Ingatkah Anda?
Sudahkah anda membaca majalah-majalah Menara Pengawal tahun ini dengan teliti? Lihatlah sama ada anda dapat menjawab soalan-soalan yang berikut:
Apakah maksud ungkapan “ubahlah fikiran kamu”? (Rm. 12:2)
Kita tidak boleh sekadar melakukan perbuatan yang baik. Kita harus memeriksa hati kita dan melakukan apa sahaja perubahan yang diperlukan untuk hidup selaras dengan piawaian Yehuwa.—w23.01, ms. 8-9.
Bagaimanakah kita dapat bersikap seimbang semasa memperhatikan peristiwa dunia?
Kita berminat untuk mengetahui bagaimana peristiwa dunia memenuhi nubuat Bible. Namun, kita tidak mahu membuat andaian sendiri kerana ini mungkin menyebabkan sidang berpecah-belah. Sebaliknya, kita mahu mendasarkan perbincangan kita pada maklumat yang diterbitkan oleh organisasi Yehuwa. (1 Kor. 1:10)—w23.02, ms. 16.
Bagaimanakah pembaptisan Yesus berbeza daripada pembaptisan para pengikutnya?
Yesus tidak perlu membaktikan diri seperti yang kita lakukan kerana dia orang Yahudi, dan seluruh bangsa itu telah berjanji untuk menyembah Yehuwa sahaja. Dia sempurna, tidak berdosa, dan tidak perlu bertaubat.—w23.03, ms. 5.
Bagaimanakah kita dapat membantu orang lain memberikan komen?
Jika komen kita ringkas dan kita tidak mengongsi terlalu banyak poin, orang lain akan berpeluang untuk memberikan komen juga.—w23.04, ms. 23.
“Jalan Kesucian” yang disebut di Yesaya 35:8 merujuk kepada apa?
Dulu, jalan ini merujuk kepada jalan yang diambil oleh orang Yahudi yang kembali dari Babilon ke Yerusalem. Hari ini pula, umat Tuhan mengikut “Jalan Kesucian” dan memasuki firdaus rohani sambil menantikan berkat yang dibawa oleh Kerajaan Tuhan. Ratusan tahun sebelum tahun 1919, kerja menyediakan jalan ini, seperti kerja menterjemah dan mencetak Bible, telah bermula.—w23.05, ms. 15-19.
Siapakah dua orang wanita yang disebut di Amsal bab 9?
Wanita yang pertama ialah “wanita yang bodoh.” Jemputannya membawa seseorang ke “Kuburan.” Wanita kedua ialah wanita kiasan yang digelar “kebijaksanaan sejati.” Nasihatnya memberikan pemahaman dan kehidupan. (Ams. 9:1, 6, 13, 18)—w23.06, ms. 22-24.
Apakah yang menunjukkan bahawa Yehuwa munasabah dan rendah hati semasa melayan Lot?
Yehuwa mengarahkan Lot untuk melarikan diri ke kawasan pergunungan. Tetapi Lot merayu agar dibenarkan pergi ke Zoar. Jadi, Yehuwa mengubah rancangan-Nya demi Lot dan tidak membinasakan Zoar.—w23.07, ms. 21.
Apakah yang dapat dilakukan oleh seorang isteri jika suaminya melihat bahan lucah?
Dia tidak patut menyalahkan diri sendiri, tetapi patut bertumpu kepada hubungannya dengan Tuhan. Dia boleh merenungkan kisah Bible tentang bagaimana Yehuwa melegakan wanita yang dibelenggu masalah. Dia juga boleh membantu suaminya mengelakkan situasi yang menggodanya untuk melihat bahan lucah.—w23.08, ms. 14-17.
Apakah yang dapat membantu kita untuk menjawab dengan lemah lembut semasa orang mempersoalkan kepercayaan kita?
Janganlah anggap setiap soalan sebagai serangan. Sebaliknya ingatlah bahawa soalan yang ditanyakan oleh seseorang dapat membantu kita mengetahui isi hatinya.—w23.09, ms. 17.
Berdasarkan contoh Maria, dari manakah kita dapat memperoleh kekuatan?
Setelah mendapat tahu bahawa dia akan menjadi ibu kepada Mesias, Maria mendapat kekuatan daripada Gabriel dan Elisabet. Seperti Maria, kita juga boleh mendapat kekuatan daripada rakan seiman.—w23.10, ms. 15.
Bagaimanakah Yehuwa mungkin menjawab doa kita?
Dia berjanji untuk mendengar doa kita dan mempertimbangkan sama ada doa kita selaras dengan tujuan-Nya. (Yer. 29:12) Dia mungkin menjawab permintaan yang sama dalam cara yang berbeza, tetapi Dia akan sentiasa menyokong kita.—w23.11, ms. 21-22.
Selepas Paulus menyebut tentang “harapan” di Roma 5:2, mengapakah hal ini dibincangkan lagi di ayat 4?
Semasa mendengar berita baik buat kali pertama, seseorang mungkin berharap untuk hidup di bumi firdaus. Tetapi selepas mengharungi kesengsaraan dengan tabah dan merasai perkenan Tuhan, harapannya menjadi semakin kukuh dan nyata.—w23.12, ms. 12-13.