegagahan sebegini. Dia memiliki hubungan yang baik dengan Yehuwa, dan banyak orang menghormatinya kerana dia berani dan bertekad untuk melakukan apa yang benar.
Adakah saya minum alkohol supaya dapat melupakan masalah saya? Seorang pemazmur berkata, “Apabila aku dilanda kekhuatiran, Engkau [Yehuwa] menenangkan dan melegakan jiwaku.” (Mzm. 94:19) Ya, jika masalah membuat anda berasa runsing, bergantunglah pada bantuan Yehuwa dan bukannya alkohol. Anda dapat berbuat demikian dengan berdoa kepada-Nya dengan lebih kerap. Selain itu, anda juga akan meraih manfaat jika anda meminta nasihat praktikal daripada sahabat yang matang di sidang. Sebenarnya, meminum alkohol untuk melupakan masalah boleh melemahkan tekad seseorang untuk melakukan apa yang benar. (Hos. 4:11) Daniel, yang disebut tadi, berkata, “Saya bergelut dengan masalah dan perasaan bersalah. Saya minum alkohol supaya dapat menangani masalah saya, tetapi masalah saya bertambah banyak pula. Saya juga hilang sahabat dan harga diri.” Apakah yang telah membantu Daniel? Dia berkata, “Saya sedar bahawa saya perlukan Yehuwa di sisi saya, bukannya alkohol. Apabila saya bergantung pada Yehuwa, saya akhirnya dapat mengatasi masalah saya.” Ya, Yehuwa sentiasa bersedia untuk membantu anda, bahkan semasa situasi anda nampaknya tiada harapan.—Flp. 4:6, 7; 1 Ptr. 5:7.
Jika anda kadangkala meminum alkohol, cubalah periksa tabiat anda dengan menanyakan beberapa soalan ini: “Pernahkah seorang ahli keluarga atau kawan baik berkata bahawa mereka bimbang tentang tabiat peminuman saya?” Jika ya, hal ini mungkin menunjukkan bahawa anda ada masalah peminuman alkohol tetapi tidak menyedarinya. “Adakah saya minum lebih banyak daripada dahulu?” Hal itu mungkin menunjukkan bahawa biarpun anda belum ketagihan alkohol, jika anda tidak berhati-hati, anda akan ketagihan alkohol. “Adakah saya susah berhenti minum alkohol untuk beberapa hari atau tempoh yang lebih lama?” Jika ya, anda mungkin sudah ketagihan alkohol dan tidak dapat menghentikan tabiat meminum alkohol. Maka, anda mungkin memerlukan bantuan profesional untuk mengatasi masalah itu.
Oleh sebab meminum alkohol boleh membawa banyak masalah, sesetengah orang Kristian memilih untuk langsung tidak meminumnya. Yang lain pula memilih untuk tidak meminum alkohol kerana tidak menyukai rasanya. Jika salah seorang rakan anda memilih untuk tidak minum, anda boleh menunjukkan kebaikan hati dengan menghormati keputusannya dan tidak mengkritiknya.
Namun, jika anda mahu meminum alkohol, anda mungkin berasa adalah bijak untuk menetapkan batas sendiri. Sesetengah orang Kristian menentukan
seberapa banyak dan seberapa kerap mereka akan minum. Contohnya, mereka mungkin memilih untuk minum sekali seminggu, atau hanya minum secara sederhana semasa makan. Ada pula yang menetapkan batas tentang jenis alkohol yang mereka akan minum. Contohnya, mereka mungkin memilih untuk meminum bir atau wain secara sederhana, tetapi tidak meminum minuman keras yang mempunyai peratus alkohol yang tinggi, bahkan jika alkohol itu dicampurkan dengan minuman lain. Apabila seseorang sudah menetapkan batas sendiri, adalah lebih senang baginya untuk mengawal peminumannya. Orang Kristian yang matang tidak perlu berasa malu jika dia sudah membuat keputusan peribadi dalam soal peminuman alkohol dan berpegang padanya.Jika anda memilih untuk meminum alkohol, fikirkan juga perasaan orang lain. Roma 14:21 berkata, “Lebih baik tidak makan daging, minum wain, atau melakukan apa sahaja yang akan menyebabkan saudara kamu tersandung.” Bagaimanakah anda dapat menerapkan nasihat ini? Tunjukkanlah kasih. Jika anda rasa meminum alkohol mungkin membuat seseorang tersandung, kasih akan menggerakkan anda untuk tidak meminumnya. Dengan demikian, anda menunjukkan bahawa anda menghormati perasaannya, prihatin terhadapnya, dan sudi melakukan apa yang bermanfaat baginya.—1 Kor. 10:24.
Tambahan lagi, kerajaan mungkin menetapkan undang-undang yang mempengaruhi keputusan seorang Kristian, contohnya had umur untuk meminum atau membeli alkohol, dan larangan untuk memandu atau mengendalikan mesin di bawah pengaruh alkohol.—Rm. 13:1-5.
Yehuwa telah memberi kita kebebasan untuk memilih agar kita dapat menikmati pelbagai pemberian-Nya. Hal itu termasuklah kebebasan untuk memilih apa yang akan kita makan dan minum. Marilah kita menunjukkan bahawa kita menghargai kebebasan ini dengan membuat keputusan yang menyenangkan hati Bapa kita yang di syurga.
a Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit A.S. melaporkan bahawa risiko jangka masa pendek peminuman alkohol yang berlebihan termasuk membunuh orang lain, serangan seksual, membunuh diri, keganasan terhadap pasangan intim, tingkah laku seks yang berbahaya, dan keguguran anak.