Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 51

LAGU 3 Engkaulah Sumber Kekuatan, Harapan, dan Keyakinan

Air Matamu Berharga bagi Yehuwa

Air Matamu Berharga bagi Yehuwa

“Aku tahu bahawa segala penderitaanku tercatat dalam kitab-Mu. Ya Tuhan, tolonglah simpan semua air mataku di dalam kirbat-Mu.”MZM. 56:8.

FOKUS

Mengingatkan kita bahawa Yehuwa benar-benar memahami keperitan kita dan pasti melegakan kita.

1-2. Apakah yang mungkin menyebabkan kita menitiskan air mata?

 KITA semua pernah menitiskan air mata. Ada kalanya, kita menitiskan air mata kerana terharu atau terlalu gembira, contohnya semasa anak kita lahir, semasa teringat kenangan yang manis, atau semasa bertemu dengan sahabat baik yang sudah lama kita tidak jumpa.

2 Namun, sering kali kita menitiskan air mata kerana sedih. Contohnya, kita menangis semasa orang lain mengecewakan kita, semasa menderita akibat penyakit, atau semasa orang tersayang kita meninggal. Pada masa sedemikian, kita mungkin berasa seperti Nabi Yeremia semasa Yerusalem ditawan oleh orang Babilon. Yeremia berkata, “Air mataku mengalir seperti sungai . . . Air mataku terus mengalir tanpa henti.”​—Rat. 3:​48, 49.

3. Apakah perasaan Yehuwa semasa melihat hamba-Nya menderita? (Yesaya 63:9)

3 Yehuwa tahu berapa banyak air mata yang telah kita titiskan sepanjang hayat kita. Bible meyakinkan kita bahawa Yehuwa tahu penderitaan kita dan mendengar seruan kita untuk meminta bantuan. (Mzm. 34:15) Tetapi Yehuwa tidak sekadar melihat dan mendengar kita. Seperti ibu bapa yang penyayang, Yehuwa berasa kasihan semasa melihat kita menangis dan Dia tidak sabar-sabar mahu membantu kita.​—Baca Yesaya 63:9.

4. Siapakah watak Bible yang akan kita bincangkan dalam rencana ini? Apakah yang akan kita belajar tentang Yehuwa daripada contoh mereka?

4 Melalui Firman-Nya, Yehuwa memberitahu kita perasaan-Nya semasa hamba-Nya menangis dan bagaimana Dia membantu mereka. Dalam rencana ini, kita akan membincangkan contoh Hana, Daud, dan Raja Hizkia. Apakah yang membuat mereka menangis? Bagaimanakah Yehuwa membantu mereka? Bagaimanakah contoh mereka dapat melegakan hati kita semasa kita menangis kerana sedih, dikhianati, atau berasa tiada harapan?

MENANGIS KERANA SEDIH

5. Apakah yang membuat Hana menangis?

5 Hana menghadapi beberapa masalah yang menyebabkannya menangis. Suaminya mempunyai dua orang isteri, dan madunya Penina membencinya. Lebih teruk lagi, Hana mandul, sedangkan Penina mempunyai beberapa orang anak. (1 Sam. 1:​1, 2) Penina asyik mencemuh Hana kerana Hana mandul. Apakah kesannya kepada Hana? Dia begitu sedih sehingga “menangis dan tidak mahu makan.”​—1 Sam. 1:​6, 7, 10.

6. Apakah yang dilakukan oleh Hana untuk mendapatkan kelegaan?

6 Apakah yang dilakukan oleh Hana untuk mendapatkan kelegaan? Satu hal yang dilakukannya ialah dia pergi ke khemah suci untuk menyembah Yehuwa. Di sana, barangkali dekat pintu masuk ke halaman khemah suci, dia “mula berdoa kepada Yehuwa sambil menangis teresak-esak.” Dia merayu kepada Yehuwa, ‘Perhatikanlah penderitaan hamba-Mu ini, dan ingatlah akan aku.’ (1 Sam. 1:10b, 11) Hana mencurahkan isi hatinya kepada Yehuwa melalui doa. Semasa Yehuwa melihat Hana menangis teresak-esak, hati-Nya pasti tersentuh!

