Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 6

Adakah Anda Percaya bahawa Tindakan Yehuwa Selalu Betul?

Adakah Anda Percaya bahawa Tindakan Yehuwa Selalu Betul?

“Dia bagaikan gunung batu; segala haluan-Nya sempurna dan saksama. Dia Tuhan yang setia dan tidak berat sebelah; Dia Tuhan yang adil dan benar.”​—UL. 32:4.

LAGU 3 Engkaulah Sumber Kekuatan, Harapan, dan Keyakinan

PENGENALAN *

1-2. (a) Mengapakah ramai orang berasa susah untuk mempercayai orang yang berkuasa? (b) Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

HARI ini, ramai orang berasa susah untuk mempercayai orang yang berkuasa. Mereka mendapati bahawa kerajaan dan undang-undang sering menyebelahi orang yang kaya dan berpengaruh, manakala orang miskin sering diabaikan. Memang benar apa yang dikatakan Bible: “Manusia menguasai manusia sehingga mereka menderita.” (Pkh. 8:9) Selain itu, kelakuan buruk sesetengah pemimpin agama juga menyebabkan orang tidak lagi percaya kepada Tuhan. Oleh itu, semasa mengajarkan Bible, kita menghadapi cabaran ini: Kita perlu membina keyakinan pelajar Bible terhadap Yehuwa dan terhadap orang yang dilantik-Nya untuk mengambil pimpinan.

2 Sudah pasti, bukan pelajar Bible sahaja yang perlu belajar untuk percaya kepada Yehuwa dan organisasi-Nya. Kita yang sudah lama dalam kebenaran pun mesti tetap yakin bahawa tindakan Yehuwa selalu betul. Namun, ada kalanya, terdapat situasi yang mungkin menguji keyakinan kita terhadap Yehuwa. Rencana ini akan membincangkan tiga situasi sebegini, iaitu (1) semasa kita membaca Bible, (2) semasa kita menerima arahan daripada organisasi Yehuwa, dan (3) semasa kita menghadapi cabaran pada masa depan.

PERCAYA KEPADA YEHUWA SEMASA MEMBACA BIBLE

3. Bagaimanakah sesetengah kisah Bible mungkin menguji keyakinan kita terhadap Yehuwa?

 3 Semasa membaca Bible, kita mungkin mempunyai soalan tentang cara Yehuwa melayan sesetengah orang dan tentang sesetengah keputusan yang dibuat oleh-Nya. Sebagai contoh, menurut buku Bilangan, Yehuwa telah menjatuhkan hukuman mati kepada seorang lelaki Israel kerana dia mengumpulkan kayu pada hari Sabat. Namun ratusan tahun kemudian, menurut buku 2 Samuel, Yehuwa mengampuni Raja Daud biarpun dia telah berzina dan membunuh orang. (Bil. 15:32, 35; 2 Sam. 12:9, 13) Jadi, kita mungkin tertanya-tanya, “Mengapakah Yehuwa mengampuni Daud sedangkan dia melakukan dosa yang begitu serius, tetapi menjatuhkan hukuman mati kepada lelaki Israel itu, padahal dosanya nampaknya tidak begitu serius?” Untuk menjawab soalan ini, perhatikan tiga perkara yang perlu kita ingat semasa membaca Bible.

4. Bagaimanakah Kejadian 18:20, 21 dan Ulangan 10:17 meyakinkan kita bahawa keputusan Yehuwa selalu betul?

4Bible tidak selalunya memberikan semua butiran tentang suatu kisah. Sebagai contoh, kita memang tahu bahawa Daud bertaubat atas perbuatannya. (Mzm. 51:2-4) Bagaimana pula dengan lelaki yang melanggar hukum Sabat itu? Adakah dia menyesali perbuatannya? Adakah dia pernah melanggar hukum Yehuwa sebelum itu? Adakah dia diberi amaran tetapi tidak mempedulikannya? Bible tidak memberitahu kita. Namun, kita boleh yakin bahawa Yehuwa sentiasa “adil dan benar.” (Ul. 32:4) Manusia mungkin membuat keputusan yang salah kerana dipengaruhi khabar angin, prasangka, dan faktor-faktor lain. Tetapi semasa Yehuwa membuat keputusan, Dia mengambil kira semua fakta yang terlibat. (Baca Kejadian 18:20, 21; Ulangan 10:17.) Apabila kita semakin mengenali Yehuwa dan piawaian-Nya, kita akan semakin yakin bahawa keputusan-Nya selalu betul. Jadi, biarpun terdapat persoalan tentang suatu kisah Bible yang tidak dapat dijawab pada masa sekarang, kita tidak akan terlalu risau. Apa yang kita ketahui tentang Tuhan kita sudah cukup untuk meyakinkan kita bahawa Dia “adil dalam segala tindakan-Nya.”​—Mzm. 145:17.

