Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Mereka Rela Berkhidmat​—Di Madagascar

Mereka Rela Berkhidmat​—Di Madagascar

“SEMASA mendengar pengalaman kawan-kawan yang berkhidmat di tempat yang memerlukan perintis, saya juga mahu rasakan sukacita mereka,” kata Sylviana, seorang perintis yang berusia pertengahan 20-an. Namun dia menambah, “Tetapi saya risau jika saya tidak mampu melakukannya.”

Adakah anda juga berasa seperti Sylviana? Adakah anda ingin berkhidmat di tempat yang memerlukan bantuan, tetapi tidak pasti jika anda dapat mencapai matlamat itu? Jika ya, janganlah tawar hati. Yehuwa telah membantu ribuan saudara saudari untuk mengatasi halangan dan meluaskan khidmat mereka. Untuk mengetahui bagaimana Yehuwa membuka jalan bagi sesetengah daripada mereka, mari kita melawat Madagascar, pulau yang keempat terbesar di bumi.

Sejak 10 tahun yang lalu, lebih daripada 70 orang penyiar dan perintis dari 11 buah negara * telah datang ke negara itu, yang terletak di Afrika. Ramai orang di situ menghormati Bible, dan banyak penyiar tempatan sudi berpindah untuk menyebarkan berita baik ke seluruh pulau itu. Mari kita berkenalan dengan beberapa orang antara mereka.

MENGATASI RASA TAKUT DAN TAWAR HATI

Perrine dan Louis

Louis dan Perrine, satu pasangan yang berumur 30-an, telah berpindah dari Perancis ke Madagascar. Sudah lama mereka berfikir untuk berkhidmat di luar negara, tetapi Perrine teragak-agak untuk berpindah. Dia berkata, “Saya takut pergi ke tempat yang tidak dikenali. Saya takut meninggalkan keluarga, sidang, apartmen, tempat yang dikenali, dan rutin kami. Kekhuatiran saya ialah halangan terbesar.” Pada tahun 2012, Perrine telah memberanikan diri dan berpindah ke situ bersama Louis. Apakah perasaannya tentang keputusan itu? “Iman kami dikuatkan kerana melihat bantuan Yehuwa dalam kehidupan kami.” Louis menambah, “Bayangkan, semasa Peringatan pertama kami di Madagascar, 10 orang pelajar Bible kami hadir!”

Apakah yang membantu mereka terus berkhidmat apabila masalah timbul? Mereka merayu Yehuwa untuk memberi mereka kekuatan dan ketabahan. (Flp. 4:13) Louis berkata, “Yehuwa telah menjawab doa kami, dan kami telah merasai ‘kesejahteraan daripada Tuhan.’ Kami dapat berfokus kepada sukacita yang diraih daripada kerja ini. Kawan-kawan dari Perancis juga hantar e-mel dan surat untuk menggalakkan kami agar tidak putus asa.”​—Flp. 4:6, 7; 2 Kor. 4:7.

Ketabahan Louis dan Perrine mendatangkan berkat yang melimpah. Louis berkata, “Pada Oktober 2014, kami menghadiri Sekolah Bible untuk Pasangan Kristian * di Perancis. Sekolah itu memang kurniaan Yehuwa yang sukar dilupakan.” Selepas itu, mereka berasa sangat gembira kerana ditugaskan kembali ke Madagascar.

“KAMI AKAN SANGAT BANGGA!”

Nadine dan Didier

Didier dan Nadine, satu pasangan dari Perancis, berpindah ke Madagascar pada tahun 2010, ketika mereka sudah menjangkau usia 50 tahun. Didier berkata, “Kami merintis semasa muda, kemudian kami dapat tiga orang anak. Selepas mereka dewasa, kami terfikir untuk berkhidmat di luar negara.” Nadine mengaku, “Saya keberatan untuk berpisah dengan anak-anak, tetapi mereka kata, ‘Jika mak dan ayah pergi bantu di luar negara, kami akan sangat bangga!’ Kata-kata mereka mendorong kami untuk berpindah. Walaupun tinggal berjauhan dengan anak-anak, kami gembira kerana dapat selalu berbual dengan mereka.”

