Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 4

Jamuan Ringkas yang Menyingkapkan Sifat Raja Kita

Jamuan Ringkas yang Menyingkapkan Sifat Raja Kita

‘Roti ini melambangkan tubuhku. Wain ini melambangkan darah perjanjianku.’​—MAT. 26:26-28.

LAGU 16 Pujilah Yehuwa dan Anak yang Diurapi-Nya

PENGENALAN *

1-2. (a) Yesus mengajarkan cara yang ringkas untuk memperingati kematiannya. Mengapakah hal itu tidak menghairankan? (b) Apakah sifat-sifat Yesus yang akan kita bincangkan?

DAPATKAH anda menggambarkan apa yang berlaku semasa Peringatan kematian Kristus setiap tahun? Sudah tentu ramai antara kita dapat melakukannya. Mengapa? Kerana Perjamuan Malam Tuan ialah jamuan yang sangat ringkas. Namun, peristiwa itu sangat penting. Jadi mengapakah jamuan tersebut begitu ringkas?

2 Semasa menginjil di bumi, Yesus sentiasa mengajarkan kebenaran yang penting dalam cara yang ringkas, jelas, dan mudah difahami. (Mat. 7:28, 29) Begitu juga, cara yang diajarkannya untuk memperingati * kematiannya ringkas tetapi bermakna. Mari kita mengkaji jamuan Peringatan dan sesetengah perkara yang dilakukan dan dikatakan oleh Yesus. Dengan itu, kita akan lebih menghargai kerendahan hati, keberanian, dan kasih Yesus. Kemudian kita akan mempelajari cara untuk mengikut jejaknya dengan lebih teliti.

YESUS RENDAH HATI

Roti dan wain yang digunakan semasa Peringatan mengingatkan kita bahawa Yesus telah mengorbankan nyawanya demi kita dan bahawa kini dia ialah Raja kita yang di syurga (Lihat perenggan 3-5)

3. Menurut Matius 26:26-28, seberapa ringkaskah jamuan Peringatan yang diperkenalkan Yesus? Apakah yang dilambangkan oleh roti dan wain?

3 Semasa Yesus bersama 11 orang rasulnya yang setia, dia hanya menggunakan dua bahan yang sedia ada daripada jamuan Paska, iaitu roti tidak beragi dan wain, untuk memperkenalkan sambutan Peringatan. (Baca Matius 26:26-28.) Yesus memberitahu para rasul bahawa dua bahan itu melambangkan tubuh dan darahnya yang sempurna, yang akan dikorbankannya demi mereka. Perjamuan baharu ini penting tetapi juga sangat ringkas. Namun para rasul mungkin tidak berasa hairan akan hal itu. Mengapa?

4. Bagaimanakah nasihat Yesus kepada Marta membantu kita memahami sebabnya Yesus memperkenalkan jamuan Peringatan yang ringkas?

4 Beberapa bulan sebelum itu, pada tahun ketiga kerja penyebaran Yesus, dia melawat sahabat baiknya Lazarus, Marta, dan Maria. Semasa di rumah mereka, Yesus mula mengajar. Marta juga berada di situ, tetapi dia sibuk menyediakan jamuan besar untuk tetamu terhormatnya. Apabila Yesus nampak hal itu, dia membetulkan fikiran Marta dan memberitahunya bahawa jamuan yang ringkas sudah memadai. (Luk. 10:40-42) Beberapa jam sebelum kematiannya, Yesus menerapkan nasihat yang diberinya sendiri. Dia mengadakan jamuan Peringatan yang ringkas. Apakah yang kita pelajari tentang Yesus?

5. Apakah yang kita pelajari tentang Yesus daripada jamuan Peringatan yang ringkas? Bagaimanakah hal ini selaras dengan kata-kata di Filipi 2:5-8?

