RENCANA PEMBELAJARAN 51
Harapan yang Tidak Akan Mengecewakan Kita
“Harapan ini tidak akan mengecewakan kita.”—RM. 5:5.
LAGU 142 Berpegang Teguh pada Harapan Kita
PENGENALAN a
1. Mengapakah kita boleh mengatakan bahawa apa yang diharapkan oleh Abraham bukanlah mimpi kosong?
YEHUWA berjanji kepada sahabat-Nya Abraham bahawa semua bangsa di bumi akan diberkati melalui keturunannya. (Kej. 15:5; 22:18) Biarpun begitu, semasa Abraham berumur 100 tahun dan isterinya berumur 90 tahun, mereka masih tidak mempunyai anak. (Kej. 21:1-7) Namun Bible kata, “Abraham berharap dan beriman bahawa dia akan menjadi bapa kepada banyak bangsa meskipun hal itu nampaknya mustahil. Dia percaya akan kata-kata [Tuhan].” (Rm. 4:18) Apa yang diharapkan oleh Abraham bukanlah mimpi kosong kerana harapannya adalah berdasarkan janji Tuhan. Pada kemudian hari, harapan Abraham menjadi kenyataan semasa Ishak lahir. Mengapakah Abraham memiliki harapan yang begitu teguh?
2. Mengapakah Abraham yakin bahawa Yehuwa dapat melakukan apa yang sudah dijanjikan-Nya?
2 Abraham mempunyai hubungan yang rapat dengan Yehuwa, jadi dia “yakin sepenuhnya bahawa Tuhan dapat melakukan apa yang sudah dijanjikan-Nya.” (Rm. 4:21) Oleh sebab dia beriman, dia menyenangkan hati Yehuwa dan mendapat perkenan-Nya. (Yak. 2:23) Menurut Roma 4:18, Abraham mempunyai iman dan harapan. Sekarang, mari kita bincang apa yang ditulis oleh Rasul Paulus tentang harapan di Roma bab 5.
3. Apakah yang dijelaskan oleh Paulus tentang harapan?
3 Paulus menjelaskan sebabnya kita dapat percaya bahawa “harapan [kita] tidak akan mengecewakan kita.” (Rm. 5:5) Dia juga menjelaskan bagaimana harapan kita dapat menjadi semakin teguh. Semasa meneliti penjelasan Paulus di Roma 5:1-5, fikirkanlah pengalaman anda sendiri. Anda mungkin mendapati bahawa harapan anda sekarang lebih teguh berbanding dahulu. Dalam rencana ini, kita juga akan membincangkan apa yang harus kita lakukan supaya harapan kita menjadi lebih teguh lagi. Sekarang, mari kita membincangkan harapan yang menakjubkan yang disebut oleh Paulus.
HARAPAN KITA YANG MENAKJUBKAN
4. Apakah yang dibincangkan di Roma 5:1, 2?
4 Baca Roma 5:1, 2. Paulus menulis kata-kata ini kepada orang Kristian di Roma. Mereka telah belajar tentang Yehuwa dan Yesus, beriman kepada mereka, dan dibaptis. Oleh itu, mereka “sudah mendapat perkenan Tuhan kerana iman [mereka],” dan mereka diurapi kuasa suci-Nya. Ya, mereka menerima harapan yang menakjubkan!
5. Apakah harapan orang Kristian terurap?
5 Paulus kemudiannya menulis kepada orang Kristian terurap di Efesus bahawa harapan mereka termasuk “warisan untuk umat suci [Tuhan].” (Ef. 1:18) Paulus juga menulis kepada orang Kristian di Kolose bahawa harapan mereka adalah untuk tinggal “di syurga.” (Kol. 1:4, 5) Maka, harapan orang Kristian terurap adalah untuk dibangkitkan dan hidup selama-lamanya di syurga, dan mereka akan memerintah bersama Kristus.—1 Tes. 4:13-17; Why. 20:6.
