Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Teruslah Maju sebagai Orang yang Berfikiran Rohani!

Teruslah Maju sebagai Orang yang Berfikiran Rohani!

“Teruslah berjalan menurut bimbingan kuasa suci Tuhan.”​—GAL. 5:16.

LAGU: 22, 75

1, 2. Apakah yang disedari seorang saudara tentang kerohaniannya? Apakah yang dilakukannya?

ROBERT dibaptis semasa remaja, tetapi dia tidak serius tentang kebenaran. Katanya, “Saya tidak buat salah, tetapi saya sekadar ikut rutin Kristian. Saya nampak kuat secara rohani kerana saya menghadiri semua perjumpaan dan menjadi perintis sokongan beberapa kali setahun. Tetapi ada sesuatu yang kurang.”

2 Robert tidak tahu apa yang kurang sehinggalah dia berkahwin. Untuk mengisi masa lapang, dia dan isterinya akan saling bertanya soalan Bible. Isterinya kuat secara rohani dan dapat menjawab dengan mudah, tetapi Robert selalu malu dan terdiam kerana tidak tahu jawapannya. Dia berkata, “Saya seperti tidak tahu apa-apa. Jadi saya fikir, ‘Kalau saya mahu pimpin isteri secara rohani, saya perlu buat sesuatu.’” Apakah yang dilakukannya? Dia berkata, “Saya mengkaji Bible dengan giat, dan mula melihat kaitannya. Sekarang pemahaman saya bertambah, dan penting sekali, saya lebih rapat dengan Yehuwa.”

3. (a) Apakah yang dapat kita pelajari daripada pengalaman Robert? (b) Apakah yang akan kita bincangkan?

3 Pengalaman Robert menunjukkan bahawa meskipun kita ada pengetahuan Bible dan sering bergaul dengan sidang, kita tidak semestinya akan menjadi orang yang berfikiran rohani. Kita mungkin sudah maju secara rohani, tetapi selepas memeriksa diri, kita mungkin mendapati bahawa masih ada ruang untuk maju lagi. (Flp. 3:16) Untuk membantu kita terus maju, rencana ini akan membincangkan tiga soalan: (1) Bagaimanakah kita dapat menilai keadaan sebenar kerohanian kita? (2) Bagaimanakah kita dapat memantapkan kerohanian kita dan terus bertumbuh secara rohani? (3) Bagaimanakah kerohanian yang teguh membantu kita dalam kehidupan seharian?

MENILAI DIRI SENDIRI

4. Nasihat di Efesus 4:23, 24 ditujukan kepada siapa?

4 Untuk menjadi hamba Tuhan, kita membuat perubahan yang merangkumi setiap segi kehidupan kita. Selepas dibaptis, perubahan itu tidak berakhir, kerana kita perlu ‘terus membaharui cara kita berfikir.’ (Ef. 4:23, 24) Oleh sebab kita tidak sempurna, kita perlu terus membuat perubahan. Orang yang sudah lama menyembah Yehuwa pun perlu memelihara kerohanian sendiri.​—Flp. 3:12, 13.

5. Apakah soalan-soalan yang boleh kita gunakan untuk menilai diri sendiri?

5 Untuk meningkatkan dan memelihara kerohanian sendiri, kita perlu menilai diri dengan jujur. Baik tua mahupun muda, tanyalah diri soalan seperti: “Adakah perubahan dalam diri saya menunjukkan bahawa saya semakin berfikiran rohani? Adakah keperibadian saya menjadi semakin mirip dengan keperibadian Kristus? Apakah yang ditunjukkan melalui sikap dan kelakuan saya semasa di perjumpaan? Perbualan saya menunjukkan apa mengenai keinginan saya? Tabiat pembelajaran saya, pakaian serta dandanan saya, dan reaksi saya terhadap teguran menunjukkan apa tentang saya? Apakah reaksi saya semasa digoda? Sudahkah saya maju sehingga menjadi orang Kristian yang matang?” (Ef. 4:13) Kita dapat menilai kerohanian kita dengan memikirkan jawapan kepada soalan-soalan itu.

