Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 52

Para Saudari Muda​—Jadilah Wanita Kristian yang Matang

Para Saudari Muda​—Jadilah Wanita Kristian yang Matang

“Dalam cara yang sama, wanita haruslah . . . sederhana dalam segala hal, dan setia dalam segala sesuatu.”—1 TIM. 3:11.

LAGU 133 Sembah Yehuwa semasa Muda

PENGENALAN a

1. Apakah yang harus kita lakukan untuk menjadi matang secara rohani?

 TUMBESARAN kanak-kanak berlaku dengan sangat cepat. Mereka seolah-olah membesar secara automatik. Namun, jika seorang Kristian ingin menjadi matang secara rohani, hal itu tidak berlaku secara automatik. b (1 Kor. 13:11; Ibr. 6:1) Untuk menjadi matang secara rohani, kita harus berusaha keras untuk mempunyai hubungan yang rapat dengan Yehuwa. Kita juga memerlukan kuasa suci-Nya untuk memupuk sifat-sifat yang baik, mempelajari kemahiran yang berguna, dan mempersiapkan diri untuk memikul tanggungjawab pada masa depan.—Ams. 1:5.

2. Apakah yang kita belajar daripada Kejadian 1:​27, dan apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

2 Yehuwa menciptakan lelaki dan perempuan. (Baca Kejadian 1:27.) Secara fizikal, lelaki dan perempuan memang berbeza. Namun, mereka juga berbeza dalam cara yang lain. Sebagai contoh, Yehuwa menciptakan lelaki dan perempuan untuk memainkan peranan yang berlainan. Maka mereka memerlukan sifat-sifat dan kemahiran tertentu untuk melaksanakan tugas mereka. (Kej. 2:18) Dalam rencana ini, kita akan membincangkan apa yang dapat dilakukan oleh saudari muda untuk menjadi wanita Kristian yang matang. Rencana seterusnya akan membincangkan apa yang dapat dilakukan oleh saudara muda.

PUPUKLAH SIFAT-SIFAT YANG BAIK

Jika anda meniru sifat-sifat wanita yang setia seperti Ribka, Ester, dan Abigail, anda akan menjadi seorang saudari Kristian yang matang (Lihat perenggan 3-4)

3-4. Di manakah saudari muda dapat mencari teladan baik untuk ditiru? (Lihat juga gambar.)

3 Bible mempunyai banyak contoh wanita setia yang mengasihi Yehuwa dan menyembah-Nya. (Lihat rencana “Apakah yang Boleh Kita Belajar daripada Kisah Para Wanita dalam Bible?” di jw.org.) Seperti yang dinyatakan dalam ayat tema kita, mereka “sederhana dalam segala hal” dan “setia dalam segala sesuatu.” Selain itu, para saudari dapat mencari teladan saudari yang matang dalam sidang sendiri.

4 Saudari-saudari muda, carilah beberapa orang saudari yang matang dan tirulah teladan mereka. Perhatikanlah sifat-sifat baik mereka dan cubalah untuk menirunya. Dalam perenggan-perenggan berikutnya, kita akan membincangkan tiga sifat penting yang perlu dimiliki oleh saudari yang matang.

5. Mengapakah kerendahan hati penting bagi seorang saudari Kristian yang matang?

5 Kerendahan hati penting bagi seorang saudari Kristian yang matang. Jika seorang saudari bersikap rendah hati, dia akan menikmati hubungan yang baik dengan Yehuwa dan orang lain. (Yak. 4:6) Contohnya, seorang saudari yang mengasihi Yehuwa akan menyokong aturan kekepalaan yang diasaskan oleh-Nya. (1 Kor. 11:3) Aturan itu boleh diterapkan dalam sidang dan dalam lingkungan keluarga. c

6. Apakah yang dapat saudari muda belajar daripada kerendahan hati Ribka?

6 Perhatikan contoh Ribka. Dia bijak, berani membuat keputusan, dan tahu bila dan bagaimana dia harus bertindak. (Kej. 24:58; 27:​5-17) Namun, dia menunjukkan hormat dan tunduk kepada aturan Yehuwa. (Kej. 24:​17, 18, 65) Jika anda meniru kerendahan hati Ribka dalam cara sebegini, anda akan membawa pengaruh yang baik kepada keluarga dan sidang anda.

7. Bagaimanakah saudari muda dapat menunjukkan kesederhanaan seperti Ester?

7 Kesederhanaan ialah satu lagi sifat yang diperlukan oleh semua orang Kristian yang matang. Orang yang bersikap sederhana akan sentiasa rendah hati dan menyedari keterbatasan diri. (Ams. 11:2) Ester ialah seorang yang bersikap sederhana. Walaupun dia menjadi ratu, dia tidak sombong. Sebaliknya, dia sudi mendengar dan mengikut nasihat Mordekhai. (Est. 2:​10, 20, 22) Anda dapat menunjukkan kesederhanaan seperti Ester jika anda sudi meminta dan mengikut nasihat daripada orang yang matang.—Tit. 2:​3-5.