6. Apakah perasaan seorang saudara terurap tentang harapannya?
6 Orang Kristian terurap menghargai harapan mereka. Salah seorang daripada mereka ialah Saudara Frederick Franz, yang telah menyembah Tuhan dengan setia selama puluhan tahun. Pada tahun 1991, dia berkata, “Harapan ini pasti menjadi kenyataan. Setiap seorang daripada 144,000 kaum terurap akan menerima apa yang dijanjikan oleh Tuhan. Ganjaran yang menantikan kami jauh lebih menakjubkan daripada apa yang kami bayangkan.” Dia menambah, “Harapan itu tetap berharga bagi kami. Semakin lama kami harus menunggunya, semakin bernilai harapan itu. Biarpun kami harus menunggu sejuta tahun, penantian kami tidak sia-sia. Sekarang saya lebih menghargai harapan ini berbanding dahulu.”
7-8. Apakah harapan yang dimiliki oleh kebanyakan penyembah Yehuwa? (Roma 8:20, 21)
7 Kebanyakan penyembah Yehuwa zaman ini memiliki harapan yang berbeza. Seperti Abraham, mereka mempunyai harapan untuk hidup selama-lamanya di bumi di bawah pemerintahan Kerajaan Tuhan. (Ibr. 11:8-10, 13) Dalam suratnya, Paulus menggambarkan apa yang menantikan mereka yang memiliki harapan ini. (Baca Roma 8:20, 21.) Fikirkan masanya anda belajar tentang harapan yang dijanjikan dalam Bible buat kali pertama. Apakah yang paling menyentuh hati anda? Harapan untuk menjadi sempurna dan tidak lagi dipengaruhi dosa, atau harapan bahawa orang tersayang yang sudah meninggal akan hidup semula di bumi firdaus? Anda pasti menanti-nantikan masanya harapan ini menjadi kenyataan.
8 Tidak kira harapan kita adalah untuk hidup kekal di syurga atau di bumi, tidakkah kita setuju bahawa harapan kita sungguh menakjubkan dan membawa sukacita? Paulus juga menulis bahawa harapan kita dapat menjadi semakin teguh. Dengan mengkaji apa yang ditulis oleh Paulus, kita akan bertambah yakin bahawa harapan kita akan menjadi semakin teguh dan tidak akan mengecewakan kita.
CARA UNTUK MENGUATKAN HARAPAN
9-10. Daripada contoh Paulus, kita tahu orang Kristian akan menghadapi apa? (Roma 5:3) (Lihat juga gambar.)
9 Baca Roma 5:3. Paulus berkata bahawa semasa kita mengalami kesengsaraan, harapan kita akan menjadi semakin kuat. Daripada contoh Paulus, kita tahu bahawa semua pengikut Kristus akan mengalami kesengsaraan. Dia memberitahu orang Kristian di Tesalonika, “Semasa kami bersama-sama kamu, awal-awal lagi kami telah memberitahu kamu bahawa kita akan menghadapi kesengsaraan.” (1 Tes. 3:4) Dia juga berkata kepada orang Kristian di Korintus, “Saudara-saudara, kami mahu kamu mengetahui kesengsaraan yang kami alami . . . Kami tidak pasti sama ada kami dapat terus hidup atau tidak.”—2 Kor. 1:8; 11:23-27.
10 Orang Kristian hari ini juga akan menghadapi kesengsaraan. (2 Tim. 3:12) Anda mungkin dianiaya kerana beriman kepada Yesus dan mengikutnya. Adakah kawan-kawan dan saudara-mara anda mencemuh dan melayan anda dengan buruk? Adakah anda menghadapi masalah di tempat kerja kerana ingin bersikap jujur? (Ibr. 13:18) Adakah anda menghadapi tentangan daripada pihak berkuasa kerana mengongsi harapan Bible dengan orang lain? Namun, tidak kira apa sahaja kesengsaraan yang kita hadapi, Paulus berkata bahawa kita harus bersukacita. Mengapa?