5. Bagaimanakah ketidaksempurnaan dapat mempengaruhi pandangan kita? (Lihat juga kotak “ Ketidaksempurnaan Mengaburi Pandangan Kita.”)

5Ketidaksempurnaan kita mempengaruhi pandangan kita. Kita diciptakan menurut gambaran Tuhan, jadi kita tidak suka melihat orang lain dilayan dengan tidak adil. (Kej. 1:26) Namun, oleh sebab kita tidak sempurna, pandangan kita mungkin tidak tepat walaupun kita rasa kita memiliki semua faktanya. Sebagai contoh, Yunus berasa sangat marah apabila Yehuwa memutuskan untuk menunjukkan belas kasihan terhadap orang Niniwe yang bertaubat. (Yun. 3:10–4:1) Namun, keputusan Yehuwa telah membolehkan lebih daripada 120,000 orang Niniwe diselamatkan! Akhirnya, pandangan Yunuslah yang perlu dibetulkan, dan bukannya Yehuwa.

6. Mengapakah Yehuwa tidak perlu menjelaskan keputusan-Nya kepada kita?

6Yehuwa tidak perlu menjelaskan keputusan-Nya kepada manusia. Memang benar, pada masa dahulu Yehuwa pernah mengizinkan hamba-hamba-Nya untuk meluahkan perasaan mereka tentang keputusan yang sudah atau yang akan dibuat oleh-Nya. (Kej. 18:25; Yun. 4:2, 3) Kadangkala, Dia juga menjelaskan keputusan-Nya. (Yun. 4:10, 11) Namun, Yehuwa sebenarnya tidak wajib menjelaskan sebab di sebalik keputusan-Nya. Sebagai Pencipta, Dia tidak perlu meminta izin daripada kita, tidak kira sebelum atau selepas Dia bertindak.​—Yes. 40:13, 14; 55:9.

PERCAYA KEPADA YEHUWA SEMASA MENERIMA ARAHAN

7. Kita mungkin berasa susah untuk melakukan apa, dan mengapa?

7 Kita tentu setuju bahawa tindakan Yehuwa selalu betul. Namun, kita mungkin berasa susah untuk mempercayai orang yang dilantik-Nya untuk mengambil pimpinan. Kita mungkin tertanya-tanya jika mereka bertindak mengikut arahan Yehuwa atau fikiran sendiri. Fikirkan lagi contoh-contoh di  perenggan 3. Ahli keluarga kepada lelaki yang melanggar hukum Sabat itu mungkin tertanya-tanya, “Adakah Musa benar-benar meminta bimbingan Yehuwa sebelum menjatuhkan hukuman mati?” Sahabat kepada Uria, iaitu suami Bat-syeba, mungkin berfikir bahawa Daud menggunakan kedudukannya sebagai raja untuk mengelak daripada dihukum. Apakah pengajarannya? Yehuwa telah melantik sesetengah orang untuk mengambil pimpinan, dan Dia mempercayai mereka. Jika kita tidak mempercayai orang yang dipercayai oleh Yehuwa, kita tidak boleh berkata bahawa kita mempercayai Yehuwa.

