RENCANA PEMBELAJARAN 48
LAGU 97 Hidup Berpegang pada Firman Tuhan
Roti yang Disediakan Secara Mukjizat
“Akulah roti yang membawa hidup sejati. Sesiapa yang datang kepadaku tidak akan lapar lagi.”—YOH. 6:35.
FOKUS
Mengkaji kisah di Yohanes bab 6 tentang bagaimana Yesus menyediakan roti dan ikan bagi ramai orang dan pengajarannya bagi kita.
1. Seberapa pentingkah roti pada zaman Bible?
ROTI merupakan makanan utama pada zaman Bible. (Kej. 14:18; Luk. 4:4) Roti begitu penting sehingga Bible ada kalanya menyamakan roti dengan makanan. (Mat. 6:11, nota kaki; Kis. 20:7, lihat nota pembelajaran dalam Alkitab Edisi Pelajaran bahasa Indonesia.) Sebanyak dua kali, Yesus pernah melakukan mukjizat untuk menyediakan roti bagi ribuan orang. (Mat. 16:9, 10) Salah satu kisah itu tercatat di Yohanes bab 6. Mari kita mengkaji kisah ini dan lihat pengajarannya bagi kita.
2. Bilakah ribuan orang memerlukan makanan?
2 Para rasul sangat penat kerana baru habis menginjil, maka mereka menaiki perahu bersama Yesus dan menyeberangi Tasik Galilea. (Mrk. 6:7, 30-32; Luk. 9:10) Mereka pergi ke suatu tempat yang terpencil di kawasan Betsaida untuk berehat. Tetapi orang ramai mendengar bahawa Yesus ada di situ, dan tidak lama kemudian, ribuan orang sampai di sana. Yesus menyambut mereka dengan ramah dan meluangkan masa untuk mengajar mereka tentang Kerajaan Tuhan serta menyembuhkan orang sakit. Apabila hari sudah lewat, mereka semua memerlukan makanan. Ada yang mungkin membawa bekal, tetapi kebanyakan orang perlu pergi ke pekan yang berhampiran untuk membeli makanan. (Mat. 14:15; Yoh. 6:4, 5) Apakah yang akan dilakukan oleh Yesus untuk mereka?
MENYEDIAKAN ROTI SECARA MUKJIZAT
3. Apakah yang dikatakan Yesus kepada para rasulnya? (Lihat juga gambar pada.)
3 Yesus memberitahu para rasul, “Mereka tidak perlu pergi. Kamu berilah mereka makanan.” (Mat. 14:16) Hal itu amat mencabar kerana jumlah lelaki yang perlu makan sudah kira-kira 5,000 orang. Jika ditambahkan dengan wanita dan kanak-kanak, mereka mungkin perlu menyediakan makanan untuk kira-kira 15,000 orang. (Mat. 14:21) Maka Andreas berkata, “Ada seorang budak lelaki di sini yang mempunyai lima ketul roti barli dan dua ekor ikan kecil, tetapi mana mungkin cukup untuk begitu banyak orang?” (Yoh. 6:9) Roti barli merupakan makanan yang biasa, dan ikan itu mungkin sudah dibubuh garam dan dikeringkan. Meskipun demikian, makanan yang dibawa oleh budak lelaki itu nampaknya tidak cukup untuk semua orang.
4. Apakah yang dapat kita belajar daripada kisah di Yohanes 6:11-13? (Lihat juga gambar.)
4 Yesus mahu bermurah hati kepada orang ramai, jadi dia menyuruh mereka duduk di atas rumput secara berkumpulan. (Mrk. 6:39, 40; baca Yohanes 6:11-13.) Kemudian, Yesus mengucapkan syukur kepada Yehuwa atas roti dan ikan itu. Hal itu memang wajar kerana Yehuwalah Sumber makanan itu. Teladan Yesus mengajar kita bahawa kita harus berdoa sebelum makan, tidak kira kita makan seorang diri atau bersama orang lain. Selepas itu, Yesus menyuruh para rasul mengedarkan makanan itu. Orang ramai makan sampai kenyang dan masih ada baki makanan. Yesus tidak mahu membazirkan makanan, jadi dia menyuruh para rasul mengumpulkan baki makanan itu, barangkali untuk dimakan pada masa lain. Semoga kita mengikut teladan Yesus dan menjauhi amalan membazir. Para ibu bapa, kajilah kisah ini dengan anak anda dan ajarlah anak anda pentingnya bersikap murah hati dan berdoa sebelum makan.
