Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

KISAH HIDUP

“Saya Tidak Pernah Keseorangan”

“Saya Tidak Pernah Keseorangan”

ADA banyak hal yang boleh membuat kita rasa keseorangan, seperti kematian orang tersayang, berpindah ke tempat baharu, dan hidup berjauhan daripada sahabat dan keluarga. Saya pernah lalui semua ini. Namun, setelah mengenang kembali kehidupan saya, saya sedar saya tidak pernah keseorangan. Mengapa? Biar saya jelaskan.

TELADAN MAK DAN AYAH

Mak dan Ayah kuat beragama Katolik. Tetapi selepas mereka belajar bahawa nama Tuhan ialah Yehuwa, mereka menjadi Saksi-Saksi Yehuwa yang bersemangat. Ayah tidak lagi menggunakan kemahirannya sebagai tukang kayu untuk membuat patung Yesus. Sebaliknya, dia mengubah suai tingkat bawah rumah kami menjadi Dewan Perjumpaan yang pertama di San Juan del Monte, yang terletak di pinggir bandar Manila, iaitu ibu negara Filipina.

Bersama ibu bapa, adik-beradik, dan sanak saudara saya

Saya dilahirkan pada tahun 1952. Mak dan Ayah mengajar saya tentang Yehuwa, seperti yang dilakukan mereka untuk empat orang abang dan tiga orang kakak saya. Seraya saya membesar, Ayah menggalakkan saya untuk membaca satu bab Bible setiap hari, dan dia menggunakan banyak bahan bacaan untuk mengajar saya kebenaran. Kadangkala, Mak dan Ayah menjemput penyelia lawatan dan saudara-saudara dari pejabat cawangan untuk tinggal di rumah kami. Keluarga kami sangat gembira dan digalakkan semasa mendengar pengalaman yang diceritakan oleh mereka. Hal itu mendorong kami semua untuk mengutamakan kerja penyebaran dalam hidup kami.

Iman Mak dan Ayah merupakan teladan yang baik bagi saya. Selepas Mak meninggal akibat penyakit, saya dan Ayah mula merintis bersama-sama pada tahun 1971. Namun pada tahun 1973, semasa saya berumur 20 tahun, Ayah telah meninggal. Saya berasa sangat sedih dan sunyi. Namun, harapan Bible yang “teguh dan pasti” telah membantu saya tetap berpandangan positif dan tetap akrab dengan Yehuwa. (Ibr. 6:19) Tidak lama selepas Ayah meninggal, saya ditugaskan sebagai perintis khas di Coron, sebuah pulau terpencil di wilayah Palawan.

MELAKUKAN TUGASAN YANG MENCABAR SEORANG DIRI

Saya berumur 21 tahun ketika tiba di Coron. Oleh sebab saya orang bandar, saya terkejut semasa mendapat tahu bahawa pulau ini selalu ada gangguan bekalan elektrik dan air. Kereta dan motosikal juga jarang dijumpai di sini. Pulau ini ada beberapa orang saudara saudari, tetapi saya tiada rakan perintis. Ada kalanya, saya perlu menginjil seorang diri. Pada bulan pertama di pulau ini, saya sangat merindui keluarga dan sahabat saya. Pada malam hari, saya akan melihat bintang di langit sambil menangis. Saya rasa seperti mahu berhenti melakukan tugas saya dan pulang ke rumah.

Pada waktu sebeginilah saya sering mencurahkan isi hati saya kepada Yehuwa. Saya akan ingat kembali hal-hal yang menggalakkan dalam Bible dan bahan bacaan kita. Saya sering teringat Mazmur 19:14. Saya sedar bahawa Yehuwa akan menjadi “Gunung Batuku dan Penebusku” jika saya merenungkan hal yang disukai-Nya, seperti sifat-sifat-Nya dan apa yang telah dilakukan-Nya. Rencana yang bertajuk “Anda Tidak Pernah Keseorangan” a dalam majalah Watchtower juga sangat menggalakkan, dan saya membacanya berkali-kali. Jadi, walaupun tiada orang lain bersama saya, Yehuwa ada di sisi saya. Itulah masanya saya membuat pembelajaran dan perenungan serta berdoa kepada-Nya.