8. Apakah persamaan antara sidang Kristian abad pertama dengan sidang Kristian zaman ini? (Kisah 16:4, 5)

8 Hari ini, Yehuwa menggunakan “hamba yang setia dan bijaksana” untuk memimpin umat-Nya. (Mat. 24:45) Seperti badan pimpinan abad pertama, hamba yang setia dan bijaksana menjaga umat Tuhan di serata bumi dan memberikan arahan kepada penatua di sidang. (Baca Kisah 16:4, 5.) Para penatua pula akan mengikut arahan yang diberikan dan menyampaikannya kepada sidang. Kita menunjukkan bahawa kita percaya kepada Yehuwa jika kita mentaati arahan yang kita terima daripada organisasi dan para penatua.

9. Bilakah kita mungkin berasa susah untuk menyokong keputusan yang dibuat oleh para penatua, dan mengapa?

9 Ada kalanya, kita mungkin berasa susah untuk menyokong keputusan yang dibuat oleh para penatua. Contohnya, baru-baru ini, banyak sidang telah digabungkan, dan sesetengah sidang ditugaskan ke litar yang lain. Kadangkala, para penatua meminta para penyiar untuk menyertai sidang tertentu supaya tempat duduk di Dewan Perjumpaan dapat dipenuhi. Adakah para penatua diberitahu oleh Yehuwa setiap penyiar harus menyertai sidang mana? Tidak. Jadi, kita mungkin berasa susah untuk mematuhi arahan tersebut, terutamanya jika kita perlu meninggalkan kawan dan ahli keluarga kita. Namun, Yehuwa mempercayai para penatua untuk membuat keputusan sedemikian, jadi kita juga perlu mempercayai mereka. *

10. Menurut Ibrani 13:17, mengapakah kita harus bekerjasama dengan para penatua?

10 Mengapakah kita mesti bekerjasama dengan para penatua dan menyokong keputusan mereka walaupun keputusan itu bukan seperti yang kita inginkan? Kerana dengan berbuat demikian, kita menyumbang kepada perpaduan umat Tuhan. (Ef. 4:2, 3) Sidang juga akan bertambah maju apabila semua orang bersikap rendah hati dan menerima keputusan yang dibuat oleh badan penatua. (Baca Ibrani 13:17.) Yang terpenting, apabila kita bekerjasama dengan orang yang dilantik oleh Yehuwa untuk menjaga kita, kita menunjukkan kepada Yehuwa bahawa kita percaya kepada-Nya.​—Kis. 20:28.

11. Bagaimanakah kita dapat menguatkan keyakinan kita terhadap arahan yang diberikan oleh para penatua?

11 Bagaimanakah kita dapat menguatkan keyakinan kita terhadap arahan yang diberikan oleh para penatua? Ingatlah bahawa semasa para penatua membincangkan hal-hal sidang, mereka akan berdoa memohon kuasa suci Tuhan. Mereka juga akan mempertimbangkan prinsip-prinsip Bible yang berkenaan dan garis panduan yang disediakan oleh organisasi Yehuwa. Mereka melakukan hal ini kerana ingin menyenangkan hati Yehuwa dan menjaga umat-Nya dengan sebaik-baiknya. Mereka juga sedar bahawa mereka bertanggungjawab terhadap Yehuwa dalam cara mereka menjalankan tugas mereka. (1 Ptr. 5:2, 3) Fikirkan hal ini: Dalam dunia yang berpecah belah kerana kaum, agama, dan politik, umat Yehuwa dapat bersatu padu menyembah Tuhan yang benar. Hal ini dapat berlaku hanya kerana Yehuwa memberkati organisasi-Nya!

12. Apakah yang mesti dipertimbangkan oleh para penatua semasa mengenal pasti sama ada seseorang itu bertaubat atau tidak?

12 Yehuwa telah memberi para penatua tanggungjawab yang penting untuk memastikan agar sidang tetap bersih. Jika seorang Kristian melakukan dosa yang serius, Yehuwa mahu para penatua mengenal pasti sama ada orang itu boleh terus berada dalam sidang atau tidak. Oleh itu, para penatua perlu menyiasat perkara itu dengan teliti dan melihat jika orang itu benar-benar bertaubat. Orang itu mungkin berkata bahawa dia bertaubat, tetapi adakah dia benar-benar membenci perbuatannya yang salah? Adakah dia bertekad untuk tidak mengulangi dosanya? Jika dia terjebak dalam salah laku kerana pergaulan yang buruk, sudikah dia menghentikan pergaulan buruk itu? Para penatua perlu berdoa, mempertimbangkan soalan-soalan itu dan prinsip Bible yang berkenaan, dan mengambil kira sikap pendosa itu terhadap perbuatannya. Kemudian, mereka akan menentukan jika dia boleh terus berada dalam sidang. Ada kalanya, seorang pendosa akan disingkirkan.​—1 Kor. 5:11-13.

