Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 3

Bagaimanakah Anda Dapat Menjaga Hati Sendiri?

Bagaimanakah Anda Dapat Menjaga Hati Sendiri?

“Lebih daripada segala-galanya, jagalah hatimu.”​—AMS. 4:23.

LAGU 36 Jagalah Hatimu

PENGENALAN *

1-3. (a) Mengapakah Yehuwa mengasihi Salomo? Apakah berkat yang diterima Salomo? (b) Apakah soalan-soalan yang akan dijawab dalam rencana ini?

SALOMO menjadi raja Israel semasa dia masih muda. Tidak lama selepas dia menaiki takhta, Yehuwa menampakkan diri kepadanya dalam mimpi dan berfirman, “Mintalah apa sahaja yang engkau inginkan.” Salomo menjawab, “Aku masih muda dan tidak berpengalaman. . . . Oleh itu, berilah hamba-Mu ini hati yang taat.” (1 Raj. 3:5-10) “Hati yang taat”—tidakkah permintaan itu mencerminkan kerendahan hati Salomo? Patutlah Yehuwa mengasihinya! (2 Sam. 12:24) Tuhan kita begitu senang hati dengan jawapannya sehingga Dia memberi Salomo “hati yang bijaksana dan yang berpengertian.”​—1 Raj. 3:12.

2 Semasa Salomo setia, dia diberi banyak berkat. Dia berpeluang membina tempat ibadat “untuk memuliakan nama Yehuwa, Tuhan orang Israel.” (1 Raj. 8:20) Dia menjadi masyhur kerana kebijaksanaannya yang dikurniakan Tuhan, dan kata-kata yang diucapkannya di bawah ilham Tuhan telah dicatatkan dalam tiga buku Bible, termasuk buku Amsal.

3 Hati disebut lebih daripada seratus kali dalam buku Amsal. Contohnya, Amsal 4:23 menyatakan, “Lebih daripada segala-galanya, jagalah hatimu.” Rencana ini akan menjawab soalan-soalan berikut: Apakah maksud “hati” di Amsal 4:23? Bagaimanakah Syaitan mencuba menjangkiti hati kita? Bagaimanakah kita dapat menjaga hati sendiri? Kita perlu mengetahui jawapannya supaya kita dapat tetap setia kepada Tuhan.

APAKAH ITU “HATIMU”?

4-5. (a) Apakah maksud perkataan ‘hati’ di Amsal 4:23? (b) Bagaimanakah contoh kesihatan fizikal menunjukkan pentingnya keadaan batin?

4 Perkataan ‘hati’ di Amsal 4:23 merujuk kepada “batin” seseorang. (Baca Mazmur 7:9.) Dalam kata lain, “hati” merangkumi fikiran, perasaan, niat, dan keinginan kita yang terpendam. “Hati” kita ialah diri kita yang sebenar, bukan apa yang dilihat dari luaran sahaja.

5 Untuk memahami pentingnya keadaan batin, fikirkan kesihatan fizikal kita. Pertama, untuk menjaga kesihatan dari dalam, kita perlu ada tabiat pemakanan yang sihat dan selalu bersenam. Begitu juga, untuk tetap sihat secara rohani, kita perlu ada tabiat pemakanan rohani yang sihat dan sering melakukan “senaman” bagi iman kita, iaitu dengan menerapkan apa yang dipelajari dan memberitahu orang lain tentang kepercayaan kita. (Rm. 10:8-10; Yak. 2:26) Kedua, seseorang yang nampaknya sihat dari luar mungkin sudah dijangkiti dari dalam. Begitu juga, kita mungkin menyangka bahawa iman kita teguh kerana kita sering melakukan hal rohani, padahal nafsu yang salah mungkin sedang bertumbuh dalam diri kita. (1 Kor. 10:12; Yak. 1:14, 15) Ingatlah bahawa Syaitan ingin menjangkiti kita dengan fikirannya. Bagaimanakah dia mencuba berbuat demikian? Bagaimanakah kita dapat melindungi diri?

CARA SYAITAN MENCUBA MENJANGKITI HATI KITA

6. Apakah yang diingini Syaitan? Bagaimanakah dia mencuba mencapai tujuannya?

6 Syaitan mahu kita mengikut jejaknya. Dia ingin kita menjadi pemberontak yang mementingkan diri dan tidak mempedulikan piawaian Yehuwa. Syaitan tidak dapat memaksa kita untuk berfikir dan bertindak sepertinya, maka dia menggunakan kaedah lain untuk mencapai tujuannya. Contohnya, dia mengelilingi kita dengan orang yang sudah dipengaruhinya. (1 Yoh. 5:19) Syaitan berharap agar kita memilih untuk menghabiskan masa bersama mereka, meskipun kita tahu bahawa pergaulan buruk akan “merosakkan” fikiran dan tingkah laku kita. (1 Kor. 15:33) Kaedah itu berjaya memerangkap Raja Salomo. Dia mengahwini ramai wanita kafir, dan mereka “beransur-ansur mempengaruhinya” sehingga menjauhi Yehuwa.​—1 Raj. 11:3.

