Tahukah Anda?
Mengapakah sesetengah perkataan dan frasa dalam Bible diulangi?
MENGAPAKAH penulis Bible ada kalanya mengulangi frasa yang sama? Perhatikan tiga sebab berikut:
Keadaan semasa Bible ditulis. Pada zaman Israel kuno, kebanyakan orang tidak memiliki salinan peribadi Hukum Tuhan. Biasanya, umat Tuhan akan berkumpul di khemah suci atau Rumah Tuhan untuk mendengar Hukum dibacakan. (Ul. 31:10-12) Bayangkan, semasa mereka berdiri bersama ribuan orang selama berjam-jam, mereka tentu susah menumpukan perhatian. (Neh. 8:2, 3, 7) Jadi, apabila frasa-frasa yang penting diulangi, orang ramai dapat mengingati dan menerapkan Hukum Tuhan dengan lebih mudah. Selain itu, apabila perkataan tertentu diulangi, butiran dalam peraturan dan ketetapan Tuhan akan lebih melekat dalam minda mereka.—Im. 18:4-22; Ul. 5:1.
Gaya penulisan. Kira-kira 10 peratus Bible terdiri daripada lagu, termasuk buku Mazmur, Kidung Agung, dan Ratapan. Kadangkala, sesetengah ungkapan dalam lagu diulangi untuk menekankan temanya dan membantu pendengar menghafal liriknya. Sebagai contoh, Mazmur 115:9-11 menyatakan, “Hai Israel, percayalah kepada Yehuwa. Dia akan membantumu dan menjadi seperti perisai bagimu. Hai keturunan Harun, percayalah kepada Yehuwa. Dia akan membantu kamu dan menjadi seperti perisai bagi kamu. Hai orang yang takut akan Yehuwa, percayalah kepada Yehuwa. Dia akan membantu kamu dan menjadi seperti perisai bagi kamu.” Dapatkah anda perhatikan frasa-frasa yang diulangi itu? Sudah pasti, pengulangannya akan membantu lirik lagu itu terpahat dalam hati dan minda para penyanyi.
Untuk menekankan isi penting. Penulis Bible ada kalanya mengulangi frasa yang penting. Sebagai contoh, semasa Yehuwa melarang orang Israel untuk makan darah, Dia menyuruh Musa menjelaskan sebabnya berulang kali. Yehuwa mahu menekankan bahawa nyawa terkandung dalam darah, atau dalam kata lain, darah melambangkan nyawa. (Im. 17:11, 14) Ratusan tahun kemudian, semasa para rasul dan penatua di Yerusalem menyenaraikan hal-hal yang mesti dijauhi agar dapat menyenangkan hati Tuhan, mereka menekankan lagi bahawa umat Tuhan harus menjauhi darah.—Kis. 15:20, 29.
Walaupun sesetengah perkataan dan frasa dalam Bible diulangi, hal itu tidak bermaksud Yehuwa mahu kita asyik mengulangi perkataan yang sama dalam ibadat kita. Yesus pernah berkata, “Semasa kamu berdoa, jangan asyik mengulangi kata-kata yang sama.” (Mat. 6:7) Selepas itu, dia menyebut beberapa topik yang selaras dengan kehendak Tuhan, yang boleh kita sebutkan semasa berdoa. (Mat. 6:9-13) Jadi, walaupun kita mengelak daripada mengulangi perkataan yang sama semasa berdoa, kita boleh berdoa tentang topik yang sama berulang kali.—Mat. 7:7-11.
Maka, sesetengah perkataan dan frasa dalam Bible diulangi atas sebab yang baik. Itulah salah satu cara Pendidik Agung kita mengajar kita demi manfaat kita.—Yes. 48:17, 18.