Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 8

Mengapakah Kita Harus Menunjukkan Penghargaan?

Mengapakah Kita Harus Menunjukkan Penghargaan?

“Tunjukkanlah kesyukuran kamu.”​—KOL. 3:15.

LAGU 46 Kami Bersyukur pada-Mu Yehuwa

PENGENALAN *

1. Bagaimanakah seorang lelaki Samaria yang disembuhkan Yesus menunjukkan penghargaannya?

SEPULUH orang pesakit kusta itu sangat menderita, dan nampaknya keadaan mereka akan bertambah teruk. Tetapi pada suatu hari, mereka melihat Yesus dari jauh. Mereka sudah mendengar bahawa Yesus, Guru Agung itu, dapat menyembuhkan bermacam-macam penyakit, dan mereka percaya bahawa dia dapat membantu mereka. Oleh itu, mereka berseru, “Yesus, Guru, kasihanilah kami!” Yesus telah menyembuhkan penyakit mereka. Sudah tentu mereka semua menghargai bantuan Yesus. Namun, seorang lelaki Samaria dalam kalangan mereka bukan sahaja berasa syukur, malah dia meluahkan penghargaannya * dan memuji Tuhan “dengan suara yang lantang.”​—Luk. 17:12-19.

2-3. (a) Mengapakah kita mungkin lupa menunjukkan penghargaan? (b) Apakah yang akan kita belajar dalam rencana ini?

2 Seperti lelaki Samaria itu, kita ingin menunjukkan penghargaan kepada orang yang baik hati. Namun, ada masanya kita mungkin lupa mengungkapkan penghargaan kita melalui kata-kata atau tindakan.

3 Dalam rencana ini, kita akan membincangkan pentingnya menunjukkan penghargaan kita melalui kata-kata dan perbuatan. Kita akan mengkaji beberapa watak Bible yang menunjukkan penghargaan dan beberapa lagi yang tidak mengenang budi. Selepas itu, kita akan melihat beberapa cara yang praktikal untuk menunjukkan penghargaan.

MENGAPAKAH KITA PATUT MENUNJUKKAN PENGHARGAAN?

4-5. Mengapakah kita patut menunjukkan penghargaan?

4 Yehuwa memberi kita teladan yang baik dalam hal ini. Salah satu cara Dia menunjukkan penghargaan adalah dengan memberikan ganjaran kepada orang yang menyenangkan hati-Nya. (2 Sam. 22:21; Mzm. 13:6; Mat. 10:40, 41) Bible menggalakkan kita, “Ikutlah teladan Tuhan sebagai anak-anak yang dikasihi-Nya.” (Ef. 5:1) Maka, sebab utama kita patut menunjukkan penghargaan adalah kerana kita ingin meniru Yehuwa.

5 Perhatikan satu lagi sebab untuk menunjukkan penghargaan: Penghargaan adalah seperti makanan. Suatu hidangan akan menjadi lebih enak jika dikongsi bersama. Begitu juga, penghargaan akan menjadi lebih bermakna jika kita menunjukkannya kepada satu sama lain. Kita berasa gembira semasa menerima penghargaan, dan kita membuat orang lain gembira semasa kita meluahkan penghargaan. Apabila kita berterima kasih kepada seseorang yang membantu kita atau memberi kita sesuatu, dia akan berasa bahawa usahanya dihargai. Hasilnya, persahabatan antara kita dengannya menjadi lebih kukuh.

6. Apakah persamaan antara kata-kata penghargaan dengan epal emas?

6 Bible menyatakan, “Kata-kata yang diucapkan tepat pada waktunya bagaikan buah epal emas di dalam pinggan perak.” (Ams. 25:11) Epal emas di dalam pinggan perak pasti sangat cantik dan sangat mahal! Apakah perasaan anda jika diberi hadiah sebegini? Seperti epal emas di dalam pinggan perak, kata-kata penghargaan anda amat bernilai. Bukan itu sahaja, sebagaimana epal emas dapat disimpan untuk masa yang panjang, orang lain mungkin mengingati dan menghargai kata-kata penghargaan anda seumur hidup mereka.