Bagaimanakah anda dapat mencegah fikiran Syaitan daripada menjangkiti hati anda? (Lihat perenggan 7) *

7. Apakah cara lain Syaitan menyebarkan fikirannya? Mengapakah kita harus berwaspada?

7 Syaitan menggunakan wayang dan rancangan TV untuk menyebarkan pemikirannya. Dia tahu bahawa cerita bukan sahaja dapat menghibur, malah dapat membentuk fikiran, perasaan, dan kelakuan kita. Yesus telah menggunakan cerita untuk menyampaikan ajaran penting, seperti ceritanya tentang lelaki Samaria yang baik hati dan anak yang sesat. (Mat. 13:34; Luk. 10:29-37; 15:11-32) Namun, orang yang dijangkiti fikiran Syaitan boleh menggunakan cerita-cerita untuk merosakkan akhlak kita. Maka kita harus seimbang. Wayang dan rancangan TV dapat mendidik dan menghiburkan kita, tetapi kita mesti berwaspada agar fikiran kita tidak dicemari. Maka, semasa memilih hiburan, tanyalah diri, “Adakah wayang atau rancangan ini mengajar saya bahawa tiada salahnya menuruti nafsu berdosa?” (Gal. 5:19-21; Ef. 2:1-3) Apakah yang harus anda lakukan jika anda mendapati sesebuah rancangan sedang menyajikan fikiran Syaitan? Jauhinya sebagaimana anda akan menjauhi penyakit berjangkit!

8. Bagaimanakah ibu bapa dapat membantu menjaga hati anak?

8 Ibu bapa, anda mempunyai tanggungjawab khas untuk melindungi anak-anak anda supaya Syaitan tidak menjangkiti hati mereka. Sudah pasti, anda akan menjaga kebersihan rumah dan membuang apa sahaja yang akan membuat mereka jatuh sakit. Begitu juga, anda perlu melindungi anak-anak sendiri daripada wayang, rancangan TV, permainan elektronik, dan laman web yang akan membuat mereka dipengaruhi fikiran Syaitan. Yehuwa telah melantik anda untuk menjaga kesihatan rohani anak anda. (Ams. 1:8; Ef. 6:1, 4) Maka janganlah takut untuk menetapkan peraturan rumah berdasarkan prinsip Bible. Beritahulah mereka apa yang boleh dan yang tidak boleh ditonton, dan bantulah mereka memahami sebab di sebalik keputusan anda. (Mat. 5:37) Apabila anak anda semakin dewasa, latihlah mereka untuk menggunakan piawaian Yehuwa sebagai kayu ukur untuk menilai apa yang betul dan salah. (Ibr. 5:14) Ingatlah juga bahawa perbuatan anda akan meninggalkan kesan yang lebih mendalam kepada anak-anak berbanding kata-kata anda.​—Ul. 6:6, 7; Rm. 2:21.

9. Apakah salah satu fikiran yang disebarkan oleh Syaitan? Apakah bahayanya?

9 Syaitan juga mencuba menjangkiti hati kita dengan membuat kita bersandar pada kebijaksanaan manusia dan bukannya fikiran Yehuwa. (Kol. 2:8) Perhatikan salah satu fikiran yang disebarkan oleh Syaitan: Menimba kekayaan ialah hal yang terpenting dalam kehidupan. Tidak kira miskin ataupun kaya, orang yang dijangkiti fikiran ini sedang membahayakan diri. Mengapa? Mereka mungkin akan khusyuk mengejar wang sehingga sanggup mengorbankan kesihatan, keluarga, dan bahkan hubungan dengan Tuhan. (1 Tim. 6:10) Kita bersyukur kerana Bapa kita yang bijaksana telah membantu kita untuk mempunyai pandangan yang seimbang terhadap wang.​—Pkh. 7:12; Luk. 12:15.

BAGAIMANAKAH KITA DAPAT MENJAGA HATI SENDIRI?

