Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 50

Iman dan Perbuatan Membolehkan Kita Mendapat Perkenan Tuhan

Iman dan Perbuatan Membolehkan Kita Mendapat Perkenan Tuhan

‘Ikuti jejak iman Abraham.’—RM. 4:12.

LAGU 119 Kita Mesti Memiliki Iman

PENGENALAN a

1. Semasa memikirkan iman yang dimiliki Abraham, apakah soalan yang mungkin kita tanya?

 WALAUPUN banyak orang pernah mendengar tentang Abraham, kebanyakan antara mereka hanya tahu sedikit tentangnya. Anda pula tahu banyak tentang Abraham. Contohnya, anda tahu dia dipanggil “bapa kepada orang yang beriman.” (Rm. 4:11) Namun anda mungkin tertanya-tanya, “Dapatkah saya mengikut jejak Abraham dan memiliki iman yang dimilikinya?” Memang boleh.

2. Mengapakah penting untuk mengkaji teladan Abraham? (Yakobus 2:​22, 23)

2 Satu cara kita dapat memupuk iman yang dimiliki Abraham adalah dengan mengkaji teladannya. Abraham sentiasa mematuhi perintah Tuhan. Dia rela berpindah ke negeri yang jauh, hidup dalam khemah selama puluhan tahun, dan bahkan sanggup mengorbankan anak kesayangannya Ishak. Untuk melakukan hal-hal ini, Abraham memerlukan iman yang kuat. Iman dan perbuatan Abraham telah membolehkannya mendapat perkenan Tuhan dan menjadi sahabat-Nya. (Baca Yakobus 2:​22, 23.) Yehuwa mahu kita semua, termasuk anda, untuk menikmati berkat-berkat sedemikian. Itulah sebabnya Dia mengilhami Paulus dan Yakobus untuk menulis tentang teladan Abraham. Mari kita kaji teladan Abraham yang tercatat di Roma bab 4 dan Yakobus bab 2. Kedua-dua bab ini menyatakan sesuatu yang menarik tentang Abraham.

3. Apakah ayat Bible yang dipetik oleh Paulus dan Yakobus?

3 Paulus dan Yakobus memetik ayat di Kejadian 15:​6, yang berbunyi, “[Abraham] beriman kepada Yehuwa, maka Tuhan memandangnya sebagai orang yang mendapat perkenan-Nya.” Seseorang yang mendapat perkenan Tuhan dapat menyenangkan hati Tuhan dan bahkan dianggap tidak bercela oleh-Nya. Bayangkan, manusia yang berdosa dan tidak sempurna pun boleh dianggap tidak bercela di mata Tuhan! Sungguh hebat, bukan? Anda tentu mahu mendapat perkenan Tuhan, dan hal ini tidak mustahil. Sekarang mari kita lihat sebabnya Abraham mendapat perkenan Tuhan dan bagaimana kita dapat mengikut jejaknya.

IMAN DIPERLUKAN UNTUK MENDAPAT PERKENAN TUHAN

4. Apakah yang menghalang manusia daripada mendapat perkenan Tuhan?

4 Dalam suratnya kepada sidang di Roma, Paulus menulis bahawa semua orang telah berdosa. (Rm. 3:23) Jika begitu, bagaimanakah seseorang dapat dianggap tidak bercela dan mendapat perkenan Tuhan? Untuk menjawab soalan itu, Paulus menggunakan contoh Abraham.

5. Mengapakah Tuhan berkenan kepada Abraham? (Roma 4:​2-4)

5 Yehuwa menganggap Abraham sebagai orang yang diperkenankan-Nya semasa dia berada di negeri Kanaan. Adakah Abraham mendapat perkenan Tuhan kerana dia mematuhi Hukum Musa dengan sempurna? Pasti tidak. (Rm. 4:13) Hukum Musa belum wujud pada zaman Abraham dan hanya diberikan kepada bangsa Israel lebih daripada 400 tahun kemudian. Jadi, mengapakah Tuhan berkenan kepada Abraham? Oleh sebab Abraham beriman, Tuhan menunjukkan kebaikan hati yang unggul kepadanya dan menganggapnya sebagai orang yang diperkenankan-Nya.—Baca Roma 4:​2-4.

