Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Kasih Apakah yang Membawa Kebahagiaan Sejati?

Kasih Apakah yang Membawa Kebahagiaan Sejati?

“Berbahagialah umat yang mengakui Yehuwa sebagai Tuhan mereka!”​—MZM. 144:15.

LAGU: 111, 109

1. Mengapakah kita sedang hidup pada waktu yang bersejarah?

KITA sedang hidup pada waktu yang bersejarah. Yehuwa sedang mengumpulkan satu ‘kumpulan besar manusia daripada semua bangsa, suku, kaum, dan bahasa.’ Kini, lebih daripada lapan juta orang telah dikumpulkan, dan mereka membentuk sebuah “bangsa yang kuat.” Dengan sukacita, mereka ‘menjalankan khidmat suci kepada Tuhan siang dan malam.’ (Why. 7:9, 15; Yes. 60:22) Sepanjang sejarah, belum pernah ada begitu ramai orang yang mengasihi Tuhan dan sesama manusia.

2. Apakah kasih atau cinta yang ditunjukkan oleh orang yang menjauhi Tuhan? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

2 Namun, Firman Tuhan menubuatkan bahawa pada zaman kita, orang yang menjauhi Tuhan akan menunjukkan sejenis kasih atau cinta yang tertumpu kepada diri sendiri. Rasul Paulus menulis, “Pada hari-hari terakhir . . . , manusia akan mencintai diri sendiri, mencintai wang, . . . dan mencintai kesenangan tetapi tidak mencintai Tuhan.” (2 Tim. 3:1-4) Cinta itu tidak selaras, malah bercanggahan, dengan kasih Kristian. Cinta itu tidak membawa kebahagiaan, tetapi memarakkan sikap mementingkan diri sehingga menimbulkan keadaan dunia yang “sukar dihadapi.”

3. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini, dan mengapa?

3 Paulus sedar bahawa sikap mencintai diri yang semakin meluas itu berbahaya kepada orang Kristian. Maka dia mengingatkan mereka untuk menjauhi orang yang mencintai diri. (2 Tim. 3:5) Namun, memandangkan kita tidak dapat mengelakkan mereka dengan sepenuhnya, bagaimanakah kita dapat menjauhi sikap duniawi dan menyenangkan hati Yehuwa, Tuhan yang pengasih? Mari kita bandingkan kasih Tuhan dengan kasih yang digambarkan di 2 Timotius 3:2-4. Dengan itu kita dapat menilai dan memurnikan kasih kita, lalu meraih kepuasan dan kebahagiaan sejati.

MENCINTAI TUHAN ATAU DIRI SENDIRI?

4. Mengapakah kita patut ada kasih yang seimbang terhadap diri sendiri?

4 “Manusia akan mencintai diri sendiri.” Adakah salah untuk mengasihi diri? Tidak. Itulah caranya kita diciptakan. Yesus berkata, “Kamu mesti mengasihi orang lain sepertimana kamu mengasihi dirimu sendiri.(Mrk. 12:31) Jika kita tidak mengasihi diri, kita tidak dapat mengasihi orang lain. Ayat Suci juga menyatakan, “Suami harus mengasihi isteri seperti mengasihi tubuh sendiri. Seorang lelaki yang mengasihi isterinya juga mengasihi diri sendiri. Tidak seorang pun pernah membenci tubuhnya sendiri. Sebaliknya, dia memelihara dan menyayanginya.” (Ef. 5:28, 29) Jelaslah, kasih yang seimbang untuk diri sendiri memang wajar dan penting.

5. Bagaimanakah anda akan menggambarkan orang yang terlampau mencintai diri?

5 Sikap mencintai diri sendiri yang disebut di 2 Timotius 3:2 ialah cinta yang tidak sihat. Orang yang mencintai diri sendiri menganggap diri mereka lebih daripada yang sepatutnya. (Baca Roma 12:3.) Mereka mengutamakan diri dan jarang peduli tentang orang lain. Apabila masalah timbul, mereka cepat menuding jari dan bukannya bertanggungjawab. Menurut seorang pengulas Bible, orang yang mencintai diri sendiri itu ‘seperti landak kecil yang menggulung diri menjadi bola. Mereka membuat diri mereka selesa, tetapi membuat orang lain merasai duri mereka.’ Orang sebegini tidak hidup bahagia.