Seperti pengawal dan penjaga pintu zaman kuno, teruslah berwaspada dan bertindak supaya pengaruh buruk tidak meresap ke dalam hati anda (Lihat perenggan 10-11) *

10-11. (a) Apakah yang mesti kita lakukan untuk melindungi diri? (b) Apakah tugas pengawal pada zaman kuno? Bagaimanakah hati nurani kita berfungsi sebagai pengawal?

10 Untuk menjaga hati sendiri, kita perlu mengenal pasti ancaman dan segera bertindak. Perkataan “jagalah” di Amsal 4:23 mengingatkan kita tentang kerja pengawal. Pada zaman Raja Salomo, pengawal akan berdiri di atas tembok kota dan memberikan amaran jika mereka nampak bahaya semakin dekat. Gambaran itu membantu kita memahami apa yang harus dilakukan supaya Syaitan tidak merosakkan fikiran kita.

11 Pada zaman kuno, pengawal akan bekerjasama dengan penjaga pintu. (2 Sam. 18:24-26) Untuk melindungi kota, mereka akan menutup pintu gerbang apabila dihampiri musuh. (Neh. 7:1-3) Hati nurani kita yang dilatih Bible * dapat berfungsi sebagai pengawal dan memberi kita amaran apabila Syaitan ingin menceroboh hati kita dan mempengaruhi fikiran, perasaan, motif, atau keinginan kita. Setiap kali kita mendengar amaran itu, bertindaklah dan tutuplah pintu kepada hati kita.

12-13. Kita mungkin digoda untuk melakukan apa? Tetapi apakah seharusnya reaksi kita?

12 Fikirkan satu cara kita dapat melindungi diri daripada dipengaruhi fikiran Syaitan. Yehuwa sudah mengajar kita, “Jangan ada sesiapa pun dalam kalangan kamu yang menyebut tentang perbuatan seks yang tidak bermoral, . . . atau setiap jenis kenajisan.” (Ef. 5:3) Tetapi bagaimana pula jika rakan kerja atau sekolah mula bercakap tentang hal yang lucah? Kita tahu bahawa kita harus “menolak keinginan duniawi dan segala sesuatu yang bertentangan dengan kehendak Tuhan.” (Tit. 2:12) Kita mungkin diberi amaran daripada “pengawal,” iaitu hati nurani kita. (Rm. 2:15) Namun, adakah kita akan mengendahkan amaran itu? Atau adakah kita akan tergoda untuk mendengar perbualan mereka atau melihat gambar yang dikongsi mereka? Ingat, itulah masanya untuk menutup pintu kepada hati kita. Maka, ubahlah topik perbualan atau beredarlah dari situ.

13 Semasa diberi tekanan untuk memikirkan atau melakukan hal yang salah, kita memerlukan keberanian untuk menolaknya. Percayalah bahawa Yehuwa memperhatikan usaha kita, dan Dia akan memberi kita kekuatan dan kebijaksanaan untuk melawan fikiran Syaitan. (2 Taw. 16:9; Yes. 40:29; Yak. 1:5) Namun, apakah hal lain yang dapat kita lakukan untuk menjaga hati sendiri?

TETAP BERJAGA-JAGA

14-15. (a) Kita perlu membuka pintu hati kita untuk menerima apa? Bagaimanakah kita dapat berbuat demikian? (b) Bagaimanakah nasihat di Amsal 4:20-22 membantu kita memperoleh manfaat yang terbesar daripada pembacaan Bible? (Lihat juga kotak “ Cara Membuat Perenungan.”)

14 Untuk menjaga hati kita, kita bukan sahaja perlu menolak pengaruh buruk, tetapi juga perlu mendedahkan hati kita kepada pengaruh positif. Fikirkan contoh kota bertembok lagi. Penjaga pintu akan menutup pintu gerbang semasa musuh datang menceroboh, tetapi dia akan membuka pintu pada masa lain supaya penduduk kota mendapat makanan dan bekalan dari luar. Jika pintu gerbang sentiasa ditutup, mereka akan mati kebuluran. Begitu juga, kita perlu sering membuka hati kita supaya fikiran Tuhan dapat meresap ke dalamnya.

15 Bible mengandungi fikiran Yehuwa. Setiap kali kita membacanya, kita sedang membiarkan fikiran Yehuwa mempengaruhi fikiran, perasaan, dan tindakan kita. Bagaimanakah kita dapat memperoleh manfaat yang terbesar daripada pembacaan Bible? Doa sangat penting. Seorang saudari berkata, “Sebelum baca Bible, saya berdoa kepada Yehuwa dan meminta agar Dia bantu saya ‘melihat hal-hal yang menakjubkan’ dalam Firman-Nya.” (Mzm. 119:18) Selepas membaca, kita perlu membuat perenungan. Apabila kita berdoa, membaca, dan membuat perenungan, Firman Tuhan akan mencapai “lubuk hati [kita],” dan kita akan dibantu untuk mencintai fikiran Yehuwa.​—Baca Amsal 4:20-22; Mzm. 119:97.

