Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 6

LAGU 18 Bersyukur atas Kurniaan Tebusan

Pengampunan Yehuwa​—Mengapa Kita Menghargainya

Pengampunan Yehuwa​—Mengapa Kita Menghargainya

“Tuhan begitu mengasihi dunia ini sehingga Dia memberikan Anak tunggal-Nya.”​—YOH. 3:16.

FOKUS

Memahami apa yang dilakukan Yehuwa supaya dosa kita dapat diampunkan. Dengan itu, kita akan lebih menghargai pengampunan Yehuwa.

1-2. Bagaimanakah situasi kita sama seperti pemuda yang disebut di perenggan 1?

 BAYANGKAN seorang pemuda yang dibesarkan dalam keluarga yang kaya. Suatu hari, ibu bapanya terkorban dalam kemalangan. Berita itu membuat pemuda itu hancur hati. Tetapi ada berita buruk lagi yang menantikannya. Dia mendapati bahawa ibu bapanya telah memboroskan semua harta mereka dan berhutang keliling pinggang. Daripada mewarisi harta ibu bapanya, pemuda ini mewarisi hutang mereka. Hutang itu terlalu besar dan para pemiutang menuntut agar dia menjelaskan hutang dengan segera. Alangkah kasihannya pemuda itu!

2 Sebenarnya, situasi kita agak mirip dengan pemuda tersebut. Ibu bapa kita yang pertama, iaitu Adam dan Hawa, memiliki nyawa yang sempurna dan tinggal di firdaus yang indah. (Kej. 1:27; 2:​7-9) Mereka berpeluang hidup selama-lamanya dengan bahagia. Namun, segala-galanya berubah setelah mereka berdosa. Mereka kehilangan tempat tinggal yang indah dan peluang untuk hidup kekal. Bukan itu sahaja, Bible kata, “Dosa masuk ke dalam dunia melalui satu orang [iaitu Adam], dan dosa membawa kematian. Akibatnya, kematian tersebar kepada semua orang kerana mereka semua berdosa.” (Rm. 5:12) Ya, Adam telah mewariskan dosa kepada kita, dan dosa menyebabkan kematian. Hutang dosa itu begitu besar sehingga tiada seorang pun daripada kita yang mampu membayarnya.​—Mzm. 49:8.

3. Mengapakah dosa kita disamakan dengan “hutang”?

3 Yesus menyamakan dosa dengan “hutang.” (Mat. 6:​12, nota kaki; Luk. 11:​4, nota kaki) Jadi semasa kita berdosa, kita seolah-olah berhutang dengan Yehuwa dan perlu membayarnya. Jika Yehuwa tidak menyediakan aturan untuk mengampunkan dosa kita, kita perlu membayar hutang itu dengan nyawa sendiri, dan kita tidak mempunyai harapan untuk hidup semula.​—Rm. 6:​7, 23.

4. (a) Jika tiada sesiapa yang membantu kita, apakah yang akan berlaku? (Mazmur 49:​7-9) (b) Dalam Bible, perkataan “dosa” merujuk kepada apa? (Lihat kotak “ Dosa.”)

4 Kita sendiri tidak mampu mendapat kembali apa yang dihilangkan oleh Adam dan Hawa. (Baca Mazmur 49:​7-9.) Jika tiada sesiapa yang membantu kita, kita semua akan mati dan lenyap buat selama-lamanya seperti binatang.—Pkh. 3:19; 2 Ptr. 2:12.

5. Apakah bantuan yang disediakan oleh Bapa kita yang pengasih? (Lihat gambar.)

5 Fikir kembali pemuda yang disebut di awal rencana. Apakah perasaannya jika seorang hartawan berjanji untuk membayar semua hutangnya? Pemuda itu pasti sangat bersyukur atas bantuan itu. Begitu juga, Bapa kita yang pengasih dan murah hati, Yehuwa, telah menyediakan bantuan untuk membayar hutang dosa yang kita warisi daripada Adam. Yesus menjelaskan, “Tuhan begitu mengasihi dunia ini sehingga Dia memberikan Anak tunggal-Nya, supaya setiap orang yang beriman kepadanya tidak dibinasakan tetapi mendapat kehidupan kekal.” (Yoh. 3:16) Selain itu, bantuan, atau kurniaan ini, membolehkan kita menjalin hubungan yang baik dengan Yehuwa.