MEREKA MENUNJUKKAN PENGHARGAAN

7. Menurut Mazmur 27:4, bagaimanakah Daud dan penulis mazmur yang lain menunjukkan penghargaan?

7 Ramai hamba Tuhan pada zaman lampau menunjukkan penghargaan. Salah satu contoh ialah Daud. (Baca Mazmur 27:4.) Dia amat menghargai ibadat sejati dan menunjukkan penghargaannya melalui tindakan. Dia memberikan sumbangan yang besar untuk projek pembinaan Rumah Tuhan. Keturunan Asaf menunjukkan penghargaan mereka dengan menulis mazmur atau lagu pujian. Dalam sebuah lagu, mereka bersyukur kepada Tuhan dan meluahkan rasa kagum atas ‘perbuatan-Nya yang menakjubkan.’ (Mzm. 75:1) Jelaslah, Daud dan keturunan Asaf ingin menunjukkan kepada Yehuwa bahawa mereka sangat menghargai berkat yang dikurniakan-Nya. Dapatkah anda meniru teladan mereka?

Bagaimanakah surat Paulus kepada sidang di Roma mengajar kita cara menunjukkan penghargaan? (Lihat perenggan 8-9) *

8-9. Bagaimanakah Paulus menunjukkan penghargaannya kepada rakan seimannya? Apakah hasilnya?

8 Rasul Paulus menunjukkan bahawa dia menghargai saudara saudarinya. Dia selalu bersyukur kepada Tuhan untuk mereka, dan dia meluahkan penghargaannya semasa menulis surat kepada mereka. Di Roma 16:1-15, Paulus menyebut nama 27 orang rakan seiman yang dikasihinya. Dia menulis dengan spesifik bahawa Priska dan Akwila pernah “mempertaruhkan nyawa” deminya, dan dia menyatakan bahawa Fibi telah “membantu banyak orang,” termasuk dirinya. Paulus memuji saudara saudari yang rajin itu.

9 Paulus sedar bahawa saudara saudarinya tidak sempurna, tetapi pada akhir suratnya kepada sidang di Roma, dia memilih untuk bertumpu kepada sifat-sifat baik mereka. Semasa surat Paulus dibacakan kepada sidang, saudara saudari itu pasti sangat digalakkan, dan hubungan mereka dengan Paulus tentu bertambah erat lagi. Adakah anda sentiasa menunjukkan penghargaan atas kata-kata dan perbuatan baik ahli sidang?

10. Apakah yang kita pelajari daripada cara Yesus menunjukkan penghargaan kepada para pengikutnya?

10 Dalam pesanannya kepada beberapa sidang di Asia Kecil, Yesus mengungkapkan penghargaan kepada para pengikutnya. Sebagai contoh, dia memberitahu sidang di Tiatira, “Aku mengetahui perbuatan kamu, kasih kamu, iman kamu, khidmat kamu, dan ketabahan kamu. Selain itu, aku tahu bahawa perbuatan kamu belakangan ini lebih banyak daripada perbuatan kamu pada mulanya.” (Why. 2:19) Yesus bukan sahaja menyebut tentang usaha mereka yang ditingkatkan, tetapi juga memuji mereka kerana memiliki sifat-sifat yang murni. Meskipun dia kemudiannya menegur sesetengah ahli sidang, pesanannya bermula dan berakhir dengan kata-kata galakan. (Why. 2:25-28) Fikirkan, sebagai ketua sidang, Yesus tidak perlu mengucapkan terima kasih atas kerja kita, tetapi dia masih menunjukkan penghargaannya. Teladan yang sungguh baik bagi para penatua!

MEREKA TIDAK MENGENANG BUDI

11. Seperti yang dinyatakan di Ibrani 12:16, apakah sikap Esau terhadap hal-hal yang suci?

11 Sedihnya, sesetengah watak Bible tidak tahu berterima kasih. Contohnya, Esau dibesarkan oleh ibu bapa yang mengasihi dan menghormati Yehuwa, tetapi dia tidak menghargai hal-hal yang suci. (Baca Ibrani 12:16.) Bagaimanakah dia menunjukkan sikap itu? Demi semangkuk bubur, dia menjual haknya sebagai anak sulung kepada adiknya Yakub. (Kej. 25:30-34) Esau sangat menyesali perbuatannya pada kemudian hari. Tetapi oleh sebab dia tidak menghargai hak itu, dia tidak patut mengeluh semasa kehilangan berkat yang dikhaskan untuk anak sulung.

12-13. Bagaimanakah orang Israel menunjukkan bahawa mereka tidak mengenang budi? Apakah akibatnya?

12 Orang Israel mempunyai banyak sebab untuk menunjukkan kesyukuran. Yehuwa telah mendatangkan Sepuluh Tulah kepada Mesir dan membebaskan mereka daripada perhambaan. Kemudian, Tuhan melemaskan seluruh angkatan tentera Mesir di Laut Merah untuk menyelamatkan mereka. Pada masa itu, orang Israel amat bersyukur sehingga menyanyikan lagu kemenangan untuk memuji Yehuwa. Namun, perasaan syukur itu tidak tahan lama.