16. Bagaimanakah program Siaran JW membantu saudara saudari kita?

16 Satu lagi cara untuk membiarkan fikiran Tuhan mempengaruhi kita adalah dengan menonton video-video di Siaran JW. Satu pasangan berkata, “Program bulanan Siaran JW ialah jawapan kepada doa kami! Kami dikuatkan dan digalakkan semasa kami sedih atau kesunyian. Kami sentiasa memainkan lagu asal, tidak kira semasa memasak, membersihkan rumah, atau minum teh.” Program-program ini mengajar kita cara untuk meniru fikiran Yehuwa dan menolak tekanan untuk mengikut fikiran Syaitan, justeru membantu kita menjaga hati sendiri.

17-18. (a) Menurut 1 Raja-Raja 8:61, apakah yang akan berlaku jika kita menerapkan apa yang kita pelajari daripada Yehuwa? (b) Apakah yang kita pelajari daripada contoh Raja Hizkia? (c) Daripada doa Daud yang tercatat di Mazmur 139:23, 24, apakah perkara yang dapat kita doakan?

17 Setiap kali kita meraih manfaat kerana melakukan apa yang benar, iman kita bertambah kuat. (Yak. 1:2, 3) Kita berbesar hati kerana membuat Yehuwa bangga untuk memanggil kita anak-anak-Nya, dan hal itu akan memarakkan lagi keinginan kita untuk menggembirakan-Nya. (Ams. 27:11) Setiap cubaan yang timbul akan menjadi peluang untuk membuktikan bahawa kita tidak menyembah Yehuwa dengan hati yang berbelah bahagi. (Mzm. 119:113) Sebaliknya, kita menunjukkan bahawa kita mengasihi Bapa kita yang penyayang dengan sepenuh hati dan memiliki azam yang kuat untuk mematuhi-Nya dan melaksanakan kehendak-Nya.​—Baca 1 Raja-Raja 8:61.

18 Adakah kita akan berbuat silap? Ya, kerana kita tidak sempurna. Namun, semasa tersandung, ingatlah contoh Raja Hizkia. Meskipun dia berbuat silap, dia bertaubat lalu terus menyembah Yehuwa “dengan sepenuh hati.” (Yes. 38:3-6; 2 Taw. 29:1, 2; 32:25, 26) Semoga kita menolak segala cubaan Syaitan untuk menjangkiti kita dengan fikirannya. Berdoalah agar kita memupuk “hati yang taat.” (1 Raj. 3:9; baca Mazmur 139:23, 24.) Jika kita menjaga hati kita lebih daripada segala-galanya, kita dapat tetap setia kepada Yehuwa.

LAGU 54 “Inilah Jalannya”

^ per. 5 Adakah kita akan tetap setia kepada Yehuwa, atau membiarkan Syaitan mengumpan kita untuk menjauhi Tuhan? Jawapannya bergantung, bukan pada jenis cubaan yang kita alami, tetapi pada cara kita menjaga hati sendiri. Apakah makna “hati”? Bagaimanakah Syaitan mencuba menjangkiti hati kita? Bagaimanakah kita dapat menjaga hati sendiri? Rencana ini akan menjawab soalan-soalan yang penting itu.

^ per. 11 MAKSUD UNGKAPAN: Yehuwa memberi kita keupayaan untuk memeriksa fikiran, perasaan, dan tindakan sendiri, lalu menghakimi diri sendiri. Dalam Bible, keupayaan itu dipanggil hati nurani. (Rm. 2:15; 9:1) Hati nurani yang dilatih Bible akan menghakimi fikiran, perbuatan, atau kata-kata kita, menurut piawaian Yehuwa yang terdapat dalam Firman-Nya.

^ per. 56 KETERANGAN GAMBAR: Seorang saudara yang sudah dibaptis sedang menonton televisyen, dan adegan yang tidak bermoral muncul. Dia harus memutuskan apa yang akan dilakukannya.

^ per. 58 KETERANGAN GAMBAR: Pengawal pada zaman kuno melihat bahaya di luar kota. Dia berseru kepada penjaga pintu di bawah, dan mereka segera menutup pintu gerbang lalu menguncinya dari dalam.