Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

KISAH HIDUP

Saya Tidak Pernah Berhenti Belajar

Saya Tidak Pernah Berhenti Belajar

SAYA bersyukur kepada Yehuwa kerana Dia ialah “Pendidik Agung” saya. (Yes. 30:20) Dia mendidik penyembah-Nya menerusi Bible, ciptaan-Nya, organisasi-Nya, dan rakan seiman. Biarpun umur saya sudah hampir 100 tahun, saya masih belajar daripada Yehuwa menerusi semua cara itu. Biar saya jelaskan.

Bersama keluarga saya pada tahun 1948

Saya lahir pada tahun 1927 di sebuah pekan kecil berdekatan Chicago, Illinois, A.S. Ibu bapa saya ada lima orang anak, iaitu Jetha, Don, saya, Karl, dan Joy. Kami bertekad untuk menyembah Yehuwa dengan sepenuh hati. Jetha menghadiri kelas Gilead yang ke-2 pada tahun 1943. Don, Karl, dan Joy masing-masing mula berkhidmat di Bethel di Brooklyn, New York, pada tahun 1944, 1947, dan 1951. Teladan baik mereka dan ibu bapa saya benar-benar menggalakkan saya.

KELUARGA KAMI BELAJAR KEBENARAN

Ibu bapa saya mengasihi Tuhan dan suka membaca Bible. Mereka juga mengajar kami untuk mengasihi Tuhan. Namun, selepas Ayah berkhidmat sebagai askar di Eropah semasa Perang Dunia Pertama, dia tidak lagi menghormati gereja. Mak sangat bersyukur kerana Ayah dapat pulang dengan selamat. Jadi Mak berkata, “Sayang, mari kita pergi gereja seperti dulu.” Ayah menjawab, “Saya akan berjalan bersama kamu ke gereja, tapi saya tidak akan masuk.” Mak bertanya, “Kenapa kamu tidak mahu masuk?” Ayah menjawab, “Semasa perang, pemimpin agama memberkati askar daripada kedua-dua pihak yang berlawanan biarpun agama mereka sama. Takkan Tuhan menyokong kedua-dua pihak?”

Semasa Mak di gereja, dua orang Saksi datang ke rumah kami dan menawarkan buku Light, yang membincangkan buku Wahyu. Ayah menerima buku itu, dan Mak juga mula membaca buku tersebut. Suatu hari, Mak nampak notis dalam surat khabar yang menjemput orang untuk belajar Bible dengan menggunakan buku Light. Dia pergi ke alamat yang dinyatakan lalu mengetuk pintu. Seorang wanita tua membuka pintu. Mak menunjukkan buku Light lalu bertanya, “Kamu bincang buku ini di sini?” Wanita itu menjawab, “Ya sayang, masuklah.” Minggu seterusnya Mak membawa saya dan adik-beradik saya ke situ. Sejak itu, kami pergi setiap minggu.

Pernah sekali, saudara yang mengendalikan perjumpaan meminta saya membaca Mazmur 144:​15, yang menyatakan bahawa penyembah Yehuwa ialah orang yang bahagia. Dua ayat lain juga menyentuh hati saya, iaitu 1 Timotius 1:​11, yang menyatakan bahawa Yehuwa ialah “Tuhan yang gembira,” dan Efesus 5:​1, yang menggalakkan kita untuk ‘mengikut teladan Tuhan.’ Saya belajar bahawa saya patut menyembah Pencipta saya dengan gembira dan bersyukur atas penghormatan untuk berbuat demikian. Itulah yang cuba saya lakukan seumur hidup saya.

Biarpun sidang terdekat terletak kira-kira 32 km dari rumah kami, keluarga kami tetap menghadiri perjumpaan, dan pengetahuan Bible saya semakin bertambah. Pernah sekali, seorang saudara panggil Jetha untuk memberikan komen. Semasa mendengar komen kakak saya, saya berfikir, “Saya pun tahu jawapannya. Menyesal saya tidak mengangkat tangan.” Sejak hari itu, saya mula membuat persiapan dan memberikan komen. Yang paling penting, saya membuat kemajuan rohani bersama adik-beradik saya. Saya dibaptis pada tahun 1941.

