Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 6

“Lelaki ialah Kepala Wanita”

“Lelaki ialah Kepala Wanita”

Lelaki ialah kepala wanita.”​1 KOR. 11:3.

LAGU 13 Kristus, Suri Teladan Kita

PENGENALAN *

1. Semasa mempertimbangkan calon suami, apakah soalan-soalan yang perlu difikirkan oleh seorang saudari?

SEMUA orang Kristian perlu tunduk kepada Yesus Kristus, Kepala yang sempurna. Namun apabila seorang wanita Kristian berkahwin, dia perlu tunduk kepada suaminya yang tidak sempurna, dan hal itu tidak selalunya mudah. Jadi, semasa mempertimbangkan calon suami, seorang wanita perlu menanya diri, “Apakah yang menunjukkan bahawa saudara ini akan menjadi kepala keluarga yang baik? Adakah dia mengutamakan kegiatan rohani dalam hidupnya? Jika tidak, dapatkah dia menjadi kepala keluarga yang baik selepas kami berkahwin?” Sudah tentu dia juga perlu menanya diri, “Apakah sifat-sifat saya yang dapat menyumbang kepada perkahwinan kami? Adakah saya sabar dan murah hati? Adakah saya memiliki hubungan yang rapat dengan Yehuwa?” (Pkh. 4:9, 12) Soalan-soalan ini penting kerana kebahagiaan seorang isteri dalam perkahwinannya sedikit sebanyak bergantung pada keputusan yang dibuatnya sebelum berkahwin.

2. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

2 Jutaan saudari Kristian harus dipuji kerana tunduk kepada suami mereka. Saudari-saudari yang setia ini memang teladan yang baik, dan kita berbesar hati untuk menyembah Yehuwa bersama mereka! Dalam rencana ini, kita akan membincangkan tiga soalan berikut: (1) Apakah sesetengah cabaran yang dihadapi para isteri? (2) Mengapakah seorang isteri ingin tunduk kepada suaminya? (3) Apakah yang dapat dipelajari para suami dan isteri Kristian tentang ketundukan daripada teladan Yesus, Abigail, dan Maria, iaitu isteri Yusuf?

APAKAH CABARAN YANG DIHADAPI PARA ISTERI KRISTIAN?

3. Mengapakah semua orang yang berkahwin akan menghadapi cabaran?

3 Perkahwinan merupakan kurniaan yang sempurna daripada Tuhan, tetapi manusia tidak sempurna. (1 Yoh. 1:8) Itulah sebabnya Firman Tuhan menyatakan bahawa orang yang berkahwin akan “menghadapi banyak kesusahan.” (1 Kor. 7:28) Perhatikan beberapa cabaran yang mungkin dihadapi seorang isteri.

4. Mengapakah seorang isteri mungkin berasa bahawa ketundukan kepada suami merupakan hal yang menjatuhkan maruah?

4 Latar belakang seorang isteri mungkin membuatnya berasa bahawa ketundukan kepada suami merupakan hal yang menjatuhkan maruah. Marisol yang tinggal di Amerika Syarikat berkata, “Di tempat saya dibesarkan, wanita selalu diberitahu bahawa mereka mesti setaraf dengan lelaki dalam segala hal. Saya tahu bahawa Yehuwa telah menetapkan aturan kekepalaan, dan Dia mahu para isteri tunduk kepada suami, tetapi Dia juga mahu para isteri dihormati. Namun, sangat mencabar bagi saya untuk tetap berpandangan seimbang terhadap aturan kekepalaan.”

