RENCANA PEMBELAJARAN 49
LAGU 147 Kehidupan Abadi Dijanjikan
Anda Dapat Hidup Selama-Lamanya—Bagaimana?
“Setiap orang yang melihat Anak dan beriman kepadanya diberi kehidupan kekal.”—YOH. 6:40.
FOKUS
Bagaimana kaum terurap dan biri-biri lain meraih manfaat daripada korban tebusan Yesus Kristus.
1. Apakah perasaan sesetengah orang terhadap kehidupan kekal?
RAMAI orang menjaga pemakanan dan selalu bersenam supaya dapat menjaga kesihatan. Namun mereka tahu mereka tidak dapat hidup selama-lamanya. Ada juga yang tidak mahu hidup kekal kerana berfikir hal itu bermaksud mereka akan hidup tua dan sakit buat selama-lamanya. Meskipun begitu, Yesus pernah berkata bahawa manusia dapat menikmati “kehidupan kekal,” seperti yang tercatat di Yohanes 3:16 dan 5:24.
2. Apakah yang dikatakan di Yohanes bab 6 tentang kehidupan kekal? (Yohanes 6:39, 40)
2 Pernah sekali, Yesus melakukan mukjizat untuk menyediakan ikan dan roti bagi ribuan orang. a Mukjizat itu memang hebat, tetapi apa yang dikatakan Yesus pada hari seterusnya lebih mengagumkan. Di Kapernaum, tidak jauh dari tepi Tasik Galilea, dia memberitahu orang ramai yang mengikutnya bahawa orang mati dapat dibangkitkan dan hidup selama-lamanya. (Baca Yohanes 6:39, 40.) Fikirkan maksud kata-kata Yesus: Orang yang sudah meninggal, termasuk sahabat dan orang tersayang anda, dapat hidup semula dan hidup bahagia bersama anda buat selama-lamanya! Namun, kata-kata Yesus selepas itu telah membuat banyak orang terkejut. Mari kita kaji kata-kata itu.
3. Apakah yang Yesus katakan tentang dirinya di Yohanes 6:51?
3 Orang ramai di Kapernaum mengaitkan roti yang disediakan oleh Yesus dengan “roti dari syurga,” iaitu manna yang dimakan oleh nenek moyang mereka di padang belantara. (Mzm. 105:40; Yoh. 6:31) Maka Yesus membandingkan dirinya dengan manna untuk mengajar mereka bahawa dia ialah “roti” yang lebih unggul. Dia memanggil dirinya sebagai “roti sebenar dari syurga,” “roti yang diberikan oleh Tuhan,” dan “roti yang membawa hidup sejati.” (Yoh. 6:32, 33, 35) Dia berkata bahawa walaupun manna, iaitu “roti dari syurga,” memang mukjizat daripada Tuhan, orang yang memakannya akhirnya mati juga. (Yoh. 6:49) Kemudian, Yesus memberitahu orang Yahudi, “Akulah roti yang memberikan hidup, yang turun dari syurga. Jika sesiapa makan roti ini, dia akan hidup selama-lamanya.” (Baca Yohanes 6:51.) Orang Yahudi sangat bingung ketika mendengarnya. Mereka tidak faham mengapa Yesus kata bahawa dia turun dari syurga dan bahawa dia ialah “roti” yang jauh lebih unggul daripada manna. Untuk menjawab soalan mereka, Yesus berkata, “Roti yang akan aku berikan ialah dagingku.” Apakah maksud Yesus? Sudah pasti kita mahu memahami jawapannya kerana jawapan Yesus menunjukkan cara kita dan orang kesayangan kita dapat menikmati kehidupan kekal. Mari kita lihat penjelasan Yesus.
MAKSUD KATA-KATA YESUS
4. Mengapakah sesetengah orang Yahudi terkejut semasa mendengar kata-kata Yesus?
4 Sesetengah orang Yahudi sangat terkejut semasa mendengar Yesus berkata, “Roti yang akan aku berikan ialah dagingku, supaya umat manusia menerima kehidupan.” Adakah mereka fikir Yesus akan memberi mereka dagingnya yang sebenar? (Yoh. 6:52) Kata-kata Yesus yang seterusnya pasti membuat mereka lebih terkejut: “Jika kamu tidak makan daging Anak Manusia dan minum darahnya, kamu tidak memiliki nyawa dalam diri kamu.”—Yoh. 6:53.
5. Mengapakah kita yakin Yesus tidak menyuruh orang untuk minum darahnya yang sebenar?
5 Pada zaman Nuh, Tuhan sudah melarang manusia memakan darah. (Kej. 9:3, 4) Yehuwa mengulangi larangan itu dalam Hukum Musa dan menyatakan bahawa orang yang makan darah “mesti dihukum mati.” (Im. 7:27) Yesus mengajar orang untuk mematuhi Hukum Tuhan. (Mat. 5:17-19) Jadi mustahil dia akan menjemput orang Yahudi untuk makan dagingnya atau minum darahnya yang sebenar. Sebaliknya, dia sedang menggunakan bahasa kiasan untuk mengajar mereka bagaimana mereka dapat meraih “kehidupan kekal.”—Yoh. 6:54.