Tidak lama selepas tiba di Coron, saya dilantik sebagai penatua. Sebagai satu-satunya penatua di situ, setiap minggu saya perlu mengendalikan Sekolah Penyebaran Teokratik, Perjumpaan Aktiviti Penyebaran, Pembelajaran Buku Sidang, dan Pembelajaran Menara Pengawal. Saya juga memberikan ceramah umum setiap minggu. Saya begitu sibuk sehingga tiada masa untuk rasa keseorangan!

Saya sangat menikmati kerja penyebaran di Coron, dan ada antara pelajar Bible saya yang telah dibaptis. Namun saya juga menghadapi cabaran. Ada kalanya, saya perlu berjalan selama setengah hari untuk sampai ke kawasan penyebaran, dan saya tidak tahu di mana saya akan bermalam. Kawasan penyebaran di sidang saya juga mempunyai banyak pulau kecil. Untuk sampai ke situ, saya perlu menaiki motobot dan meredah laut yang bergelora walaupun saya tidak tahu berenang! Meskipun terdapat semua cabaran ini, saya dapat merasai perlindungan dan sokongan Yehuwa. Pada kemudian hari, barulah saya sedar bahawa semua itu ialah latihan untuk tugasan saya yang seterusnya.

PAPUA NEW GUINEA

Pada tahun 1978, saya ditugaskan ke Papua New Guinea, yang terletak di utara Australia. Saiz Papua New Guinea lebih kurang saiz Sepanyol, dan bentuk muka buminya bergunung-ganang. Jumlah penduduk di situ sekitar tiga juta orang, tetapi mereka menuturkan lebih daripada 800 bahasa. Mujurlah, kebanyakan orang dapat menuturkan bahasa Tok Pisin.

Saya ditugaskan ke sebuah sidang bahasa Inggeris di Port Moresby, ibu negara Papua New Guinea. Tidak lama kemudian, saya berpindah ke sidang bahasa Tok Pisin. Saya mengikuti kelas bahasa Tok Pisin dan berlatih menggunakan bahasa itu semasa menginjil. Hasilnya, saya dapat belajar bahasa Tok Pisin dengan cepat sehingga dapat memberikan ceramah umum. Kurang dari setahun selepas saya tiba di Papua New Guinea, saya ditugaskan sebagai penyelia litar untuk sidang bahasa Tok Pisin. Kawasan yang perlu saya jaga sangat luas. Bayangkan betapa terkejutnya saya semasa menerima tugasan ini!

Oleh sebab jarak antara sidang-sidang sangat jauh, saya perlu buat banyak perjalanan dan mengaturkan banyak perhimpunan litar. Pada mulanya, saya rasa sangat sunyi kerana tidak biasa dengan kawasan, bahasa, dan budaya di sini. Saya tidak dapat menggunakan jalan darat untuk melawat sidang kerana kawasan ini sangat berbukit dan susah dilalui. Jadi hampir setiap minggu, saya perlu menaiki kapal terbang. Ada kalanya, sayalah satu-satunya penumpang dalam kapal terbang yang kecil dan buruk. Bagi saya, pengalaman ini sama menakutkan dengan pengalaman menaiki motobot di Coron!

Biasanya saya menghubungi sidang menerusi surat, kerana kebanyakan orang tidak ada telefon. Tapi selalunya, saya akan sampai di kawasan sidang sebelum surat saya sampai. Jadi saya perlu meminta bantuan penduduk tempatan untuk mencari saudara saudari. Namun setiap kali saya menjumpai saudara saudari, mereka menyambut saya dengan begitu hangat sehingga saya rasa semua jerih payah saya memang berbaloi. Saya telah merasai sokongan Yehuwa dalam banyak cara dan hubungan saya dengan-Nya menjadi semakin erat.

Kali pertama saya melawat sebuah sidang di pulau Bougainville, sepasang suami isteri tersenyum lebar sambil menanya saya, “Kamu masih ingat kami?” Rupa-rupanya, saya memberikan kesaksian kepada mereka semasa saya baru tiba di Port Moresby. Saya mula belajar Bible bersama mereka dan meminta seorang saudara untuk meneruskan pembelajaran itu selepas saya berpindah. Kini, mereka sudah dibaptis! Inilah antara berkat-berkat yang saya terima selama tiga tahun saya berkhidmat di Papua New Guinea.