Yesus menyebarkan berita baik bahawa Yehuwa sudi mengampunkan dosa atas dasar korban tebusan. (Yoh. 3:16) Kemudian dia rela mengorbankan nyawanya untuk menyediakan tebusan (Lihat perenggan 5)


6. Apakah istilah Bible yang akan kita bincangkan dalam rencana ini, dan mengapa?

6 Apakah yang perlu kita lakukan supaya meraih manfaat daripada kurniaan ini dan supaya hutang dosa kita dihapuskan? Jawapan kepada soalan ini terdapat dalam istilah-istilah Bible seperti berbaik semula, pengampunan, tebusan, pembebasan, dan dianggap sebagai orang yang diperkenankan Tuhan. Dalam rencana ini, kita akan membincangkan maksud setiap istilah tersebut. Dengan merenungkan maksudnya, kita akan semakin menghargai apa yang dilakukan oleh Yehuwa agar dosa kita diampunkan.

TUJUAN: YEHUWA MAHU KITA BERBAIK SEMULA DENGAN-NYA

7. (a) Selain kehilangan peluang untuk hidup selama-lamanya, apa lagi yang dihilangkan oleh Adam dan Hawa? (b) Sebagai keturunan Adam dan Hawa, apakah yang kita perlukan? (Roma 5:​10, 11)

7 Selain kehilangan peluang untuk hidup selama-lamanya, Adam dan Hawa kehilangan hubungan yang baik dengan Bapa mereka, Yehuwa. Pada mulanya, mereka sebahagian daripada keluarga Tuhan. (Luk. 3:38) Tetapi apabila mereka mengingkari Yehuwa, mereka dibuang daripada keluarga Tuhan, dan hal itu berlaku sebelum mereka beranak cucu. (Kej. 3:​23, 24; 4:1) Jadi, sebagai keturunan Adam dan Hawa, kita perlu berbaik semula dengan Yehuwa. (Baca Roma 5:​10, 11.) Maksudnya, hubungan kita dengan-Nya perlu dibaiki. Menurut satu rujukan, perkataan Yunani yang diterjemahkan sebagai “berbaik semula” membawa maksud “mengubah musuh menjadi sahabat.” Yehuwa telah mengambil inisiatif untuk membolehkan kita berbaik semula dengan-Nya. Bagaimana?

ATURAN: YEHUWA MENYEDIAKAN PENGAMPUNAN

8. Apakah yang telah disediakan oleh Yehuwa agar kita dapat berbaik semula dengan-Nya?

8 Pengampunan ialah aturan yang disediakan oleh Yehuwa untuk membolehkan manusia yang berdosa berbaik semula dengan-Nya. Dalam aturan ini, sesuatu yang telah hilang atau dirosakkan akan digantikan dengan sesuatu yang sama nilainya. Kitab Yunani Kristian juga menyebut tentang bagaimana Yehuwa membantu kita berdamai dengan-Nya dan menjadi sahabat-Nya.​—Rm. 3:25.

9. Apakah aturan sementara yang disediakan oleh Yehuwa supaya dosa orang Israel dapat diampunkan?

9 Untuk membolehkan orang Israel menikmati hubungan yang baik dengan-Nya, Yehuwa menyediakan satu aturan sementara supaya dosa mereka dapat diampunkan. Orang Israel disuruh untuk menyambut Hari Pengampunan Dosa setiap tahun. Pada hari itu, imam agung akan mempersembahkan korban binatang bagi pihak orang Israel. Sudah tentu, kedudukan binatang lebih rendah daripada manusia. Jadi, korban binatang tidak dapat menutupi dosa manusia dengan sepenuhnya. Meskipun begitu, selagi orang Israel bertaubat dan mempersembahkan korban yang dikehendaki Yehuwa, Dia sudi mengampunkan dosa mereka. (Ibr. 10:​1-4) Korban yang dipersembahkan pada Hari Pengampunan Dosa dan pada masa lain mengingatkan orang Israel bahawa mereka berdosa dan memerlukan satu aturan yang kekal untuk menutupi dosa mereka dengan sepenuhnya.

