RENCANA PEMBELAJARAN 53
Para Saudara Muda—Jadilah Lelaki Kristian yang Matang
“Hendaklah kamu . . . berkelakuan seperti lelaki sejati.”—1 KOR. 16:13, nota kaki.
LAGU 135 Seruan Bapa Yehuwa, “Anakku, Jadilah Bijak”
PENGENALAN a
1. Apakah yang perlu dilakukan para lelaki Kristian untuk menjadi matang?
RASUL PAULUS menasihati rakan seimannya, “Hendaklah kamu . . . berkelakuan seperti lelaki sejati.” (1 Kor. 16:13, nota kaki) Nasihat itu juga sesuai untuk semua lelaki Kristian hari ini. Untuk menjadi matang, mereka mesti belajar untuk mematuhi hukum Tuhan dan menerapkan prinsip Bible dalam semua aspek kehidupan. (Luk. 2:52) Namun, mengapakah saudara-saudara muda harus berusaha menjadi matang?
2-3. Mengapakah penting bagi saudara muda untuk menjadi matang?
2 Seorang saudara Kristian memikul banyak tanggungjawab dalam keluarga dan sidang. Saudara-saudara muda, anda tentu pernah memikirkan tanggungjawab yang mungkin akan anda pikul pada masa depan, seperti menjadi pekhidmat sepenuh masa, pembantu sidang, atau penatua. Atau anda mungkin ingin berkahwin dan berumah tangga. (Ef. 6:4; 1 Tim. 3:1) Untuk mencapai matlamat-matlamat sebegini, anda perlu menjadi matang. b
3 Untuk menjadi matang, anda perlu belajar beberapa kemahiran yang penting. Apakah persiapan yang dapat anda lakukan sekarang supaya dapat memikul tanggungjawab dengan berjaya pada masa depan?
LANGKAH-LANGKAH UNTUK MENJADI MATANG
4. Dari manakah anda dapat mencari teladan yang baik? (Lihat juga gambar.)
4 Tirulah teladan yang baik. Dari manakah anda dapat mencari teladan yang baik? Dalam Bible, terdapat banyak lelaki yang mengasihi Tuhan dan yang menjaga umat-Nya dalam pelbagai cara. Selain itu, keluarga atau sidang anda mungkin mempunyai saudara-saudara yang matang. (Ibr. 13:7) Jangan lupa juga bahawa Yesus Kristus ialah teladan yang sempurna. (1 Ptr. 2:21) Semasa mengkaji teladan-teladan yang baik ini, renungkanlah sifat mereka yang menonjol. (Ibr. 12:1, 2) Kemudian, fikirkan bagaimana anda dapat meniru teladan mereka.
5. Bagaimanakah anda dapat memupuk daya pemikiran, dan mengapakah hal ini penting? (Mazmur 119:9)
5 Pupuklah dan “janganlah lepaskan . . . daya pemikiran.” (Ams. 3:21, nota kaki) Seseorang yang mempunyai daya pemikiran akan berfikir masak-masak sebelum bertindak. Mengapakah anda perlu berusaha keras untuk memupuk dan mengekalkan daya pemikiran? Hal ini kerana banyak orang muda hari ini bertindak mengikut pandangan atau perasaan sendiri. (Ams. 7:7; 29:11) Selain itu, rancangan TV, wayang, Internet, dan media sosial, dapat mempengaruhi cara anda berfikir dan bertindak. Jadi bagaimanakah anda dapat memupuk daya pemikiran? Mula-mula, belajarlah prinsip Bible dan renungkan sebabnya prinsip Bible bermanfaat. Kemudian, gunakanlah prinsip Bible untuk membuat keputusan yang menggembirakan hati Yehuwa. (Baca Mazmur 119:9.) Memupuk daya pemikiran ialah satu langkah penting untuk menjadi lelaki Kristian yang matang. (Ams. 2:11, 12; Ibr. 5:14) Perhatikan bagaimana daya pemikiran dapat membantu anda dalam dua situasi berikut: (1) Semasa melayan saudari, dan (2) semasa membuat keputusan mengenai penampilan anda.
