Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 9

Kasih dan Keadilan pada Zaman Israel Kuno

Kasih dan Keadilan pada Zaman Israel Kuno

“Yehuwa mencintai keadilan dan kejujuran. Bumi penuh dengan kasih setia-Nya.”​—MZM. 33:5.

LAGU 3 Engkaulah Sumber Kekuatan, Harapan, dan Keyakinan

PENGENALAN *

1-2. (a) Apakah yang kita semua inginkan? (b) Kita boleh yakin akan hal apa?

KITA semua ingin dikasihi dan dilayan dengan adil. Jika kita selalu diperlakukan dengan buruk dan tidak adil, kita akan berasa tidak berguna dan putus harapan.

2 Yehuwa tahu bahawa kita menginginkan kasih dan keadilan. (Mzm. 33:5) Jika anda mendahagakan kasih atau hancur hati kerana tidak dilayan dengan adil, yakinlah bahawa Tuhan amat mengasihi kita dan ingin kita diperlakukan dengan adil. Melalui Hukum Musa, * kita akan belajar bagaimana Yehuwa mengambil berat terhadap umat-Nya.

3. (a) Seperti yang dinyatakan di Roma 13:8-10, apakah yang akan kita pelajari melalui Hukum Musa? (b) Apakah soalan-soalan yang akan dijawab dalam rencana ini?

3 Melalui Hukum Musa, kita akan mempelajari betapa penyayangnya Tuhan Yehuwa. (Baca Roma 13:8-10.) Dalam rencana ini, kita akan melihat beberapa hukum itu dan menjawab soalan-soalan ini: Apakah buktinya bahawa kasih ialah dasar kepada Hukum Musa? Apakah yang menunjukkan bahawa Hukum Musa menggalakkan sifat adil? Bagaimanakah para pemimpin dan hakim harus menguatkuasakan Hukum? Siapakah yang diberi perlindungan khas di bawah Hukum? Jawapan kepada soalan-soalan ini akan melegakan hati kita, memberi kita harapan, dan mendekatkan kita kepada Bapa kita yang pengasih.​—Kis. 17:27; Rm. 15:4.

HUKUM YANG BERDASARKAN KASIH

4. (a) Bagaimanakah kita tahu bahawa kasih ialah asas kepada Hukum Musa? (b) Menurut Matius 22:36-40, apakah dua perintah yang terpenting?

4 Kasih ialah asas kepada Hukum Musa, kerana semua perbuatan Yehuwa adalah berdasarkan kasih. (1 Yoh. 4:8) Semua perintah dalam Hukum Musa didasarkan pada dua perintah yang asas: Kasihilah Tuhan dan kasihilah orang lain. (Im. 19:18; Ul. 6:5; baca Matius 22:36-40.) Oleh itu, setiap perintah dalam Hukum dapat mengajar kita sesuatu tentang kasih Yehuwa. Mari kita perhatikan beberapa contoh.

5-6. Apakah yang diingini Yehuwa daripada suami isteri? Apakah yang diperhatikan-Nya? Berikan contoh.

5 Tetap setia kepada pasangan hidup dan menjaga anak. Yehuwa ingin suami isteri memupuk kasih yang dapat bertahan seumur hidup. (Kej. 2:24; Mat. 19:3-6) Perzinaan merupakan ‘dosa terhadap Tuhan’ dan jenayah yang sangat kejam. (Kej. 39:7-9) Teman hidup yang dikhianati mungkin dilukai selama puluhan tahun. Maka tidak hairanlah perintah ketujuh dalam Sepuluh Hukum melarang perbuatan zina.​—Ul. 5:18.

