Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 50

LAGU 135 Seruan Bapa Yehuwa, “Anakku, Jadilah Bijak”

Ibu Bapa​—Binalah Iman Anak Anda

Ibu Bapa​—Binalah Iman Anak Anda

“Kamu [perlu] membuktikan kepada diri sendiri kehendak Tuhan yang baik, yang menyenangkan hati-Nya, dan yang sempurna.”​—RM. 12:​2, nota kaki.

FOKUS

Cadangan yang praktikal tentang bagaimana ibu bapa dapat mengekalkan komunikasi yang baik dengan anak dan menguatkan iman mereka terhadap Tuhan dan Bible.

1-2. Apakah sepatutnya reaksi ibu bapa jika anak mereka bertanya tentang kepercayaan kita?

 TANGGUNGJAWAB ibu bapa sangat berat. Jika anda seorang ibu atau bapa yang sedang bekerja keras untuk membina iman si manja anda, kami ingin memuji anda. (Ul. 6:​6, 7) Apabila anak anda semakin besar, dia mungkin menanyakan soalan tentang kepercayaan kita atau standard moral Bible.

2 Pada mulanya, soalan sebegini mungkin membuat anda risau. Anda mungkin fikir, “Adakah ini tanda anak saya mula kehilangan iman?” Sebenarnya, soalan sebegini dapat membantu anak anda membina iman yang kuat. (1 Kor. 13:11) Maka, daripada berasa risau, anggaplah soalan-soalan anak anda sebagai peluang untuk merangsang fikirannya dan membina imannya.

3. Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana ini?

3 Dalam rencana ini, kita akan membincangkan bagaimana ibu bapa dapat membantu anak untuk (1) membina iman yang kuat, (2) memahami mengapa standard moral Bible bermanfaat, dan (3) mempertahankan kepercayaan mereka. Kita juga akan membincangkan mengapa baik jika anak suka menanyakan soalan dan apa sesetengah aktiviti yang dapat membuka peluang kepada ibu bapa untuk bercakap tentang kebenaran kepada anak-anak mereka.

BANTU ANAK ANDA UNTUK MEMBINA IMANNYA

4. Apakah sesetengah soalan yang mungkin ditanya oleh seorang anak? Mengapa?

4 Iman ibu bapa tidak dapat diwariskan kepada anak secara automatik. Itulah sebabnya seorang anak mungkin menanyakan soalan seperti, “Bagaimana saya tahu Tuhan wujud? Adakah Bible betul-betul boleh dipercayai?” Sebenarnya, menanyakan soalan sebegini tidak salah kerana Bible pun menggalakkan kita untuk “menggunakan daya pemikiran” dan ‘memeriksa semua perkara.’ (Rm. 12:1; 1 Tes. 5:21) Jadi, bagaimanakah anda dapat menguatkan iman anak anda?

5. Bagaimanakah ibu bapa dapat membantu anak mereka memupuk iman terhadap Bible? (Roma 12:2)

5 Galakkan anak anda untuk mencari bukti bahawa ajaran Bible memang tepat. (Baca Roma 12:2 dan nota kaki.) Apabila anak anda menanyakan soalan, gunakanlah peluang ini untuk mengajar mereka cara mencari jawapannya dengan menggunakan bahan bacaan seperti Panduan Penyelidikan Saksi-Saksi Yehuwa. Di bawah bahagian subjek, cari “Bible” kemudian cari “Diilhami Tuhan” untuk melihat bukti bahawa Bible bukan sekadar buku yang ditulis oleh manusia, tetapi merupakan “perkhabaran daripada Tuhan.” (1 Tes. 2:13) Fikirkan contoh kota Niniwe yang terletak di Assyria kuno. Rencana “Tahukah Anda?” dalam majalah Menara Pengawal terbitan November 2021 menjelaskan bagaimana nubuat Bible menjadi kenyataan semasa kota Niniwe dibinasakan. Rencana itu juga menyatakan bagaimana sesetengah pengkritik Bible mendakwa bahawa kota Niniwe tidak wujud. Namun pada sekitar tahun 1850-an, ahli kaji purba telah menemui reruntuhan kota itu yang membuktikan bahawa kisah Bible memang tepat. (Zef. 2:​13-15) Jika anak anda membandingkan maklumat dalam bahan bacaan kita dengan ensiklopedia atau sumber luar yang boleh dipercayai, imannya terhadap Bible akan semakin kuat.

6. Bagaimanakah ibu bapa dapat membantu anak mereka mencari bukti yang menunjukkan bahawa Bible adalah tepat? Berikan contoh. (Lihat juga gambar.)