5. Apakah yang dilakukan oleh orang ramai selepas melihat mukjizat Yesus? Apakah yang Yesus lakukan?
5 Orang ramai kagum kerana Yesus dapat melakukan mukjizat dan mengajar dengan mahir. Musa pernah memberitahu orang Israel bahawa Tuhan akan mengutus seorang nabi yang agung kepada mereka. Barangkali, mereka tertanya-tanya, “Mungkinkah Yesus ialah nabi itu?” (Ul. 18:15-18) Mereka tahu Yesus dapat menjadi pemerintah yang baik dan bahkan dapat menyediakan makanan untuk semua orang di Israel. Oleh itu, mereka mahu “memaksa [Yesus] menjadi raja mereka.” (Yoh. 6:14, 15) Tetapi Yesus tidak mahu tunduk kepada tekanan mereka dan terlibat dalam hal politik. Maka Yesus beredar dan “pergi ke gunung seorang diri.” Apakah pengajarannya bagi kita?
6. Bagaimanakah kita dapat meniru teladan Yesus? (Lihat juga gambar.)
6 Sudah tentu, orang lain tidak akan meminta kita melakukan mukjizat untuk menyediakan roti atau menyembuhkan orang, dan mereka tidak akan memilih kita menjadi raja. Namun mereka mungkin memberi kita tekanan untuk mengundi atau menyokong calon politik yang mereka suka. Dalam situasi sebegini, ingatlah teladan Yesus. Dia enggan mencampuri urusan politik dunia. Tidak lama sebelum dia dihukum mati, dia bahkan berkata, “Kerajaanku bukan sebahagian daripada dunia ini.” (Yoh. 17:14; 18:36) Orang Kristian hari ini patut meniru fikiran dan perbuatan Yesus. Kita akan menyokong Kerajaan Tuhan, memberikan kesaksian tentangnya, dan berdoa agar Kerajaan Tuhan datang. (Mat. 6:10) Sekarang, mari kita bincangkan pengajaran lain daripada roti yang disediakan oleh Yesus secara mukjizat.
“PENGAJARAN DARIPADA PERISTIWA YESUS MEMBAHAGI-BAHAGIKAN ROTI”
7. Apakah yang dilakukan oleh Yesus selepas memberikan makanan kepada orang ramai? Apakah reaksi para rasul selepas melihat Yesus berjalan di atas air dan menenangkan ribut? (Yohanes 6:16-20)
7 Selepas memberikan makanan kepada orang ramai, Yesus menyuruh para rasul menaiki perahu dan menyeberangi tasik ke Kapernaum, manakala dia sendiri pergi ke gunung untuk mengelakkan orang ramai yang ingin memaksanya menjadi raja. (Baca Yohanes 6:16-20.) Semasa para rasul dalam perahu, ribut badai melanda tasik. Maka Yesus datang kepada mereka dengan berjalan di atas air, dan dia juga menjemput Rasul Petrus untuk berjalan di atas air ke arahnya. (Mat. 14:22-31) Sebaik sahaja Yesus masuk ke dalam perahu, ribut pun reda. Para rasul sangat kagum melihat mukjizat ini, lalu berkata, “Sememangnya Guru ialah Anak Tuhan.” a (Mat. 14:33) Mengenai peristiwa ini, Markus menulis, “[Para rasul] sangat hairan, kerana mereka masih belum memahami pengajaran daripada peristiwa Yesus membahagi-bahagikan roti itu. Ya, hati mereka masih tidak mengerti.” (Mrk. 6:50-52) Walaupun mereka baru sahaja menyaksikan Yesus menyediakan roti secara mukjizat, mereka tidak faham bahawa Yehuwa telah memberi Yesus kuasa yang jauh lebih besar untuk melakukan mukjizat yang lain. Tidak lama selepas itu, Yesus menyebut tentang roti yang disediakannya dan pengajarannya bagi murid-muridnya.