8. Menurut 1 Timotius 2:​9, 10, bagaimanakah kesederhanaan dapat membantu saudari untuk memilih pakaian dan dandanan dengan bijak?

8 Ester menunjukkan kesederhanaan dalam satu lagi cara. Dia “seorang gadis yang cantik dan bertubuh molek,” tetapi dia tidak cuba menarik perhatian kepada dirinya. (Est. 2:​7, 15) Bagaimanakah saudari Kristian dapat meniru teladan Ester? Perhatikan apa yang dikatakan di 1 Timotius 2:​9, 10. (Baca.) Rasul Paulus menasihati saudari Kristian untuk menghias diri dengan pakaian yang sederhana dan dengan fikiran yang sihat. Perkataan Yunani yang digunakan Paulus di sini bermaksud seorang wanita Kristian harus memilih pakaian yang sopan dan mengambil kira perasaan atau pandangan orang lain. Saudari-saudari yang berpakaian sederhana, anda sesungguhnya orang Kristian yang matang dan kami ingin memuji anda!

9. Apakah yang dapat kita pelajari daripada contoh Abigail?

9 Daya penilaian ialah satu lagi sifat yang diperlukan oleh semua saudari Kristian yang matang. Sifat ini membolehkan seseorang untuk membezakan apa yang betul daripada apa yang salah, dan memilih untuk melakukan apa yang benar. Fikirkan contoh Abigail. Suaminya telah membuat keputusan bodoh yang membahayakan seluruh rumah tangganya. Jadi, Abigail menunjukkan daya penilaian dan segera bertindak. Hasilnya, ramai orang diselamatkan. (1 Sam. 25:​14-23, 32-35) Daya penilaian juga membantu kita mengetahui bila kita harus bersuara atau berdiam diri. Selain itu, sifat ini membantu kita tetap seimbang. Contohnya, kita akan mengambil berat tentang orang lain, tetapi tidak sehingga menjaga tepi kain mereka.—1 Tes. 4:11.

BELAJAR KEMAHIRAN YANG BERGUNA

Apakah manfaat yang anda raih kerana menguasai kemahiran membaca dan menulis? (Lihat perenggan 11)

10-11. Jika anda belajar kemahiran membaca dan menulis, apakah manfaatnya bagi diri anda dan orang lain? (Lihat juga gambar.)

10 Wanita Kristian perlu belajar kemahiran yang berguna. Sesetengah kemahiran yang mereka belajar semasa kecil akan membawa manfaat seumur hidup. Perhatikan beberapa contoh.

11 Belajar kemahiran membaca dan menulis. Dalam sesetengah budaya, kemahiran untuk membaca dan menulis dianggap tidak penting bagi wanita. Namun, kemahiran ini sangat penting bagi semua orang Kristian. d (1 Tim. 4:13) Mengapa? Kemahiran ini akan membolehkan anda untuk mencari nafkah. Anda juga akan dapat mengkaji Bible dengan lebih baik dan menjadi guru Bible yang lebih mahir. Yang terpenting, anda akan semakin menghampiri Yehuwa kerana dapat membaca dan merenungkan Firman-Nya. (Yos. 1:8; 1 Tim. 4:15) Maka, janganlah membiarkan apa-apa menghalang anda daripada mempelajari kemahiran ini.

12. Bagaimanakah Amsal 31:26 membantu anda meningkatkan kemahiran berkomunikasi?

12 Belajar kemahiran berkomunikasi. Kemahiran ini sangat penting bagi orang Kristian. Yakobus menjelaskan cara untuk memupuk kemahiran ini. Dia berkata, “Setiap orang mesti cepat mendengar, tetapi lambat berkata-kata.” (Yak. 1:19) Apabila anda mendengar dengan teliti semasa orang lain sedang bercakap, anda menunjukkan empati terhadap mereka. (1 Ptr. 3:8) Jika anda kurang pasti apa yang dimaksudkan oleh seseorang, tanyalah soalan untuk mendapat kepastian. Kemudian, fikirkan sejenak sebelum bercakap. (Ams. 15:​28, nota kaki.) Tanyalah diri, “Adakah apa yang hendak saya katakan itu benar dan menggalakkan? Adakah kata-kata saya akan mencerminkan sikap sopan dan kebaikan hati?” Perhatikanlah bagaimana saudari-saudari yang matang bercakap dan mendengar, dan cubalah belajar daripada mereka. (Baca Amsal 31:26.) Semakin baik kemahiran berkomunikasi anda, semakin baik hubungan anda dengan orang lain.