6. Bagaimanakah daya pemikiran akan membantu seorang saudara muda melayan saudari dengan hormat?
6 Daya pemikiran akan membantu anda melayan wanita dengan hormat. Jika seorang saudara muda berminat terhadap seorang saudari, hal itu memang biasa dan tidak salah. Namun, saudara muda yang memiliki daya pemikiran tidak akan mengatakan, menulis, atau melakukan apa-apa yang akan membuat seorang saudari rasa dia berminat terhadapnya, kecuali saudara itu benar-benar berminat untuk mengahwininya. (1 Tim. 5:1, 2) Semasa berdating dengan seorang saudari, saudara itu akan menjaga nama baiknya dengan memastikan bahawa mereka tidak berdua-duaan dan sentiasa diawasi oleh seorang Kristian yang matang.—1 Kor. 6:18.
7. Bagaimanakah daya pemikiran dapat membantu seorang saudara muda membuat pilihan yang bijak mengenai pakaian dan dandanan?
7 Satu lagi cara saudara muda dapat menunjukkan daya pemikiran adalah menerusi pakaian dan dandanan. Sering kali, gaya fesyen sekarang direka dan diiklankan oleh orang yang tidak menghormati Tuhan atau yang hidup tidak bermoral. Mereka biasanya memakai pakaian yang terlalu ketat atau yang membuat lelaki kelihatan seperti perempuan. Jadi, semasa memilih pakaian, seorang saudara muda yang berusaha menjadi matang akan membuat keputusan berdasarkan prinsip Bible dan teladan baik dalam sidang. Dia akan menanya diri, “Adakah pilihan saya menunjukkan bahawa saya berfikiran sihat dan memikirkan perasaan orang lain? Adakah cara saya berdandan membuat orang lain susah untuk percaya saya ini penyembah Tuhan?” (1 Kor. 10:31-33; Tit. 2:6) Apabila seorang saudara muda menunjukkan menerusi pakaian dan dandanannya bahawa dia memiliki daya pemikiran, dia bukan sahaja akan dihormati saudara saudari, tetapi juga oleh Tuhan Yehuwa.
8. Bagaimanakah seorang saudara muda dapat menjadi orang yang boleh diharapkan?
8 Jadilah orang yang boleh diharapkan. Seorang saudara muda yang boleh diharapkan akan menjalankan semua tugasnya dengan bersungguh-sungguh. (Luk. 16:10) Fikirkan bagaimana Yesus memberikan teladan yang sempurna. Dia tidak pernah cuai atau lalai. Sebaliknya, dia melaksanakan semua tugas yang diberikan oleh Yehuwa, bahkan tugas yang sangat mencabar. Dia mengasihi orang lain, terutamanya para pengikutnya, dan sanggup mengorbankan nyawanya demi mereka. (Yoh. 13:1) Untuk meniru teladan Yesus, berusahalah untuk melakukan apa sahaja tugas yang diberikan kepada anda. Jika anda kurang pasti cara melakukan suatu tugas, mintalah tunjuk ajar daripada saudara yang matang. Selain itu, janganlah bersikap cincai semasa melakukan kerja. (Rm. 12:11) Sebaliknya, buatlah kerja anda dengan sebaik-baiknya “seolah-olah kamu melakukannya untuk Yehuwa dan bukannya untuk manusia.” (Kol. 3:23) Sudah pasti anda tidak sempurna, jadi akuilah kesilapan anda dengan rendah hati.—Ams. 11:2.
BELAJAR KEMAHIRAN YANG BERGUNA
9. Mengapakah saudara muda perlu belajar kemahiran yang berguna?
9 Untuk menjadi lelaki Kristian yang matang, anda perlu belajar kemahiran yang berguna. Dengan ini, anda dapat memikul tanggungjawab dalam sidang, bekerja untuk menyara diri atau keluarga, dan mempunyai hubungan yang baik dengan orang lain. Perhatikan beberapa kemahiran berikut.
10-11. Jika seorang saudara muda dapat membaca dan menulis dengan baik, apakah manfaatnya untuk sidang dan dirinya? (Mazmur 1:1-3) (Lihat juga gambar.)
10 Belajar kemahiran membaca dan menulis. Bible kata orang yang ingin hidup bahagia dan berjaya harus membaca dan merenungkan Firman Tuhan setiap hari. (Baca Mazmur 1:1-3.) Apabila seorang saudara muda membaca Bible setiap hari, dia akan mengenali fikiran Yehuwa. Hasilnya, dia sendiri dapat membuat pertimbangan yang baik dan tahu cara menerapkan prinsip Bible. (Ams. 1:3, 4) Saudara-saudara yang mampu berbuat demikian sangat diperlukan dalam sidang. Mengapa?