5 Kerendahan hati tersulam dalam setiap perbuatan dan kata-kata Yesus, dan sifat itu masih menyerlah pada malam terakhirnya di bumi. (Mat. 11:29) Yesus tahu bahawa dia bakal memberikan korban yang terbesar dalam sejarah manusia, dan dia akan dibangkitkan ke syurga lalu diberi kedudukan yang mulia. Meskipun begitu, dia tidak menarik perhatian kepada dirinya. Dia tidak menyuruh murid-muridnya mengadakan sambutan secara besar-besaran untuk memperingati kematiannya. Sebaliknya, dia berkata bahawa mereka harus mengadakan jamuan ringkas ini untuk mengenangnya setiap tahun. (Yoh. 13:15; 1 Kor. 11:23-25) Jamuan yang ringkas tetapi bermakna itu menunjukkan bahawa Yesus tidak sombong. Kita bersyukur kerana kerendahan hati merupakan salah satu sifat penting yang dimiliki Raja kita yang di syurga.​—Baca Filipi 2:5-8.

6. Semasa menghadapi cubaan, bagaimanakah kita dapat meniru kerendahan hati Yesus?

6 Bagaimanakah kita dapat meniru kerendahan hati Yesus? Dengan mengutamakan kepentingan orang lain. (Flp. 2:3, 4) Fikirkan malam terakhir Yesus di bumi. Meskipun dia tahu bahawa dia akan dibunuh dengan kejam, dia amat risau tentang rasul-rasulnya yang bakal meratapinya. Maka dia menghabiskan malam itu untuk mengajar, menggalakkan, dan meyakinkan mereka. (Yoh. 14:25-31) Yesus lebih mementingkan kesejahteraan orang lain daripada kesenangan diri. Kerendahan hatinya memang wajar diteladani!

YESUS BERANI

7. Bagaimanakah Yesus menunjukkan keberanian yang besar selepas memperkenalkan Perjamuan Malam Tuan?

7 Selepas memperkenalkan Perjamuan Malam Tuan, Yesus menunjukkan keberanian yang besar. Bagaimana? Yesus rela menuruti kehendak Bapanya, biarpun hal itu bermaksud dia akan dituduh menghina Tuhan dan dihukum mati dengan nama yang tercela. (Mat. 26:65, 66; Luk. 22:41, 42) Yesus telah memelihara kesetiaannya dengan sempurna untuk memuliakan nama Yehuwa, menjunjung kedaulatan-Nya, dan membuka peluang bagi jutaan manusia yang bertaubat untuk hidup selama-lamanya. Pada masa yang sama, Yesus membantu para pengikutnya bersedia menghadapi cubaan yang bakal melanda.

8. (a) Apakah yang diberitahukan oleh Yesus kepada rasul-rasulnya yang setia? (b) Bagaimanakah murid-murid Yesus meniru keberaniannya bertahun-tahun selepas kematiannya?

8 Yesus juga menunjukkan keberaniannya dengan mengetepikan kekhuatiran sendiri dan bertumpu kepada keperluan para rasulnya. Jamuan ringkas itu, yang diperkenalkannya selepas menyuruh Yudas beredar, akan mengingatkan mereka yang bakal diurapi tentang bagaimana darah Yesus dan perjanjian baharu mendatangkan manfaat kepada mereka. (1 Kor. 10:16, 17) Untuk membantu mereka tetap setia dan menerima ganjaran di syurga, Yesus memberitahu mereka apa yang dikehendaki dia dan Bapanya daripada mereka. (Yoh. 15:12-15) Yesus juga memaklumkan para rasul tentang cabaran yang menantikan mereka. Kemudian, dia menggalakkan mereka untuk mengikut teladannya dan menggesa mereka, “Teguhkanlah hati kamu!” (Yoh. 16:1-4a, 33) Bertahun-tahun kemudian, murid-murid Yesus masih meniru keberaniannya dan sifatnya yang rela berkorban. Meskipun perlu menderita, mereka menyokong satu sama lain ketika menghadapi pelbagai cubaan.​—Ibr. 10:33, 34.

9. Bagaimanakah kita dapat meniru keberanian Yesus?

9 Hari ini, kita meniru keberanian Yesus. Contohnya, kita memerlukan keberanian untuk membantu rakan seiman yang dianiaya demi iman mereka. Ada kalanya, mereka mungkin difitnah dan dipenjarakan. Ketika itu, kita harus melakukan apa yang terdaya untuk membantu mereka, termasuk mempertahankan mereka. (Flp. 1:14; Ibr. 13:19) Selain itu, kita terus menginjil “dengan berani.” (Kis. 14:3) Seperti Yesus, kita bertekad untuk menyebarkan berita tentang Kerajaan Tuhan walaupun ditentang dan dianiaya. Namun, apakah yang dapat kita lakukan seandainya kita tidak cukup berani?