6 Bantu anak anda mencari bukti bahawa kandungan Bible adalah tepat. Ibu bapa mempunyai banyak peluang untuk merangsang fikiran anak mereka. Anda boleh membawa anak anda untuk melawat muzium, taman botani, atau pameran di pejabat cawangan Saksi-Saksi Yehuwa. Sebagai contoh, semasa melawat muzium, sama ada secara fizikal atau atas talian, anda dapat membantu anak anda memperhatikan peristiwa bersejarah atau barang-barang peninggalan yang menunjukkan bahawa Bible adalah tepat. Adakah anak anda tahu bahawa nama peribadi Tuhan terdapat pada sekeping batu bersurat yang ditulis sekitar 3,000 tahun yang lalu? Batu itu dikenali sebagai Batu Orang Moab dan dipamerkan di Muzium Louvre di Paris, Perancis. Replika, atau model batu itu, juga dipamerkan di Ibu Pejabat Saksi-Saksi Yehuwa di Warwick, New York. Batu itu menunjukkan bahawa Raja Mesa dari Moab memberontak terhadap orang Israel, dan hal ini selaras dengan catatan Bible. (2 Raj. 3:​4, 5) Apabila anak anda melihat dengan mata sendiri bukti yang menunjukkan bahawa Bible adalah tepat, imannya pasti dikuatkan.​—Bandingkan 2 Tawarikh 9:6.

Dapatkah anda menguatkan keyakinan anak anda terhadap Bible dan Tuhan dengan melawat muzium dan membincangkan objek-objek yang membuktikan bahawa Bible adalah tepat? (Lihat perenggan 6)


7-8. (a) Apakah yang kita belajar daripada corak dalam alam semula jadi? Berikan contoh. (Lihat juga gambar.) (b) Apakah soalan yang dapat menguatkan keyakinan anak anda bahawa Pencipta wujud?

7 Galakkan anak anda untuk meneliti alam semula jadi. Semasa bersiar-siar di kampung atau semasa berkebun, bantulah anak anda untuk meneliti corak-corak yang terdapat di sekeliling anda. Mengapa? Corak-corak ini menunjukkan bahawa alam semesta diciptakan oleh Individu yang bijak. Sebagai contoh, corak lingkaran telah dikaji oleh ahli sains selama bertahun-tahun. Seorang ahli sains yang bernama Nicola Fameli menjelaskan bahawa semasa anda mengira bilangan lingkaran dalam alam semula jadi, anda akan mendapati bahawa terdapat urutan nombor yang berulang-ulang. Siri nombor ini dipanggil urutan Fibonacci. Corak lingkaran sering diperhatikan dalam alam semula jadi, contohnya bentuk sesetengah galaksi, cangkerang siput nautilus, dedaun, dan benih-benih pada bunga matahari. a

8 Semasa di sekolah, anak anda mungkin belajar tentang corak atau bentuk yang dapat dilihat dalam alam semula jadi. Sebagai contoh, setiap keping salji dibentuk mengikut corak yang berulang-ulang, yang dikenali sebagai corak fraktal. Corak fraktal juga boleh didapati dalam benda lain dalam alam semula jadi. Siapakah yang menciptakan hukum alam yang membolehkan corak sebegini wujud? Apabila anak anda memikirkan soalan-soalan tentang ciptaan, dia akan semakin yakin bahawa Tuhan telah menciptakan segala sesuatu. (Ibr. 3:4) Apabila dia lebih besar, anda boleh menggunakan soalan lain untuk membantu dia memahami mengapa penting untuk mematuhi hukum Yehuwa. Contohnya, anda boleh memberitahunya, “Memandangkan Tuhan telah menciptakan kita, adakah kamu rasa Dia akan beri kita bimbingan supaya kita hidup bahagia?” Kemudian, anda boleh menjelaskan kepadanya bahawa bimbingan Tuhan terdapat dalam Bible.

NASA, ESA, and the Hubble Heritage (STScl/AURA)-ESA/Hubble Collaboration

Siapakah yang telah mereka corak-corak yang cantik dalam alam semula jadi? (Lihat perenggan 7-8)


BANTU ANAK ANDA MENGHARGAI STANDARD MORAL BIBLE

9. Mengapakah anak anda mungkin menanya soalan tentang standard moral Bible?

9 Jika anak anda menanya soalan tentang standard moral Bible, cubalah untuk mencari tahu mengapa dia menanya soalan itu. Adakah dia tidak setuju dengan ajaran Bible, atau adakah dia tidak tahu cara untuk menjelaskan kepercayaannya kepada orang lain? Untuk membantu anak anda menghargai standard moral Bible, belajarlah buku Nikmati Hidup Selama-Lamanya! bersamanya. b