Bagi Didier dan Nadine, mempelajari bahasa Malagasy tidak mudah. “Kami bukan berumur 20 tahun lagi,” kata Nadine sambil tersenyum. Jadi, apakah yang dilakukan mereka? Mula-mulanya, mereka menyertai sidang bahasa Perancis. Kemudian, apabila mereka sudah bersedia mempelajari bahasa tempatan, mereka berpindah ke sidang bahasa Malagasy. Nadine berkata, “Banyak orang yang kami temui suka belajar Bible. Sering kali mereka mengucapkan terima kasih kepada kami kerana melawat mereka. Pada mulanya saya rasa seperti bermimpi. Saya suka merintis di sini. Setiap pagi saya akan bangun dan berfikir, ‘Seronoknya dapat pergi menginjil hari ini!’”

Didier senyum semasa menceritakan masanya dia mula belajar bahasa Malagasy. “Pernah sekali, saya mengendalikan perjumpaan, tetapi langsung tidak faham jawapan saudara saudari. Saya hanya tahu cakap, ‘Terima kasih.’ Selepas saya mengucapkan terima kasih kepada seorang saudari atas jawapannya, orang yang duduk di belakangnya telah beri gerak isyarat untuk memberitahu saya bahawa jawapannya salah. Jadi saya cepat-cepat menjemput seorang saudara untuk memberi komen yang betul. Saya harap komennya itu betul.”

DIA RELA DATANG KE SINI

Semasa konvensyen tahun 2005, Thierry dan isterinya Nadia menonton sebuah drama tentang Timotius yang bertajuk “Kejarlah Matlamat yang Memuliakan Tuhan.” Drama itu menyentuh hati mereka dan menguatkan keinginan mereka untuk berkhidmat di tempat yang memerlukan penyiar. Thierry berkata, “Semasa drama itu berakhir dan semua orang bertepuk tangan, saya tanya isteri saya, ‘Ke mana kita nak pergi?’ Rupa-rupanya dia pun fikir hal yang sama.” Tidak lama kemudian, mereka mengorak langkah untuk mencapai matlamat itu. Nadia berkata, “Kami mengurangkan semua harta milik kami sehingga hanya tinggal empat beg besar.”

Paling kiri: Nadia dan Marie-Madeleine; Paling kanan: Thierry

Mereka tiba di Madagascar pada tahun 2006 dan terus menikmati khidmat mereka di situ. Nadia berkata, “Sambutan orang di situ membuat kami sangat bersukacita.”

Namun, enam tahun kemudian, Marie-Madeleine, ibu Nadia yang tinggal di Perancis, jatuh lalu tangannya patah dan kepalanya cedera. Selepas berbincang dengan doktor Marie-Madeleine, pasangan itu menjemputnya untuk tinggal bersama mereka di Madagascar. Meskipun sudah berusia 80 tahun, dia sudi berpindah. Apakah perasaannya setelah tinggal di situ? Dia berkata, “Ada kalanya susah untuk membiasakan diri, tetapi saya rasa sangat berguna dalam sidang, meskipun kebolehan saya terhad. Saya sangat gembira kerana aturan ini membolehkan anak dan menantu saya meneruskan khidmat mereka di sini.”

“SAYA DAPAT RASAKAN BANTUAN YEHUWA”

Riana memberikan ceramah dalam bahasa Antandroy

Riana ialah seorang saudara yang berusia awal 20-an. Dia membesar di Alaotra Mangoro, sebuah kawasan yang subur di timur Madagascar. Dia mendapat keputusan yang baik di sekolah dan ingin mengejar pendidikan tinggi. Namun, selepas belajar Bible, dia mengubah fikirannya. Dia berkata, “Saya berusaha menghabiskan sekolah menengah dengan lebih cepat. Saya berjanji kepada Yehuwa, ‘Jika saya lulus peperiksaan akhir, saya akan merintis.’” Selepas tamat sekolah, Riana menepati janjinya. Dia tinggal bersama seorang saudara perintis, mencari kerja separuh masa, dan mula merintis. Dia berkata, “Itulah keputusan yang terbaik.”

Namun, saudara-mara Riana tidak memahami mengapa dia tidak mengejar kerjaya sekular. Riana berkata, “Bapa, pak cik, dan adik perempuan nenek saya menggalakkan saya untuk mengejar pendidikan tinggi. Tetapi saya enggan menukar khidmat perintis dengan apa-apa pun.” Tidak lama kemudian, Riana ingin berkhidmat di tempat yang memerlukan bantuan. Apakah yang mendorongnya? Dia berkata, “Tempat tinggal kami dipecah masuk, dan banyak barang saya dicuri. Hal itu buat saya terfikir kata-kata Yesus tentang ‘mengumpulkan harta di syurga.’ Saya memutuskan untuk bekerja lebih keras lagi untuk mendapat kekayaan rohani.” (Mat. 6:19, 20) Maka dia berpindah sejauh 1,300 km ke bahagian selatan negara itu, ke sebuah kawasan yang tandus akibat kemarau. Itulah kawasan yang didiami orang Antandroy. Mengapakah dia pergi ke situ?