Seorang wanita yang pandai mengurus rumah tangga sangat berharga bagi keluarga dan sidang (Lihat perenggan 13)

13. Bagaimanakah anda dapat belajar untuk mengurus rumah tangga? (Lihat juga gambar.)

13 Belajar untuk mengurus rumah tangga. Di banyak negara, sebahagian besar tanggungjawab ini terletak di bahu wanita. Ibu anda atau saudari yang berpengalaman mungkin dapat mengajar anda kemahiran ini. Seorang saudari yang bernama Cindy berkata, “Salah satu hadiah yang paling bernilai yang ibu saya berikan ialah mengajar saya bahawa kerja keras dapat membawa sukacita. Oleh sebab saya belajar memasak, membersih, menjahit, dan membeli-belah, hidup saya lebih senang dan saya ada lebih banyak peluang untuk berkhidmat kepada Yehuwa. Ibu juga mengajar saya untuk bersikap murah hati. Kerana itu, saya dapat mengenali banyak saudara saudari yang menjadi teladan baik bagi saya.” (Ams. 31:​15, 21, 22) Seorang saudari yang rajin, murah hati, dan pandai mengurus rumah tangga sememangnya berkat bagi keluarga dan sidang.—Ams. 31:​13, 17, 27; Kis. 16:15.

14. Apakah yang anda pelajari daripada pengalaman Crystal? Apakah sepatutnya tumpuan anda?

14 Belajar untuk berdikari. Itulah yang harus dilakukan oleh semua orang Kristian yang matang. (2 Tes. 3:​7, 8) Seorang saudari yang bernama Crystal berkata, “Semasa di sekolah menengah, ibu bapa saya menggalakkan saya untuk mengikut kelas yang mengajarkan kemahiran yang praktikal. Bapa saya mencadangkan agar saya mengikut kelas akaun, dan nasihatnya memang bijak.” Selain belajar kemahiran yang berguna untuk mencari nafkah, belajarlah cara untuk merancang perbelanjaan dan berbelanja mengikut kemampuan. (Ams. 31:​16, 18) Jika anda mengelakkan hutang yang tidak perlu dan berpuas hati dengan kehidupan yang sederhana, anda dapat terus bertumpu kepada matlamat rohani.—1 Tim. 6:8.

MEMPERSIAPKAN DIRI UNTUK MASA DEPAN

15-16. Bagaimanakah saudari bujang dapat membantu orang lain? (Markus 10:​29, 30)

15 Apabila anda memupuk sifat yang baik dan mempelajari kemahiran yang berguna, anda sedang mempersiapkan diri untuk memikul tanggungjawab lain pada masa depan. Mari kita lihat beberapa perkara yang dapat anda lakukan.

16 Anda dapat tetap membujang buat suatu jangka masa. Selaras dengan kata-kata Yesus, sesetengah saudari memilih untuk membujang, biarpun hal itu tidak biasa dilakukan dalam masyarakat mereka. (Mat. 19:​10-12) Yang lain pula membujang atas sebab-sebab lain. Yakinlah bahawa Yehuwa dan Yesus tidak memandang rendah pada orang Kristian bujang. Di seluas dunia, saudari bujang merupakan teladan baik dalam sidang. Oleh sebab mereka mengasihi dan prihatin terhadap orang lain, mereka menjadi seperti adik perempuan, kakak, atau ibu rohani kepada orang lain.—Baca Markus 10:​29, 30; 1 Tim. 5:2.

17. Bagaimanakah saudari muda dapat bersiap sedia sekarang untuk menyertai khidmat sepenuh masa?

17 Anda dapat menceburi khidmat sepenuh masa. Para saudari Kristian memberikan sumbangan yang besar kepada kerja penyebaran. (Mzm. 68:11) Dapatkah anda merancang sekarang supaya dapat menyertai khidmat sepenuh masa? Anda boleh menjadi perintis, pekerja sukarela pembinaan, atau ahli Bethel. Berdoalah tentang matlamat anda. Selain itu, bercakaplah dengan orang lain yang pernah mencapai matlamat sebegini, dan ketahuilah apa yang perlu anda lakukan untuk memenuhi syaratnya. Kemudian, buatlah rancangan yang realistik untuk mencapai matlamat anda. Dengan menceburi khidmat sepenuh masa, anda akan berpeluang untuk melakukan banyak kerja yang menarik demi Yehuwa.