6. Mengapakah Yehuwa dapat memandang seorang pendosa sebagai orang yang diperkenankan-Nya?

6 Paulus berkata bahawa apabila seseorang beriman kepada Tuhan, “dia akan mendapat perkenan Tuhan meskipun dia berdosa.” (Rm. 4:5) Paulus menambah, “Itulah yang dimaksudkan oleh Daud apabila dia berkata tentang kebahagiaan seseorang yang mendapat perkenan Tuhan walaupun perbuatannya tidak selaras sepenuhnya dengan hukum. Daud berkata, ‘Berbahagialah orang yang kejahatan mereka diampunkan oleh Tuhan, dan yang dosa mereka dihapuskan oleh Tuhan! Berbahagialah orang yang dosanya tidak diperhitungkan oleh Yehuwa!’” (Rm. 4:​6-8; Mzm. 32:​1, 2) Tuhan mengampuni atau menutupi dosa orang yang beriman kepada-Nya. Dia mengampuni mereka dengan sepenuhnya dan tidak lagi menganggap mereka bersalah atas dosa lampau mereka. Oleh sebab mereka beriman, Tuhan dapat memandang orang sebegini sebagai orang yang tidak bercela dan orang yang diperkenankan-Nya.

7. Mengapakah penyembah Yehuwa pada masa lampau dapat dianggap tidak bercela dan mendapat perkenan-Nya?

7 Walaupun Abraham, Daud, dan penyembah Yehuwa yang lain mendapat perkenan Tuhan, mereka masih manusia berdosa yang tidak sempurna. Namun, kerana mereka beriman, Tuhan menganggap mereka tidak bercela dan sangat berbeza daripada orang yang tidak menyembah-Nya. (Ef. 2:12) Surat Paulus menyatakan dengan jelas bahawa iman sangat penting untuk menjalin hubungan yang akrab dengan Tuhan. Abraham dan Daud dapat menjadi sahabat Tuhan kerana mereka beriman. Jika kita beriman, kita pun dapat menjadi sahabat Tuhan.

APAKAH KAITAN ANTARA IMAN DENGAN PERBUATAN?

8-9. Apakah tanggapan salah sesetengah orang yang membaca kata-kata Paulus dan Yakobus, dan mengapa?

8 Selama ratusan tahun, para pemimpin agama sering berdebat tentang kaitan antara iman dengan perbuatan. Ada pemimpin agama yang mengajar bahawa jika seseorang ingin diselamatkan, dia hanya perlukan iman. Mereka mungkin berkata, “Percayalah kepada Yesus dan engkau akan selamat.” Barangkali mereka percaya bahawa Paulus mengajar hal ini kerana dia pernah menulis, ‘Seseorang boleh mendapat perkenan Tuhan walaupun perbuatannya tidak selaras sepenuhnya dengan hukum.’ (Rm. 4:6) Orang lain pula tidak setuju. Mereka percaya bahawa mereka perlu menziarahi tempat yang suci atau melakukan hal yang baik agar diselamatkan. Mereka mungkin memetik Yakobus 2:24 yang menyatakan, “Seseorang diterima sebagai orang yang berbuat benar bukan hanya kerana imannya, tetapi juga kerana perbuatannya.”

9 Disebabkan pandangan yang berbeza-beza ini, sesetengah pakar Bible menyimpulkan bahawa Paulus dan Yakobus tidak sependapat tentang bagaimana seseorang dapat memperoleh perkenan Tuhan. Ada pemimpin agama berasa keliru kerana nampaknya, Paulus percaya bahawa asalkan seseorang beriman, dia boleh mendapat perkenan Tuhan tanpa perlu melakukan apa-apa, sedangkan Yakobus pula mengajar bahawa perbuatan sangat penting untuk mendapat perkenan Tuhan. Seorang profesor bahkan menyatakan, “Yakobus tidak faham mengapa Paulus menekankan bahawa seseorang hanya perlu beriman untuk mendapat perkenan Tuhan.” Walaupun apa yang ditulis oleh Paulus dan Yakobus nampaknya bercanggahan, kata-kata mereka diilhami oleh Yehuwa. (2 Tim. 3:16) Jadi pasti ada penjelasan yang masuk akal bagi hal ini. Untuk mengetahuinya, mari kita perhatikan konteks kata-kata mereka.