13. Apakah yang mungkin kita fikirkan jika sahabat rapat atau ahli keluarga kita disingkirkan?

13 Bagaimanakah kepercayaan kita terhadap para penatua akan diuji? Kita mungkin senang menerima keputusan para penatua jika orang yang disingkirkan itu bukanlah sahabat rapat atau ahli keluarga kita. Namun, jika orang yang disingkirkan itu rapat dengan kita, kita mungkin tertanya-tanya, “Adakah para penatua menyiasat hal itu dengan teliti? Adakah keputusan mereka selaras dengan pandangan Yehuwa?” Jika begitu, apakah yang dapat membantu kita untuk memiliki sikap yang betul terhadap keputusan para penatua?

14. Apakah yang dapat membantu kita memiliki sikap yang betul jika para penatua memutuskan untuk menyingkirkan sahabat atau ahli keluarga kita?

14 Ingatlah bahawa aturan penyingkiran diberikan oleh Yehuwa demi manfaat sidang dan pendosa. Jika seorang pendosa yang enggan bertaubat tidak disingkirkan, dia mungkin akan membawa pengaruh buruk kepada orang lain dalam sidang. (Gal. 5:9) Bukan itu sahaja, dia mungkin tidak akan menyedari betapa serius dosanya, dan dia mungkin berasa bahawa dia tidak perlu mengubah fikiran dan tindakannya agar mendapat semula perkenan Yehuwa. (Pkh. 8:11) Kita boleh yakin bahawa para penatua memandang serius tanggungjawab mereka semasa memutuskan sama ada seseorang perlu disingkirkan atau tidak. Para penatua juga sedar bahawa seperti para hakim pada zaman Israel, mereka “melaksanakan penghakiman atas nama Yehuwa.”​—2 Taw. 19:6, 7.

PERCAYA KEPADA YEHUWA SEKARANG SUPAYA KITA PERCAYA KEPADA-NYA PADA MASA DEPAN

Apakah yang dapat membantu kita mempercayai dan mentaati arahan yang diberikan semasa kesengsaraan besar? (Lihat perenggan 15)

15. Mengapakah kita harus mempercayai arahan Yehuwa lebih-lebih lagi pada masa sekarang?

15 Seraya akhir sistem dunia ini semakin dekat, kita harus percaya bahawa tindakan Yehuwa selalu betul. Mengapakah hal itu begitu penting? Semasa kesengsaraan besar, kita mungkin diberi arahan yang nampaknya pelik, tidak masuk akal, atau tidak praktikal. Sudah tentu, pada masa itu, Yehuwa tidak akan memberi kita arahan secara langsung dari syurga. Kemungkinan besar, Dia akan memberi kita arahan melalui orang yang dilantik-Nya untuk mengambil pimpinan. Semasa hal itu berlaku, itu bukanlah masanya untuk meragui arahan yang diberikan atau berfikir, “Benarkah arahan itu datang daripada Yehuwa, atau adakah saudara-saudara yang mengambil pimpinan memandai-mandai sahaja?” Adakah anda akan percaya kepada Yehuwa dan organisasi-Nya pada saat genting itu? Jawapannya bergantung pada reaksi anda sekarang terhadap arahan yang diberikan oleh saudara-saudara yang mengambil pimpinan. Jika anda mempercayai arahan mereka dan mentaatinya sekarang, anda juga akan berbuat demikian semasa kesengsaraan besar.​—Luk. 16:10.