Jika anda ingin berkahwin, pilihlah pasangan hidup anda dengan bijak (Lihat perenggan 18)

18. Mengapakah saudari harus memilih suami dengan cermat? (Lihat juga gambar.)

18 Anda dapat memilih untuk berkahwin. Sifat-sifat dan kemahiran yang dibincangkan dalam rencana ini dapat membantu anda menjadi seorang isteri yang cekap. Sudah tentu, jika anda ingin berkahwin, anda harus berhati-hati semasa memilih pasangan hidup kerana berkahwin adalah antara keputusan yang terpenting dalam hidup anda. Ingatlah, selepas mengahwini seseorang, anda perlu tunduk kepadanya. (Rm. 7:2; Ef. 5:​23, 33) Jadi tanyalah diri, “Adakah saudara itu orang Kristian yang matang? Adakah dia mengutamakan hal-hal rohani dalam hidupnya? Adakah dia mampu membuat keputusan yang bijak? Adakah dia sudi mengakui kesilapannya? Adakah dia menghormati wanita? Dapatkah dia menjaga saya dari segi rohani, emosi, dan kebendaan? Adakah dia seorang yang boleh diharapkan? Contohnya, apakah tugas yang dipikulnya dalam sidang, dan adakah dia menjalankan tugasnya dengan baik?” (Luk. 16:10; 1 Tim. 5:8) Jangan lupa, jika anda menginginkan pasangan hidup yang baik, anda sendiri perlu belajar untuk menjadi isteri yang baik.

19. Mengapakah tanggungjawab isteri untuk menolong suaminya merupakan suatu penghormatan?

19 Bible memberitahu kita bahawa seorang isteri yang baik ialah “teman yang sesuai untuk menolong [suaminya].” (Kej. 2:18) Adakah hal ini merendahkan martabat wanita? Tidak. Sebenarnya, ini suatu penghormatan. Mengapa? Kerana dalam Bible, Yehuwa juga sering dipanggil ‘penolong kita.’ (Mzm. 54:4; Ibr. 13:6) Seorang isteri ialah penolong yang baik apabila dia menyokong suaminya. Contohnya, apabila suaminya membuat keputusan dalam keluarga, dia akan bekerjasama dengan suaminya agar keputusan suaminya berjaya. Oleh sebab dia mengasihi Yehuwa, dia akan berusaha untuk menjaga nama baik suaminya. (Ams. 31:​11, 12; 1 Tim. 3:11) Anda boleh bersiap sedia untuk menjadi isteri yang baik mulai sekarang dengan membantu orang lain di rumah dan di sidang.

20. Apakah sumbangan ibu kepada keluarga?

20 Anda boleh menjadi seorang ibu. Selepas berkahwin, anda dan suami anda mungkin mendapat anak. (Mzm. 127:3) Jadi, anda pun perlu membuat persiapan untuk membesarkan anak. Sifat-sifat dan kemahiran yang dibincangkan dalam rencana ini dapat membantu anda menjadi isteri dan ibu yang baik. Kasih anda, kebaikan hati anda, dan kesabaran anda akan menyumbang kepada suasana keluarga yang bahagia supaya anak-anak anda berasa selamat dan dikasihi.—Ams. 24:3.

Banyak saudari muda menerapkan apa yang mereka pelajari daripada Bible dan menjadi orang Kristian yang matang (Lihat perenggan 21)

21. Apakah perasaan kita terhadap para saudari, dan mengapa? (Lihat gambar pada muka depan majalah.)

21 Para saudari muda, kami mengasihi anda kerana segala yang anda lakukan demi Yehuwa dan umat-Nya. (Ibr. 6:10) Anda berusaha keras untuk memupuk sifat-sifat murni, mempelajari kemahiran yang membawa manfaat bagi diri anda dan orang lain, dan bersiap sedia untuk tanggungjawab lain pada masa depan. Anda sememangnya berkat kepada organisasi Yehuwa!

LAGU 137 Saudari Kristian, Wanita Setia

a Saudari-saudari muda, anda sangat berharga kepada kami semua. Anda dapat menjadi matang secara rohani dengan memupuk sifat-sifat yang baik, mempelajari kemahiran yang berguna, dan mempersiapkan diri untuk memikul tanggungjawab pada masa depan. Hasilnya, anda akan menikmati berkat yang melimpah dalam khidmat kepada Yehuwa.

b MAKSUD UNGKAPAN: Seorang Kristian yang matang dibimbing oleh kuasa suci Tuhan dan bukannya kebijaksanaan dunia. Dia meniru teladan Yesus, bekerja keras untuk mempunyai hubungan yang akrab dengan Yehuwa, suka menunjukkan kasih, dan tidak mementingkan diri.

d Untuk perbincangan tentang pentingnya kemahiran membaca, lihat rencana “Mengapakah Membaca Penting untuk Anak—Bahagian 1: Baca atau Menonton?” di jw.org.