BERUMAH TANGGA

Bersama Adel

Sebelum meninggalkan Coron pada tahun 1978, saya mengenali seorang saudari yang cantik dan suka membantu orang. Namanya Adel. Dia merintis sambil menjaga ibunya yang tua dan membesarkan dua orang anaknya, iaitu Samuel dan Shirley. Pada Mei 1981, saya kembali ke Filipina untuk berkahwin dengan Adel. Selepas berkahwin, kami pun merintis dan menjaga keluarga bersama-sama.

Berkhidmat di Palawan—bersama Adel dan anak-anak kami Samuel dan Shirley

Biarpun saya sudah berumah tangga, saya dilantik sebagai perintis khas pada tahun 1983 dan ditugaskan ke Pulau Linapacan, di wilayah Palawan. Keluarga kami berpindah ke tempat terpencil ini yang tidak ada Saksi. Kira-kira setahun kemudian, ibu Adel meninggal. Namun, kami tetap sibuk dalam kerja penyebaran, dan hal ini mengurangkan kesedihan kami. Kami ada begitu banyak pelajar Bible di Linapacan sehingga tidak lama kemudian kami memerlukan Dewan Perjumpaan. Jadi kami membina sebuah dewan yang kecil. Tiga tahun selepas kami berpindah ke situ, sebanyak 110 orang telah menghadiri sambutan Peringatan. Ramai antara mereka kemudiannya maju sehingga dibaptis.

Pada tahun 1986, saya ditugaskan ke Culion, sebuah pulau yang mempunyai penempatan pesakit kusta. Beberapa tahun selepas kami berpindah, Adel juga dilantik sebagai perintis khas. Pada mulanya, kami takut untuk menginjil kepada pesakit kusta semasa melihat kesan penyakit itu terhadap tubuh mereka. Namun para penyiar tempatan meyakinkan kami bahawa mereka yang menghidap penyakit kusta sudah pun menerima rawatan dan risiko jangkitan pun sangat rendah. Sesetengah pesakit kusta juga menghadiri perjumpaan dalam rumah seorang saudari. Tidak lama kemudian, kami dapat menyesuaikan diri dengan kawasan yang baharu dan bersukacita kerana dapat mengongsi harapan Bible dengan orang yang rasa diri mereka dipinggirkan oleh Tuhan dan masyarakat. Biarpun mereka menghidap penyakit yang serius, mereka sangat gembira kerana tahu bahawa suatu hari nanti, mereka akan menikmati kesihatan yang sempurna.—Luk. 5:​12, 13.

Bagaimanakah anak-anak kami menyesuaikan diri dengan kehidupan di Culion? Saya dan Adel menjemput dua orang saudari muda dari Coron untuk berpindah ke Culion supaya anak-anak kami ada kawan. Samuel, Shirley, dan dua saudari itu mempunyai banyak pelajar Bible yang merupakan kanak-kanak. Saya dan Adel pula akan mengajar ibu bapa kanak-kanak itu. Pada suatu masa, ada 11 keluarga yang belajar dengan kami. Banyak pelajar Bible kami membuat kemajuan. Tidak lama kemudian, sebuah sidang telah ditubuhkan!

Pada mulanya, sayalah satu-satunya penatua di situ. Jadi, pejabat cawangan meminta saya mengendalikan perjumpaan setiap minggu bagi lapan orang penyiar yang di Culion, dan mengendalikan perjumpaan bagi sembilan orang penyiar yang di Marily. Untuk pergi dari Culion ke Marily, kami perlu menaiki bot selama tiga jam. Selepas mengendalikan perjumpaan di Marily, kami berjalan merentasi kawasan gunung selama berjam-jam untuk mengadakan pembelajaran di sebuah kampung yang dipanggil Halsey.

Sambutan di Marily dan Halsey begitu bagus sehingga Dewan Perjumpaan perlu dibina di kedua-dua kampung itu. Seperti yang berlaku di Linapacan, kebanyakan bahan binaan dan tenaga pekerja disumbangkan oleh saudara saudari dan orang yang berminat. Dewan Perjumpaan di Marily boleh memuatkan 200 orang dan boleh diubah menjadi lebih luas dengan mudah. Oleh itu, kami juga menggunakan dewan itu untuk mengadakan perhimpunan.