6. Apakah cara lain yang dapat membantu kita mengetahui keadaan rohani sendiri?

6 Ada kalanya, kita perlu bantuan orang lain untuk mengetahui keadaan rohani sendiri. Rasul Paulus menyatakan bahawa orang yang berfikiran duniawi tidak tahu bahawa dia bersalah di sisi Tuhan. Tetapi orang yang berfikiran rohani tahu akan pandangan Tuhan dan menyedari bahawa haluan hidup orang yang berfikiran duniawi itu salah. (1 Kor. 2:14-16; 3:1-3) Apabila seorang Kristian mula berfikiran duniawi, penatua yang mempunyai fikiran Kristus sering dapat mengesan perubahan itu. Jika mereka menegur kita, adakah kita akan menerima dan menerapkan nasihat itu? Jika kita berbuat demikian, hal itu menunjukkan bahawa kita ingin bertumbuh secara rohani.​—Pkh. 7:5, 9.

MENGUKUHKAN KEROHANIAN ANDA

7. Mengapakah sekadar memiliki pengetahuan Bible tidak cukup untuk menjadi orang yang berfikiran rohani?

7 Ingatlah bahawa sekadar memiliki pengetahuan Bible tidak cukup untuk menjadi orang yang berfikiran rohani. Raja Salomo memiliki banyak pengetahuan tentang Yehuwa, dan kata-katanya bahkan dijadikan sebahagian daripada Bible. Namun akhirnya, dia menjadi lemah secara rohani dan tidak setia kepada Yehuwa. (1 Raj. 4:29, 30; 11:4-6) Oleh itu, selain pengetahuan Bible, kita perlu terus maju secara rohani. (Kol. 2:6, 7) Bagaimanakah kita melakukannya?

8, 9. (a) Apakah yang dapat membantu kita menjadi stabil secara rohani? (b) Apakah matlamat kita semasa belajar dan membuat perenungan? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

8 Paulus menggesa orang Kristian pada abad pertama agar “berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi matang.” (Ibr. 6:1) Bagaimanakah kita dapat mengikut nasihat Paulus? Satu langkah penting adalah dengan mempelajari buku Terus Hidup di Bawah Naungan Kasih Tuhan supaya anda tahu menggunakan prinsip Bible dalam kehidupan seharian. Jika anda sudah habis mempelajari buku itu, terdapat bahan bacaan lain yang dapat menstabilkan iman anda. (Kol. 1:23) Selain itu, berdoalah dan renungkanlah bagaimana anda dapat menerapkan apa yang dipelajari.

9 Semasa belajar dan membuat perenungan, matlamat kita adalah untuk memupuk keinginan yang kuat untuk menyenangkan hati Yehuwa dan mentaati-Nya. (Mzm. 40:8; 119:97) Pada masa yang sama, kita berusaha untuk menolak apa sahaja yang akan membantutkan pertumbuhan rohani kita.​—Tit. 2:11, 12.

10. Apakah yang dapat dilakukan kaum muda untuk mengukuhkan kerohanian mereka?

10 Jika anda masih muda, adakah anda mempunyai matlamat rohani? Di setiap perhimpunan litar, seorang saudara dari Bethel akan bertanya kepada kaum muda yang bakal dibaptis tentang matlamat rohani mereka. Ramai antara mereka ada matlamat rohani yang jelas, contohnya berkhidmat sepenuh masa atau pergi ke kawasan yang memerlukan bantuan. Namun, ada kalanya sesetengah kaum muda tidak dapat menjawab soalan tersebut. Mungkinkah mereka berasa bahawa mereka tidak perlu ada matlamat rohani? Kaum muda, tanyalah diri, “Adakah saya ikut aktiviti rohani hanya kerana disuruh oleh ibu bapa? Adakah saya sendiri mempunyai hubungan yang erat dengan Tuhan?” Sudah tentu, tidak kira tua atau muda, kita patut memiliki matlamat rohani agar dapat menjadi kukuh secara rohani.​—Pkh. 12:1, 13.

11. (a) Apakah yang perlu dilakukan untuk membuat kemajuan rohani? (b) Siapakah watak Bible yang dapat kita tiru?