10. Apakah yang patut kita lakukan sepanjang beberapa minggu sebelum Peringatan? Mengapa?

10 Apabila kita memikirkan harapan yang kita miliki kerana korban tebusan Kristus, keberanian kita akan bertambah. (Yoh. 3:16; Ef. 1:7) Beberapa minggu sebelum sambutan Peringatan, kita ada peluang istimewa untuk memperdalam penghargaan kita terhadap tebusan. Sepanjang waktu itu, ikutilah pembacaan Bible sempena Peringatan, berdoalah, dan renungkanlah peristiwa yang berlaku sekitar masa kematian Yesus. Dengan berbuat demikian, apabila kita berkumpul untuk Perjamuan Malam Tuan, kita akan lebih memahami pentingnya roti dan wain Peringatan, dan pengorbanan istimewa yang dilambangkan oleh bahan-bahan itu. Apabila kita memahami apa yang telah dilakukan oleh Yesus dan Yehuwa demi kita dan berkat yang menantikan kita serta orang tersayang, harapan kita akan bertambah kukuh, dan kita didorong agar tetap berani dan tabah sampai akhir.​—Ibr. 12:3.

11-12. Apakah yang telah kita pelajari setakat ini?

11 Setakat ini, kita telah belajar bahawa Perjamuan Malam Tuan bukan sahaja mengingatkan kita tentang korban tebusan, tetapi juga tentang kerendahan hati dan keberanian Yesus. Kini, selaku Imam Agung kita di syurga, yang membuat permohonan bagi kita, Yesus terus menunjukkan sifat-sifat ini. Tidakkah kita bersyukur kerana mempunyai Imam Agung sebegini? (Ibr. 7:24, 25) Untuk menunjukkan penghargaan kita, kita mesti mengikut perintah Yesus untuk memperingati kematiannya. (Luk. 22:19, 20) Kita berbuat demikian pada 14 Nisan, tarikh yang terpenting dalam setahun.

12 Perjamuan Malam Tuan yang ringkas juga menyingkapkan satu lagi sifat Yesus. Sifat itu mendorong Yesus agar rela mati demi kita, dan dia sangat dikenali semasa di bumi kerana sifat itu. Apakah sifat tersebut?

YESUS PENGASIH

13. Bagaimanakah Yohanes 15:9 dan 1 Yohanes 4:8-10 menggambarkan kasih yang ditunjukkan oleh Yehuwa dan Anak-Nya? Siapakah yang meraih manfaat daripada kasih mereka?

13 Kasih Yehuwa yang mendalam terhadap kita dicerminkan dengan sempurna dalam segala perbuatan Yesus. (Baca Yohanes 15:9; 1 Yohanes 4:8-10.) Penting sekali, kasih mendorong Yesus untuk mengorbankan nyawanya demi kita. Sama ada kita merupakan kaum terurap atau “biri-biri lain,” kita meraih manfaat daripada kasih yang ditunjukkan oleh Yehuwa dan Anak-Nya melalui korban tebusan. (Yoh. 10:16; 1 Yoh. 2:2) Sebenarnya bahan-bahan yang digunakan untuk jamuan Peringatan juga menunjukkan bahawa Yesus mengasihi dan bertimbang rasa terhadap murid-muridnya. Bagaimana?

Kerana kasih, Yesus mengasaskan upacara Peringatan yang ringkas supaya murid-muridnya dapat mengadakan jamuan ini selama ratusan tahun di bawah pelbagai situasi (Lihat perenggan 14-16) *

14. Bagaimanakah Yesus menunjukkan kasih kepada murid-muridnya?

14 Untuk memperingati kematiannya, Yesus memperkenalkan jamuan yang ringkas dan bukan upacara yang rumit. Bagaimanakah hal ini menunjukkan kasihnya kepada para pengikutnya yang terurap? Setiap tahun, mereka perlu menyambut Peringatan dalam pelbagai keadaan, termasuk di dalam penjara. (Why. 2:10) Dapatkah mereka mematuhi arahan Yesus? Sudah tentu!

15-16. Bagaimanakah sesetengah orang dapat menyambut Perjamuan Malam Tuan di bawah keadaan yang mencabar?