10. Bagaimanakah anda dapat membantu anak anda menghargai persahabatannya dengan Yehuwa?

10 Galakkan anak anda untuk menghargai persahabatannya dengan Yehuwa. Semasa mengadakan pembelajaran Bible dengan anak anda, gunakanlah soalan dan perumpamaan dalam buku Nikmati Hidup Selama-Lamanya! untuk mengetahui pandangannya. (Ams. 20:5) Sebagai contoh, dalam pelajaran 8, Yehuwa disamakan dengan seorang sahabat yang prihatin, yang sering memberi kita peringatan demi kesejahteraan kita. Selepas membincangkan 1 Yohanes 5:​3, tanyalah anak anda, “Memandangkan Yehuwa ialah Sahabat yang begitu baik, apakah sepatutnya pandangan kita terhadap nasihat-Nya?” Soalan yang mudah itu dapat membantu anak anda sedar bahawa hukum Tuhan ialah bukti akan kasih-Nya.​—Yes. 48:​17, 18.

11. Bagaimanakah anda dapat membantu anak anda menghargai prinsip Bible? (Amsal 2:​10, 11)

11 Bincangkan manfaat yang diraih kerana menerapkan prinsip Bible. Semasa anda membaca Bible atau ayat harian bersama anak anda, bincangkan bagaimana prinsip Bible telah membantu keluarga anda. Contohnya, adakah anak anda sedar manfaatnya bersikap rajin dan jujur? (Ibr. 13:18) Anda juga boleh menjelaskan bagaimana menerapkan prinsip Bible dapat melindungi kita secara fizikal dan emosi. (Ams. 14:​29, 30) Dengan membincangkan manfaat yang diraih kerana menerapkan prinsip Bible, anak anda akan lebih menghargai nasihat Bible.​—Baca Amsal 2:​10, 11.

12. Bagaimanakah Steve dan isterinya membantu anak mereka menghargai prinsip Bible?

12 Steve, seorang bapa di Perancis, menjelaskan bagaimana dia dan isterinya membantu anak remaja mereka, Ethan, untuk sedar bahawa hukum Yehuwa sentiasa berasaskan kasih. Dia berkata, “Kami tanya Ethan soalan seperti, ‘Mengapakah Yehuwa mahu kita mematuhi prinsip ini? Bagaimanakah prinsip ini membuktikan bahawa Dia mengasihi kita? Apakah yang akan berlaku jika kamu tidak mematuhi prinsip ini?’” Perbualan sebegini telah menguatkan keyakinan Ethan bahawa standard moral Yehuwa selalu benar. Steve menambah, “Matlamat kami adalah untuk membantu Ethan sedar bahawa kebijaksanaan yang terkandung dalam Bible jauh lebih unggul daripada kebijaksanaan manusia.”

13. Bagaimanakah ibu bapa dapat melatih anak mereka untuk menerapkan prinsip Bible? Berikan contoh.

13 Latih anak anda untuk menerapkan prinsip Bible. Contohnya, anda dapat berbuat demikian semasa cikgunya menyuruhnya membaca sebuah novel sebagai projek sekolah. Watak dalam buku itu mungkin melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral atau bersikap ganas, tetapi digambarkan sebagai orang yang baik. Anda dapat meminta anak anda untuk memikirkan perasaan Yehuwa semasa orang melakukan perbuatan sedemikian. (Ams. 22:​24, 25; 1 Kor. 15:33; Flp. 4:8) Dengan itu, jika cikgunya atau pelajar lain meminta pendapatnya tentang buku itu, dia dapat bercakap tentang kepercayaannya kepada mereka dengan yakin.

AJAR ANAK ANDA UNTUK MEMPERTAHANKAN KEPERCAYAANNYA

14. Bilakah kaum muda Kristian mungkin berasa kurang yakin untuk mempertahankan kepercayaan mereka? Mengapa?

14 Kaum muda Kristian ada kalanya berasa kurang yakin untuk mempertahankan kepercayaan mereka, contohnya semasa teori evolusi dibincangkan dalam kelas. Mengapa? Cikgu mereka mungkin mengajarkan evolusi seolah-olah itu ialah fakta. Jika anda ialah ibu bapa, bagaimanakah anda dapat membantu anak anda untuk mempertahankan kepercayaannya dengan yakin?

15. Apakah yang dapat membantu kaum muda Kristian untuk lebih yakin terhadap kepercayaan mereka?

15 Kuatkan keyakinan anak anda terhadap kepercayaannya. Anak anda tidak perlu berasa malu kerana mempercayai kewujudan Pencipta. (2 Tim. 1:8) Mengapa? Sebenarnya, banyak ahli sains setuju bahawa kehidupan tidak muncul secara kebetulan. Mereka sedar bahawa makhluk hidup yang begitu rumit perlu direka dan dicipta. Oleh itu, mereka tidak menerima teori evolusi yang biasannya diajarkan di sekolah. Dengan mengkaji sebab-sebab saudara saudari kita percaya bahawa Pencipta wujud, anak anda akan lebih yakin terhadap kepercayaannya. c

16. Bagaimanakah ibu bapa dapat membantu anak mereka menjelaskan kepada orang lain mengapa dia percaya bahawa Pencipta wujud? (1 Petrus 3:15) (Lihat juga gambar.)