5. Apakah sesetengah pandangan terhadap wanita yang bercanggah dengan prinsip Bible?

5 Seorang isteri juga menghadapi cabaran jika suaminya berfikir bahawa wanita bertaraf lebih rendah daripada lelaki. Ivon, seorang saudari yang tinggal di Amerika Selatan, berkata, “Di kawasan kami, wanita harus membiarkan lelaki makan dahulu. Anak-anak perempuan harus masak dan membersihkan rumah, tetapi anak-anak lelaki pula dilayan oleh ibu dan adik-beradik perempuan mereka, dan mereka diberitahu bahawa mereka ialah ‘raja di rumah.’” Yingling, seorang saudari yang tinggal di Asia, berkata, “Dalam bahasa saya, terdapat satu pepatah yang secara tidak langsung menyatakan bahawa wanita tidak perlu bijak atau mahir. Mereka tidak boleh menyuarakan pendapat kepada suami mereka. Mereka hanya perlu melakukan semua kerja rumah.” Seorang suami yang dipengaruhi sikap sebegini tidak menunjukkan kasih, tidak mematuhi prinsip Bible, dan akan menyusahkan kehidupan isterinya. Dia juga tidak meniru teladan Yesus dan tidak menyenangkan hati Yehuwa.​—Ef. 5:28, 29; 1 Ptr. 3:7.

6. Apakah yang perlu dilakukan para isteri untuk menguatkan hubungan mereka dengan Yehuwa?

6 Seperti yang disebut dalam rencana sebelum ini, Yehuwa mahu para suami Kristian menjaga keluarga mereka dari segi rohani, emosi, dan fizikal. (1 Tim. 5:8) Namun, para isteri Kristian sendiri juga harus meluangkan masa setiap hari untuk membaca dan merenungkan Firman Tuhan, dan untuk berdoa dengan bersungguh-sungguh kepada Yehuwa. Hal ini tidak mudah kerana para isteri sangat sibuk. Mereka mungkin berasa bahawa mereka tiada masa atau tenaga untuk melakukan hal-hal ini. Namun hal-hal ini penting. Mengapa? Yehuwa mahu setiap seorang daripada kita untuk memupuk dan menjaga hubungan yang rapat dengan-Nya.​—Kis. 17:27.

7. Apakah yang dapat membantu seorang isteri berasa lebih mudah untuk memainkan peranan yang diberikan kepadanya?

7 Memang benar, seorang isteri mungkin perlu berusaha keras untuk tunduk kepada suaminya yang tidak sempurna. Namun, Bible menyatakan sebab-sebab seorang isteri harus tunduk kepada suaminya. Jika seorang isteri memahami sebab-sebab itu dan menerimanya, dia akan berasa lebih mudah untuk memainkan peranan yang diberikan oleh Yehuwa kepadanya.

MENGAPAKAH ISTERI INGIN TUNDUK KEPADA SUAMINYA?

8. Menurut Efesus 5:22-24, mengapakah seorang isteri Kristian ingin tunduk kepada suaminya?

8 Seorang isteri Kristian ingin tunduk kepada suaminya kerana itulah yang dikehendaki oleh Yehuwa daripadanya. (Baca Efesus 5:22-24.) Dia percaya bahawa segala perbuatan Bapanya yang di syurga didorong oleh kasih. Jadi, dia tahu bahawa Yehuwa hanya akan menyuruhnya melakukan sesuatu yang bermanfaat baginya.​—Ul. 6:24; 1 Yoh. 5:3.

9. Apakah hasilnya apabila seorang isteri mentaati Yehuwa dan tunduk kepada suaminya?

9 Dunia ini menggalakkan wanita untuk mengetepikan piawaian Yehuwa dan memandang ketundukan sebagai hal yang menjatuhkan maruah. Sudah tentu, orang yang menggalakkan pemikiran sebegini tidak mengenali Tuhan kita yang pengasih. Hal ini demikian kerana Yehuwa tidak sekali-kali akan menyuruh anak-anak perempuan-Nya melakukan sesuatu yang menjatuhkan maruah mereka. Seorang isteri yang berusaha keras untuk memenuhi peranan yang diberikan oleh Yehuwa akan menyumbang kepada kedamaian dalam keluarganya. (Mzm. 119:165) Dia akan membawa manfaat kepada suaminya, dirinya sendiri, dan anak-anaknya.

10. Apakah yang dapat kita pelajari daripada kata-kata Carol?

10 Seorang isteri yang tunduk kepada suaminya yang tidak sempurna membuktikan bahawa dia mengasihi dan menghormati Yehuwa, Pengasas aturan kekepalaan. Carol, yang tinggal di Amerika Selatan, berkata, “Saya tahu bahawa suami saya akan berbuat silap. Saya juga tahu bahawa reaksi saya terhadap kesilapannya akan menunjukkan seberapa dalam penghargaan saya terhadap persahabatan saya dengan Yehuwa. Jadi saya berusaha untuk tetap tunduk, kerana saya ingin menyenangkan hati Bapa saya yang di syurga.”