16. Bagaimanakah kepercayaan kita terhadap keputusan Yehuwa akan diuji tidak lama lagi?

16 Kita juga harus memikirkan reaksi kita terhadap penghakiman Yehuwa semasa akhir sistem dunia ini. Kini, kita berharap agar ramai orang yang tidak menyembah Yehuwa, termasuk ahli keluarga kita yang tidak seiman, akan menyembah Yehuwa sebelum akhir tiba. Namun, semasa Armagedon, Yehuwa akan menggunakan Yesus untuk membuat keputusan terakhir tentang masa depan mereka. (Mat. 25:31-33; 2 Tes. 1:7-9) Ingatlah, kita tidak berhak menentukan siapa yang layak atau tidak layak mendapat belas kasihan Yehuwa. (Mat. 25:34, 41, 46) Jadi, pada masa itu, adakah kita akan mempercayai keputusan Yehuwa, atau adakah kita akan berhenti menyembah Yehuwa kerana tidak setuju dengan keputusan-Nya? Jelaslah, kita perlu menguatkan kepercayaan kita kepada Yehuwa sekarang, supaya kita dapat percaya sepenuhnya kepada Yehuwa pada masa depan.

17. Apakah manfaat yang akan kita raih daripada penghakiman Yehuwa semasa akhir sistem dunia ini?

17 Bayangkanlah perasaan kita semasa kita berada di dunia baharu dan melihat hasil daripada penghakiman Yehuwa. Ketika itu, agama palsu, dunia perdagangan yang tamak, dan kerajaan manusia yang sering menindas orang dan menyebabkan penderitaan, semuanya sudah dilenyapkan! Penyakit, usia tua, dan kematian orang tersayang sudah tidak menjadi sebahagian daripada kehidupan kita lagi. Syaitan dan konco-konconya akan dikurung selama seribu tahun. Segala hal buruk yang disebabkan oleh pemberontakan mereka juga sudah tiada. (Why. 20:2, 3) Pada masa itu, kita pasti bersyukur kerana percaya sepenuhnya kepada keputusan Yehuwa!

18. Apakah yang dapat kita pelajari daripada kisah tentang orang Israel yang tercatat di Bilangan 11:4-6 dan 21:5?

18 Semasa kita hidup di dunia baharu Tuhan nanti, mungkinkah kepercayaan kita kepada Yehuwa akan diuji? Fikirkan apa yang berlaku tidak lama selepas orang Israel dibebaskan dari Mesir. Ada yang mula bersungut-sungut kerana merindui makanan di Mesir, dan mereka menganggap manna yang disediakan oleh Yehuwa sebagai makanan yang memuakkan! (Baca Bilangan 11:4-6; 21:5.) Mungkinkah kita mempunyai reaksi yang sama selepas kesengsaraan besar berakhir? Kita tidak tahu berapa banyak kerja yang diperlukan untuk membaik pulih bumi dan menjadikannya sebuah firdaus. Kemungkinan besar, ada banyak hal yang perlu dilakukan, dan kehidupan kita mungkin tidak begitu selesa pada mulanya. Adakah kita akan merungut tentang cara Yehuwa menjaga kita pada masa itu? Jika kita menghargai segala pemberian Yehuwa sekarang, kita akan berasa lebih mudah untuk berbuat demikian pada masa depan.

19. Apakah isi-isi penting dalam rencana ini?

19 Kita perlu percaya bahawa tindakan Yehuwa selalu betul. Kita juga perlu mempercayai orang yang dilantik oleh Yehuwa untuk menyampaikan arahan-Nya. Ingatlah kata-kata Yehuwa menerusi Nabi Yesaya: “Jika kamu bertenang dan percaya kepada-Ku, kamu akan dikuatkan.”​—Yes. 30:15.

LAGU 98 Bible​—Diilhami oleh Tuhan

^ per. 5 Rencana ini akan menjelaskan mengapa kita perlu menguatkan keyakinan kita terhadap Yehuwa dan terhadap orang yang dilantik-Nya untuk mengambil pimpinan. Kita juga akan membincangkan bagaimana hal ini akan membawa manfaat sekarang dan mempersiapkan kita untuk menghadapi cabaran pada masa depan.

^ per. 9 Ada kalanya, terdapat hal-hal tertentu yang menyebabkan seorang individu atau sebuah keluarga tidak dapat berpindah ke sidang lain. Lihat Kotak Pertanyaan dalam Pelayanan Kerajaan Kita, terbitan November 2002, dalam bahasa Indonesia.