Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 8

Tetap Bersukacita semasa Menghadapi Cubaan

Tetap Bersukacita semasa Menghadapi Cubaan

Saudara-saudaraku, bersukacitalah apabila kamu ditimpa pelbagai cubaan.”​YAK. 1:2.

LAGU 111 Sebab-Sebab Kita Bersukacita

PENGENALAN *

1-2. Menurut Matius 5:11, bagaimanakah kita patut memandang cubaan?

YESUS berjanji bahawa para pengikutnya akan meraih kebahagiaan sejati. Namun, dia juga mengingatkan mereka bahawa mereka akan menghadapi cubaan. (Mat. 10:22, 23; Luk. 6:20-23) Kita memang bersukacita kerana dapat menjadi murid Kristus. Namun, apakah perasaan kita jika kita ditentang oleh ahli keluarga, dianiaya oleh pihak kerajaan, atau didesak oleh rakan sekerja atau rakan sekolah untuk melakukan hal yang salah? Hal-hal ini mungkin dapat membuat kita berasa risau.

2 Orang biasanya tidak menganggap penganiayaan sebagai sebab untuk bersukacita. Namun, itulah yang dinyatakan dalam Firman Tuhan. Sebagai contoh, Yakobus menulis bahawa semasa kita ditimpa cubaan, kita patut bersukacita dan bukannya berputus asa. (Yak. 1:2, 12) Yesus juga berkata bahawa kita patut berasa gembira bahkan semasa kita dianiaya. (Baca Matius 5:11.) Jadi bagaimanakah kita dapat tetap bersukacita semasa ditimpa cubaan? Kita dapat belajar daripada nasihat Yakobus kepada orang Kristian abad pertama. Sekarang, mari kita membincangkan cabaran yang dihadapi mereka.

CABARAN ORANG KRISTIAN ABAD PERTAMA

3. Apakah yang berlaku tidak lama selepas Yakobus menjadi orang Kristian?

3 Tidak lama selepas Yakobus, iaitu adik Yesus, menjadi orang Kristian, umat Tuhan di Yerusalem menghadapi tentangan yang hebat. (Kis. 1:14; 5:17, 18) Kemudian, selepas Stefanus dibunuh, banyak orang Kristian terpaksa melarikan diri. Mereka “tercerai-berai ke seluruh kawasan Yudea dan Samaria,” dan ada yang bahkan melarikan diri sejauh Siprus dan Antiokhia. (Kis. 7:58–8:1; 11:19) Mereka memang menghadapi kesusahan yang besar. Namun, mereka masih menginjil dengan bersemangat ke mana sahaja mereka pergi. Hasilnya, sidang-sidang ditubuhkan di seluruh Empayar Roma. (1 Ptr. 1:1) Meskipun begitu, mereka bakal ditimpa kesusahan yang lebih besar.

4. Apakah cubaan yang dihadapi orang Kristian abad pertama?

4 Orang Kristian abad pertama telah menghadapi pelbagai cubaan. Misalnya sekitar tahun 50 M, Klaudius, iaitu Maharaja Roma, telah mengarahkan agar semua orang Yahudi meninggalkan Roma. Oleh itu, orang Yahudi yang sudah menjadi orang Kristian terpaksa meninggalkan rumah mereka dan berpindah ke tempat lain. (Kis. 18:1-3) Kemudian, sekitar tahun 61 M, Rasul Paulus menulis bahawa rakan seimannya dihina di hadapan umum, dipenjarakan, dan harta milik mereka dirampas. (Ibr. 10:32-34) Selain itu, seperti orang lain, orang Kristian berdepan dengan masalah kewangan dan masalah kesihatan.​—Rm. 15:26; Flp. 2:25-27.

5. Apakah soalan-soalan yang akan kita jawab?

5 Yakobus telah menulis suratnya sebelum tahun 62 M, dan dia sedar sepenuhnya tentang cubaan yang dialami saudara saudarinya. Yehuwa telah mengilhami Yakobus untuk menuliskan nasihat yang dapat membantu mereka tetap bersukacita semasa dilanda pelbagai cubaan. Mari kita mengkaji surat Yakobus dan menjawab soalan-soalan berikut: Apakah sukacita yang dimaksudkan oleh Yakobus? Apakah yang dapat merampas sukacita itu daripada orang Kristian? Bagaimanakah kebijaksanaan, iman, dan keberanian, dapat membantu kita tetap bersukacita tidak kira apa cubaan yang kita hadapi?