KEHILANGAN ISTERI, RASA KESEORANGAN, DAN BERSUKACITA SEMULA

Pada tahun 1993, apabila anak-anak kami sudah dewasa, saya dan Adel mula melakukan kerja litar di Filipina. Pada tahun 2000, saya menghadiri Sekolah Latihan Pengorganisasian untuk dilatih sebagai pengajar bagi sekolah ini. Saya rasa saya tidak mampu melakukannya, tetapi Adel selalu menggalakkan saya dan mengingatkan saya bahawa Yehuwa pasti memberi saya kekuatan yang diperlukan. (Flp. 4:13) Adel dapat berkata demikian kerana dia sendiri telah merasai bagaimana Yehuwa telah membantunya menjayakan tugasannya meskipun dia ada masalah kesihatan.

Pada tahun 2006, semasa saya masih seorang pengajar, Adel didapati menghidap penyakit Parkinson. Kami sangat terkejut! Semasa saya beritahu Adel bahawa saya mahu berhenti melakukan tugasan saya supaya dapat menjaganya, Adel berkata, “Tolonglah cari doktor yang dapat bantu saya. Yehuwa pasti akan membantu kita terus melaksanakan tugasan kita.” Selama enam tahun yang seterusnya, Adel terus berkhidmat kepada Yehuwa tanpa merungut. Apabila dia tidak lagi dapat berjalan, dia menginjil dari kerusi rodanya. Apabila dia hampir tidak dapat bercakap lagi, dia masih menggunakan satu atau dua patah perkataan untuk memberikan komen. Saudara saudari sering menghantar mesej kepada Adel untuk mengucapkan terima kasih atas ketabahannya. Mereka terus berbuat demikian sehingga Adel meninggal pada tahun 2013. Saya kehilangan isteri saya yang setia dan pengasih setelah hidup bersamanya selama lebih daripada 30 tahun. Sekali lagi, saya berasa keseorangan dan diselubungi rasa sedih.

Adel mahu saya meneruskan khidmat saya kepada Yehuwa, dan itulah yang saya lakukan. Apabila saya sibuk menjalankan khidmat saya, saya tidak rasa begitu sunyi. Dari tahun 2014 hingga 2017, saya ditugaskan untuk melawat sidang bahasa Tagalog di negara yang menyekat kerja Saksi. Selepas itu, saya melawat sidang bahasa Tagalog di Taiwan, Amerika Syarikat, dan Kanada. Pada tahun 2019, saya menjadi pengajar bagi Sekolah Latihan Penginjil bahasa Inggeris di India dan Thailand. Semua tugasan ini memberi saya sukacita yang besar. Saya paling gembira semasa berkhidmat kepada Yehuwa dengan sepenuh jiwa dan raga.

YEHUWA TIDAK JAUH DARIPADA KITA

Setiap kali saya mendapat tugasan baharu, saya menjadi kawan rapat dengan saudara saudari yang saya jumpa. Jadi saya berat hati untuk meninggalkan mereka. Perubahan memang mencabar bagi saya, tetapi saya telah belajar untuk bergantung sepenuhnya pada Yehuwa. Dia telah menyokong saya selama ini, dan saya yakin Dia pasti membantu saya menyesuaikan diri dengan tugasan baharu. Hari ini, saya berkhidmat sebagai perintis khas di Filipina. Saya sangat selesa dengan sidang baharu saya, dan saudara saudari di sini bagaikan ahli keluarga yang penyayang. Saya juga bangga dengan Samuel dan Shirley, yang meniru iman ibu mereka.—3 Yoh. 4.

Saudara saudari di sidang bagaikan keluarga yang penyayang

Saya telah menghadapi pelbagai cubaan dalam hidup saya. Saya perlu menyesuaikan diri dengan situasi baharu, dan saya telah melihat isteri saya menderita dan mati akibat penyakit. Namun, dalam semua cubaan saya, saya telah melihat bahawa Yehuwa “tidak jauh daripada kita masing-masing.” (Kis. 17:27) Tangan-Nya tidak “terlalu pendek” untuk menyokong dan menguatkan penyembah-Nya, bahkan mereka yang berkhidmat di kawasan terpencil. (Yes. 59:1) Yehuwa sesungguhnya Gunung Batu saya. Saya bersyukur kerana seumur hidup saya, Dia berada di sisi saya dan memastikan saya tidak pernah keseorangan.

a Lihat The Watchtower dalam bahasa Inggeris terbitan 1 September 1972, ms. 521-527.