13 Semasa dilanda masalah lagi, orang Israel lupa bagaimana Yehuwa telah membantu mereka. (Mzm. 106:7) Bagaimanakah mereka menunjukkan bahawa mereka tidak mengenang budi? “Seluruh umat Israel mula bersungut-sungut terhadap Musa dan Harun.” Oleh sebab sungutan mereka sebenarnya ditujukan kepada Yehuwa, Dia berasa sangat kecewa dengan sikap mereka. (Kel. 16:2, 8) Tuhan kemudiannya berfirman bahawa generasi orang Israel yang tidak mengenang budi ini akan mati di padang belantara, kecuali Yosua dan Kaleb. (Bil. 14:22-24; 26:65) Bagaimanakah kita dapat menjauhi contoh-contoh buruk ini dan mengikut teladan yang baik?

CARA MENUNJUKKAN PENGHARGAAN

14-15. (a) Bagaimanakah suami isteri dapat menunjukkan bahawa mereka menghargai satu sama lain? (b) Bagaimanakah ibu bapa dapat mengajar anak-anak untuk menunjukkan penghargaan?

14 Dalam keluarga. Apabila setiap ahli keluarga menunjukkan penghargaan, seluruh keluarga akan mendapat manfaat. Semakin kerap suami isteri meluahkan penghargaan kepada satu sama lain, semakin erat hubungan mereka, dan semakin mudah bagi mereka untuk saling memaafkan. Suami yang menghargai isteri bukan sahaja akan memperhatikan kata-kata dan perbuatan baik isteri, tetapi juga akan “bangkit dan memujinya.” (Ams. 31:10, 28) Isteri yang bijak pula akan menyatakan secara spesifik apa yang dihargainya tentang suami.

15 Ibu bapa, bagaimanakah anda dapat mengajar anak-anak anda untuk menunjukkan penghargaan? Ingatlah, mereka akan meniru kata-kata dan perbuatan anda. Maka, jadilah teladan yang baik dengan mengucapkan terima kasih semasa mereka membantu anda. Selain itu, ajarlah mereka untuk mengatakan terima kasih semasa orang lain membantu mereka. Jelaskan kepada mereka bahawa penghargaan kita haruslah ikhlas dan bahawa kata-kata penghargaan kita dapat membawa kesan yang baik. Seorang wanita yang bernama Clary berkata, “Semasa ibu saya berumur 32 tahun, dia tiba-tiba perlu membesarkan tiga orang anak seorang diri. Apabila saya berumur 32 tahun, saya terfikir tentang kesusahan yang dilaluinya pada usia itu. Jadi saya beritahunya bahawa saya sangat menghargai pengorbanan yang dilakukannya untuk membesarkan saya dan adik-beradik saya. Baru-baru ini, dia beritahu saya bahawa dia selalu memikirkan kata-kata saya. Dia menambah bahawa kata-kata saya sentiasa dekat di hatinya dan membuatnya gembira.”

Ajarlah anak anda untuk menunjukkan penghargaan (Lihat perenggan 15) *

16. Bagaimanakah kata-kata penghargaan dapat menggalakkan orang lain? Berikan contoh.

16 Dalam sidang. Apabila kita menunjukkan penghargaan kepada saudara saudari, mereka akan digalakkan. Jorge, seorang penatua yang berumur 28 tahun, sakit teruk dan tidak dapat menghadiri perjumpaan selama sebulan. Meskipun dia dapat datang ke perjumpaan selepas itu, dia masih tidak dapat mengendalikan bahagian perjumpaan. Jorge mengaku, “Saya berasa tidak berguna kerana begitu lemah dan tidak mampu menjalankan tugas di sidang. Tetapi pada suatu hari, seorang saudara datang kepada saya selepas perjumpaan dan berkata, ‘Saya mahu ucapkan terima kasih kerana kamu telah menjadi teladan baik untuk keluarga saya. Kami sangat menikmati ceramah kamu selama ini, dan ceramah kamu telah meneguhkan kami secara rohani.’ Saya begitu tersentuh sehingga mula menangis. Kata-kata itu memang diucapkan tepat pada masanya.”