6. Apakah hasilnya jika kita mencintai Tuhan?

6 Sesetengah cendekiawan Bible percaya bahawa sikap mencintai diri disebut terlebih dahulu kerana sikap itu ialah punca kepada sikap buruk lain yang disebut seterusnya. Kasih untuk Tuhan pula melahirkan sikap yang jauh berbeza, seperti sukacita, kedamaian, kesabaran, kebaikan hati, kebaikan, iman, kelemahlembutan, dan kawalan diri. (Gal. 5:22, 23) Buku Mazmur menyatakan, “Berbahagialah umat yang mengakui Yehuwa sebagai Tuhan mereka!” (Mzm. 144:15) Yehuwa ialah Tuhan yang gembira, maka umat-Nya pun bahagia. Tidak seperti orang yang mencintai diri sendiri, yang hanya menghulurkan tangan untuk menerima, hamba-hamba Yehuwa bersukacita kerana rela menghulurkan bantuan.​—Kis. 20:35.

Bagaimanakah kita dapat mengelak daripada mencintai diri? (Lihat perenggan 7)

7. Bagaimanakah kita dapat menilai kasih kita kepada Tuhan?

7 Apakah caranya untuk mengetahui sama ada kasih kita kepada Tuhan telah digantikan dengan sikap mencintai diri? Filipi 2:3, 4 menyatakan, “Janganlah suka bertengkar atau bersikap sombong. Sebaliknya dengan rendah hati, anggaplah orang lain lebih baik daripada diri kamu sendiri. Jagalah kepentingan orang lain, dan bukan hanya kepentingan diri kamu sendiri.” Maka tanyalah diri, “Adakah saya mengikut nasihat itu? Adakah saya berusaha dengan ikhlas untuk melakukan kehendak Tuhan? Adakah saya mencari jalan untuk membantu orang di sidang dan semasa menginjil?” Memang benar, kita perlu berusaha dan membuat pengorbanan untuk membantu orang lain. Namun, apabila kita tahu bahawa kita mendapat perkenan Pemerintah alam semesta, kita akan merasai kebahagiaan yang tiada tandingnya!

8. Kasih untuk Tuhan telah mendorong sesetengah orang untuk berbuat apa?

8 Kasih untuk Yehuwa dan keinginan untuk meluaskan khidmat kepada-Nya telah mendorong sesetengah orang untuk meninggalkan kerjaya yang menguntungkan. Ericka, yang tinggal di Amerika Syarikat, ialah seorang doktor. Tetapi dia berfokus pada khidmat perintis biasa dan bukannya bidang perubatan. Mengenang kembali pengalamannya semasa berkhidmat di beberapa buah negara bersama suaminya, dia berkata, “Pengalaman di kawasan penyebaran bahasa asing dan sahabat-sahabat yang kami temui telah memperkaya hidup kami. Saya masih seorang doktor, tetapi apabila kebanyakan masa dan tenaga saya digunakan untuk menyembuhkan orang secara rohani dan untuk menjaga keperluan sidang, hati saya benar-benar gembira dan puas.”

KEKAYAAN DI SYURGA ATAU DI BUMI?

9. Mengapakah cinta akan wang tidak membawa kebahagiaan?

9 Paulus menulis bahawa orang akan “mencintai wang.” Beberapa tahun lalu, semasa seorang perintis di Ireland bercakap kepada seorang lelaki tentang Tuhan, lelaki itu menunjukkan wang kertasnya lalu berkata dengan bangga, “Inilah tuhan saya!” Mungkin tidak banyak orang yang akan bercakap begitu, tetapi dunia ini penuh dengan orang yang mencintai wang dan harta benda. Bible mengingatkan kita, “Orang yang mencintai kekayaan, tidak akan berasa puas dengan pendapatannya.” (Pkh. 5:10) Oleh sebab orang sebegini tidak jemu mengejar wang, mereka akhirnya ditimpa “banyak kesakitan.”​—1 Tim. 6:9, 10.