11. Apakah yang membantu Aneese agar mengampuni dengan rela hati? Apakah yang dapat kita pelajari daripada kata-katanya?

11 Seorang isteri mungkin berasa susah untuk tunduk dan menghormati suaminya jika dia berasa bahawa suaminya tidak mempedulikan perasaan dan pandangannya. Namun, perhatikan apa yang dilakukan oleh seorang isteri yang bernama Aneese semasa menghadapi situasi sebegini. Dia berkata, “Saya berusaha agar tidak marah dengan suami saya. Saya ingat bahawa kita semua akan berbuat silap, jadi saya ingin mengampuni dengan rela hati, seperti yang dilakukan oleh Yehuwa. Apabila saya berbuat demikian, fikiran saya menjadi tenang semula.” (Mzm. 86:5) Seorang isteri yang sudi mengampuni akan berasa lebih mudah untuk tunduk kepada suaminya.

APAKAH YANG DAPAT KITA PELAJARI DARIPADA WATAK-WATAK BIBLE?

12. Bible mengandungi contoh apa?

12 Sesetengah orang mungkin berfikir bahawa ketundukan ialah tanda kelemahan. Namun pandangan ini salah. Bible mengandungi banyak contoh tentang orang yang menunjukkan ketundukan tetapi sangat berani. Sekarang, mari kita melihat contoh Yesus, Abigail, dan Maria.

13. Mengapakah Yesus tunduk kepada Yehuwa? Jelaskan.

13 Yesus tunduk kepada Yehuwa bukan kerana tahap kebijaksanaan atau kemahirannya rendah. Yesus sebenarnya sangat bijak kerana hanya orang yang bijak dapat mengajar dalam cara yang begitu mudah dan jelas. (Yoh. 7:45, 46) Yehuwa juga tahu bahawa Yesus sangat mahir. Itulah sebabnya Dia membenarkan Yesus bekerja bersama-Nya semasa Dia menciptakan alam semesta. (Ams. 8:30; Ibr. 1:2-4) Selain itu, selepas Yesus dibangkitkan, Yehuwa memberinya “kuasa atas segala sesuatu di syurga dan di bumi.” (Mat. 28:18) Namun, meskipun Yesus begitu berbakat, dia masih bergantung pada bimbingan Yehuwa kerana dia mengasihi Bapanya.​—Yoh. 14:31.

14. Apakah yang dapat dipelajari para suami daripada (a) cara Yehuwa memandang wanita? (b) kata-kata di Amsal 31?

14 Pengajaran untuk suami. Yehuwa menyuruh isteri tunduk kepada suami bukan kerana Dia memandang wanita bertaraf lebih rendah daripada lelaki. Bagaimanakah kita tahu akan hal ini? Yehuwa tidak memilih lelaki sahaja untuk memerintah bersama Yesus; Dia juga memilih wanita. (Gal. 3:26-29) Yehuwa menunjukkan bahawa Dia mempercayai Anak-Nya dengan memberinya kuasa. Jadi, seorang suami yang bijak akan mempercayai isterinya dan memberinya kuasa dalam hal-hal tertentu. Bible menggambarkan hal-hal yang dapat dilakukan oleh seorang isteri yang cekap. Misalnya, dia dapat mengaturkan kerja-kerja di rumah, membeli dan mengurus harta, dan berniaga. (Baca Amsal 31:15, 16, 18.) Dalam mata suaminya, dia bukan seorang hamba yang tidak berhak untuk menyuarakan pendapatnya. Sebaliknya, suaminya mempercayainya dan mendengar pendapatnya. (Baca Amsal 31:11, 26, 27.) Seorang isteri yang dihormati dalam cara sebegini akan tunduk kepada suaminya dengan rela hati.