6 Yehuwa memperhatikan bagaimana suami isteri memperlakukan satu sama lain. Dia menghendaki lelaki Israel melayan isteri mereka dengan baik. Suami yang mematuhi Hukum akan mengasihi isterinya dan tidak menceraikannya atas sebab yang remeh. (Ul. 24:1-4; Mat. 19:3, 8) Namun, jika dia menceraikan isterinya kerana timbulnya masalah yang serius, dia harus memberi isterinya surat cerai. Dengan adanya surat tersebut, seorang wanita yang diceraikan boleh berkahwin lagi tanpa dituduh berlaku curang. Selain itu, sebelum memberi isterinya surat cerai, suami itu nampaknya perlu berjumpa dengan para pemimpin kota terlebih dahulu. Langkah ini memberi para pemimpin peluang untuk menasihati pasangan itu dan menyelamatkan perkahwinan mereka. Apabila seorang lelaki Israel menceraikan isterinya atas alasan yang remeh, Yehuwa tidak selalunya mengutus nabi atau pemimpin untuk campur tangan. Namun, Dia melihat air mata si isteri dan merasai kepedihannya.​—Mal. 2:13-16.

Yehuwa mahu anak-anak dibesarkan dalam suasana yang selamat dan penyayang. Dia juga menghendaki ibu bapa melindungi dan mengajar anak-anak mereka (Lihat perenggan 7-8) *

7-8. (a) Apakah perintah Yehuwa kepada ibu bapa? (Lihat gambar pada muka depan majalah.) (b) Apakah pengajarannya untuk kita?

7 Hukum Musa juga menunjukkan bahawa Yehuwa amat prihatin terhadap kesejahteraan anak-anak. Dia memerintahkan ibu bapa untuk menjaga bukan sahaja keperluan fizikal anak, tetapi juga keperluan rohani mereka. Ibu bapa harus menggunakan setiap kesempatan untuk membantu anak mereka menghargai Hukum Yehuwa dan mengasihi-Nya. (Ul. 6:6-9; 7:13) Apabila orang Israel berlaku kejam terhadap anak sendiri, Yehuwa menghukum mereka. (Yer. 7:31, 33) Yehuwa ingin ibu bapa memandang anak sendiri sebagai warisan yang dikurniakan oleh-Nya, bukan seperti barangan yang boleh diabaikan atau diperlakukan sesuka hati.​—Mzm. 127:3.

8 Pengajarannya: Yehuwa memperhatikan bagaimana suami isteri melayan satu sama lain. Dia ingin ibu bapa mengasihi anak, dan Dia akan menghakimi mereka jika mereka memperlakukan anak sendiri dengan buruk.

9-11. Mengapakah Yehuwa melarang umat-Nya mengingini milik orang lain?

9 Jangan mengingini milik orang lain. Itulah perintah terakhir dalam Sepuluh Hukum. (Ul. 5:21; Rm. 7:7) Mengapakah Yehuwa memberikan perintah ini? Dia ingin mengajar umat-Nya agar menjaga hati dan fikiran sendiri, kerana Dia tahu bahawa perbuatan jahat berpunca daripada fikiran dan perasaan yang jahat. (Ams. 4:23) Jika orang Israel membiarkan nafsu yang salah bertumbuh dalam hati, kemungkinan besar mereka akan berbuat jahat terhadap orang lain. Itulah yang terjadi kepada Raja Daud. Dia seorang yang baik, tetapi pernah sekali, dia menginginkan isteri orang lain, dan keinginannya itu mengakibatkan dosa. (Yak. 1:14, 15) Daud telah berzina, mencuba memperdaya suami wanita itu, dan merancang agar dia dibunuh.​—2 Sam. 11:2-4; 12:7-11.

10 Yehuwa dapat membaca isi hati. Maka Dia tahu apabila seseorang mengingini milik orang lain. (1 Taw. 28:9) Hukum yang melarang keinginan sedemikian mengajar orang Israel bahawa mereka harus menjauhi fikiran yang dapat mengakibatkan dosa. Tidakkah anda setuju bahawa Yehuwa ialah Bapa yang bijak dan penyayang?