MENGAPA ORANG KRISTIAN BERSUKACITA

Seperti api dalam pelita yang tetap bernyala biarpun angin bertiup, sukacita yang diberikan oleh Yehuwa sentiasa membara dalam hati orang Kristian (Lihat perenggan 6)

6. Menurut Lukas 6:22, 23, mengapakah seorang Kristian dapat bersukacita meskipun menghadapi cubaan?

6 Ramai orang berfikir bahawa mereka dapat bersukacita hanya jika mereka sihat, kaya, dan memiliki keluarga yang bahagia. Namun, sukacita yang disebut oleh Yakobus merupakan sebahagian daripada buah kuasa suci Tuhan dan tidak bergantung pada situasi hidup seseorang. (Gal. 5:22) Seorang Kristian meraih sukacita kerana dia tahu bahawa dia menyenangkan hati Yehuwa dan mengikut teladan Yesus. (Baca Lukas 6:22, 23; Kol. 1:10, 11) Seperti api dalam pelita yang tetap bernyala biarpun angin bertiup, sukacita dalam hati seorang Kristian tetap membara biarpun dia dilanda masalah kewangan atau masalah kesihatan. Ejekan atau tentangan daripada ahli keluarga atau orang lain juga tidak dapat memadamkan sukacitanya. Sebaliknya, semakin para penentang mencuba memadamkannya, semakin bertambah sukacita itu. Sebenarnya, cubaan yang kita hadapi kerana iman kita membuktikan bahawa kita ialah pengikut Yesus yang sejati. (Mat. 10:22; 24:9; Yoh. 15:20) Oleh itu, Yakobus dapat menulis, “Saudara-saudaraku, bersukacitalah apabila kamu ditimpa pelbagai cubaan.”​—Yak. 1:2.

Mengapakah cubaan dapat disamakan dengan proses menempa pedang besi? (Lihat perenggan 7) *

7-8. Apakah hasilnya jika iman kita diuji?

7 Yakobus menyebut satu lagi sebab mengapa orang Kristian sudi menghadapi cubaan yang berat. Dia berkata, “Mutu iman kamu yang telah diuji akan menghasilkan ketabahan.” (Yak. 1:3) Cubaan dapat disamakan dengan proses menempa pedang besi. Sebilah pedang akan menjadi lebih kuat setelah dipanaskan dan disejukkan. Begitu juga, iman kita akan menjadi lebih kuat setelah kita mengharungi cubaan dengan tabah. Oleh itu, Yakobus menulis, ‘Biarlah ketabahan kamu mencapai tujuannya, supaya kamu menjadi serba lengkap dan tidak bercela dalam segala hal.’ (Yak. 1:4) Apabila kita melihat bagaimana cubaan membuat iman kita menjadi lebih kuat, kita dapat menghadapinya dengan tabah dan sukacita.

8 Namun, surat Yakobus juga menyebut beberapa perkara yang dapat membuat kita kehilangan sukacita kita. Apakah hal-hal itu dan bagaimanakah kita dapat mengatasi cabaran itu?

MENGATASI CABARAN YANG DAPAT MERAGUT SUKACITA KITA

9. Mengapakah kita memerlukan kebijaksanaan?

9 Cabarannya: Tidak mengetahui apa yang harus dilakukan. Semasa menghadapi cubaan, kita ingin membuat keputusan yang menyenangkan hati Yehuwa, membawa manfaat kepada saudara saudari, dan yang membantu kita agar tetap setia. (Yer. 10:23) Jadi, kita memerlukan kebijaksanaan agar mengetahui tindakan yang sewajarnya dan cara untuk menjawab para penentang. Tetapi jika kita tidak tahu apa yang harus dilakukan, kita mungkin akan berasa tawar hati lalu kehilangan sukacita.

10. Menurut Yakobus 1:5, bagaimanakah kita dapat memperoleh kebijaksanaan?

10 Penyelesaiannya: Memohon kebijaksanaan daripada Yehuwa. Untuk tetap bersukacita semasa ditimpa cubaan, pertama-tamanya kita mesti berdoa kepada Yehuwa agar memberi kita kebijaksanaan yang diperlukan untuk membuat keputusan yang baik. (Baca Yakobus 1:5.) Namun, apakah yang harus kita lakukan jika Yehuwa nampaknya tidak segera menjawab doa kita? Yakobus berkata bahawa kita harus “terus meminta.” Apabila kita terus berdoa meminta kebijaksanaan, Yehuwa tidak akan memarahi kita. Sebaliknya, Bapa kita yang di syurga akan menunaikan permintaan kita kerana Dia “murah hati.” (Mzm. 25:12, 13) Dia mengetahui cubaan yang kita alami, Dia merasai keperitan kita, dan Dia ingin sekali membantu kita. Tidakkah hal ini membuat kita bersukacita? Namun, bagaimanakah Yehuwa memberi kita kebijaksanaan?