Apakah yang dapat dipelajari para isteri yang cekap daripada ketundukan Yesus? (Lihat perenggan 15)

15. Apakah yang dapat dipelajari para isteri daripada teladan Yesus?

15 Pengajaran untuk isteri. Meskipun Yesus telah melakukan banyak perkara yang menakjubkan, dia tidak berasa bahawa ketundukan kepada Yehuwa akan menjatuhkan maruahnya. (1 Kor. 15:28; Flp. 2:5, 6) Jadi seorang isteri yang cekap, yang meniru teladan Yesus, tidak akan berasa bahawa dia akan hilang maruah jika dia tunduk kepada suaminya. Sebaliknya, dia akan menyokong suaminya kerana mengasihinya. Yang terpenting, dia akan berbuat demikian kerana dia sangat mengasihi dan menghormati Yehuwa.

Selepas menghantar makanan kepada Daud dan anak-anak buahnya, Abigail berjumpa dengan Daud. Dia bersujud dan merayu agar Daud tidak membalas dendam lalu berhutang darah (Lihat perenggan 16)

16. Menurut 1 Samuel 25:3, 23-28, apakah cabaran yang dihadapi Abigail? (Lihat gambar pada muka depan majalah.)

16 Abigail mempunyai seorang suami yang mementingkan diri, sombong, dan tidak tahu berterima kasih, yang bernama Nabal. Meskipun begitu, Abigail tidak mencari jalan untuk mengakhiri perkahwinannya. Sebenarnya, dia dapat berdiam diri dan membiarkan Daud dan anak-anak buahnya untuk membunuh suaminya, tetapi dia tidak berbuat demikian. Sebaliknya, dia telah bertindak untuk melindungi Nabal dan keluarga mereka yang besar. Abigail pasti perlu sangat berani untuk berdepan dengan 400 orang lelaki yang bersenjata dan berunding dengan Daud. Selain itu, dia sudi meminta maaf atas perbuatan suaminya. (Baca 1 Samuel 25:3, 23-28.) Daud sedar bahawa Yehuwa telah menggunakan wanita yang berani ini untuk menasihatinya dan menghalangnya daripada melakukan dosa yang besar.

17. Apakah yang dapat dipelajari oleh para suami daripada kisah Daud dan Abigail?

17 Pengajaran untuk suami. Abigail ialah seorang wanita yang bijak. Daud pun seorang yang bijak kerana mendengar nasihatnya. Hasilnya, dia dapat mengelak daripada berhutang darah. Jadi, seorang suami yang bijak akan mempertimbangkan pandangan isterinya sebelum membuat keputusan yang penting. Jika dia mengambil kira pandangan isterinya, dia mungkin dapat mengelak daripada membuat keputusan yang tidak bijak.

18. Apakah yang dapat dipelajari para isteri daripada teladan Abigail?

18 Pengajaran untuk isteri. Seorang isteri yang mengasihi dan menghormati Yehuwa akan tetap menunjukkan ketundukan dan bersikap hormat terhadap suaminya, biarpun suaminya tidak menyembah Yehuwa atau tidak hidup menurut prinsip-Nya. Dia tidak akan mencari jalan untuk mengakhiri perkahwinannya. Sebaliknya, dia akan berusaha menjadi teladan yang baik supaya suaminya terdorong untuk belajar tentang Yehuwa. (1 Ptr. 3:1, 2) Namun, meskipun suaminya masih tidak menyembah Yehuwa, keluarganya akan meraih manfaat. Bukan itu sahaja, Yehuwa pasti menghargai kesetiaan dan ketundukannya.

19. Bilakah seorang isteri tidak akan mematuhi suaminya?

19 Seorang isteri Kristian harus tunduk kepada suaminya. Namun, dia tidak akan mematuhi suaminya jika dia disuruh untuk melanggar hukum atau prinsip Bible. Sebagai contoh, jika seorang saudari disuruh oleh suaminya untuk menipu, mencuri, atau melakukan perbuatan lain yang bercanggahan dengan prinsip Bible, dia akan menolak dan menjelaskan dengan hormat sebabnya dia tidak akan melakukannya. Mengapa? Bagi semua orang Kristian, termasuk saudari yang sudah berkahwin, mematuhi Yehuwa jauh lebih penting daripada mematuhi manusia.​—Kis. 5:29.

