Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Pertanyaan Pembaca

Pertanyaan Pembaca

Siapakah “malaikat yang dipilih oleh Tuhan” yang disebut di 1 Timotius 5:21?

Rasul Paulus menulis kepada Timotius yang juga seorang penatua, “Aku memberi kamu perintah di hadapan Tuhan dan Kristus Yesus serta malaikat yang dipilih oleh Tuhan, supaya kamu mematuhi arahan-arahan ini tanpa prasangka atau sikap berat sebelah.”​—1 Tim. 5:21.

Pertama, “malaikat yang dipilih oleh Tuhan” tidak mungkin merujuk kepada 144,000 orang Kristian terurap. Semasa Paulus menulis suratnya kepada Timotius, pembangkitan ke syurga bagi orang Kristian terurap belum lagi bermula. Para rasul dan orang Kristian terurap pada abad pertama juga belum lagi menjadi makhluk roh di syurga.​—1 Kor. 15:​50-54; 1 Tes. 4:​13-17; 1 Yoh. 3:2.

Selain itu, “malaikat yang dipilih oleh Tuhan” tidak mungkin merujuk kepada malaikat yang memberontak terhadap Tuhan pada zaman Nuh. Mereka menyokong Syaitan dan menjadi roh-roh jahat, iaitu musuh Yesus. (Kej. 6:2; Luk. 8:​30, 31; 2 Ptr. 2:4) Pada masa depan, mereka akan dikurung selama 1,000 tahun dan kemudian dibinasakan bersama Iblis.​—Yud. 6; Why. 20:​1-3, 10.

Jadi, “malaikat yang dipilih oleh Tuhan” yang disebut oleh Paulus pasti merujuk kepada para malaikat di syurga yang setia kepada “Tuhan dan Kristus Yesus.”

Di syurga, ada beribu-ribu malaikat yang setia. (Ibr. 12:​22, 23) Mereka tidak semestinya melakukan tugas yang sama pada masa yang sama. (Why. 14:​17, 18) Contohnya, pada zaman kuno, satu malaikat telah ditugaskan untuk membunuh 185,000 orang askar Assyria. (2 Raj. 19:35) Sebilangan malaikat mungkin telah ditugaskan untuk mengeluarkan orang tertentu daripada Kerajaan Tuhan, iaitu “mereka yang menyebabkan orang lain tersandung dan mereka yang mengamalkan perbuatan jahat.” (Mat. 13:​39-41) Malaikat lain pula diutus untuk mengumpulkan pengikut Yesus “yang terpilih” ke syurga. (Mat. 24:31) Ada juga yang diarahkan untuk ‘melindungi kita ke mana sahaja kita pergi.’​—Mzm. 91:11; Mat. 18:10; bandingkan Matius 4:11; Lukas 22:43.

Nampaknya, “malaikat yang dipilih oleh Tuhan,” yang disebut di 1 Timotius 5:​21, telah diberi tugas yang berkait rapat dengan sidang. Bagaimanakah kita tahu? Dalam konteks ayat itu, Paulus menasihati sidang untuk menghormati para penatua. Dia juga menasihati penatua untuk menjalankan tanggungjawab “tanpa prasangka atau sikap berat sebelah,” dan tidak membuat keputusan secara terburu-buru. Para penatua ada sebab yang baik untuk mengikut nasihat Paulus kerana mereka berkhidmat “di hadapan Tuhan dan Kristus Yesus serta malaikat yang dipilih oleh Tuhan.” Jadi kita dapat menyimpulkan bahawa tugas sesetengah malaikat berkait rapat dengan sidang. Contohnya, mereka diberi tugas untuk melindungi saudara saudari, memastikan kerja penyebaran dilakukan dengan baik, dan melaporkan kepada Yehuwa apa yang diperhatikan mereka.​—Mat. 18:10; Why. 14:6.