Paulus mengajar orang Kristian berbangsa Yahudi di Roma bahawa untuk diperkenankan Tuhan, mereka perlu beriman dan bukannya mematuhi Hukum Musa (Lihat perenggan 10) b

10. Apakah “perbuatan” yang dimaksudkan Paulus? (Roma 3:​21, 28) (Lihat juga gambar.)

10 Apakah “perbuatan” yang dimaksudkan Paulus di Roma bab 3 dan 4? Dia sedang merujuk kepada perbuatan “mematuhi hukum,” iaitu Hukum Musa yang diberikan di Gunung Sinai. (Baca Roma 3:​21, 28.) Nampaknya pada zaman Paulus, sesetengah orang Kristian berbangsa Yahudi berasa susah untuk menerima bahawa Hukum Musa telah dimansuhkan dan tidak perlu dipatuhi lagi. Jadi, dengan menggunakan contoh Abraham, Paulus mengajar bahawa untuk mendapat perkenan Tuhan, seseorang tidak perlu “mematuhi hukum,” tetapi perlu beriman. Hal ini sungguh menggalakkan kerana kita semua mampu membina iman terhadap Tuhan dan Kristus, dan mendapat perkenan Tuhan.

Yakobus menggalakkan orang Kristian untuk menunjukkan iman menerusi “perbuatan,” misalnya dengan berbuat baik tanpa berat sebelah (Lihat perenggan 11-12) c

11. Apakah “perbuatan” yang dimaksudkan Yakobus?

11 “Perbuatan” yang dimaksudkan di Yakobus bab 2 pula tidak merujuk kepada perbuatan “mematuhi hukum” yang disebut oleh Paulus. Sebaliknya, Yakobus sedang merujuk kepada perbuatan, atau kegiatan seharian, orang Kristian. Perbuatan sedemikian dapat menunjukkan sama ada seorang Kristian mempunyai iman yang sejati atau tidak. Mari kita lihat dua contoh.

12. Bagaimanakah Yakobus menjelaskan kaitan antara iman dengan perbuatan? (Lihat juga gambar.)

12 Dalam contoh yang pertama, Yakobus menekankan bahawa orang Kristian tidak boleh berat sebelah. Dia menggunakan contoh seorang yang melayan orang kaya dengan baik tetapi memandang hina pada orang miskin. Yakobus menyatakan bahawa orang sebegini mungkin berkata bahawa dia beriman, tetapi imannya tidak dibuktikan melalui perbuatan. (Yak. 2:​1-5, 9) Dalam contoh yang kedua, Yakobus menyebut tentang seseorang yang melihat ‘saudara atau saudarinya tidak mempunyai pakaian atau makanan yang mencukupi,’ tetapi tidak menghulurkan bantuan. Biarpun orang itu kata dia beriman, imannya sia-sia kerana tidak dibuktikan melalui perbuatan. Yakobus menyimpulkan, “Iman yang tidak disertai perbuatan ialah iman yang mati.”—Yak. 2:​14-17.

13. Apakah contoh yang digunakan Yakobus untuk menunjukkan bahawa iman perlu disertai perbuatan? (Yakobus 2:​25, 26)

13 Kemudian, Yakobus menggunakan contoh Rahab untuk menunjukkan bahawa iman perlu disertai perbuatan. (Baca Yakobus 2:​25, 26.) Rahab telah mendengar tentang Yehuwa dan sedar bahawa Yehuwa menyokong orang Israel. (Yos. 2:​9-11) Maka, dia telah melindungi dua orang pengintip Israel semasa nyawa mereka terancam. Perbuatannya menunjukkan bahawa dia beriman kepada Tuhan. Hasilnya, walaupun dia tidak sempurna dan bukan orang Israel, dia diterima sebagai orang yang berbuat benar, seperti halnya dengan Abraham. Contoh Rahab menekankan bahawa iman perlu disertai perbuatan.

14. Mengapakah kita dapat mengatakan bahawa kata-kata Paulus dan Yakobus tidak bercanggahan?

14 Maka, kata-kata Paulus dan Yakobus tidak bercanggahan. Mereka hanya menjelaskan kaitan antara iman dengan perbuatan dari sudut yang berbeza. Paulus sedang memberitahu orang Kristian berbangsa Yahudi bahawa mereka tidak mungkin mendapat perkenan Yehuwa hanya dengan mematuhi Hukum Musa. Yakobus pula sedang menekankan pentingnya bagi semua orang Kristian untuk membuktikan iman mereka dengan berbuat baik terhadap orang lain.