10. Apakah yang ditulis dalam Bible tentang kekayaan dan kemiskinan?

10 Sudah tentu kita memerlukan wang. Wang merupakan perlindungan dalam sesetengah aspek. (Pkh. 7:12) Tetapi apabila seseorang hanya ada wang yang cukup untuk barang keperluan asas, mungkinkah dia benar-benar gembira? Sudah pasti! (Baca Pengkhutbah 5:12.) Agur anak Yake menulis, “Janganlah memberi aku kemiskinan ataupun kekayaan. Biarlah aku makan makanan yang aku perlukan sahaja.” Kita memahami sebabnya dia tidak ingin hidup miskin papa; dia tidak mahu tergoda untuk mencuri lalu mengaibkan nama Tuhan. Namun, mengapakah dia tidak ingin diberi kekayaan? Dia menulis, “Supaya aku tidak menjadi kenyang lalu menyangkal Engkau dan berkata, ‘Siapakah Yehuwa?’” (Ams. 30:8, 9) Barangkali, anda mengenali orang yang berharap kepada kekayaan dan bukannya Tuhan.

11. Apakah nasihat Yesus tentang wang?

11 Orang yang mencintai wang tidak dapat menyenangkan hati Tuhan. Yesus berkata, “Tiada seorang pun dapat menjadi hamba kepada dua orang tuan; dia akan membenci yang seorang dan mengasihi yang seorang lagi. . . . Kamu tidak dapat menjadi hamba Tuhan dan hamba Kekayaan pada masa yang sama.” Dia juga berkata, “Jangan lagi mengumpulkan harta di bumi, kerana di bumi terdapat gegat dan karat yang akan merosakkannya, dan terdapat pencuri yang datang untuk mencurinya. Sebaliknya, kumpulkanlah harta di syurga.”​—Mat. 6:19, 20, 24.

12. Bagaimanakah kehidupan yang sederhana memudahkan kita untuk menyembah Tuhan? Berikan contoh.

12 Ramai orang yang hidup sederhana mendapati bahawa kehidupan sedemikian membuat mereka lebih gembira dan ada lebih banyak masa untuk menyembah Yehuwa. Jack yang tinggal di Amerika Syarikat telah menjual perniagaan dan rumahnya yang besar supaya dia dapat merintis bersama isterinya. Dia berkata, “Memang susah untuk tinggalkan rumah kami yang cantik. Namun, sebelum itu, setiap kali saya pulang ke rumah, saya selalu runsing kerana masalah kerja. Isteri saya pula selalu gembira kerana merintis. Dia kata, ‘Saya ada bos yang terbaik!’ Sekarang kami berdua bekerja untuk Tuan yang sama, Yehuwa.”

Bagaimanakah kita dapat mengelak daripada mencintai wang? (Lihat perenggan 13)

13. Bagaimanakah kita dapat menilai pandangan kita tentang wang?

13 Untuk menilai pandangan kita terhadap wang, fikirkanlah soalan-soalan ini: “Adakah saya benar-benar percaya ajaran Bible tentang wang dan hidup selaras dengannya? Adakah mencari wang tumpuan utama saya? Adakah harta benda lebih penting bagi saya berbanding hubungan saya dengan Yehuwa dan orang lain? Adakah saya betul-betul yakin bahawa Yehuwa akan menjaga keperluan saya?” Percayalah bahawa Yehuwa tidak akan mengecewakan orang yang berharap kepada-Nya.​—Mat. 6:33.

MENDAHULUKAN YEHUWA ATAU KESENANGAN?

14. Apakah pandangan yang seimbang terhadap kesenangan?

14 Seperti yang dinubuatkan, ramai orang hari ini “mencintai kesenangan.” Pandangan yang munasabah terhadap diri sendiri dan wang tidak salah, begitu juga dengan pandangan yang seimbang terhadap kesenangan. Yehuwa tidak mahu kita menganggap nikmat dan keriangan sebagai pantang. Sebaliknya Bible menggalakkan hamba-hamba Tuhan, “Pergilah, makanlah dengan gembira, dan minumlah wain dengan hati yang sukacita.”​—Pkh. 9:7.

