Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 8

LAGU 123 Tunduk kepada Aturan Teokratik dengan Setia

Teruslah Mengikut Bimbingan Yehuwa

Teruslah Mengikut Bimbingan Yehuwa

“Aku, Yehuwa, . . . memimpin kamu di jalan yang harus kamu tempuh.”​—YES. 48:17.

FOKUS

Rencana ini akan bantu kita lihat bagaimana Yehuwa membimbing umat-Nya hari ini dan berkat yang akan kita raih jika kita ikut bimbingan-Nya.

1. Mengapakah kita memerlukan bimbingan Yehuwa? Berikan contoh.

 BAYANGKAN anda tersesat di hutan. Hutan itu sangat bahaya kerana terdapat binatang liar, serangga berbisa, tumbuhan beracun, dan banyak lubang yang berbahaya. Anda pasti bersyukur jika ada seseorang yang berpengalaman yang tahu semua bahaya dalam hutan itu dan membantu anda mengelakkannya! Sebenarnya, dunia kita adalah seperti hutan itu. Dunia ini penuh dengan bahaya yang boleh mengancam kerohanian kita. Tetapi kita mempunyai Yehuwa, yang dapat membimbing kita dengan sempurna. Dia membantu kita mengelakkan bahaya dan memimpin kita ke arah destinasi kita, iaitu kehidupan kekal di dunia baharu.

2. Bagaimanakah Yehuwa membimbing kita?

2 Bagaimanakah Yehuwa membimbing kita? Cara utama adalah melalui Firman-Nya, Bible. Namun Dia juga menggunakan manusia untuk membimbing kita. Sebagai contoh, Dia menggunakan “hamba yang setia dan bijaksana” untuk memberi kita makanan rohani yang dapat membantu kita membuat keputusan yang bijak. (Mat. 24:45) Yehuwa juga menggunakan saudara yang lain untuk membimbing kita. Contohnya, penyelia litar dan penatua memberi kita galakan dan arahan yang dapat membantu kita mengharungi hari-hari terakhir. Kita sangat bersyukur kepada Yehuwa kerana Dia membimbing kita dengan baik pada masa yang susah ini sebelum akhir datang. Hal ini membantu kita untuk terus menjadi sahabat Yehuwa agar kita dapat menikmati hidup sekarang dan hidup kekal di dunia baharu nanti.

3. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

3 Namun ada kalanya, kita mungkin berasa susah untuk mengikut bimbingan Yehuwa, terutamanya apabila bimbingan itu disampaikan melalui manusia yang tidak sempurna. Mengapa? Kita mungkin tidak menyukai nasihat itu. Atau kita mungkin berasa bahawa arahan yang kita terima itu tidak bijak lalu menyimpulkan bahawa arahan itu bukanlah daripada Yehuwa. Pada masa sedemikian, kita perlu yakin bahawa Yehuwalah yang sedang membimbing umat-Nya, dan mereka yang mengikut bimbingan-Nya akan meraih manfaat. Untuk menguatkan keyakinan kita, rencana ini akan membincangkan (1) bagaimana Yehuwa membimbing umat-Nya pada zaman Bible, (2) bagaimana Dia membimbing kita hari ini, dan (3) manfaat yang diraih jika kita terus mengikut bimbingan-Nya.

Dari dahulu sampai sekarang, Yehuwa menggunakan wakil-Nya di bumi untuk membimbing umat-Nya (Lihat perenggan 3)


BAGAIMANA YEHUWA MEMBIMBING BANGSA ISRAEL

4-5. Bagaimanakah Yehuwa menunjukkan bahawa Dia sedang menggunakan Musa untuk membimbing bangsa Israel? (Lihat gambar.)

4 Yehuwa melantik Musa untuk membimbing orang Israel keluar dari Mesir. Dia memberi orang Israel bukti yang jelas untuk menunjukkan bahawa Dia sedang membimbing mereka melalui Musa. Sebagai contoh, Dia menyediakan tiang awan pada siang hari dan tiang api pada malam hari. (Kel. 13:21) Musa mengikut tiang itu yang membawa dia dan orang Israel ke Laut Merah. Orang Israel panik apabila mereka terperangkap antara Laut Merah dengan tentera Mesir yang sedang mengejar mereka. Mereka fikir bahawa Musa membuat keputusan salah kerana membawa mereka ke Laut Merah. Tetapi, sebenarnya Yehuwa telah menggunakan Musa untuk memimpin umat-Nya ke sana. (Kel. 14:2) Selepas itu, Yehuwa menyelamatkan umat-Nya dalam cara yang menakjubkan.​—Kel. 14:26-28.