11. Apa lagi yang harus kita lakukan untuk memperoleh kebijaksanaan?

11 Yehuwa memberi kita kebijaksanaan menerusi Firman-Nya. (Ams. 2:6) Jadi, kita mesti mengkaji Bible dan bahan bacaan Bible. Namun, sekadar menimba pengetahuan tidak cukup. Yakobus menulis, “Hendaklah kamu melakukan apa yang difirmankan oleh Tuhan. Janganlah mendengar sahaja.” (Yak. 1:22) Ya, kita mesti menerapkan nasihat Tuhan dalam kehidupan kita. Apabila kita berbuat demikian, kita akan menjadi orang yang lebih munasabah, berbelas kasihan, dan suka akan kedamaian. (Yak. 3:17) Sifat-sifat ini akan membantu kita agar tetap bersukacita semasa menghadapi cubaan.

12. Mengapakah penting untuk mengetahui Bible dengan baik?

12 Kita juga perlu mengetahui Bible dengan baik. Mengapa? Firman Tuhan bagaikan cermin yang dapat membantu kita mengenal pasti kelemahan kita dan cara untuk membaikinya. (Yak. 1:23-25) Sebagai contoh, setelah mengkaji Firman Tuhan, kita mungkin mendapati bahawa kita ini orang yang cepat marah. Dengan adanya bantuan Yehuwa, kita belajar untuk bersikap lemah lembut semasa berdepan dengan orang atau masalah yang dapat membuat kita naik marah. Setelah kita memupuk sifat kelemahlembutan, kita lebih mampu mengawal diri semasa di bawah tekanan. Hasilnya, kita dapat berfikir dengan lebih tenang dan membuat keputusan yang lebih bijak.​—Yak. 3:13.

13. Apakah manfaatnya jika kita mengkaji contoh hamba-hamba Tuhan dalam Bible?

13 Ada kalanya kita memperoleh pengajaran hanya selepas melakukan kesilapan. Namun, daripada sudah terhantuk baru tengadah, bukankah lebih baik jika kita memperoleh kebijaksanaan dengan belajar daripada contoh baik dan contoh buruk orang lain? Itulah sebabnya Yakobus menggalakkan kita untuk memikirkan contoh hamba-hamba Yehuwa yang menghadapi cubaan dengan tabah dan sukacita, seperti Abraham, Rahab, Ayub, dan Elia. (Yak. 2:21-26; 5:10, 11, 17, 18) Contoh-contoh mereka akan meyakinkan kita bahawa Yehuwa juga dapat membantu kita agar tetap bersukacita semasa ditimpa cubaan.

14-15. Mengapakah kita tidak mahu membiarkan keraguan bertumbuh dalam hati kita?

14 Cabarannya: Keraguan. Dari masa ke masa, kita mungkin menemui sesuatu dalam Bible yang kita tidak fahami, atau Yehuwa mungkin tidak menjawab doa kita dalam cara yang kita jangkakan. Hal-hal sebegini mungkin menimbulkan keraguan dalam hati kita. Jika kita membiarkan keraguan itu terus bertumbuh, iman kita akan menjadi lemah, hubungan kita dengan Yehuwa akan dirosakkan, dan kita bahkan mungkin tidak lagi menantikan masa depan yang dijanjikan Tuhan.​—Yak. 1:7, 8.

15 Rasul Paulus menulis bahawa harapan kita bagaikan sauh. (Ibr. 6:19) Sauh dapat menstabilkan kapal semasa ribut dan mencegah kapal daripada dihanyutkan arus sehingga terlanggar batu. Namun, sauh hanya berguna jika rantai yang menghubungkannya kepada kapal tidak putus. Sebagaimana karat dapat melemahkan rantai pada sauh, demikian juga keraguan dapat melemahkan iman kita. Semasa ditimpa cubaan, seseorang yang ragu-ragu mungkin tidak lagi beriman terhadap janji Yehuwa. Jika kita hilang iman, harapan kita pun akan hilang. Yakobus berkata bahawa orang yang ragu-ragu “bagaikan ombak di laut yang diumbang-ambingkan angin.” (Yak. 1:6) Orang sebegini tidak mungkin bersukacita!