11. Mengapakah kita perlu bertabah semasa menghadapi apa sahaja cubaan?
11 Kita dapat bersukacita semasa menghadapi kesengsaraan kerana hal ini dapat membantu kita memupuk satu sifat yang penting. Roma 5:3 kata, “Kesengsaraan menghasilkan ketabahan.” Semua orang Kristian akan menghadapi kesengsaraan, jadi kita semua perlu bertekad untuk bertabah menghadapi setiap cabaran. Jika kita tidak berputus asa, kita pasti akan menerima ganjaran kita. Kita tidak mahu menjadi seperti orang yang digambarkan oleh Yesus semasa dia bercakap tentang benih yang jatuh di tempat berbatu. Pada mulanya mereka menerima kebenaran dengan sukacita, tetapi “sebaik sahaja [mereka] mengalami kesengsaraan atau penganiayaan,” mereka meninggalkan kebenaran. (Mat. 13:5, 6, 20, 21) Sudah tentu, kita tidak senang hati semasa menghadapi tentangan atau cabaran. Tetapi jika kita bertabah, kita akan meraih manfaat. Apakah manfaatnya?
12. Apakah manfaat yang akan kita raih jika kita tabah menghadapi kesengsaraan?
12 Yakobus memberitahu kita manfaat yang akan kita raih jika kita tabah menghadapi kesengsaraan. Dia menulis, “Biarlah ketabahan kamu mencapai tujuannya, supaya kamu menjadi serba lengkap, tidak bercela dalam segala hal, dan tidak kekurangan apa-apa pun.” (Yak. 1:2-4) Perhatikan bahawa Yakobus kata ketabahan harus mencapai tujuannya. Apakah tujuannya? Ketabahan dapat membantu anda menjadi lebih sabar, lebih beriman, dan lebih bergantung pada Tuhan. Namun, terdapat satu lagi manfaat penting yang dapat kita raih jika kita bertabah.
13-14. Apakah satu lagi manfaatnya jika kita bertabah? Bagaimanakah hal itu mempengaruhi harapan kita? (Roma 5:4)
13 Baca Roma 5:4. Paulus berkata bahawa jika kita bertabah, kita akan “mendapat perkenan Tuhan.” Jadi, ketabahan anda akan menggembirakan hati Yehuwa. Namun hal ini tidak bermaksud bahawa Yehuwa gembira melihat anda menghadapi cubaan atau masalah. Sebaliknya, Dia berkenan kepada anda kerana anda bertabah dan tetap setia kepada-Nya. Tidakkah anda digalakkan kerana mengetahui bahawa ketabahan anda dapat menggembirakan hati Yehuwa?—Mzm. 5:12.
14 Ingatlah bahawa Yehuwa senang hati dengan Abraham kerana dia tabah menghadapi cubaan. Yehuwa menganggap Abraham sebagai sahabat-Nya dan memperkenankannya. (Kej. 15:6; Rm. 4:13, 22) Begitu juga, Yehuwa akan senang hati dengan kita, bukan kerana berapa banyak kerja yang dapat kita lakukan untuk-Nya ataupun di mana kita berkhidmat. Sebaliknya, Dia akan senang hati jika kita setia dan tabah menghadapi cubaan. Hal itu pasti menggalakkan kita kerana tidak kira umur, situasi hidup, atau kebolehan kita, kita semua dapat bertabah. Adakah anda sedang tabah menghadapi cabaran sekarang? Apabila anda ingat bahawa anda mendapat perkenan Tuhan, harapan anda akan bertambah kukuh.
HARAPAN YANG LEBIH KUAT
15. Apakah kata-kata Paulus yang seterusnya, dan apakah soalan yang mungkin timbul?
15 Seperti yang dikatakan Paulus, kita akan memperoleh perkenan Yehuwa jika kita tabah menghadapi cubaan. Perhatikan kata-kata Paulus yang seterusnya, “Perkenan Tuhan membawa harapan. Harapan ini tidak akan mengecewakan kita.” (Rm. 5:4, 5) Hal ini mungkin membuat sesetengah orang berasa bingung. Mengapa? Kerana sebelum ini, iaitu di Roma 5:2, Paulus memberitahu orang Kristian di Roma bahawa mereka sudah memiliki “harapan untuk menerima kemuliaan Tuhan.” Oleh itu, sesetengah orang mungkin tertanya-tanya, “Jika orang Kristian di Roma sudah memiliki harapan, mengapa Paulus menyebut lagi tentang harapan dalam perbincangannya?”