7. Apakah perasaan Hana selepas dia mencurahkan isi hatinya kepada Yehuwa?

7 Apakah perasaan Hana selepas dia berdoa dan selepas Imam Agung Eli meyakinkannya bahawa Yehuwa pasti menjawab doanya? Bible memberitahu kita, “Hana beredar dari situ, lalu dia makan dan mukanya tidak sedih lagi.” (1 Sam. 1:​17, 18) Walaupun situasi Hana masih belum berubah, Hana berasa dilegakan. Dia yakin bahawa Yehuwa memahami perasaannya dan akan membantunya. Yehuwa telah nampak penderitaannya, mendengar tangisannya, dan kemudian membolehkannya melahirkan anak.​—1 Sam. 1:​19, 20; 2:21.

8-9. Mengapakah penting bagi kita semua untuk menghadiri perjumpaan? (Ibrani 10:​24, 25) (Lihat juga gambar.)

8 Pengajaran bagi kita. Adakah anda menghadapi situasi susah yang menyebabkan anda menangis? Barangkali anda sedang bersedih kerana ahli keluarga atau sahabat rapat anda baru sahaja meninggal. Pada waktu sebegini, kita memang memerlukan masa untuk bersendirian. Namun, sepertimana hati Hana dilegakan semasa dia pergi ke khemah suci, hati anda akan dilegakan jika anda menghadiri perjumpaan biarpun anda rasa penat dan sedih. (Baca Ibrani 10:​24, 25.) Di perjumpaan, Yehuwa dapat menggunakan ayat-ayat Bible yang melegakan untuk membantu anda menggantikan fikiran yang negatif dengan fikiran yang positif. Hasilnya, anda akan dapat mengawal emosi dengan lebih baik biarpun situasi anda tidak berubah.

9 Semasa di perjumpaan, kita juga dapat menikmati pergaulan bersama rakan seiman kita yang prihatin dan pengasih. (1 Tes. 5:​11, 14) Perhatikan pengalaman seorang perintis khas yang kehilangan isterinya dalam kematian. Dia berkata, “Ada kalanya saya sangat merindui isteri saya dan tidak dapat berhenti menangis. Namun apabila saya menghadiri perjumpaan, saya mendapat galakan yang diperlukan. Kata-kata saudara saudari dan komen mereka telah melegakan hati saya. Tidak kira betapa sedih atau risaunya saya, sebaik sahaja saya tiba di Dewan Perjumpaan, saya berasa lebih tenang.” Ya, apabila kita menghadiri perjumpaan, Yehuwa dapat menggunakan saudara saudari untuk membantu kita.

Rakan seiman kita dapat melegakan hati kita (Lihat perenggan 8-9)


10. Bagaimanakah kita dapat meniru teladan Hana semasa kita sangat sedih?

10 Hana juga mendapat kelegaan semasa mencurahkan isi hatinya kepada Yehuwa. Seperti Hana, anda dapat ‘melemparkan segala kekhuatiran anda kepada Tuhan,’ dan berasa yakin bahawa Dia akan mendengar doa anda. (1 Ptr. 5:7) Perhatikan contoh seorang saudari yang suaminya dibunuh oleh perompak. Dia berkata, “Saya berasa seolah-olah hati saya hancur berkecai dan tidak mungkin disembuhkan lagi. Namun, saya mendapat kelegaan hati semasa berdoa kepada Yehuwa. Kadangkala, saya tidak tahu apa yang mahu dikatakan, tetapi Yehuwa memahami perasaan saya. Apabila saya lemah secara emosi, saya akan berdoa agar Yehuwa memberi saya kedamaian. Tidak lama selepas itu, saya berasa lebih tenang dan dapat bertabah.” Semasa anda patah hati dan menangis lalu berdoa kepada Yehuwa, Yehuwa memahami kesakitan anda dan pasti membantu anda. Biarpun masalah anda tidak hilang, Yehuwa dapat menenangkan hati anda. (Mzm. 94:19; Flp. 4:​6, 7) Dia juga pasti memberkati ketabahan dan kesetiaan anda.​—Ibr. 11:6.