15 Sampai hari ini, orang Kristian sejati berusaha seboleh-bolehnya untuk memperingati kematian Yesus mengikut cara yang dinyatakannya, bahkan dalam situasi yang mencabar. Semasa dipenjarakan seorang diri di China, Saudara Harold King perlu mencari jalan untuk menyambut Peringatan. Dia menggunakan bahan yang dimilikinya untuk menyediakan roti dan wain secara tersembunyi, dan dia menghitung tarikh Peringatan dengan seberapa tepat yang mungkin. Apabila hari itu tiba, dia bernyanyi, berdoa, dan memberikan ceramah Peringatan—​seorang diri di dalam penjara.

16 Perhatikan satu lagi contoh: Sekumpulan saudari di kem konsentrasi semasa Perang Dunia Kedua telah mempertaruhkan nyawa untuk mengadakan Perjamuan Malam Tuan. Namun, oleh sebab jamuan itu ringkas, mereka berjaya mengadakannya tanpa diketahui orang lain. Mereka berkata, “Kami berdiri mengelilingi sebuah bangku yang ditutupi kain putih, dan di atasnya terletak roti dan wain. Kami menyalakan lilin, kerana lampu elektrik mungkin mendedahkan sambutan kami. . . . Kami membaharui ikrar kepada Bapa kami untuk menggunakan segenap tenaga demi penyucian nama-Nya.” Iman yang sungguh menakjubkan! Tidakkah anda setuju bahawa Yesus telah menunjukkan kasih yang besar kerana membolehkan kita menyambut Peringatan bahkan dalam keadaan yang susah?

17. Apakah soalan-soalan yang dapat kita fikirkan?

17 Menjelang sambutan Peringatan, tanyalah diri, “Bagaimanakah saya dapat meniru kasih Yesus dengan lebih baik lagi? Adakah saya lebih memikirkan keperluan rakan seiman berbanding keperluan sendiri? Adakah saya mengharapkan sesuatu yang di luar kemampuan saudara saudari, atau adakah saya menyedari keterbatasan mereka?” Semoga kita sentiasa mencontohi Yesus dan “menunjukkan simpati.”​—1 Ptr. 3:8.

SENTIASA MENGINGATI PENGAJARAN INI

18-19. (a) Kita yakin akan hal apa? (b) Apakah tekad anda?

18 Tidak lama lagi, kita akan berhenti menyambut Peringatan kematian Kristus. Apabila Yesus “datang” semasa kesengsaraan besar, “umatnya yang terpilih,” yang masih di bumi, akan dibawanya ke syurga. Selepas itu, Peringatan tidak akan disambut lagi.​—1 Kor. 11:26; Mat. 24:31.

19 Semasa Peringatan tidak disambut lagi, kita yakin bahawa umat Yehuwa masih akan mengenang jamuan ringkas ini, yang mencerminkan kerendahan hati, keberanian, dan kasih teragung yang pernah ditunjukkan oleh seorang manusia. Ketika itu, mereka yang pernah menghadiri jamuan ini akan bercerita tentangnya demi manfaat semua manusia yang hidup. Namun, untuk memanfaatkan jamuan ini sekarang, kita harus bertekad untuk meniru kerendahan hati, keberanian, dan kasih Yesus. Dengan itu, kita pasti akan menerima ganjaran daripada Yehuwa.​—2 Ptr. 1:10, 11.

LAGU 13 Kristus, Suri Teladan Kita

^ per. 5 Tidak lama lagi, kita akan menghadiri Perjamuan Malam Tuan untuk memperingati kematian Yesus Kristus. Jamuan yang ringkas ini mengajar kita tentang kerendahan hati, keberanian, dan kasih Yesus. Dalam rencana ini, kita akan membincangkan cara untuk meniru sifat-sifatnya yang terpuji.

^ per. 2 MAKSUD UNGKAPAN: Memperingati bermaksud melakukan sesuatu yang istimewa untuk mengenang dan menghormati seseorang atau sebuah peristiwa yang penting.

^ per. 56 KETERANGAN GAMBAR: Lakonan semula bagi Peringatan yang diadakan oleh hamba-hamba Tuhan pada abad pertama; pada penghujung tahun 1800-an; di kem konsentrasi Nazi; dan pada zaman kita di Dewan Perjumpaan yang terbuka di sebuah negara Amerika Selatan yang panas iklimnya.