11 Setelah mengetahui aspek yang perlu diperbaik, kita perlu ambil langkah untuk membuat kemajuan. Menjadi orang yang berfikiran rohani sangat penting, kerana hal itu melibatkan hidup dan mati kita. (Rm. 8:6-8) Yehuwa tidak mengharapkan kita untuk menjadi sempurna, dan Dia memberi kita kuasa suci-Nya agar kita dapat membuat kemajuan. Tetapi kita sendiri perlu mencurahkan usaha. Semasa mengulas Lukas 13:24, Saudara John Barr yang pernah berkhidmat sebagai ahli Badan Pimpinan berkata, “Banyak orang gagal kerana mereka tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi kuat.” Kita perlu meniru Yakub yang tidak berputus asa semasa bergelut dengan malaikat sehingga dia mendapat berkat. (Kej. 32:26-28) Walaupun pembelajaran Bible dapat menjadi sesuatu yang menyeronokkan, kita tidak patut membaca Bible sebagai hiburan, seperti membaca novel. Kita perlu berusaha mencari permata rohani yang bermanfaat.

12, 13. (a) Apakah yang dapat membantu kita menerapkan Roma 15:5? (b) Bagaimanakah teladan dan nasihat Rasul Petrus dapat membantu kita? (c) Apakah yang dapat anda lakukan untuk bertumbuh secara rohani? (Lihat kotak “ Langkah-Langkah untuk Maju Secara Rohani.”)

12 Apabila kita berusaha untuk maju secara rohani, kuasa suci Tuhan dapat mengubah cara kita berfikir. Secara bertahap, kita akan mula memiliki fikiran Kristus. (Rm. 15:5) Kuasa suci Tuhan juga dapat membantu kita menghentikan keinginan salah dan memupuk sifat-sifat yang menyenangkan Tuhan. (Gal. 5:16, 22, 23) Namun, jika kita mendapati fikiran kita lebih bertumpu kepada kebendaan atau keinginan sendiri, janganlah putus asa. Teruslah minta bantuan kuasa suci Yehuwa untuk bertumpu kepada hal yang baik. (Luk. 11:13) Ingatlah contoh Rasul Petrus. Ada kalanya, dia gagal mencerminkan fikiran Kristus. (Mat. 16:22, 23; Luk. 22:34, 54-62; Gal. 2:11-14) Namun, dia tidak putus asa. Akhirnya dengan bantuan Yehuwa, Petrus dapat memiliki fikiran Kristus. Kita juga dapat meniru teladannya.

13 Petrus kemudiannya menyebut secara spesifik beberapa sifat yang perlu kita pupuk. (Baca 2 Petrus 1:5-8.) Kita perlu “berusaha sedaya upaya” untuk memupuk sifat-sifat seperti kawalan diri, ketabahan, dan kasih terhadap sesama saudara. Dengan demikian, kita dapat terus maju sebagai orang yang berfikiran rohani. Setiap hari, tanyalah diri anda, “Apakah sifat yang dapat saya usahakan hari ini agar dapat maju secara rohani?”

MENERAPKAN PRINSIP BIBLE DALAM KEHIDUPAN SEHARIAN

14. Jika kita berfikiran rohani, bagaimanakah hal itu akan mempengaruhi kehidupan kita?

14 Jika kita memiliki fikiran Kristus, hal itu akan mempengaruhi pertuturan dan kelakuan kita di sekolah atau di tempat kerja, dan keputusan yang kita buat setiap hari. Semasa membuat keputusan, kita akan menunjukkan bahawa kita ingin meniru Kristus. Sebagai orang yang berfikiran rohani, kita tidak ingin membiarkan apa pun merosakkan hubungan kita dengan Yehuwa. Semasa digoda, pemikiran Kristus akan mendorong kita untuk menolak godaan itu. Semasa membuat keputusan, kita akan berhenti sejenak dan tanya diri, “Apakah prinsip Bible yang dapat bantu saya? Apakah yang akan dilakukan Kristus dalam situasi begini? Apakah keputusan yang menyenangkan hati Yehuwa?” Kita perlu berusaha untuk memupuk tabiat pemikiran sebegini. Mari kita lihat beberapa situasi dan prinsip Bible yang dapat membantu kita membuat keputusan yang bijak.