10. Apakah aturan kekal yang disediakan Yehuwa supaya dosa manusia dapat diampunkan dengan sepenuhnya?

10 Yehuwa juga menyediakan aturan yang kekal supaya dosa manusia dapat diampunkan dengan sepenuhnya. Dia mengaturkan supaya Anak-Nya yang dikasihi “dipersembahkan sekali sahaja untuk selama-lamanya bagi menanggung dosa banyak orang.” (Ibr. 9:28) Yesus telah mengorbankan “nyawanya sebagai tebusan bagi banyak orang.” (Mat. 20:28) Apakah itu tebusan?

HARGA: YESUS MENGORBANKAN NYAWANYA SEBAGAI TEBUSAN

11. (a) Menurut Bible, apakah itu tebusan? (b) Apakah yang diperlukan untuk membayar tebusan?

11 Menurut Bible, tebusan ialah harga yang dibayar supaya dosa kita diampunkan dan supaya kita dapat berbaik semula dengan Yehuwa. a Yehuwa telah menetapkan harga tebusan yang diperlukan untuk mendapat kembali apa yang dihilangkan oleh Adam. Apakah harganya? Adam dan Hawa telah kehilangan nyawa yang sempurna dan harapan untuk hidup selama-lamanya. Oleh itu, tebusan yang dibayar haruslah sama nilainya dengan apa yang dihilangkan. (1 Tim. 2:6) Jadi, tebusan hanya dapat dibayar oleh seorang lelaki dewasa yang (1) memiliki nyawa yang sempurna; (2) memiliki harapan untuk hidup selama-lamanya di bumi; dan (3) sudi mengorbankan nyawanya bagi kita. Dengan itu, barulah nyawanya dapat menggantikan nyawa yang dihilangkan Adam.

12. Mengapakah Yesus dapat membayar tebusan?

12 Perhatikan tiga sebab mengapa Yesus dapat membayar tebusan. (1) Dia dilahirkan sempurna dan “dia tidak melakukan dosa.” (1 Ptr. 2:22) (2) Oleh sebab dia tidak melakukan dosa, dia ada harapan untuk hidup selama-lamanya di bumi. (3) Dia rela mengorbankan nyawanya bagi kita. (Ibr. 10:​9, 10) Yesus ialah seorang lelaki yang sempurna, seperti keadaan Adam sebelum dia berdosa. (1 Kor. 15:45) Jadi dengan mengorbankan nyawanya, Yesus dapat membayar harga tebusan dan menggantikan apa yang sudah dihilangkan oleh Adam. (Rm. 5:19) Dengan berbuat demikian, Yesus menjadi “Adam yang terakhir.” Oleh sebab Yesus mati ‘sekali buat selama-lamanya,’ seseorang yang sempurna tidak lagi diperlukan untuk menggantikan apa yang dihilangkan oleh Adam.​—Ibr. 7:27; 10:12.

13. Apakah kaitan antara aturan pengampunan dengan tebusan?

13 Jadi apakah kaitan antara aturan pengampunan dengan tebusan? Aturan pengampunan disediakan oleh Tuhan supaya manusia yang berdosa dapat berbaik semula dengan-Nya. Namun agar aturan ini dapat berlaku, tebusan perlu dibayar. Harga tebusan ialah nyawa Yesus yang sempurna.​—Ef. 1:7; Ibr. 9:14.

HASIL: KITA DIBEBASKAN DAN DIANGGAP SEBAGAI ORANG YANG DIPERKENANKAN TUHAN

14. Apakah yang akan kita bincangkan sekarang?

14 Apakah manfaat yang kita raih daripada aturan pengampunan? Untuk mengetahui jawapannya, kita akan mengkaji dua istilah yang digunakan dalam Bible. Kita akan membincangkan maksud setiap istilah dan kaitannya dengan kita secara peribadi.

15-16. (a) Tebusan membebaskan kita daripada apa? (b) Apakah perasaan kita setelah dibebaskan daripada dosa dan kematian?

15 Bible menyatakan bahawa setelah tebusan dibayar, kita dapat dibebaskan. Rasul Petrus menjelaskan, “Kamu tahu bahawa perkara-perkara yang dapat musnah, seperti perak atau emas, tidak membebaskan kamu daripada cara hidup yang sia-sia yang diwariskan kepada kamu oleh nenek moyang kamu. Tetapi kamu dibebaskan dengan darah Kristus yang berharga. Darahnya seperti darah anak bebiri yang tidak bercacat cela dan yang murni.”​—1 Ptr. 1:​18, 19.

