Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Tolaklah Sikap Mementingkan Diri

Tolaklah Sikap Mementingkan Diri

ADAKAH anda perhatikan bahawa banyak orang hari ini menganggap diri berhak mendapat kedudukan atau layanan istimewa? Tidak kira berapa banyak yang sudah mereka miliki, mereka rasa mereka patut diberi lebih banyak lagi. Pemikiran sebegini berpunca daripada sikap mementingkan diri dan sikap tidak tahu berterima kasih. Menurut Bible, itulah antara sikap yang ditunjukkan orang pada hari-hari terakhir.​—2 Tim. 3:2.

Sudah tentu, orang yang mementingkan diri sudah wujud sejak dahulu lagi. Contohnya, Adam dan Hawa mahu menentukan bagi diri sendiri apa yang baik dan apa yang jahat. Akibatnya, kita semua menderita. Raja Uzia dari Yehuda berfikir bahawa dia berhak membakar kemenyan di Rumah Tuhan, sedangkan itu merupakan tugas imam. (2 Taw. 26:​18, 19) Orang Farisi dan Saduki pula berfikir bahawa Tuhan patut memberi mereka layanan istimewa hanya kerana mereka ialah keturunan Abraham.​—Mat. 3:9.

Kita dikelilingi oleh orang yang mementingkan diri dan egois, dan sikap sebegini dapat mempengaruhi kita. (Gal. 5:26) Kita mungkin mula berfikir bahawa kita berhak menerima sesetengah tanggungjawab atau layanan yang istimewa. Bagaimanakah kita dapat menjauhi pemikiran sebegitu? Kita harus memikirkan pandangan Yehuwa. Perhatikan dua prinsip tentang hal ini dan ayat-ayat Bible yang berkenaan.

Yehuwa menentukan apa yang patut kita terima. Fikirkan contoh berikut.

  • Dalam keluarga, isteri patut menghormati suami, dan suami patut mengasihi isteri. (Ef. 5:33) Suami isteri patut menunjukkan cinta romantik kepada satu sama lain sahaja. (1 Kor. 7:3) Anak-anak patut mentaati ibu bapa, dan ibu bapa patut menjaga serta menyayangi anak-anak.​—2 Kor. 12:14; Ef. 6:2.

  • Dalam sidang, para penatua patut dihormati kerana kerja keras mereka. (1 Tes. 5:12) Namun, mereka tidak patut mengawal tindak tanduk saudara saudari.​—1 Ptr. 5:​2, 3.

  • Rakyat patut membayar cukai dan menghormati pihak berkuasa.​—Rm. 13:​1, 6, 7.

Kerana kasih, Yehuwa memberi kita jauh lebih banyak daripada apa yang patut kita terima. Oleh sebab kita berdosa, kita patut mati. (Rm. 6:23) Namun, Yehuwa memberi kita banyak berkat kerana kasih setia-Nya. (Mzm. 103:​10, 11) Setiap berkat atau tanggungjawab yang kita miliki diberikan oleh Yehuwa bukan kerana kita layak terimanya, tetapi kerana Dia sangat baik hati dan pengasih.​—Rm. 12:​6-8; Ef. 2:8.

CARA MENGELAKKAN SIKAP MEMENTINGKAN DIRI DAN EGOIS

Berwaspada terhadap pemikiran dunia. Jika kita tidak berhati-hati, kita mungkin mula berfikir bahawa kita berhak menerima layanan istimewa daripada orang lain. Yesus menggunakan satu perumpamaan untuk menunjukkan betapa mudahnya sikap ini dapat menjangkiti orang. Dalam perumpamaannya, sesetengah pekerja bekerja sehari suntuk di bawah matahari, manakala ada pekerja yang bekerja untuk satu jam sahaja. Meskipun mereka telah diberi gaji yang dijanjikan, pekerja yang bekerja sehari suntuk merungut kerana berfikir bahawa mereka patut mendapat gaji yang lebih banyak. (Mat. 20:​1-16) Menerusi perumpamaan ini, Yesus mengajar murid-muridnya bahawa mereka patut berpuas hati dengan apa yang diberikan oleh Tuhan.

Pekerja yang bekerja sehari suntuk berfikir bahawa mereka berhak menuntut gaji yang lebih banyak

Berterima kasih dan jangan melebih-lebih semasa meminta. (1 Tes. 5:18) Tirulah sikap Rasul Paulus. Dia berhak menerima sokongan kewangan daripada sidang di Korintus, tetapi dia tidak meminta apa-apa daripada mereka. (1 Kor. 9:​11-14) Kita patut menghargai setiap berkat yang kita terima dan tidak bersikap melebih-lebih semasa meminta.

Rasul Paulus tidak meminta bantuan kewangan daripada sidang

Bersikap rendah hati. Apabila seseorang menganggap dirinya penting, dia biasanya akan rasa dia layak menerima lebih banyak daripada apa yang dia ada. Namun sikap rendah hati dapat membantu kita menjauhi pemikiran sebegitu.

Yehuwa sangat mengasihi Daniel kerana dia rendah hati

Nabi Daniel merupakan teladan yang baik dalam menunjukkan kerendahan hati. Dia kacak, pintar, berbakat, dan berasal daripada golongan bangsawan. Jadi dia memang ada sebab untuk berasa bahawa dia berhak mendapat kedudukan dan layanan istimewa. (Dan. 1:​3, 4, 19, 20) Namun, Daniel tetap rendah hati. Itulah sebabnya Yehuwa begitu mengasihinya.​—Dan. 2:30; 10:​11, 12.

Banyak orang dalam dunia ini mementingkan diri dan egois. Semoga kita terus menjauhi sikap sedemikian, dan semoga kita terus ingat bahawa setiap berkat yang kita terima merupakan bukti akan kasih dan kebaikan hati Yehuwa.