11 Pengajarannya: Yehuwa bukan sekadar melihat rupa luaran, tetapi juga melihat hati dan batin kita. (1 Sam. 16:7) Kita tidak dapat merahsiakan fikiran, perasaan, atau perbuatan kita daripada-Nya. Yehuwa mencari sifat-sifat baik dalam hati kita, dan Dia ingin kita mengembangkan sifat-sifat itu. Pada masa yang sama, Dia mahu kita mengenal pasti dan mematikan keinginan yang salah supaya keinginan itu tidak menyebabkan kita terjebak dalam dosa.​—2 Taw. 16:9; Mat. 5:27-30.

HUKUM YANG MENGGALAKKAN SIFAT ADIL

12. Apakah yang kita belajar daripada Hukum Musa?

12 Hukum Musa juga mengajar kita bahawa Yehuwa mencintai keadilan. (Mzm. 37:28; Yes. 61:8) Tuhan telah menunjukkan sifat ini dengan sempurna. Apabila orang Israel mematuhi hukum-Nya, Dia memberkati mereka. Namun, apabila mereka melanggar piawaian-Nya yang benar, mereka menderita. Mari kita perhatikan dua lagi perintah dalam Sepuluh Hukum.

13-14. Apakah yang dinyatakan dalam dua perintah pertama Sepuluh Hukum? Jika orang Israel mematuhi perintah-perintah itu, apakah manfaat yang akan diterima mereka?

13 Hanya boleh menyembah Yehuwa. Dua perintah pertama dalam Sepuluh Hukum menghendaki orang Israel menyembah Yehuwa sahaja dan melarang mereka menyembah berhala. (Kel. 20:3-6) Perintah-perintah itu bukanlah untuk kebaikan Yehuwa, tetapi untuk kebaikan umat-Nya. Apabila umat Tuhan tetap setia kepada-Nya, mereka hidup makmur. Tetapi apabila mereka menyembah dewa dewi bangsa asing, mereka hidup menderita.

14 Fikirkan orang Kanaan. Oleh sebab mereka menyembah patung berhala yang tidak bernyawa dan bukannya Tuhan yang benar, mereka terjebak dalam kelakuan yang buruk. (Mzm. 115:4-8) Upacara keagamaan orang Kanaan melibatkan perbuatan seks yang menjijikkan, dan mereka mengorbankan anak-anak kepada dewa dewi. Apabila orang Israel meninggalkan Yehuwa dan menyembah berhala, mereka juga melakukan hal-hal yang sangat buruk dan menyusahkan keluarga sendiri. (2 Taw. 28:1-4) Para pemimpin Israel tidak lagi mengikut piawaian Yehuwa yang adil. Mereka menyalahgunakan kuasa sendiri dan menindas golongan yang miskin dan lemah. (Yeh. 34:1-4) Oleh sebab mereka berbuat jahat kepada wanita dan kanak-kanak, Yehuwa berfirman bahawa Dia akan menghukum mereka. (Ul. 10:17, 18; 27:19) Sebaliknya, apabila orang Israel setia kepada Yehuwa dan melayan satu sama lain dengan adil, mereka diberkati Tuhan.​—1 Raj. 10:4-9.

Yehuwa mengasihi kita, dan Dia tahu semasa kita dilayan dengan tidak adil (Lihat perenggan 15)

15. Apakah yang kita pelajari tentang Yehuwa?

15 Pengajarannya: Apabila seseorang mengaku diri menyembah Yehuwa tetapi tidak mempedulikan piawaian-Nya lalu menyusahkan umat-Nya, hal itu bukan salah Yehuwa. Namun Yehuwa mengasihi kita, dan Dia tahu semasa kita dilayan dengan tidak adil. Seorang ibu merasai penderitaan bayinya, tetapi Yehuwa lebih memahami kesusahan kita. (Yes. 49:15) Apabila seseorang menindas orang lain, Yehuwa mungkin tidak segera campur tangan. Tetapi jika orang itu enggan bertaubat, Yehuwa pasti menghakiminya pada waktu yang ditentukan.

BAGAIMANAKAH HUKUM DIKUATKUASAKAN?

16-18. Perintah dalam Hukum Musa merangkumi apa? Apakah pengajarannya bagi kita?