BELAJAR DARIPADA YEHUWA DI KONVENSYEN

Saya sangat ingat konvensyen tahun 1942 yang diadakan di Cleveland, Ohio. Konvensyen itu disambungkan ke lebih daripada 50 lokasi lain di Amerika Syarikat menerusi telefon. Sepanjang konvensyen itu, keluarga kami dan Saksi-Saksi lain berkhemah di sebuah tapak yang diaturkan oleh para saudara. Ketika itu, Perang Dunia Kedua sedang berlaku, dan para Saksi menghadapi tentangan yang semakin kuat. Pada sebelah petang, saya nampak saudara-saudara meletakkan kereta mereka dengan bahagian depan kereta menghadap ke luar. Sepanjang malam, ada saudara yang akan berjaga dalam setiap kereta. Jika ada penceroboh, mereka akan memasang lampu kereta untuk mengelirukan penceroboh dan membunyikan hon supaya orang lain segera datang untuk memberikan bantuan. Saya fikir, “Umat Yehuwa betul-betul bersedia menghadapi apa sahaja situasi!” Saya berasa selamat dan dapat tidur dengan nyenyak. Kami juga bersyukur kerana tiada masalah yang timbul.

Bertahun-tahun kemudian, barulah saya sedar bahawa semasa konvensyen itu, Mak langsung tidak takut atau risau. Dia mempercayai Yehuwa dan organisasi-Nya dengan sepenuhnya. Teladannya terpahat dalam hati dan minda saya.

Tidak lama sebelum konvensyen itu, Mak menjadi perintis biasa. Maka semasa konvensyen, dia bertumpu khasnya kepada ceramah yang membincangkan khidmat sepenuh masa. Dalam perjalanan pulang, Mak berkata, “Mak mahu terus merintis, tapi Mak perlukan bantuan kamu semua untuk jaga rumah.” Kami bersetuju untuk membantu Mak. Maka dia memberi kami masing-masing tugas untuk membersihkan satu atau dua bilik sebelum bersarapan. Selepas kami pergi ke sekolah, Mak akan pastikan rumah dalam keadaan bersih sebelum keluar menginjil. Biarpun Mak sibuk, dia tidak pernah mengabaikan kami. Semasa kami pulang untuk makan tengah hari atau balik dari sekolah, Mak sentiasa di rumah. Kadangkala, kami menginjil bersama Mak selepas sekolah, dan hal itu membantu kami memahami kerja yang dilakukan oleh para perintis.

MULA BERKHIDMAT SEPENUH MASA

Saya mula merintis semasa berusia 16 tahun. Masa itu, Ayah belum lagi menjadi Saksi, tapi dia sangat mengambil berat tentang kerja merintis saya. Pada suatu petang, saya memberitahunya bahawa saya sudah puas mencari tetapi tidak ada pelajar Bible. Kemudian saya tanya, “Ayah sudi belajar dengan saya?” Ayah berfikir sejenak dan berkata, “Saya tiada alasan untuk menolak.” Demikianlah saya mendapat pelajar Bible yang pertama.

Kami membincangkan buku “The Truth Shall Make You Free.” Lama-kelamaan, saya sedar bahawa Ayah sedang membantu saya menjadi pelajar dan pengajar yang lebih baik. Contohnya, suatu petang selepas membacakan satu perenggan, Ayah kata, “Buku ini memang kata demikian. Tapi macam mana kamu tahu kata-kata itu benar?” Saya belum bersedia menjawab, jadi saya kata, “Saya tidak dapat buktikannya sekarang. Tapi saya akan menunjukkan jawapannya minggu depan.” Jadi, saya mencari ayat-ayat Bible yang menyokong isi yang kami bincangkan itu. Sejak itu, saya belajar untuk membuat penyelidikan dan persiapan yang lebih teliti. Hasilnya, saya dan Ayah membuat kemajuan secara rohani. Ayah menerapkan apa yang dipelajarinya dan dibaptis pada tahun 1952.

TERUS BELAJAR DI BETHEL

Saya berpindah keluar dari rumah semasa berumur 17 tahun. Sekitar masa itu, kakak saya Jetha a telah menjadi mubaligh, dan abang saya Don menjadi ahli Bethel. Mereka berdua sangat suka tugasan mereka dan hal itu menggalakkan saya. Maka, saya memohon untuk menyertai Bethel dan Sekolah Gilead dan menunggu Yehuwa untuk membuat keputusannya. Hasilnya, saya dijemput untuk berkhidmat di Bethel pada tahun 1946.

Sepanjang 75 tahun di Bethel, saya diberi bermacam-macam tugasan. Oleh itu, saya belajar banyak hal seperti mencetak buku, membuat akaun, membeli barang, dan menghantar barangan ke negara lain. Yang terpenting, saya belajar banyak hal rohani daripada program penyembahan pagi dan ceramah di Bethel.

