Soalan Ringkas yang Berkesan
Mary dan suaminya, John, a tinggal di negara yang mempunyai banyak pekerja dari Filipina. Semasa pandemik COVID-19, Mary berjaya memulakan banyak pembelajaran Bible di negaranya dan di negara lain. Bagaimanakah dia melakukannya?
Mary akan tanya pelajar Biblenya, “Kamu kenal siapa-siapa yang berminat untuk belajar Bible?” Jika mereka menjawab “ya,” Mary akan minta agar dia diperkenalkan kepada mereka. Soalan yang ringkas ini amat berkesan, kerana orang yang mencintai Firman Tuhan biasanya mahu mengongsi apa yang telah mereka belajar dengan keluarga dan sahabat. Apakah hasil yang diraih Mary?
Pelajar Bible Mary, iaitu Jasmin, memperkenalkannya kepada empat orang pelajar Bible. Salah seorang daripada mereka, iaitu Kristine, sangat suka belajar Bible sehingga meminta Mary untuk mengajarnya dua kali seminggu. Semasa Mary menanyanya jika dia kenal sesiapa yang berminat untuk belajar Bible, Kristine menjawab, “Ada, nanti saya perkenalkan kawan-kawan saya.” Dalam beberapa minggu sahaja, Kristine memperkenalkan empat orang kawannya yang ingin belajar Bible. Kemudian, Kristine memperkenalkan beberapa orang kawan lain, dan kawan-kawan itu memperkenalkan beberapa kawan lagi.
Kristine juga mahu keluarganya di Filipina belajar Bible. Maka dia menghubungi anak perempuannya Andrea. Pada mulanya, Andrea fikir, “Saksi-Saksi ialah agama sesat. Mereka tidak percaya kepada Yesus, dan mereka hanya ikut Perjanjian Lama.” Tetapi selepas pembelajaran Bible yang pertama, pandangannya sudah berubah. Semasa perbincangan, dia sering berkata, “Asalkan ini daripada Bible, saya akan percaya!”
Beberapa lama kemudian, Andrea memperkenalkan dua orang kawannya dan seorang rakan sekerja yang ingin belajar Bible. Selain itu, tanpa diketahui Mary, mak cik Andrea yang buta, iaitu Angela, selalu mendengar perbincangan mereka. Suatu hari, Angela meminta Andrea untuk memberitahu Mary bahawa dia juga mahu belajar Bible. Angela suka apa yang dipelajarinya. Dalam masa sebulan, dia menghafal banyak ayat Bible dan bahkan mahu belajar empat kali seminggu! Dia juga menghadiri perjumpaan secara tetap menerusi persidangan video dengan bantuan Andrea.
Semasa Mary mendapat tahu bahawa suami Kristine, iaitu Joshua, selalu berada berhampiran
Kristine semasa dia belajar Bible, Mary menanya Joshua jika dia pun mahu ikut. Joshua menjawab, “Saya akan dengar saja. Jangan tanya saya soalan. Kalau tidak, saya akan jalan.” Namun, belum sampai lima minit mereka bermula, Joshua menanya lebih banyak soalan daripada Kristine, dan mahu terus belajar Bible.Soalan ringkas Mary telah membantunya memulakan 28 pembelajaran Bible di empat negara. Dia telah meminta beberapa orang Saksi untuk mengambil alih sesetengah pelajar Biblenya.
Jasmin, pelajar Bible pertama yang disebut dalam rencana ini, telah dibaptis pada April 2021. Kristine pula dibaptis pada Mei 2022 dan telah pulang ke Filipina untuk tinggal bersama keluarganya. Dua orang pelajar yang diperkenalkan oleh Kristine kepada Mary juga telah dibaptis. Beberapa bulan selepas Kristine dibaptis, Angela juga dibaptis, dan kini dia seorang perintis biasa. Joshua, iaitu suami Kristine, dan anak perempuan mereka Andrea, serta beberapa orang pelajar lain sedang membuat kemajuan rohani.
Pada abad pertama, berita baik tersebar dengan cepat antara keluarga dan sahabat. (Yoh. 1:41, 42a; Kis. 10:24, 27, 48; 16:25-33) Jadi, cubalah tanya pelajar Bible anda atau orang yang berminat, “Kamu kenal siapa-siapa yang berminat belajar Bible?” Mudah-mudahan, soalan ringkas ini akan membolehkan anda memulakan banyak pembelajaran Bible.
a Nama-nama telah diubah.