8-9. Mengapakah orang ramai mencari Yesus? (Yohanes 6:26, 27)
8 Pada hari berikutnya, orang ramai datang ke tempat Yesus memberikan makanan, tetapi mereka tidak menjumpai Yesus dan para rasul. Maka orang ramai menaiki perahu yang datang dari Tiberias untuk mencari Yesus di Kapernaum. (Yoh. 6:22-24) Adakah mereka mencari Yesus kerana ingin belajar lebih banyak tentang Kerajaan Tuhan? Tidak. Mereka hanya mahu Yesus memberi mereka makanan. Bagaimanakah kita tahu?
9 Apabila orang ramai menjumpai Yesus, dia berkata dengan terus terang bahawa mereka mahu mengenyangkan perut sahaja. Yesus berkata bahawa biarpun mereka “kenyang selepas makan roti,” itu hanya “makanan yang akan basi.” Maka dia menggesa mereka agar bekerja untuk mendapat “makanan yang kekal dan yang membawa kehidupan kekal.” (Baca Yohanes 6:26, 27.) Yesus berkata bahawa Yehuwa akan memberikan makanan sebegini. Orang ramai pasti sangat hairan mendengar bahawa ada makanan yang dapat memberi mereka kehidupan kekal. Apakah makanan itu, dan apakah yang perlu mereka lakukan untuk mendapat makanan itu?
10. Apakah yang perlu dilakukan orang ramai untuk mendapat makanan yang memberikan kehidupan kekal?
10 Nampaknya, orang ramai berfikir bahawa mereka perlu mematuhi Hukum Musa untuk mendapat makanan yang memberikan kehidupan kekal. Namun Yesus memberitahu mereka, “Kamu harus beriman kepada dia yang diutus oleh Tuhan. Demikianlah caranya kamu melakukan kerja yang diperkenankan Tuhan.” (Yoh. 6:28, 29) Sebelum itu, Yesus pernah mengajar bahawa untuk “mendapat kehidupan kekal,” seseorang mesti beriman kepada wakil yang diutus oleh Tuhan. (Yoh. 3:16-18, 36) Dia menekankan hal yang sama tidak lama sebelum dia meninggal.—Yoh. 17:3.
11. Bagaimanakah orang Yahudi menunjukkan bahawa mereka hanya bertumpu kepada keperluan fizikal mereka? (Mazmur 78:24, 25)
11 Orang Yahudi tidak percaya bahawa mereka perlu beriman kepada Yesus. Mereka bahkan bertanya kepadanya, “Apakah mukjizat yang akan Guru lakukan di depan mata kami supaya kami percaya kepada Guru?” (Yoh. 6:30) Mereka memberitahu Yesus bahawa pada zaman Musa, nenek moyang mereka menerima roti dari syurga, iaitu manna. (Neh. 9:15; baca Mazmur 78:24, 25.) Maka jelaslah bahawa mereka masih berfikir tentang makanan. Biarpun Yesus kemudiannya berkata bahawa dia ialah “roti sebenar dari syurga” yang dapat memberikan kehidupan kekal, mereka langsung tidak berminat untuk mengetahui maksudnya. (Yoh. 6:32) Mereka hanya bertumpu kepada keperluan fizikal mereka dan tidak menghiraukan kebenaran yang ingin Yesus kongsikan dengan mereka. Apakah yang dapat kita belajar daripada kisah ini?
TUMPUAN UTAMA KITA
12. Bagaimanakah Yesus menunjukkan apa yang perlu kita utamakan dalam hidup?
12 Daripada Yohanes bab 6, kita belajar bahawa keperluan rohani harus menjadi keutamaan hidup. Semasa digoda oleh Syaitan, Yesus menunjukkan bahawa makanan rohani lebih penting daripada makanan jasmani. (Mat. 4:3, 4) Semasa Yesus menyampaikan Ceramah Di Atas Gunung, dia juga menekankan pentingnya menyedari keperluan rohani. (Mat. 5:3) Oleh itu, kita patut menanya diri, “Adakah cara hidup saya menunjukkan bahawa saya mengutamakan keperluan rohani atau keperluan jasmani saya?”