Mengajar kelas untuk para penatua

Saya juga belajar daripada adik saya Karl, yang mula berkhidmat di Bethel pada tahun 1947. Dia seorang pelajar dan guru Bible yang baik. Pernah sekali, saya meminta bantuannya untuk sediakan ceramah. Saya memberitahu Karl bahawa saya sudah jumpa banyak bahan untuk ceramah saya, tetapi tidak tahu cara menggunakannya. Jadi Karl menanya saya, “Joel, apakah tema ceramah kamu?” Saya segera faham maksudnya: Saya hanya patut menggunakan bahan yang berkaitan dengan ceramah saya. Saya tidak pernah lupa pengajaran itu.

Untuk menjadi ahli Bethel yang gembira, amatlah penting untuk menginjil dengan bersungguh-sungguh. Hasilnya, kita dapat meraih pengalaman yang menggalakkan. Contohnya pada suatu petang di kawasan Bronx di Bandar Raya New York, saya dan seorang saudara mengunjungi seorang wanita yang pernah menerima majalah The Watchtower dan Awake! Kami memperkenalkan diri dengan berkata, “Petang ini, kami sedang mengongsi hal-hal yang menggalakkan daripada Bible.” Wanita itu menjawab, “Kalau ini tentang Bible, silakan masuk.” Kami membaca dan membincangkan beberapa ayat Bible tentang Kerajaan Tuhan dan dunia baharu. Hal itu menarik minatnya, dan minggu berikutnya dia bahkan menjemput beberapa orang kawannya untuk menyertai perbincangan kami. Akhirnya, dia dan suaminya menjadi penyembah Yehuwa yang setia.

BELAJAR DARIPADA ISTERI SAYA

Sepuluh tahun selepas saya memutuskan bahawa saya mahu berkahwin, saya telah berkenalan dengan isteri saya. Apakah yang membantu saya mencari pasangan yang sesuai? Saya telah berdoa dan menanya diri, “Apakah yang saya mahu lakukan selepas berkahwin?”

Bersama Mary dalam kerja litar

Semasa konvensyen di Stadium Yankee pada tahun 1953, saya berjumpa dengan seorang saudari yang bernama Mary Aniol. Dia dan kakak saya Jetha telah menghadiri kelas Gilead yang ke-2 dan ditugaskan sebagai rakan mubaligh. Dengan bersemangat, Mary memberitahu saya pengalamannya di Caribbean dan pembelajaran Bible yang pernah dikendalikannya. Apabila kami semakin mengenali satu sama lain, kami sedar bahawa kami mempunyai matlamat rohani yang sama. Kami jatuh cinta lalu berkahwin pada April 1955. Mary sesungguhnya kurniaan daripada Yehuwa dan teladan yang baik. Dia berkhidmat dengan gembira tidak kira apa tugasannya. Dia rajin, mengambil berat terhadap orang lain, dan selalu mengutamakan Kerajaan Tuhan. (Mat. 6:33) Selepas kami melakukan kerja lawatan selama tiga tahun, kami dijemput ke Bethel pada tahun 1958.

Saya belajar banyak hal daripada Mary. Contohnya selepas berkahwin, kami akan membaca Bible bersama-sama. Kami akan baca kira-kira 15 ayat setiap hari dan kongsi cara menerapkan prinsipnya dalam hidup kami. Mary sering mengongsi apa yang dipelajarinya di Gilead atau semasa berkhidmat sebagai mubaligh. Apa yang saya belajar daripada Mary telah meningkatkan mutu ceramah saya dan mengajar saya cara untuk menggalakkan para saudari.​—Ams. 25:11.

Isteri kesayangan saya meninggal pada tahun 2013. Saya tidak sabar-sabar hendak berjumpa dengannya semula di dunia baharu. Sementara itu, saya bertekad untuk terus belajar daripada Yehuwa dan bergantung pada-Nya. (Ams. 3:​5, 6) Semasa saya memikirkan kehidupan di dunia baharu, saya berasa lega dan gembira. Saya juga menantikan peluang untuk terus mengenali Yehuwa dan belajar daripada-Nya. Sememangnya, saya sangat bersyukur kerana sepanjang hayat saya, saya dapat belajar daripada Yehuwa dan merasai kebaikan hati-Nya yang unggul!

a Lihat kisah hidup Jetha Sunal dalam majalah Menara Pengawal bahasa Indonesia terbitan 1 Mac 2003, ms. 23-29.