Musa bergantung pada tiang awan untuk memimpin umat Tuhan di padang belantara (Lihat perenggan 4-5)


5 Selama 40 tahun, Musa terus bergantung pada tiang awan untuk memimpin umat Tuhan di padang belantara. a Buat suatu jangka masa, Yehuwa menempatkan tiang itu di atas khemah yang didiami Musa dan semua orang Israel dapat melihatnya. (Kel. 33:​7, 9, 10) Dia bercakap kepada Musa dari tiang awan itu dan Musa kemudiannya menyampaikan arahan Tuhan kepada orang Israel. (Mzm. 99:7) Jadi, orang Israel dapat lihat dengan jelas bahawa Yehuwa sedang menggunakan Musa untuk memimpin mereka.

Musa dan penggantinya, Yosua (Lihat perenggan 5, 7)


6. Adakah orang Israel menurut bimbingan Yehuwa? (Bilangan 14:​2, 10, 11)

6 Sedihnya, kebanyakan orang Israel menolak bukti yang jelas bahawa Musa ialah wakil Yehuwa. (Baca Bilangan 14:​2, 10, 11.) Berulang kali, mereka enggan menerima hakikat bahawa Yehuwa sedang menggunakan Musa untuk memimpin mereka. Akibatnya, Yehuwa tidak mengizinkan mereka untuk masuk ke Tanah yang Dijanjikan.​—Bil. 14:30.

7. Berikan contoh orang yang menurut bimbingan Yehuwa. (Bilangan 14:24) (Lihat juga gambar.)

7 Namun, terdapat sesetengah orang Israel yang mengikut bimbingan Yehuwa. Contohnya Yehuwa berfirman, “[Kaleb] sentiasa mematuhi perintah-Ku dengan sepenuh hati.” (Baca Bilangan 14:24.) Yehuwa memberkati Kaleb dan bahkan mengizinkannya untuk pilih di mana dia mahu tinggal di Tanah yang Dijanjikan. (Yos. 14:​12-14) Generasi orang Israel yang berikutnya juga mengikut bimbingan Yehuwa dengan setia. Setelah Yosua menggantikan Musa sebagai pemimpin orang Israel, mereka “sangat menghormati Yosua sepanjang hayatnya.” (Yos. 4:14) Hasilnya, Yehuwa memberkati mereka dan membawa mereka ke Tanah yang Dijanjikan.​—Yos. 21:43, 44.

8. Bagaimanakah Yehuwa membimbing umat-Nya pada zaman raja-raja? (Lihat juga gambar.)

8 Selepas zaman Yosua, Yehuwa melantik para hakim untuk membimbing umat-Nya. Kemudian pada zaman raja-raja, Yehuwa melantik para nabi untuk membimbing umat-Nya. Raja-raja yang setia akan mematuhi nasihat para nabi. Misalnya, Raja Daud menerima teguran Nabi Natan dengan rendah hati. (2 Sam. 12:7, 13; 1 Taw. 17:​3, 4) Raja Yehosafat meminta bimbingan Nabi Yahaziel dan menggalakkan penduduk Yehuda untuk ‘percaya kepada nabi-nabi Tuhan.’ (2 Taw. 20:14, 15, 20) Semasa dilanda masalah, Raja Hizkia meminta bantuan Nabi Yesaya. (Yes. 37:1-6) Setiap kali raja mematuhi bimbingan Yehuwa, mereka diberkati dan rakyat mereka dilindungi. (2 Taw. 20:29, 30; 32:22) Semua orang sepatutnya dapat melihat dengan jelas bahawa Yehuwa sedang menggunakan para nabi untuk membimbing umat-Nya. Tetapi, kebanyakan raja dan orang Israel menolak nasihat nabi Yehuwa.​—Yer. 35:12-15.

Raja Hizkia dan Nabi Yesaya (Lihat perenggan 8)


BAGAIMANA YEHUWA MEMBIMBING ORANG KRISTIAN ABAD PERTAMA

9. Siapakah yang Yehuwa gunakan untuk membimbing orang Kristian pada abad pertama? (Lihat juga gambar.)

9 Selepas Yesus dibangkitkan, Yehuwa menubuhkan sidang Kristian. Bagaimanakah Dia membimbing orang Kristian pada abad pertama? Dia melantik Yesus sebagai ketua sidang. (Ef. 5:23) Tetapi Yesus tidak memberikan arahan kepada setiap pengikutnya secara berasingan. Sebaliknya, dia menggunakan para rasul dan penatua di Yerusalem untuk mengambil pimpinan. (Kis. 15:1, 2) Selain itu, para penatua dilantik di sidang untuk membimbing orang Kristian.​—1 Tes. 5:12; Tit. 1:5.