17. Menurut Kolose 3:15, bagaimanakah kita dapat menunjukkan penghargaan atas kemurahan hati Yehuwa?

17 Kepada Tuhan kita yang murah hati. Yehuwa telah memberi kita makanan rohani yang melimpah. Contohnya, kita mendapat nasihat yang berguna melalui perjumpaan, majalah, dan laman web kita. Pernahkah anda mendengar sebuah ceramah, membaca sebuah artikel, atau menonton program siaran, lalu berfikir, “Inilah yang saya perlukan”? Bagaimanakah kita dapat menunjukkan penghargaan kepada Yehuwa? (Baca Kolose 3:15.) Satu cara untuk berbuat demikian adalah dengan sentiasa berdoa untuk mengucapkan syukur atas pemberian-Nya.​—Yak. 1:17.

Membersihkan Dewan Perjumpaan ialah satu cara yang baik untuk menunjukkan penghargaan (Lihat perenggan 18)

18. Bagaimanakah kita menunjukkan bahawa kita menghargai Dewan Perjumpaan kita?

18 Satu lagi cara untuk menunjukkan penghargaan kepada Yehuwa adalah dengan memastikan tempat ibadat kita selalu bersih dan kemas. Kita akan sentiasa menyokong kerja pembersihan dan penyelenggaraan Dewan Perjumpaan, dan kita akan mengendalikan peralatan video dan sistem pembesar suara dengan cermat. Dewan Perjumpaan yang dijaga dengan baik akan bertahan lama dan tidak perlu selalu dibaiki. Dengan itu, lebih banyak wang dapat digunakan untuk membina dan mengubahsuai Dewan Perjumpaan lain di serata dunia.

19. Apakah yang anda pelajari daripada pengalaman seorang penyelia litar dan isterinya?

19 Kepada rakan seiman yang bekerja keras. Kata-kata penghargaan kita mungkin mengubah perasaan seseorang terhadap cabaran yang dihadapinya. Perhatikan pengalaman seorang penyelia litar dan isterinya. Setelah menginjil sehari suntuk pada musim sejuk, mereka sangat penat. Cuacanya begitu sejuk sehingga si isteri memakai baju sejuk yang tebal untuk tidur. Keesokan paginya, dia memberitahu suaminya bahawa dia tidak sanggup meneruskan kerja lawatan lagi. Namun, pada pagi itu juga, mereka menerima sepucuk surat daripada pejabat cawangan, dan surat itu ditujukan kepada saudari itu. Saudara-saudara di pejabat cawangan memujinya kerana terus menginjil dengan tabah, dan mereka berkata bahawa pasti tidak mudah baginya untuk tinggal di tempat yang berbeza setiap minggu. Suaminya berkata, “Isteri saya sangat terharu dengan pujian itu. Sejak itu, dia tidak pernah berkata bahawa dia mahu berhenti membuat kerja lawatan. Ada beberapa kali saya berasa hendak putus asa, tapi dialah yang menggalakkan saya agar terus berkhidmat.” Pasangan itu telah membuat kerja lawatan untuk hampir 40 tahun.

20. Apakah yang harus kita lakukan setiap hari? Mengapa?

20 Marilah kita berusaha setiap hari untuk menunjukkan penghargaan melalui kata-kata dan tindakan. Mengapa? Dunia hari ini penuh dengan orang yang tidak berterima kasih, maka penghargaan kita mungkin dapat membantu seseorang untuk terus bertabah menghadapi cabaran dalam kehidupannya. Selain itu, apabila kita menunjukkan penghargaan, kita dapat menjalin persahabatan yang kekal. Yang terpenting, usaha ini membuktikan bahawa kita sedang meniru Yehuwa, Bapa kita yang murah hati dan yang suka menunjukkan penghargaan.

LAGU 20 Engkau Mengurniakan Anak-Mu yang Tersayang

^ per. 5 Rencana ini akan membincangkan bagaimana Yehuwa, Yesus, seorang pesakit kusta Samaria, dan hamba Tuhan yang lain menunjukkan penghargaan. Kita akan belajar pentingnya menunjukkan penghargaan dan melihat beberapa cara yang praktikal untuk melakukannya.

^ per. 1 MAKSUD UNGKAPAN: Menghargai bermaksud menyedari nilai seseorang atau sesuatu. Perkataan ini juga menggambarkan perasaan syukur yang ikhlas.

^ per. 55 KETERANGAN GAMBAR: Surat Paulus dibacakan kepada sidang di Roma; Priska, Akwila, Fibi, dan orang lain gembira semasa mendengar nama mereka disebut.

^ per. 57 KETERANGAN GAMBAR: Seorang ibu menolong anaknya supaya dia dapat menunjukkan penghargaan kepada seorang saudari yang berusia atas teladannya yang baik.