16 Dengan adanya korban tebusan yang dibayar dengan darah Yesus, kita dapat dibebaskan daripada dosa dan maut. (Rm. 5:21) Kita sangat bersyukur dan terhutang budi kepada Yehuwa dan Yesus atas kurniaan ini.​—1 Kor. 15:22.

17-18. (a) Apakah maksud dianggap sebagai orang yang diperkenankan Tuhan? (b) Apakah manfaatnya bagi kita?

17 Bible kata bahawa umat Yehuwa dianggap sebagai orang yang diperkenankan-Nya. Maksudnya, Yehuwa tidak menghukum kita setimpal dengan dosa kita. Adakah Yehuwa melanggar standard keadilan-Nya semasa berbuat demikian? Tidak. Dia menganggap kita sebagai orang yang diperkenankan-Nya bukan kerana usaha kita sendiri atau kerana Dia tutup sebelah mata terhadap dosa kita. Sebaliknya, Dia membatalkan hutang dosa kita kerana korban tebusan sudah dibayar dan kerana kita beriman terhadap aturan pengampunan.​—Rm. 3:24; Gal. 2:16.

18 Apakah manfaat yang kita raih kerana Yehuwa menganggap kita sebagai orang yang diperkenankan-Nya? Mereka yang dipilih untuk memerintah bersama Yesus di syurga dapat diterima sebagai anak-anak Tuhan. (Tit. 3:7; 1 Yoh. 3:1) Dosa mereka sudah diampunkan dan mereka seolah-olah tidak mempunyai “rekod jenayah” di hadapan Tuhan. Oleh itu, mereka layak memasuki Kerajaan Tuhan. (Rm. 8:​1, 2, 30) Mereka yang ada harapan untuk tinggal di bumi pula diterima sebagai sahabat Tuhan. Dosa mereka juga telah diampunkan. (Yak. 2:​21-23) Kumpulan besar manusia ini akan selamat mengharungi Armagedon dan berpeluang untuk hidup selama-lamanya tanpa perlu mati. (Yoh. 11:26) “Orang yang baik” dan “orang yang tidak baik” yang sudah meninggal pula akan dibangkitkan. (Kis. 24:15; Yoh. 5:​28, 29) Akhirnya, semua penyembah Yehuwa di bumi akan “menikmati kebebasan dan kemuliaan sebagai anak-anak Tuhan.” (Rm. 8:21) Kita menanti-nantikan masanya kita dapat menjadi anak-anak Tuhan yang sempurna!

19. Apakah manfaat yang kita raih kerana apa yang dilakukan oleh Yehuwa dan Yesus bagi kita? (Lihat juga kotak “ Apakah Maksudnya?”)

19 Sememangnya, keadaan kita adalah seperti pemuda yang disebut di awal rencana. Kita kehilangan segala-galanya dan mewarisi hutang besar yang tidak mampu kita bayar. Namun, kita bersyukur kerana Yehuwa sudi membantu kita. Aturan pengampunan dan korban tebusan telah mengubah keadaan kita. Oleh sebab kita beriman kepada Yesus Kristus, kita dapat dibebaskan daripada dosa dan kematian. Hutang dosa kita juga dibatalkan dan kita seolah-olah tiada rekod jenayah di hadapan Tuhan. Yang terpenting, sekarang pun kita dapat menikmati hubungan yang baik dengan Yehuwa, Bapa kita yang di syurga.

20. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana seterusnya?

20 Setelah merenungkan apa yang telah Yehuwa dan Yesus lakukan bagi kita, hati kita dilimpahi perasaan syukur. (2 Kor. 5:15) Tanpa bantuan mereka, kita semua langsung tiada harapan! Namun, apakah manfaat yang kita masing-masing raih daripada pengampunan Yehuwa? Rencana seterusnya akan menjawab soalan tersebut.

LAGU 10 Pujilah Yehuwa, Tuhan Kita!

a Dalam sesetengah bahasa, istilah “tebusan” diterjemahkan sebagai “harga nyawa,” atau “bayaran.”