16. Bagaimanakah harapan kita dapat beransur-ansur jadi lebih kuat? (Lihat juga gambar.)
16 Paulus sedang mengajar kita bahawa harapan kita dapat dikuatkan. Sebagai contoh, adakah anda masih ingat kali pertama anda mendengar tentang harapan untuk hidup selama-lamanya di bumi firdaus? Ketika itu, anda mungkin fikir itu hanyalah mimpi indah. Namun, apabila anda lebih mengenali Yehuwa dan janji Bible, anda yakin bahawa harapan ini akan menjadi kenyataan pada masa depan.
17. Bagaimanakah harapan anda menjadi semakin kuat selepas pembaktian dan pembaptisan anda?
17 Selepas pembaktian dan pembaptisan anda, anda terus belajar lebih banyak tentang Yehuwa dan menjadi lebih matang secara rohani. Oleh itu, harapan anda menjadi semakin kuat. (Ibr. 5:13–6:1) Anda mungkin mengalami kebenaran kata-kata di Roma 5:2-4. Anda telah menghadapi pelbagai cubaan dengan tabah dan mendapat perkenan Tuhan. Oleh sebab anda tahu bahawa Tuhan mengasihi anda dan senang hati dengan anda, anda yakin Tuhan pasti menunaikan semua janji-Nya. Maka harapan anda menjadi lebih kuat daripada dahulu dan memberikan kesan yang lebih besar dalam setiap aspek kehidupan anda, termasuk cara anda melayan ahli keluarga, cara anda membuat keputusan, dan cara anda menggunakan masa.
18. Apakah jaminan yang diberikan oleh Yehuwa?
18 Rasul Paulus kemudiannya menambahkan satu poin yang penting tentang harapan selepas seseorang menerima perkenan Tuhan. Dia meyakinkan kita bahawa harapan kita pasti menjadi kenyataan. Paulus diilhami untuk mencatatkan jaminan ini yang diberikan oleh Yehuwa: “Harapan ini tidak akan mengecewakan kita, kerana melalui kuasa suci Tuhan yang telah diberikan kepada kita, kasih-Nya telah dicurahkan ke dalam hati kita.” (Rm. 5:5) Sememangnya, kita dapat yakin sepenuhnya bahawa harapan kita pasti menjadi kenyataan.
19. Apakah keyakinan anda berkenaan harapan anda?
19 Renungkanlah janji Yehuwa kepada Abraham dan bagaimana Abraham mendapat perkenan Tuhan dan dipanggil sahabat-Nya. Harapan Abraham tidak sia-sia. Bible menyatakan, “Selepas Abraham menunggu dengan sabar, dia menerima janji itu.” (Ibr. 6:15; 11:9, 18; Rm. 4:20-22) Sudah pasti Abraham sangat bersukacita. Begitu juga, anda dapat yakin bahawa jika anda tetap setia, harapan anda pasti menjadi kenyataan. Harapan anda tidak akan mengecewakan anda kerana itu harapan sejati! (Rm. 12:12) Paulus menulis, “Semoga Tuhan yang memberi kamu harapan, mengurniai kamu sukacita dan kedamaian yang melimpah kerana kamu percaya kepada-Nya, supaya dengan kuasa suci Tuhan, harapan kamu bertambah kukuh.”—Rm. 15:13.
LAGU 139 Bayangkan Dirimu di Dunia Baharu
a Dalam rencana ini, kita akan membincangkan apa yang diharapkan oleh orang Kristian dan mengapa kita dapat yakin bahawa harapan itu akan menjadi kenyataan. Roma bab 5 akan menjelaskan bagaimana harapan yang kita miliki sekarang berbeza daripada harapan yang kita miliki semasa kita baru belajar kebenaran.