6. Bagaimanakah kita tahu bahawa Yesus sedang menggunakan bahasa kiasan semasa bercakap tentang darah dan dagingnya?
6 Jelaslah, Yesus menggunakan bahasa kiasan semasa dia bercakap kepada orang ramai. Yesus melakukan hal yang sama semasa dia bercakap kepada seorang wanita Samaria. Dia berkata, “Sesiapa yang minum air yang aku berikan tidak akan dahaga lagi. Air itu akan menjadi seperti mata air dalam dirinya yang memberikan kehidupan kekal.” (Yoh. 4:7, 14) b Yesus tidak bermaksud bahawa wanita Samaria itu perlu minum air daripada perigi tertentu lalu dia akan hidup selama-lamanya. Begitu juga, kata-kata Yesus kepada orang ramai di Kapernaum tidak bermaksud mereka harus memakan daging dan meminum darahnya yang sebenar untuk mendapat kehidupan kekal.
DUA PERISTIWA YANG BERBEZA
7. Apakah yang diajarkan oleh sesetengah pemimpin agama tentang kata-kata Yesus di Yohanes 6:53?
7 Sesetengah pemimpin agama mengajar bahawa setiap orang yang menghadiri Perjamuan Malam Tuan mesti makan roti dan minum wain. Mereka memberikan alasan bahawa kata-kata Yesus di Yohanes 6:53 dan Matius 26:26-28 merujuk kepada hal yang sama. Adakah pandangan itu betul? Adalah penting untuk mengetahui jawapannya kerana setiap tahun, jutaan orang menghadiri Perjamuan Malam Tuan bersama kita. Kita akan mengkaji bukti yang menunjukkan bahawa kata-kata Yesus di Yohanes 6:53 dan semasa di Perjamuan Malam Tuan sebenarnya merujuk kepada dua hal yang berbeza.
8. Apakah perbezaan antara dua peristiwa ini? (Lihat juga gambar.)
8 Perhatikan dua perbezaan antara dua peristiwa ini. Pertama, masa dan tempatnya. Yesus mengucapkan kata-kata di Yohanes 6:53-56 pada tahun 32 Masihi di Kapernaum, Galilea. Perjamuan Malam Tuan pula diasaskan kira-kira setahun kemudian di Yerusalem. Kedua, kata-kata Yesus ditujukan kepada siapa? Kebanyakan pendengar Yesus di Galilea lebih mementingkan keperluan fizikal daripada keperluan rohani. (Yoh. 6:26) Semasa Yesus mengatakan sesuatu yang susah difahami, mereka segera meninggalkannya. Sesetengah muridnya pun tidak lagi mengikutnya. (Yoh. 6:14, 36, 42, 60, 64, 66) Bagaimana pula dengan pendengar Yesus semasa Perjamuan Malam Tuan pada tahun 33 Masihi? Mereka ialah 11 orang rasul Yesus yang setia. Tidak seperti orang Yahudi di Galilea, mereka yakin bahawa Yesus ialah Anak Tuhan yang turun dari syurga, dan mereka tetap mengikut Yesus meskipun mereka tidak memahami semua hal yang diajarkannya. (Mat. 16:16) Yesus memberitahu mereka, “Semasa aku menghadapi cubaan, kamu sentiasa bersama-samaku.” (Luk. 22:28) Dua perbezaan ini pun sudah cukup untuk membuktikan bahawa kata-kata Yesus di Yohanes 6:53 dan semasa Perjamuan Malam Tuan merujuk kepada hal yang berbeza. Perhatikan bukti lain.
APAKAH ERTI KATA-KATA YESUS BAGI ANDA?
9. Kata-kata Yesus yang diucapkan semasa Perjamuan Malam Tuan ditujukan kepada siapa?
9 Semasa Perjamuan Malam Tuan, Yesus mengedarkan roti yang tidak beragi kepada para rasulnya dan memberitahu mereka bahawa roti itu melambangkan tubuhnya. Kemudian dia mengedarkan wain dan berkata bahawa wain itu melambangkan “darah perjanjian.” (Mrk. 14:22-25; Luk. 22:20; 1 Kor. 11:24) Perjanjian baharu hanya dibuat dengan “keturunan Israel [rohani]” yang akan mewarisi “Kerajaan Tuhan,” dan bukannya dengan semua manusia. (Ibr. 8:6, 10; 9:15) Pada masa itu, para rasul tidak tahu bahawa mereka akan diurapi dengan kuasa suci Yehuwa, menjadi sebahagian daripada perjanjian baharu, dan kemudiannya memerintah bersama Yesus di syurga.—Yoh. 14:2, 3.
10. Apakah perbezaan antara kata-kata Yesus di Galilea dengan kata-katanya semasa Perjamuan Malam Tuan? (Lihat juga gambar.)