11 Saudara saudari memerlukan saudara yang cekap untuk memberikan nasihat dan ajaran yang berdasarkan Bible. (Tit. 1:9) Jika anda dapat membaca dan menulis dengan baik, anda dapat menyediakan ceramah dan komen yang meningkatkan pengetahuan mereka dan yang menguatkan iman mereka. Selain itu, anda dapat membuat nota yang berguna semasa membuat pembelajaran peribadi atau semasa mendengar ceramah di perjumpaan, perhimpunan, dan konvensyen. Nota sebegini akan membantu anda membina iman sendiri dan menguatkan orang lain.
12. Apakah yang dapat membantu anda berkomunikasi dengan baik?
12 Belajar kemahiran berkomunikasi. Seorang lelaki Kristian harus belajar cara untuk berkomunikasi dengan baik. Maksudnya, dia perlu mendengar dan memahami fikiran dan perasaan orang lain. (Ams. 20:5) Dia juga harus memahami maksud di sebalik nada suara, raut wajah, dan gerak tubuh orang lain. Untuk belajar kemahiran ini, anda perlu meluangkan masa dengan orang lain. Namun, jika anda selalu berkomunikasi dengan orang menerusi alat elektronik, seperti menghantar e-mel atau SMS, anda mungkin berasa susah untuk berkomunikasi dengan orang secara bersemuka. Jadi, carilah peluang untuk berjumpa dengan orang dan bercakap dengan mereka.—2 Yoh. 12.
13. Apa lagi yang harus dipelajari saudara muda? (1 Timotius 5:8) (Lihat juga gambar.)
13 Belajar untuk menyara diri. Seorang lelaki Kristian yang matang harus mampu menyara diri dan keluarganya. (Baca 1 Timotius 5:8.) Di sesetengah negara, saudara muda mungkin belajar kemahiran bekerja daripada bapa atau saudara-mara mereka. Saudara muda di negara lain pula mungkin belajar kemahiran sebegini di sekolah. Tidak kira apa keadaan di negara anda, cubalah belajar kemahiran yang akan membolehkan anda mencari kerja. (Kis. 18:2, 3; 20:34; Ef. 4:28) Selain itu, berusahalah agar dikenali sebagai seorang yang rajin dan yang sentiasa menyiapkan kerjanya. Dengan itu, anda akan lebih senang mencari kerja dan disukai majikan anda. Sifat-sifat dan kemahiran yang telah kita bincang tadi akan membantu lelaki Kristian menjalankan tanggungjawab lain pada masa depan. Mari kita lihat beberapa tanggungjawab itu.
MEMPERSIAPKAN DIRI UNTUK MASA DEPAN
14. Bagaimanakah saudara muda dapat mempersiapkan diri untuk berkhidmat sepenuh masa?
14 Menyertai khidmat sepenuh masa. Banyak saudara yang matang mula menceburi khidmat sepenuh masa sejak muda. Dengan merintis, seorang saudara muda dapat belajar cara untuk bekerjasama dengan orang daripada pelbagai latar belakang, dan cara untuk menguruskan wang dengan bijak. (Flp. 4:11-13) Banyak orang menjadi perintis sokongan terlebih dahulu sebagai persiapan untuk menyertai khidmat sepenuh masa. Selepas menjadi perintis sokongan untuk beberapa waktu, mereka menjadi perintis biasa. Selepas menjadi perintis biasa, mereka mungkin berpeluang untuk menjalankan khidmat sepenuh masa dalam cara yang lain, seperti menjadi pembantu pembinaan atau ahli Bethel.
15-16. Bagaimanakah saudara muda dapat memenuhi syarat untuk menjadi pembantu sidang atau penatua?
15 Menjadi pembantu sidang atau penatua. Semua lelaki Kristian harus bermatlamat untuk berkhidmat sebagai penatua. Bible menyatakan bahawa lelaki yang berusaha memenuhi syarat sebagai penatua “menginginkan pekerjaan yang baik.” (1 Tim. 3:1) Sebelum dapat menjadi penatua, seorang saudara mesti menjadi pembantu sidang terlebih dahulu. Pembantu sidang menolong para penatua dalam pelbagai cara. Tidak kira seseorang itu pembantu sidang atau penatua, dia harus menginjil dengan bersemangat dan berkhidmat kepada saudara saudari dengan rendah hati. Saudara muda yang berusia antara 17 hingga 19 tahun pun boleh memenuhi syarat sebagai pembantu sidang, dan pembantu sidang yang berusia awal 20-an boleh memenuhi syarat sebagai penatua.