16 Perintah dalam Hukum Musa merangkumi banyak aspek kehidupan orang Israel. Para pemimpin bukan sahaja perlu berlaku adil semasa menangani hal-hal rohani, tetapi juga semasa membicarakan kes pertikaian dan jenayah. Perhatikan contoh-contoh berikut.

17 Jika seseorang membunuh orang lain, dia tidak semestinya dihukum mati. Para pemimpin di kotanya akan menyiasat apa yang berlaku sebelum memutuskan sama ada dia patut dihukum mati atau tidak. (Ul. 19:2-7, 11-13) Para pemimpin perlu mengadili banyak hal lagi, seperti pertikaian tentang harta atau masalah perkahwinan. (Kel. 21:35; Ul. 22:13-19) Apabila para pemimpin berlaku adil dan orang Israel mematuhi Hukum, semua orang meraih manfaatnya dan dapat memuliakan Yehuwa.​—Im. 20:7, 8; Yes. 48:17, 18.

18 Pengajarannya: Yehuwa memperhatikan setiap aspek kehidupan kita. Dia mahu kita berlaku adil dan menunjukkan kasih kepada orang lain. Dia juga mengetahui kata-kata dan perbuatan kita, bahkan semasa kita bersendirian.​—Ibr. 4:13.

19-21. (a) Bagaimanakah para pemimpin dan hakim patut memperlakukan umat Tuhan? (b) Bagaimanakah Hukum Musa melindungi orang daripada ketidakadilan? Apakah pengajarannya bagi kita?

19 Yehuwa ingin melindungi umat-Nya agar tidak dipengaruhi oleh bangsa-bangsa di sekeliling mereka. Oleh itu, Dia menyuruh para pemimpin dan hakim orang Israel untuk menguatkuasakan Hukum tanpa berat sebelah. Namun, pada masa yang sama, mereka tidak boleh terlampau tegas dan kaku. Sebaliknya, mereka harus mencintai keadilan.​—Ul. 1:13-17; 16:18-20.

20 Yehuwa berbelas kasihan terhadap umat-Nya, oleh itu Dia menetapkan beberapa perintah untuk melindungi mereka daripada ketidakadilan. Contohnya, Hukum Musa mengurangkan kemungkinan seseorang menjadi mangsa tuduhan palsu. Seseorang yang dituduh melakukan jenayah berhak mengetahui siapa yang menuduhnya. (Ul. 19:16-19; 25:1) Sebelum dia dijatuhi hukuman, sekurang-kurangnya dua orang saksi harus memberikan keterangan. (Ul. 17:6; 19:15) Bagaimana pula jika jenayah seseorang hanya dilihat oleh seorang saksi? Dia tidak harus berfikir bahawa dia sudah terlepas, kerana Yehuwa melihat perbuatannya. Dalam keluarga pula, bapa mempunyai kuasa, tetapi bukan kuasa mutlak. Sesetengah isu keluarga harus ditangani oleh para pemimpin kota, dan merekalah yang perlu membuat keputusan terakhir.​—Ul. 21:18-21.

21 Pengajarannya: Yehuwa menunjukkan sifat adil dengan sempurna sekali. (Mzm. 9:7) Dia memberikan ganjaran kepada orang yang mematuhi piawaian-Nya, tetapi menghukum orang yang menyalahgunakan kuasa. (2 Sam. 22:21-23; Yeh. 9:9, 10) Sesetengah orang jahat nampaknya terlepas daripada hukuman, tetapi Yehuwa akan mengadili mereka pada masa yang ditetapkan-Nya. (Ams. 28:13) Jikalau mereka tidak bertaubat, mereka akan “jatuh ke dalam tangan Tuhan yang hidup.”​—Ibr. 10:30, 31.

SIAPAKAH YANG DIBERI PERLINDUNGAN KHAS?

Semasa mengadili, para pemimpin harus mencerminkan kasih dan keadilan Yehuwa (Lihat perenggan 22) *

22-24. (a) Siapakah yang diberi perlindungan khas di sisi Hukum? (b) Apakah amaran yang tercatat di Keluaran 22:22-24?