MENANGIS KERANA DIKHIANATI

11. Apakah perasaan Daud semasa orang lain mengkhianatinya?

11 Sepanjang hidup Daud, dia pernah menghadapi beberapa situasi yang mencabar sehingga membuatnya menangis. Dia dibenci ramai orang dan bahkan dikhianati oleh kawan baik dan ahli keluarganya. (1 Sam. 19:​10, 11; 2 Sam. 15:​10-14, 30) Pernah sekali, dia menulis, “Aku mengeluh sehingga menjadi letih lesu; sepanjang malam katilku dibasahi dengan air mataku; tempat tidurku dibasahi dengan tangisanku.” Mengapakah Daud berasa begitu? Dia berkata, “Disebabkan semua orang yang menindas aku.” (Mzm. 6:​6, 7) Layanan buruk daripada orang lain membuat Daud begitu sakit hati sehingga menangis.

12. Apakah yang dinyatakan oleh Daud tentang Yehuwa di Mazmur 56:8?

12 Biarpun Daud menghadapi banyak masalah, dia yakin bahawa Yehuwa mengasihinya. Dia menulis, “Yehuwa akan mendengarkan tangisanku.” (Mzm. 6:8) Daud juga menulis kata-kata yang terdapat di Mazmur 56:8. (Baca.) Daud berkata bahawa Yehuwa seolah-olah mengumpulkan air matanya dalam sebuah botol atau mencatatkannya dalam sebuah buku. Kata-kata Daud menunjukkan betapa prihatinnya Yehuwa. Ya, dia yakin bahawa Yehuwa bukan sahaja nampak kesakitannya, tetapi juga ingat akan penderitaannya dan memahami perasaannya.

13. Apakah yang harus kita ingat semasa orang lain mengecewakan kita? (Lihat juga gambar.)

13 Pengajaran bagi kita. Adakah anda patah hati kerana orang yang anda percayai mengecewakan anda atau mengkhianati anda? Anda mungkin sedih kerana pasangan anda berlaku curang, orang yang ingin anda kahwini meninggalkan anda, atau orang yang anda kasihi meninggalkan Yehuwa. Seorang saudara yang isterinya berzina lalu meninggalkannya, berkata, “Saya sangat terkejut dan tidak percaya apa yang berlaku. Saya rasa tidak berguna, sedih, dan marah.” Jika anda menghadapi hal-hal sebegini, yakinlah bahawa Yehuwa tidak sekali-kali akan mengabaikan anda. Saudara itu berkata, “Saya belajar bahawa manusia tidak selalunya setia, tetapi saya boleh bergantung pada Yehuwa kerana Dia ialah Gunung Batuku dan Dia sama sekali tidak akan meninggalkan hamba-Nya yang setia.” (Mzm. 37:28) Janganlah lupa bahawa kasih Yehuwa jauh lebih besar daripada kasih mana-mana manusia. Tidak kira betapa sakitnya hati anda kerana dikhianati, anda tetap berharga di mata Yehuwa dan Dia sangat prihatin terhadap anda. (Rm. 8:​38, 39) Ingatlah bahawa Bapa kita yang di syurga amat mengasihi anda biarpun orang lain mengecewakan anda.

Buku Mazmur meyakinkan kita bahawa Yehuwa dekat dengan orang yang remuk hati (Lihat perenggan 13)


14. Bagaimanakah kata-kata di Mazmur 34:18 melegakan hati kita?

14 Jika anda dikhianati, dapatkanlah kelegaan menerusi kata-kata Daud yang tercatat di Mazmur 34:18. (Baca.) Sebuah rujukan Bible menyatakan bahawa ungkapan “orang yang tawar hati” boleh merujuk kepada “orang yang berasa mereka tiada harapan.” Bagaimanakah Yehuwa membantu orang sebegini? Sepertimana seorang bapa yang pengasih mendukung dan melegakan anaknya yang susah hati, Yehuwa, Bapa kita yang berbelas kasihan, “dekat dengan” kita dan bersedia untuk melegakan hati kita semasa kita berasa hancur hati kerana dikhianati atau kehilangan orang tersayang. Dia juga memberi kita harapan yang cerah supaya kita dapat bertabah.​—Yes. 65:17.