Sebulan sebelum tempatnya dipecah masuk, Riana telah mula belajar Bible dengan dua orang lelaki Antandroy. Dia mempelajari beberapa istilah dalam bahasa mereka dan berfikir tentang orang Antandroy yang belum pernah mendengar berita Kerajaan Tuhan. Riana berkata, “Saya berdoa kepada Yehuwa dan meminta-Nya membantu saya berpindah ke kawasan yang penduduknya berbahasa Antandroy.”

Setibanya di situ, Riana menghadapi halangan: Tiada pekerjaan di situ. Seorang lelaki memberitahunya, “Kenapa kamu cari kerja di sini? Orang sini biasanya cari kerja di tempat asal kamu!” Dua minggu kemudian, semasa Riana bertolak untuk menghadiri konvensyen serantau, wangnya hampir habis. Tetapi pada hari terakhir konvensyen, seorang saudara memasukkan sejumlah wang ke dalam saku kot Riana. Wang itu cukup baginya untuk kembali ke kawasan orang Antandroy dan memulakan perniagaan menjual yogurt. Riana berkata, “Saya dapat rasakan bantuan Yehuwa tepat pada masanya. Saya dapat terus membantu orang yang belum pernah belajar tentang Yehuwa!” Riana juga sangat sibuk dalam sidang. “Saya beri ceramah umum setiap dua minggu. Yehuwa sedang melatih saya melalui organisasi-Nya.” Hari ini, Riana masih mengongsi berita Kerajaan Tuhan dengan banyak orang Antandroy yang ingin belajar tentang Yehuwa.

DIBERKATI OLEH “TUHAN KEBENARAN”

Yehuwa menjamin, “Sesiapa di bumi yang memohon berkat bagi dirinya sendiri akan menerima berkat daripada Aku, Tuhan kebenaran.” (Yes. 65:16) Apabila kita berusaha mengatasi halangan agar dapat meluaskan khidmat kita, kita akan menikmati berkat Yehuwa. Saudari Sylviana dari Madagascar, yang disebut di awal rencana ini, berasa bahawa dia tidak mampu meluaskan khidmatnya. Mengapa? Dia menjelaskan, “Kaki kiri saya kira-kira sembilan cm lebih pendek daripada kaki kanan saya. Jadi saya berjalan tempang dan cepat penat.”

Sylviana (kiri) dan Sylvie Ann (kanan) bersama Doratine pada hari pembaptisannya

Meskipun begitu, pada tahun 2014, Sylviana telah berpindah bersama-sama Sylvie Ann, seorang perintis muda di sidangnya, ke sebuah kampung kecil yang terletak 85 km dari tempat asal mereka. Walaupun susah, impian Sylviana telah tercapai dan membawa berkat yang besar. “Hanya setahun selepas berkhidmat di sini,” katanya, “Doratine, seorang ibu muda yang belajar Bible bersama saya, telah dibaptis semasa perhimpunan litar.”

“AKU AKAN MEMBANTUMU”

Pengalaman saudara saudari kita menunjukkan bahawa apabila kita berusaha mengatasi halangan untuk meluaskan khidmat kita, kita akan merasai betapa benarnya janji Yehuwa yang berikut: “Aku akan meneguhkanmu, dan Aku akan membantumu.” (Yes. 41:10) Hal itu akan mengukuhkan hubungan kita dengan Yehuwa. Selain itu, apabila kita rela berkhidmat, sama ada di negara asal atau di negara asing, kita sedang dilatih untuk kegiatan rohani di dunia baharu. Didier, yang disebut tadi, berkata, “Berkhidmat di tempat yang memerlukan bantuan ialah latihan yang baik untuk masa depan!” Semoga lebih banyak penyiar merelakan diri untuk menjalani latihan itu!

^ per. 4 Mereka datang dari Amerika Syarikat, Guadeloupe, Jerman, Kanada, Luxembourg, New Caledonia, Perancis, Republik Czech, Sweden, Switzerland, dan United Kingdom.

^ per. 8 Kini digantikan dengan Sekolah Latihan Penginjil. Pekhidmat sepenuh masa yang membantu di luar negara, yang memenuhi syaratnya, dapat memohon untuk menghadiri sekolah ini di negara asal mereka atau di negara yang mempunyai sekolah ini dalam bahasa ibunda mereka.