13. (a) Mengapakah tidak salah untuk menikmati makanan? (b) Apakah amaran yang harus kita ingat? (1 Korintus 10:6, 7, 11)
13 Kita memang patut berdoa agar keperluan fizikal kita dijaga. (Luk. 11:3) Kita juga patut “makan, minum, dan bersukacita” selepas bekerja keras, kerana nikmat sebegini ialah “pemberian daripada Tuhan yang benar.” (Pkh. 2:24; 8:15; Yak. 1:17) Namun, kita mesti berhati-hati agar tidak terlalu mementingkan keperluan fizikal. Rasul Paulus menyebut tentang hal ini dalam suratnya kepada orang Kristian. Dia menulis tentang sejarah orang Israel, termasuk apa yang berlaku berdekatan Gunung Sinai, dan mengingatkan orang Kristian agar “tidak menginginkan perkara yang jahat seperti yang diinginkan oleh [orang Israel].” (Baca 1 Korintus 10:6, 7, 11.) Yehuwa telah menyediakan makanan secara mukjizat untuk orang Israel, tetapi oleh sebab mereka begitu tamak, pemberian Yehuwa telah menjadi “perkara yang jahat” bagi mereka. (Bil. 11:4-6, 31-34) Semasa mereka menyembah patung anak lembu emas, mereka juga menunjukkan bahawa makan, minum, dan berseronok, lebih penting bagi mereka daripada mematuhi Tuhan. (Kel. 32:4-6) Paulus menggunakan contoh mereka sebagai amaran bagi orang Kristian yang hidup sebelum Yerusalem dan Rumah Tuhan dibinasakan pada tahun 70 M. Kita juga hidup sebelum masanya dunia jahat Syaitan dibinasakan, maka kita patut memandang serius amaran Paulus.
14. Apakah yang Bible katakan tentang makanan di dunia baharu?
14 Semasa Yesus mengajar kita untuk berdoa agar Yehuwa memberi kita “makanan yang [kita] perlukan untuk hari ini,” dia juga mengajar kita untuk berdoa agar kehendak Tuhan “terlaksana di bumi seperti di syurga.” (Mat. 6:9-11) Bible menyatakan bahawa kehendak Tuhan merangkumi makanan yang enak. Yesaya 25:6-8 menunjukkan bahawa kita akan menikmati banyak makanan yang sedap di dunia baharu. Mazmur 72:16 menubuatkan, “Bumi akan melimpah dengan biji-bijian, dan puncak gunung akan mengeluarkan hasil yang lumayan.” Dapatkah anda membayangkan keadaannya? Inginkah anda menggunakan biji-bijian itu untuk membuat roti atau mencuba resipi yang baharu? Adakah anda tidak sabar-sabar untuk menikmati hasil daripada ladang anggur anda? (Yes. 65:21, 22) Semua orang di bumi akan menikmati segala pemberian ini.
15. Apakah program pendidikan yang akan berlangsung di dunia baharu? (Yohanes 6:35)
15 Baca Yohanes 6:35. Apakah masa depan yang menantikan orang yang makan roti dan ikan yang disediakan oleh Yesus? Di dunia baharu nanti, ada antara mereka yang akan dibangkitkan biarpun mereka belum menunjukkan iman kepada Yesus. (Yoh. 5:28, 29) Pada masa itu, mereka perlu belajar maksud kata-kata Yesus: “Akulah roti yang membawa hidup sejati. Sesiapa yang datang kepadaku tidak akan lapar lagi.” Mereka juga perlu memupuk iman terhadap korban tebusan Yesus. Maka, program pendidikan rohani akan berlangsung bagi orang yang dibangkitkan dan anak-anak yang dilahirkan di dunia baharu. Pada masa itu, kerja membantu orang menjadi sahabat Yehuwa akan memberi kita sukacita yang jauh lebih besar daripada apa-apa makanan fizikal.
16. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana seterusnya?
16 Kita sudah membincangkan sebahagian daripada kisah di Yohanes bab 6, namun terdapat hal-hal lain yang ingin Yesus ajarkan tentang “kehidupan kekal.” Orang Yahudi perlu memberikan perhatian kepada ajarannya, begitu juga dengan kita. Kita akan terus membincangkan Yohanes bab 6 dalam rencana seterusnya.
LAGU 20 Engkau Mengurniakan Anak-Mu yang Tersayang
a Untuk maklumat lanjut tentang kisah ini, lihat buku Yesus—Jalan, Kebenaran, dan Kehidupan, ms. 131, dan Tirulah Iman Mereka, ms. 185.