MENANGIS KERANA JATUH SAKIT

15. Apakah yang membuat Raja Hizkia menangis teresak-esak?

15 Semasa berumur 39 tahun, Raja Hizkia dari Yehuda mendapat tahu bahawa dia menghidap penyakit yang teruk dan akan mati. (2 Raj. 20:1) Raja Hizkia menangis teresak-esak semasa mendengar berita itu. Dia juga berdoa dengan bersungguh-sungguh agar Yehuwa membantunya.​—2 Raj. 20:​2, 3.

16. Bagaimanakah Yehuwa membantu Hizkia?

16 Yehuwa mengasihani Hizkia lalu berkata kepadanya, “Aku telah mendengar doamu dan nampak air matamu. Aku akan menyembuhkan engkau.” Kemudian, Yehuwa menyuruh Yesaya untuk memberitahu Hizkia bahawa umurnya akan dipanjangkan. Tuhan juga berjanji untuk menyelamatkan Yerusalem daripada tentera Assyria.​—2 Raj. 20:​4-6.

17. Bagaimanakah Yehuwa menguatkan kita semasa kita sakit tenat? (Mazmur 41:3) (Lihat juga gambar.)

17 Pengajaran bagi kita. Adakah anda menghidap penyakit yang nampaknya tidak dapat disembuhkan? Mintalah bantuan Yehuwa biarpun anda perlu berdoa sambil menangis. Bible meyakinkan kita bahawa Yehuwa ialah “Bapa yang berbelas kasihan dan Tuhan yang melegakan hati kita dalam apa jua situasi.” (2 Kor. 1:​3, 4) Hari ini, Yehuwa memang tidak akan menghilangkan semua masalah kita, tetapi Dia pasti menyokong kita pada masa yang susah. (Baca Mazmur 41:3.) Contohnya, Dia memberi kita kuasa suci-Nya supaya kita mempunyai kekuatan, kebijaksanaan, dan ketenangan hati. (Ams. 18:14; Flp. 4:13) Dia juga menguatkan kita menerusi harapan Bible bahawa Dia akan melenyapkan semua penyakit pada masa depan.​—Yes. 33:24.

Yehuwa akan menjawab doa kita dengan memberi kita kekuatan, kebijaksanaan, dan ketenangan hati (Lihat perenggan 17)


18. Apakah ayat Bible yang melegakan hati anda semasa anda menghadapi situasi yang sangat mencabar? (Lihat kotak “ Ayat-Ayat Bible yang Melegakan Hati Kita.”)

18 Kata-kata Yehuwa telah melegakan hati Hizkia. Begitu juga, kata-kata Yehuwa yang tercatat dalam Bible dapat melegakan hati kita semasa kita menghadapi situasi yang mencabar. (Rm. 15:4) Semasa seorang saudari di Afrika Barat diberitahu bahawa dia menghidap penyakit kanser, dia sering menangis. Dia berkata, “Satu ayat Bible yang sangat melegakan hati saya ialah Yesaya 26:3. Biarpun kita tidak dapat mengubah situasi kita, ayat itu berjanji bahawa Yehuwa dapat membantu kita bertenang dan menghadapi apa sahaja cubaan dengan tabah.” Apakah ayat Bible yang melegakan hati anda semasa anda menghadapi situasi yang sangat mencabar?

19. Apakah masa depan yang menantikan kita?

19 Kita sedang hidup pada penghujung hari-hari terakhir. Maka tidak hairanlah jika kita menghadapi semakin banyak cabaran yang membuat kita menangis. Namun daripada contoh Hana, Daud, dan Raja Hizkia, kita belajar bahawa Yehuwa mengetahui sebabnya kita menangis, dan Dia mengasihani kita. Ingatlah, air mata anda berharga bagi Yehuwa. Jadi semasa ditimpa kesusahan, curahkanlah isi hati anda kepada Yehuwa. Janganlah sekali-kali mengasingkan diri daripada rakan seiman anda. Teruslah membaca Bible untuk mencari kelegaan. Jika kita terus bertabah, Yehuwa pasti memberkati kita. Ingatlah bahawa di dunia baharu nanti, kita tidak akan lagi menangis kerana sedih, dikhianati, atau jatuh sakit. (Why. 21:4) Kita hanya akan menangis kerana terlalu gembira.

LAGU 4 “Yehuwa, Engkaulah Gembalaku”