16 Bantu anak anda menjelaskan mengapa dia percaya bahawa Pencipta wujud. (Baca 1 Petrus 3:15.) Anda dapat membincangkan bersama anak anda siri rencana “Kaum Muda Bertanya—Penciptaan atau Evolusi?” di jw.org. Mintalah anak anda pilih penjelasan yang dia rasa dapat bantu orang lain faham mengapa Pencipta wujud. Ingatkannya bahawa dia tidak perlu berdebat dengan rakan sekelasnya. Galakkannya untuk menjelaskan kepercayaannya dalam cara yang ringkas dan masuk akal. Sebagai contoh, jika rakan sekelasnya berkata, “Saya hanya percaya apa yang dapat dilihat dengan mata sendiri, tetapi saya tidak pernah melihat Tuhan.” Anak anda dapat menjawab, “Bayangkan bahawa kamu sedang berjalan dalam hutan. Tiba-tiba kamu nampak sebuah pondok yang cantik. Adakah kamu akan fikir bahawa pondok itu wujud sendiri secara kebetulan? Sudah pasti tidak. Seseorang pasti telah membinanya. Begitu juga dengan planet kita dan semua makhluk hidup. Pasti ada seseorang yang menciptakan semuanya!”

Jelaskan kepercayaan anda kepada rakan sekolah dalam cara yang ringkas dan masuk akal (Lihat perenggan 16-17) d


17. Bagaimanakah ibu bapa dapat menggalakkan anak mereka agar mencari peluang untuk mengongsi kebenaran Bible? Berikan contoh.

17 Galakkan anak anda agar mencari peluang untuk mengongsi kebenaran Bible. (Rm. 10:10) Anda boleh menyamakan situasinya dengan seseorang yang baru belajar main alat muzik. Pada mulanya, pelajar itu mungkin belajar melodi yang mudah sahaja. Lama-kelamaan, dia menjadi semakin mahir. Begitu juga, kaum muda Kristian dapat menggunakan cara yang mudah untuk mengongsikan kepercayaannya. Contohnya, dia boleh tanya rakan sekolahnya, “Adakah kamu tahu bahawa jurutera sering meniru rekaan alam semula jadi? Cuba tengok video ini.” Selepas menunjukkan video daripada siri Siapakah Perekanya? dia boleh berkata, “Jika ahli sains dipuji kerana meniru rekaan alam semula jadi, siapakah yang harus dipuji untuk rekaan yang asal?” Penyampaian mudah sebegini mungkin sudah cukup untuk membuat rakan sekolahnya berminat dan ingin tahu lebih banyak lagi.

TERUS MEMBANTU ANAK ANDA MENGUATKAN IMANNYA

18. Bagaimanakah ibu bapa dapat terus membantu anak menguatkan iman kepada Tuhan?

18 Dewasa ini, kita dikelilingi orang yang tidak beriman kepada Yehuwa. (2 Ptr. 3:3) Maka ibu bapa, semasa anda belajar Bible dengan anak anda, galakkannya untuk mengkaji topik yang dapat meningkatkan penghargaannya terhadap Bible dan standard moral Tuhan. Rangsanglah fikiran anak anda dengan menggunakan pelbagai ciptaan Yehuwa yang menakjubkan. Ajarlah dia untuk memahami nubuat Bible yang telah menjadi kenyataan. Yang paling penting, berdoalah dengan anak anda dan untuk anak anda. Jika anda melakukan semua ini, Yehuwa pasti memberkati usaha anda untuk membantu anak anda menguatkan imannya.​—2 Taw. 15:7.

LAGU 133 Sembah Yehuwa semasa Muda

a Untuk maklumat lanjut, lihat video Ketakjuban Ciptaan Menyingkapkan Kemuliaan Tuhan di jw.org.

b Jika anak anda sudah habis belajar buku Nikmati Hidup Selama-Lamanya!, anda boleh mengulang kaji sesetengah pelajaran di bahagian 3 dan 4, yang menyentuh tentang standard moral Bible.

c Lihat rencana Mengapa Kami Percaya Ada Pencipta dalam majalah Sedarlah! terbitan September 2006 dalam bahasa Indonesia dan brosur Asal Usul Kehidupan​—Lima Soalan yang Patut Difikirkan. Untuk maklumat lanjut, tonton siri video Pandangan tentang Asal Usul Kehidupan di jw.org.

d KETERANGAN GAMBAR: Seorang Saksi muda menunjukkan video daripada siri Siapakah Perekanya? kepada rakan sekolahnya yang berminat dengan dron.