16 Apakah yang dapat anda lakukan supaya layak menjadi pembantu sidang atau penatua? Syarat-syaratnya terkandung dalam Bible dan mampu dipenuhi oleh semua saudara yang mengasihi Yehuwa, keluarga, dan sidang. (1 Tim. 3:1-13; Tit. 1:6-9; 1 Ptr. 5:2, 3) Maka, berusahalah untuk memahami setiap syarat itu dan berdoalah supaya Yehuwa membantu anda memenuhinya. c
17. Bagaimanakah saudara muda dapat mempersiapkan diri untuk menjadi suami dan ketua keluarga? (Lihat juga gambar.)
17 Menjadi suami dan ketua keluarga. Yesus pernah berkata bahawa sesetengah lelaki Kristian yang matang akan memilih untuk tetap membujang. (Mat. 19:12) Namun, jika anda memilih untuk berkahwin, anda perlu bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai suami dan ketua keluarga. (1 Kor. 11:3) Yehuwa mahu suami untuk mengasihi isteri dan menjaga keperluan fizikal, emosi, dan rohaninya. (Ef. 5:28, 29) Sifat-sifat dan kemahiran yang dibincangkan dalam rencana ini, seperti memupuk daya pemikiran, melayan wanita dengan hormat, dan menjadi orang yang boleh diharapkan, akan membantu anda bersiap sedia untuk menjadi suami dan ketua keluarga yang baik.
18. Bagaimanakah saudara muda dapat bersiap sedia untuk menjadi bapa?
18 Menjadi seorang bapa. Selepas berkahwin, anda mungkin menjadi seorang bapa. Bagaimanakah teladan Yehuwa dapat membantu anda menjadi bapa yang baik? (Ef. 6:4) Fikirkan satu contoh. Yehuwa memberitahu Anak-Nya Yesus secara terbuka bahawa Dia mengasihinya dan berkenan kepadanya. (Mat. 3:17) Jika anda menjadi seorang bapa, pastikanlah bahawa anda sering memberitahu anak-anak anda bahawa anda mengasihi mereka. Janganlah teragak-agak untuk memuji mereka apabila mereka melakukan sesuatu yang baik. Bapa yang meniru teladan Yehuwa akan membantu anak mereka menjadi lelaki dan wanita Kristian yang matang. Bagaimanakah anda dapat bersiap sedia sekarang untuk menjadi bapa dan suami yang baik? Jagalah dan sayangilah ahli keluarga dan ahli sidang. Selain itu, belajarlah untuk meluahkan kasih dan penghargaan anda terhadap mereka. (Yoh. 15:9) Dengan berbuat demikian, anda akan menjadi berharga bagi Yehuwa, keluarga, dan sidang, bahkan sebelum berkahwin.
APAKAH YANG DAPAT ANDA LAKUKAN SEKARANG?
19-20. Apakah yang dapat membantu saudara muda untuk menjadi lelaki Kristian yang matang? (Lihat gambar pada muka depan majalah.)
19 Saudara-saudara muda, anda tidak akan menjadi matang secara automatik. Sebaliknya, anda perlu meniru teladan yang baik, memupuk daya pemikiran, menjadi orang yang boleh diharapkan, belajar kemahiran yang berguna, dan bersiap sedia untuk memikul tanggungjawab lain pada masa depan.
20 Anda mungkin rasa tanggungjawab-tanggungjawab yang menantikan anda itu terlalu berat. Namun, anda dapat melakukannya. Ingatlah bahawa Yehuwa sentiasa bersedia membantu anda. (Yes. 41:10, 13) Saudara saudari dalam sidang juga akan membantu anda. Apabila anda mencapai potensi anda dan menjadi orang Kristian yang matang, anda akan menikmati hidup yang bahagia dan bermakna. Saudara-saudara muda, kami mengasihi anda! Semoga Yehuwa memberkati usaha anda sekarang untuk menjadi lelaki Kristian yang matang.—Ams. 22:4.
LAGU 65 Maralah ke Depan!
a Saudara yang matang diperlukan dalam sidang Kristian. Dalam rencana ini, kita akan membincangkan bagaimana saudara muda dapat menjadi lelaki Kristian yang matang.
b Lihat “Maksud Ungkapan” dalam rencana sebelumnya.
c Lihat buku Diorganisasikan untuk Melakukan Kehendak Yehuwa, bab 5-6.