15. Apakah maksud “mencintai kesenangan”?

15 Namun, sikap mencintai kesenangan di 2 Timotius 3:4 membuat orang melupakan Tuhan. Ayat itu tidak menyatakan bahawa orang akan lebih mencintai kesenangan daripada Tuhan. Sebaliknya, ayat itu menyatakan bahawa mereka “tidak mencintai Tuhan.” Seorang cendekiawan menulis, “[Ayat] ini tidak bererti mereka ada sedikit kasih untuk Tuhan. Ayat ini bermaksud mereka langsung tidak mengasihi-Nya.” Pernyataan itu memang amaran yang tegas kepada orang yang terlampau mencintai keseronokan sehingga “disimpangkan” oleh “pelbagai nikmat dalam hidup ini.”​—Luk. 8:14.

16, 17. Bagaimanakah Yesus memberikan teladan yang baik dalam soal kesenangan?

16 Yesus sangat seimbang dalam soal keseronokan. Dia pernah menghadiri “majlis perkahwinan” dan “jamuan yang besar.” (Yoh. 2:1-10; Luk. 5:29) Semasa wain di majlis perkahwinan itu tidak cukup, Yesus telah mengubah air menjadi wain. Pernah sekali, apabila orang mengkritik Yesus kerana dia makan dan minum, dia menyatakan dengan jelas bahawa pandangan mereka sudah salah.​—Luk. 7:33-36.

17 Meskipun demikian, kesenangan bukanlah tumpuan utama Yesus. Dia mengutamakan Yehuwa dan berusaha membantu orang. Untuk menyelamatkan manusia, dia sanggup dibunuh dengan kejam pada tiang seksaan. Yesus memberitahu para pengikutnya, “Berbahagialah kamu apabila orang menghina, menganiaya, dan mengatakan segala macam perkara yang keji untuk memfitnah kamu kerana kamu pengikutku. Hendaklah kamu bergembira dan melimpah dengan sukacita, kerana ganjaran kamu besar di syurga.”​—Mat. 5:11, 12.

Bagaimanakah kita dapat mengelak daripada mencintai kesenangan? (Lihat perenggan 18)

18. Bagaimanakah kita dapat mengukur cinta kita untuk kesenangan?

18 Untuk mengukur cinta kita terhadap kesenangan, tanyalah diri, “Adakah saya mendahulukan hiburan berbanding perjumpaan dan kerja penyebaran? Sanggupkah saya menjauhi sesetengah keseronokan demi menyembah Tuhan? Adakah saya mengambil kira perasaan Yehuwa semasa memilih hiburan?” Jika kita benar-benar mencintai Tuhan, kita bukan sahaja akan menolak hal yang kita tahu tidak disenangi-Nya, malah akan mengelakkan perkara yang kita rasa mungkin tidak disenangi-Nya.​—Baca Matius 22:37, 38.

HALUAN YANG MEMBAWA KEBAHAGIAAN

19. Siapakah yang tidak dapat meraih kebahagiaan sejati?

19 Dunia Syaitan yang menyebabkan kesusahan selama 6,000 tahun bakal berakhir. Kini, bumi penuh dengan orang yang hanya mementingkan diri, wang, dan keseronokan. Mereka tamak dan serakah, dan hidup bertuhankan keinginan sendiri. Sikap sedemikian tidak mendatangkan kebahagiaan. Sebaliknya, seperti yang ditulis oleh pemazmur, “Berbahagialah orang yang ditolong oleh Tuhan Yakub, dan yang berharap kepada Yehuwa, Tuhannya.”​—Mzm. 146:5.

20. Bagaimanakah kasih untuk Tuhan membuat anda bahagia?

20 Kasih umat Yehuwa terhadap-Nya semakin bertambah, dan bilangan mereka semakin meningkat. Itulah buktinya bahawa Kerajaan Tuhan sedang memerintah dan akan mendatangkan berkat yang tidak terhingga di bumi. Apabila kita mengasihi Yehuwa, melakukan kehendak-Nya, dan menyenangkan hati-Nya, kita akan merasai kebahagiaan yang sejati untuk selama-lamanya! Rencana berikutnya akan membandingkan sifat-sifat yang terhasil daripada sikap mencintai diri dengan sifat-sifat hamba Yehuwa.