10 Kata-kata Yesus semasa Perjamuan Malam Tuan ditujukan kepada para rasul yang ada bersamanya. Merekalah yang pertama-tama menganggotai “kawanan kecil.” (Luk. 12:32) Semua orang yang tergolong dalam “kawanan kecil” ini akan makan roti dan minum wain semasa Perjamuan Malam Tuan kerana mereka akan berada di syurga bersama Yesus. Adakah anda lihat perbezaannya? Kata-kata Yesus semasa Perjamuan Malam Tuan ditujukan kepada sekumpulan kecil orang, manakala kata-katanya di Galilea ditujukan kepada ramai orang.
11. Bagaimanakah kita tahu kata-kata Yesus di Galilea tidak hanya ditujukan kepada sekumpulan kecil orang?
11 Kata-kata Yesus di Galilea pada tahun 32 Masihi ditujukan kepada orang Yahudi yang menginginkan makanan. Yesus memberitahu mereka bahawa terdapat makanan yang lebih bermanfaat, yang dapat membawa kehidupan kekal. Dia juga berkata bahawa orang mati akan dibangkitkan dan hidup selama-lamanya. Berkat-berkat yang disebut Yesus ini disediakan untuk semua orang, bukan untuk sekumpulan kecil orang seperti halnya semasa Perjamuan Malam Tuan. Yesus menegaskan hal ini dengan berkata, “Jika sesiapa makan roti ini, dia akan hidup selama-lamanya. . . . Roti yang akan aku berikan ialah dagingku, supaya umat manusia menerima kehidupan.”—Yoh. 6:51.
12. Apakah yang perlu dilakukan untuk menikmati kehidupan kekal?
12 Adakah kata-kata Yesus bermaksud bahawa setiap orang yang pernah hidup akan menerima kehidupan kekal? Tidak. Hanya mereka yang “makan roti ini,” atau beriman kepada Yesus, akan hidup selama-lamanya. Banyak orang Kristian percaya bahawa untuk diselamatkan, mereka hanya perlu “percaya kepada [Yesus]” sebagai penyelamat mereka. (Yoh. 6:29, Alkitab Versi Borneo) Namun, hal itu tidak mencukupi. Ada banyak orang di Galilea yang pada mulanya percaya kepada Yesus tetapi meninggalkannya pada kemudian hari. Mengapa?
13. Apakah yang perlu dilakukan untuk menjadi pengikut Yesus yang sejati?
13 Kebanyakan orang yang diberi makanan oleh Yesus gembira untuk mengikutnya selagi dia menyembuhkan mereka, memberi mereka makanan yang percuma, dan mengajar mereka apa yang disukai mereka. Namun tujuan utama Yesus datang ke bumi bukanlah untuk memuaskan keinginan manusia. Yesus menunjukkan bahawa usaha diperlukan untuk menjadi pengikutnya yang sejati. Dia berkata bahawa orang yang mahu menjadi pengikutnya mesti ‘datang kepadanya.’ Maksudnya, mereka perlu mendengar dan mematuhi semua ajarannya.—Yoh. 5:40; 6:44.
14. Apakah yang mesti kita lakukan untuk hidup selama-lamanya?
14 Jadi, maksud kata-kata Yesus di Yohanes ialah orang ramai perlu beriman bahawa darah dan dagingnya yang akan dikorbankan dapat memberi mereka peluang untuk hidup selama-lamanya. Sepertimana orang Yahudi pada zaman Yesus perlu beriman kepada korban tebusan, kita juga perlu melakukan hal yang sama. ( 6:53Yoh. 6:40) Berkat yang menantikan orang yang beriman terbuka kepada semua orang di bumi.—Ef. 1:7.
15-16. Apakah hal-hal penting yang telah kita belajar daripada Yohanes bab 6?
15 Di Yohanes bab 6, kita belajar banyak hal yang penting dan menggalakkan. Apa yang dilakukan oleh Yesus di Galilea menunjukkan bahawa dia sangat mengambil berat terhadap kita. Yesus menyembuhkan orang sakit, mengajar mereka tentang Kerajaan Tuhan, dan memastikan mereka ada makanan. (Luk. 9:11; Yoh. 6:2, 11, 12) Yang lebih penting, dia mengajar mereka bahawa dia ialah “roti yang membawa hidup sejati.”—Yoh. 6:35, 48.
16 Kita juga belajar bahawa semasa Perjamuan Malam Tuan, hanya mereka yang terlibat dalam perjanjian baharu dan mewarisi Kerajaan Tuhan di syurga patut makan roti dan minum wain. “Biri-biri lain” pula tidak patut makan roti dan minum wain. (Yoh. 10:16) Namun, mereka masih dapat meraih manfaat daripada darah dan daging Yesus. Bagaimana? Dengan beriman terhadap korban tebusan Yesus. (Yoh. 6:53) Maka sebagai kesimpulan, tidak kira kita ialah orang Kristian terurap atau biri-biri lain, Yohanes bab 6 sangat bermakna bagi kita. Semoga kita terus beriman kepada Yesus dan meraih kehidupan kekal.
LAGU 150 Carilah Tuhan agar Diselamatkan
a Yohanes 6:5-35 dibincangkan dalam rencana sebelumnya.
b Air yang disebut oleh Yesus melambangkan segala yang dilakukan oleh Yehuwa untuk memberi kita kehidupan kekal.