22 Orang yang tidak mampu melindungi diri, seperti anak yatim, balu, dan penduduk asing, diberi perlindungan khas di sisi Hukum Musa. Yehuwa memberitahu para hakim di Israel, “Jangan mengabaikan hak orang asing dan anak yatim, dan jangan mengambil jubah seorang balu sebagai jaminan hutangnya.” (Ul. 24:17) Yehuwa amat mengasihi dan mengambil berat terhadap golongan yang lemah. Sesiapa yang menindas mereka akan dihukum-Nya.​—Baca Keluaran 22:22-24.

23 Hukum Musa juga melindungi ahli keluarga daripada sumbang mahram, iaitu hubungan seks antara keluarga dekat. (Im. 18:6-30) Bangsa-bangsa di sekeliling orang Israel menerima perbuatan sebegini, tetapi umat Yehuwa harus meniru pandangan-Nya dan menganggap perbuatan ini sebagai hal yang menjijikkan.

24 Pengajarannya: Yehuwa mahu orang yang mengambil pimpinan untuk mengasihi dan mengambil berat terhadap orang di bawah jagaan mereka. Dia membenci salah laku seks dan ingin memastikan agar semua orang, khasnya golongan yang lemah, dilindungi dan dilayan dengan adil.

HUKUM IALAH “BAYANGAN KEPADA PERKARA-PERKARA BAIK YANG AKAN DATANG”

25-26. (a) Mengapakah kasih dan keadilan bagaikan nafas dan kehidupan? (b) Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana seterusnya dalam siri ini?

25 Kasih dan keadilan bagaikan nafas dan kehidupan. Kedua-duanya saling memerlukan. Apabila kita yakin bahawa Yehuwa melayan kita dengan adil, kita akan semakin mengasihi-Nya. Apabila kita mengasihi Tuhan dan piawaian-Nya yang benar, kita akan terdorong untuk mengasihi orang lain dan melayan mereka dengan adil.

26 Perjanjian Hukum Musa telah mengeratkan hubungan Yehuwa dengan orang Israel. Selepas Yesus mengorbankan nyawanya, Hukum tidak lagi berkuat kuasa dan digantikan dengan sesuatu yang lebih baik. (Rm. 10:4) Rasul Paulus menulis bahawa Hukum ialah “bayangan kepada perkara-perkara baik yang akan datang.” (Ibr. 10:1) Rencana seterusnya dalam siri ini akan membincangkan beberapa perkara baik itu dan menjelaskan pentingnya kasih dan keadilan dalam sidang Kristian.

LAGU 109 Mengasihi dengan Sepenuh Hati

^ per. 5 Inilah artikel pertama dalam siri rencana yang membincangkan bukti bahawa Yehuwa mengambil berat tentang kita. Tiga buah artikel seterusnya dalam siri ini akan disiarkan dalam Menara Pengawal terbitan Mei 2019. Artikel-artikel itu akan membincangkan (1) bagaimana Yehuwa menunjukkan kasih dan keadilan dalam sidang Kristian, (2) cara penatua dapat melindungi sidang dan cara ibu bapa dapat melindungi anak daripada penderaan seksual, dan (3) cara kita dapat melegakan hati orang yang pernah menjadi mangsa dera seks semasa kecil.

^ per. 2 MAKSUD UNGKAPAN: Terdapat sekitar 600 perintah yang diberikan oleh Yehuwa kepada orang Israel melalui Musa. Undang-undang itu dipanggil “Hukum” atau “Hukum Musa.”

^ per. 60 KETERANGAN GAMBAR: Sambil menyiapkan makanan, seorang ibu Israel berbual dengan anak-anak perempuannya. Di belakang, suaminya mengajar anak lelakinya cara menjaga bebiri.

^ per. 64 KETERANGAN GAMBAR: Para pemimpin di pintu gerbang kota membantu seorang balu dan anaknya yang ditipu oleh pedagang.