15, 16. Berikan contoh tentang bagaimana fikiran Kristus membantu anda membuat keputusan semasa memilih (a) teman hidup. (b) pergaulan.

15 Memilih teman hidup. Prinsip Bible mengenai hal ini terdapat di 2 Korintus 6:14, 15. (Baca.) Nasihat Paulus jelas menunjukkan bahawa orang yang berfikiran rohani tidak dapat hidup dengan harmoni bersama seseorang yang berfikiran duniawi. Bagaimanakah prinsip ini dapat diterapkan semasa memilih teman hidup?

16 Pergaulan. Perhatikan prinsip Bible di 1 Korintus 15:33. (Baca.) Orang yang berfikiran rohani tidak akan bergaul dengan orang yang dapat membahayakan kerohaniannya. Fikirkan bagaimana anda dapat menerapkan prinsip ini dalam pelbagai situasi. Contohnya, bagaimanakah prinsip itu membantu anda semasa menggunakan laman sosial atau semasa dijemput untuk bermain game di internet dengan orang yang tidak dikenali?

Adakah keputusan saya akan membantu saya bertumbuh secara rohani? (Lihat perenggan 17)

17-19. Bagaimanakah fikiran yang rohani membantu anda (a) mengelakkan kegiatan yang sia-sia? (b) memiliki matlamat dalam kehidupan? (c) menyelesaikan pertengkaran?

17 Kegiatan yang membahayakan kerohanian kita. Paulus memberikan amaran kepada rakan seimannya di Ibrani 6:1. (Baca.) Apakah “kerja yang sia-sia” yang harus dielakkan? Apa sahaja kegiatan yang tidak membantu kita secara rohani. Prinsip ini dapat membantu kita menjawab soalan seperti: Adakah kegiatan ini bermanfaat atau sia-sia? Patutkah saya terlibat dalam peluang perniagaan ini? Mengapakah saya tidak patut melibatkan diri dengan kumpulan-kumpulan reformasi?

Adakah keputusan saya akan membantu saya menetapkan matlamat rohani? (Lihat perenggan 18)

18 Matlamat rohani. Dalam Ceramah Di Atas Gunung, Yesus memberi kita bimbingan tentang menetapkan matlamat. (Mat. 6:33) Orang yang berfikiran rohani akan mengutamakan Kerajaan Tuhan dalam kehidupannya. Prinsip ini dapat membantu kita menjawab soalan seperti, “Patutkah saya melanjutkan pelajaran? Patutkah saya terima tawaran kerja tertentu?”

Adakah keputusan saya akan membantu saya “berdamai dengan semua orang”? (Lihat perenggan 19)

19 Pertengkaran. Bagaimanakah nasihat Paulus kepada sidang Roma membantu kita sewaktu timbulnya pertengkaran? (Rm. 12:18) Sebagai pengikut Kristus, kita berusaha “berdamai dengan semua orang.” Jadi apabila timbulnya pertikaian, apakah reaksi kita? Adakah kita berasa susah untuk menerima pendapat orang lain, atau adakah kita dikenali sebagai orang yang “berusaha mewujudkan kedamaian?”​—Yak. 3:18.

20. Mengapakah anda ingin membuat kemajuan rohani?

20 Kita telah membincangkan beberapa contoh yang menunjukkan bagaimana prinsip Bible dapat membantu kita membuat keputusan yang dibimbing oleh kuasa suci Tuhan. Jika kita berfikiran rohani, kita akan berasa sukacita dan puas hati. Robert, yang disebut pada awal rencana, berkata, “Selepas memupuk hubungan yang lebih akrab dengan Yehuwa, saya menjadi suami dan bapa yang lebih baik. Saya rasa puas dan bahagia.” Kita juga dapat menikmati berkat yang sama jika kita berusaha sedaya upaya untuk membuat kemajuan rohani. Dengan demikian, kita akan hidup bahagia sekarang dan mendapat “kehidupan yang sejati” pada masa depan.​—1 Tim. 6:19.