16. Apakah yang patut kita lakukan jika kita mempunyai keraguan?

16 Penyelesaiannya: Atasi keraguan anda dan kuatkan iman anda. Janganlah menjadi seperti umat Yehuwa pada zaman Nabi Elia yang tidak tetap pendirian. Elia memberitahu mereka, “Sampai bilakah hati kamu akan berbelah bahagi? Jika Yehuwa ialah Tuhan yang benar, ikutlah Dia. Tetapi jika Baal ialah Tuhan yang benar, ikutlah Baal.” (1 Raj. 18:21) Dewasa ini, jika kita mempunyai keraguan, kita mesti bertindak dengan segera. Kita perlu melakukan penyelidikan untuk membuktikan kepada diri sendiri bahawa Yehuwa ialah Tuhan, Bible ialah Firman-Nya, dan bahawa Saksi-Saksi Yehuwa ialah umat-Nya. (1 Tes. 5:21) Namun jika kita masih mempunyai keraguan, kita dapat meminta bantuan para penatua. Dengan itu, kita dapat mengatasi keraguan kita dan menguatkan iman kita. Ingatlah, kita mesti bertindak dengan segera supaya kita dapat terus menyembah Yehuwa dengan sukacita!

17. Apakah yang akan berlaku jika kita hilang keberanian?

17 Cabarannya: Rasa tawar hati. Firman Tuhan menyatakan, “Jika kamu tawar hati pada masa kesusahan, kekuatanmu akan berkurang.” (Ams. 24:10) Perkataan Ibrani yang diterjemahkan sebagai “tawar hati” juga boleh bermaksud “hilang keberanian.” Oleh itu, jika anda hilang keberanian, anda juga akan hilang sukacita.

18. Apakah maksud ketabahan?

18 Penyelesaiannya: Bergantung pada Yehuwa untuk memberi anda keberanian. Kita memerlukan keberanian untuk menghadapi cubaan dengan tabah. (Yak. 5:11) Dalam bahasa asal, perkataan yang digunakan oleh Yakobus, yang diterjemahkan sebagai “ketabahan,” menggambarkan seseorang yang tetap teguh, seperti seorang askar yang berani. Askar itu enggan berganjak walau seinci biarpun diserang dengan kuat oleh musuh.

19. Apakah yang dapat kita pelajari daripada teladan Rasul Paulus?

19 Rasul Paulus merupakan teladan yang sangat baik dari segi keberanian dan ketabahan. Ada kalanya dia berasa lemah, tetapi dia dapat bertabah kerana dia bergantung pada kekuatan yang diberikan oleh Yehuwa. (2 Kor. 12:8-10; Flp. 4:13) Kita juga dapat menjadi kuat dan berani seperti Paulus jika kita rendah hati dan sedar bahawa kita memerlukan bantuan Yehuwa.​—Yak. 4:10.

HAMPIRI TUHAN DAN TETAP BERSUKACITA

20-21. Kita dapat yakin akan hal apa?

20 Yakobus menulis, “Semasa seseorang menghadapi cubaan, dia tidak patut berkata, ‘Tuhan sedang mencubai aku.’ Hal ini demikian kerana Tuhan tidak boleh dicubai oleh kejahatan, dan Dia juga tidak mencubai sesiapa pun dengan hal-hal yang jahat.” (Yak. 1:13) Ayat ini menunjukkan bahawa cubaan yang kita hadapi bukanlah hukuman daripada Yehuwa. Jika kita yakin akan hal ini, kita akan lebih menghampiri Bapa kita di syurga yang pengasih.​—Yak. 4:8.

21 Yehuwa “tidak berubah-ubah.” (Yak. 1:17) Dia telah membantu orang Kristian abad pertama untuk menghadapi cubaan dengan tabah, dan Dia juga pasti membantu kita. Maka rayulah kepada Yehuwa supaya Dia memberi anda kebijaksanaan, iman, dan keberanian. Dia pasti menjawab doa anda dan membantu anda tetap bersukacita semasa menghadapi cubaan!

LAGU 128 Bertahan hingga Akhir

^ per. 5 Buku Yakobus mengandungi banyak nasihat yang praktikal untuk menghadapi cubaan. Dalam rencana ini, kita akan mengkaji beberapa nasihat Yakobus dan melihat bagaimana kita dapat tetap menyembah Yehuwa dengan sukacita meskipun menghadapi kesusahan.

^ per. 59 KETERANGAN GAMBAR: Pihak polis datang ke rumah seorang saudara untuk menangkapnya. Sambil dilihat isterinya dan anak perempuannya, mereka membawanya pergi. Semasa saudara itu dipenjarakan, rakan seiman dari sidang menyembah Yehuwa bersama-sama saudari itu dan anak perempuannya. Saudari itu dan anak perempuannya sering memohon kekuatan daripada Yehuwa supaya dapat menghadapi cubaan mereka dengan tabah. Yehuwa telah memberi mereka ketenangan dan keberanian. Hasilnya, iman mereka bertambah kuat dan mereka dapat menghadapi cubaan dengan sukacita.