Adakah iman menggerakkan anda untuk melakukan perbuatan yang disenangi Yehuwa? (Lihat perenggan 15)

15. Apakah beberapa perbuatan yang menunjukkan bahawa kita beriman? (Lihat juga gambar.)

15 Yehuwa tidak menyatakan bahawa jika kita mahu mendapat perkenan-Nya, kita mesti meniru bulat-bulat apa yang dilakukan oleh Abraham. Sebenarnya, ada banyak perbuatan lain yang dapat menunjukkan bahawa kita beriman. Contohnya, kita boleh mengalu-alukan orang yang baru datang ke sidang, membantu saudara saudari yang ditimpa kesusahan, dan berbuat baik kepada ahli keluarga kita. Perbuatan sebegini menyenangkan hati Tuhan dan akan membawa berkat-Nya. (Rm. 15:7; 1 Tim. 5:​4, 8; 1 Yoh. 3:18) Satu lagi perbuatan baik yang sangat penting untuk membuktikan iman kita adalah dengan menginjil dengan bersemangat. (1 Tim. 4:16) Kita semua dapat menunjukkan melalui perbuatan kita bahawa kita beriman janji Yehuwa pasti menjadi kenyataan dan semua ajaran-Nya membawa manfaat terbesar. Dengan melakukan perbuatan sebegini, Tuhan akan berkenan kepada kita dan menggelar kita sahabat-Nya.

HARAPAN MENGUATKAN IMAN

16. Apakah kaitan antara harapan Abraham dengan imannya?

16 Roma bab 4 menekankan satu lagi pengajaran penting yang dapat kita raih daripada Abraham: Harapan dapat menguatkan iman kita. Yehuwa telah berjanji bahawa keturunan Abraham “akan menjadi sebanyak bintang di langit,” dan melalui Abraham “banyak bangsa” akan diberkati. Itu sememangnya harapan yang menakjubkan! (Kej. 12:3; 15:5; 17:4; Rm. 4:17) Namun, semasa Abraham berumur 100 tahun dan Sara berumur 90 tahun, mereka masih tidak mempunyai anak sendiri. Dari sudut pandangan manusia, mustahil bagi Abraham dan Sara untuk mempunyai anak, dan itu cabaran besar bagi Abraham. Walaupun begitu, “Abraham berharap dan beriman bahawa dia akan menjadi bapa kepada banyak bangsa.” (Rm. 4:​18, 19) Akhirnya, apa yang diharapkan Abraham menjadi kenyataan semasa Ishak lahir.—Rm. 4:​20-22.

17. Mengapakah kita yakin bahawa kita boleh mendapat perkenan Tuhan dan dianggap sebagai sahabat-Nya?

17 Paulus menulis, “Kata-kata ‘dia mendapat perkenan Tuhan’ tertulis bukan hanya untuk Abraham, tetapi untuk kita juga. Kita juga akan diperkenankan Tuhan kerana kita percaya kepada Dia yang membangkitkan Tuan kita, Yesus.” (Rm. 4:​23, 24) Maka jika kita beriman, melakukan perbuatan yang baik, dan memiliki harapan yang teguh seperti Abraham, kita juga boleh mendapat perkenan Tuhan dan dianggap sebagai sahabat-Nya. Dalam Roma bab 5, Paulus menyentuh tentang topik harapan, dan kita akan membincangkan topik ini dalam rencana yang seterusnya.

LAGU 28 Menjadi Sahabat Yehuwa

a Kita mahu mendapat perkenan Tuhan dan mahu dianggap-Nya sebagai orang yang melakukan apa yang benar. Dalam rencana ini, kita akan mengkaji tulisan Paulus dan Yakobus. Kita akan belajar bagaimana kita boleh mendapat perkenan Tuhan dan mengapa kita memerlukan iman dan perbuatan agar Tuhan menganggap kita sebagai orang yang melakukan apa yang benar.

b KETERANGAN GAMBAR: Paulus mengingatkan orang Kristian berbangsa Yahudi bahawa beriman lebih penting daripada “mematuhi hukum,” seperti memakai jubah yang mempunyai benang biru, menyambut Perayaan Paska, dan mengadakan upacara penyucian.

c KETERANGAN GAMBAR: Yakobus menggalakkan orang Kristian untuk menunjukkan iman menerusi perbuatan, contohnya dengan membantu orang miskin.