Para rasul dan para penatua di Yerusalem (Lihat perenggan 9)


10. (a) Adakah kebanyakan orang Kristian abad pertama mematuhi arahan yang diberikan? (Kisah 15:​30, 31) (b) Mengapakah sesetengah orang pada zaman Bible enggan mematuhi wakil Yehuwa di bumi? (Lihat kotak “ Mengapa Sesetengah Orang Menolak Wakil Yehuwa.”)

10 Adakah kebanyakan orang Kristian abad pertama mematuhi arahan yang diberikan? Ya. Perhatikan reaksi mereka terhadap surat yang mengandungi arahan daripada para rasul dan penatua. Bible kata, “Setelah membaca surat yang menggalakkan itu, mereka bersukacita.” (Baca Kisah 15:30, 31.) Tetapi, bagaimanakah Yehuwa membimbing kita hari ini?

CARA YEHUWA MEMBIMBING KITA HARI INI

11. Bagaimanakah Yehuwa membimbing mereka yang mengambil pimpinan pada zaman moden? Berikan contoh.

11 Pada zaman moden, Yehuwa terus membimbing umat-Nya menerusi Bible dan Anak-Nya, iaitu ketua sidang. Apakah bukti yang menunjukkan bahawa Dia masih menggunakan wakil-Nya di bumi untuk mengambil pimpinan? Sebagai contoh, perhatikan apa yang berlaku selepas tahun 1870. Setelah menyelidiki nubuat Bible, Charles Taze Russell dan rakan-rakannya sedar bahawa tahun 1914 ialah tahun yang penting bagi Kerajaan Tuhan. (Dan. 4:25, 26) Adakah hasil penyelidikan mereka dibimbing oleh Yehuwa? Sudah tentu. Peristiwa yang berlaku di dunia pada tahun 1914 membuktikan bahawa Kerajaan Tuhan sudah mula memerintah. Selepas Perang Dunia Pertama tercetus, berlakulah wabak penyakit, gempa bumi, dan kebuluran. (Luk. 21:10, 11) Sesungguhnya, Yehuwa sedang menggunakan saudara-saudara tersebut untuk membimbing umat-Nya.

12-13. Semasa Perang Dunia Kedua, apakah aturan yang dibuat untuk menggiatkan kerja menginjil dan mengajar?

12 Fikirkan juga apa yang berlaku semasa Perang Dunia Kedua. Selepas mengkaji Wahyu 17:​8, saudara yang mengambil pimpinan di ibu pejabat sedunia sedar bahawa Armagedon tidak akan bermula selepas perang itu. Sebaliknya, keadaan dunia akan menjadi agak damai, dan itulah peluang untuk menggiatkan kerja menginjil. Jadi, walaupun perang masih sedang berlaku, organisasi Yehuwa menubuhkan Sekolah Gilead agar dapat melatih mubaligh untuk menginjil dan mengajar di seluas dunia. Para mubaligh dihantar ke banyak tempat, bahkan semasa perang. Selain itu, hamba yang setia telah mengaturkan Kursus Penyebaran Teokratik b untuk melatih semua dalam sidang agar menjadi penginjil dan pengajar yang lebih mahir. Dengan cara ini, umat Tuhan dapat bersiap sedia untuk kerja yang menantikan mereka.

13 Mengenang kembali masa yang mencabar itu, kita dapat melihat dengan jelas bahawa Yehuwa sedang membimbing umat-Nya. Selepas Perang Dunia Kedua, umat Tuhan di banyak negara dapat menginjil dalam keadaan yang bebas dan damai. Hasilnya, kerja penyebaran telah berkembang maju.

14. Mengapakah kita dapat mempercayai arahan daripada organisasi Yehuwa dan daripada para penatua yang terlantik? (Wahyu 2:1) (Lihat juga gambar.)

14 Hari ini, Badan Pimpinan terus bergantung pada bimbingan Kristus dan berusaha untuk memastikan arahan yang mereka berikan mencerminkan fikiran Yehuwa dan Yesus. Mereka menggunakan penyelia litar dan para penatua untuk menyampaikan arahan mereka kepada sidang-sidang. c Bible kata bahawa para penatua ada ‘di dalam tangan kanan Kristus.’ (Baca Wahyu 2:1.) Namun, para penatua tidak sempurna dan akan membuat kesilapan. Pada zaman dulu, Musa dan Yosua pun pernah berbuat silap, begitu juga dengan para rasul. (Bil. 20:12; Yos. 9:14, 15; Rm. 3:23) Biarpun begitu, Kristus sedang membimbing hamba yang setia dan para penatua, dan dia akan terus berbuat demikian “sehingga penghujung sistem ini.” (Mat. 28:20) Maka kita dapat mempercayai sepenuhnya bimbingan yang diberikan melalui saudara-saudara yang terlantik.

Badan Pimpinan hari ini (Lihat perenggan 14)


MENGIKUT BIMBINGAN YEHUWA MEMBAWA MANFAAT

15-16. Apakah yang anda pelajari daripada pengalaman saudara saudari yang mengikut bimbingan Yehuwa?