Lihat perenggan 20 *

20. Apakah yang menunjukkan bahawa Maria memiliki hubungan yang rapat dengan Yehuwa?

20 Maria memiliki hubungan yang rapat dengan Yehuwa dan mengetahui Ayat-Ayat Suci dengan baik sekali. Semasa berbual dengan Elisabet, iaitu ibu Yohanes Pembaptis, dia memetik ayat daripada Kitab Ibrani lebih daripada 20 kali. (Luk. 1:46-55) Fikirkan juga hal ini: Biarpun Maria sudah bertunang dengan Yusuf, malaikat Yehuwa tidak menampakkan diri kepada Yusuf terlebih dahulu. Sebaliknya, malaikat itu menampakkan diri kepada Maria terlebih dahulu untuk memberitahunya bahawa dia akan melahirkan Anak Tuhan. (Luk. 1:26-33) Yehuwa sangat mengenali Maria dan yakin bahawa dia akan mengasihi dan menjaga Anak-Nya dengan baik. Selepas Yesus dibangkitkan ke syurga, Maria terus memelihara hubungan yang akrab dengan Yehuwa.​—Kis. 1:14.

21. Apakah yang dapat dipelajari para suami daripada kisah Maria?

21 Pengajaran untuk suami. Seorang suami yang bijak akan bersyukur dan tidak berasa tercabar apabila isterinya mengetahui Bible dengan baik. Dia sedar bahawa isteri yang mengetahui Bible dan prinsip Bible amat berharga bagi keluarga. Namun, dia juga sedar bahawa biarpun isterinya lebih berpendidikan daripadanya, dialah yang harus mengambil pimpinan dalam penyembahan keluarga dan kegiatan rohani lain.​—Ef. 6:4.

Bagaimanakah teladan Maria, iaitu ibu Yesus, menggalakkan para isteri untuk membuat pembelajaran dan perenungan? (Lihat perenggan 22) *

22. Apakah yang dapat dipelajari para isteri daripada Maria?

22 Pengajaran untuk isteri. Seorang isteri harus tunduk kepada suaminya, tetapi dia masih bertanggungjawab untuk menjaga keperluan rohaninya sendiri. (Gal. 6:5) Oleh itu, dia harus memperuntukkan masa untuk membuat pembelajaran peribadi dan perenungan. Dengan itu, dia dapat terus mengasihi dan menghormati Yehuwa, dan terus tunduk kepada suaminya dengan rela.

23. Bagaimanakah isteri yang menunjukkan ketundukan membawa manfaat kepada diri mereka sendiri, keluarga mereka, dan sidang?

23 Isteri yang tunduk kepada suami kerana mengasihi Yehuwa akan lebih puas dan bahagia berbanding orang yang tidak mengikut aturan kekepalaan yang ditetapkan oleh Yehuwa. Mereka juga memberikan teladan yang baik kepada lelaki dan wanita yang lebih muda. Selain itu, mereka menyumbang kepada kasih dan kedamaian, bukan sahaja dalam keluarga tetapi juga dalam sidang. (Tit. 2:3-5) Dewasa ini, kebanyakan penyembah Yehuwa merupakan kaum wanita. (Mzm. 68:11) Namun, semua penyembah Yehuwa, tidak kira lelaki atau perempuan, mempunyai peranan yang penting dalam sidang. Rencana seterusnya akan membincangkan bagaimana kita dapat memainkan peranan masing-masing dengan baik.

LAGU 131 ‘Mereka Telah Disatukan oleh Tuhan’

^ per. 5 Yehuwa menghendaki isteri tunduk kepada suami. Apakah yang terlibat dalam perintah ini? Para suami dan isteri Kristian dapat belajar tentang ketundukan daripada teladan Yesus dan teladan para wanita yang disebut dalam Bible.

^ per. 68 KETERANGAN GAMBAR: Semasa berbual dengan Elisabet, iaitu ibu Yohanes Pembaptis, Maria dapat memetik ayat-ayat daripada Kitab Ibrani.

^ per. 70 KETERANGAN GAMBAR: Seorang isteri Kristian meluangkan masa untuk mengkaji Bible agar dapat menjaga keperluan rohaninya.