15 Jika kita terus mengikut bimbingan Yehuwa, kita akan diberkati, bahkan pada masa sekarang. Sebagai contoh, Andy dan Robyn mengikut nasihat untuk hidup sederhana. (Lihat nota pembelajaran bagi Matius 6:22 dalam Alkitab Edisi Pelajaran bahasa Indonesia.) Hasilnya, mereka dapat menyertai projek pembinaan teokratik. Robyn berkata, “Ada kalanya, kami tinggal di tempat yang sangat kecil dan bahkan tiada dapur. Saya ini peminat fotografi, tetapi saya perlu menjual banyak peralatan fotografi saya. Saya menangis semasa menjualnya. Tetapi seperti Sara, isteri Abraham, saya berazam untuk memandang ke depan, dan bukannya hal-hal yang sudah ditinggalkan.” (Ibr. 11:15) Apakah berkat yang diraih pasangan ini? Robyn berkata, “Kami sangat puas kerana kami tahu kami sudah memberi Yehuwa segala-galanya. Semasa membantu dalam projek pembinaan, kami boleh rasa bagaimana kehidupan di dunia baharu nanti.” Andy menambah, “Kami berasa puas kerana dapat menyokong Kerajaan Tuhan dengan sedaya upaya.”

16 Apakah manfaat lain yang akan kita raih jika kita mengikut bimbingan Yehuwa? Selepas tamat sekolah, Marcia mengikut nasihat untuk merintis. (Mat. 6:33; Rm. 12:11) Dia berkata, “Saya ditawarkan biasiswa untuk menuntut di universiti selama empat tahun. Tetapi saya sudah menetapkan matlamat rohani. Jadi saya memilih untuk mengambil kursus kemahiran di sekolah vokasional supaya saya dapat merintis dan menyara diri. Itulah keputusan terbaik yang pernah saya buat. Sekarang, saya menikmati khidmat perintis biasa. Oleh sebab jadual kerja saya fleksibel, saya juga dapat membantu di Bethel dan melakukan hal-hal lain untuk Yehuwa.”

17. Apakah berkat lain yang akan kita raih jika kita mengikut bimbingan Yehuwa? (Yesaya 48:​17, 18)

17 Kadangkala, kita diberi nasihat untuk mengelakkan jerat kebendaan dan perbuatan yang berdosa. Apakah berkat yang dapat kita nikmati jika kita mengikut nasihat Yehuwa dalam hal-hal ini? Kita mempunyai hati nurani yang bersih dan mengelakkan banyak masalah. (1 Tim. 6:9, 10) Hasilnya, kita dapat menyembah Yehuwa dengan sepenuh jiwa dan menikmati sukacita, kedamaian, dan kepuasan yang sejati.​—Baca Yesaya 48:17, 18.

18. Mengapakah anda bertekad untuk terus mengikut bimbingan Yehuwa?

18 Yehuwa akan terus menggunakan wakil-Nya di bumi untuk membimbing kita semasa kesengsaraan besar dan semasa Pemerintahan Seribu Tahun Kristus. (Mzm. 45:16) Adakah kita akan terus mengikut bimbingan yang diberikan biarpun kita tidak menyukainya? Reaksi kita terhadap bimbingan Yehuwa sekarang akan menentukan reaksi kita pada masa depan. Maka, marilah kita sentiasa mengikut bimbingan Yehuwa, termasuk bimbingan yang diberikan-Nya menerusi para saudara yang terlantik. (Yes. 32:1, 2; Ibr. 13:17) Kita dapat yakin bahawa dengan bimbingan Yehuwa, kita dapat mengelakkan jerat-jerat rohani dan sampai dengan selamat di dunia baharu.

APAKAH JAWAPAN ANDA?

  • Bagaimanakah Yehuwa membimbing bangsa Israel?

  • Bagaimanakah Yehuwa membimbing orang Kristian abad pertama?

  • Apakah manfaat yang akan kita raih jika kita mengikut bimbingan Yehuwa hari ini?

LAGU 48 Berjalan dengan Yehuwa Setiap Hari

a Yehuwa juga melantik satu malaikat untuk “memimpin orang Israel” ke Tanah yang Dijanjikan. Nampaknya, malaikat itu ialah Mikhael, iaitu Yesus di syurga sebelum dia menjadi manusia di bumi.—Kel. 14:19; 32:34.

b Kemudiannya dikenali sebagai Sekolah Penyebaran Teokratik. Dewasa ini, latihan ini diberikan semasa perjumpaan pertengahan minggu.

c Lihat kotak “Peranan Badan Pimpinan” dalam Menara Pengawal Februari 2021, ms. 18.