Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 1

“Janganlah Risau kerana Akulah Tuhanmu”

“Janganlah Risau kerana Akulah Tuhanmu”

“Janganlah takut kerana Aku menyertaimu. Janganlah risau kerana Akulah Tuhanmu. Aku akan meneguhkanmu, dan Aku akan membantumu.”​—YES. 41:10.

LAGU 7 Yehuwalah Kekuatanku

PENGENALAN *

1-2. (a) Bagaimanakah kata-kata di Yesaya 41:10 membantu Saudari Yoshiko? (b) Mesej di Yesaya 41:10 dicatatkan demi manfaat siapa?

YOSHIKO, seorang saudari Kristian yang setia, diberitahu oleh doktor bahawa dia akan meninggal dalam beberapa bulan. Apakah reaksinya terhadap berita buruk itu? Yoshiko mengingat kembali ayat kegemarannya di Yesaya 41:10. (Baca.) Kemudian, dia memberitahu doktor dengan tenang bahawa dia tidak takut, kerana Yehuwa sedang memegang tangannya. * Ayat yang melegakan itu telah membantu saudari kita untuk percaya sepenuhnya kepada Yehuwa. Ayat itu juga dapat menenangkan kita semasa kita ditimpa dugaan yang berat. Untuk memahami cara ayat itu dapat membantu kita, marilah kita kaji sebabnya Tuhan memberi Yesaya mesej tersebut.

2 Pada mulanya, mesej itu dicatatkan untuk menguatkan orang Yahudi yang akan ditawan ke Babilon. Namun, Yehuwa memelihara mesej itu, bukan sahaja untuk manfaat para tawanan Yahudi, tetapi juga untuk semua umat-Nya dari masa itu sampai sekarang. (Yes. 40:8; Rm. 15:4) Kita amat memerlukan galakan daripada buku Yesaya, lebih-lebih lagi pada “masa genting yang sukar dihadapi” ini.​—2 Tim. 3:1.

3. (a) Apakah janji-janji yang terdapat dalam Yesaya 41:10, iaitu ayat tahunan 2019? (b) Mengapakah kita memerlukan jaminan sebegini?

3 Dalam rencana ini, kita akan mendalami Yesaya 41:10 dan bertumpu kepada tiga janji Yehuwa yang dapat menguatkan iman kita: (1) Yehuwa akan menyertai kita, (2) Dia ialah Tuhan kita, dan (3) Dia akan membantu kita. Kita memerlukan jaminan * sebegini kerana seperti Yoshiko, kita masing-masing menghadapi cabaran dan perlu berdepan dengan masalah dunia ini. Ada antara kita yang bahkan dianiaya oleh pihak berkuasa. Marilah kita mengkaji tiga jaminan itu satu demi satu.

“AKU MENYERTAIMU”

4. (a) Apakah jaminan pertama yang akan kita bincangkan? (Lihat juga nota kaki.) (b) Bagaimanakah Yehuwa mengungkapkan perasaan-Nya terhadap kita? (c) Apakah perasaan anda setelah mengetahui perasaan Tuhan?

4 Mula-mulanya, Yehuwa memberi kita jaminan ini: “Janganlah takut kerana Aku menyertaimu.” * Yehuwa menyertai kita dengan memberi kita perhatian yang sepenuhnya dan dengan mengasihi kita. Perhatikan bagaimana Dia mengungkapkan perasaan-Nya terhadap kita. Yehuwa berfirman, “Kamu berharga dan terhormat di mata-Ku, dan Aku mengasihi kamu.” (Yes. 43:4) Tiada apa-apa di alam semesta yang dapat menghalang Yehuwa daripada mengasihi penyembah-Nya, dan kesetiaan-Nya kepada kita tidak akan goyah. (Yes. 54:10) Kasih daripada Tuhan dan persahabatan dengan-Nya memberi kita keberanian, kerana kita tahu Dia pasti melindungi kita sekarang, sebagaimana Dia melindungi sahabat-Nya Abram (Abraham) pada masa lalu. Yehuwa memberitahunya, “Abram, janganlah takut. Akulah perisaimu.”​—Kej. 15:1.

Dengan adanya bantuan Yehuwa, kita dapat mengharungi apa sahaja cubaan yang bagaikan sungai atau nyala api (Lihat perenggan 5-6) *

5-6. (a) Bagaimanakah kita tahu bahawa Yehuwa ingin membantu kita mengharungi masalah peribadi? (b) Apakah yang kita pelajari daripada contoh Yoshiko?

5 Kita tahu bahawa Yehuwa ingin membantu kita mengharungi masalah peribadi, kerana Dia berjanji, “Apabila kamu menyeberangi laut, Aku akan menyertai kamu. Apabila kamu melintasi sungai, kamu tidak akan tenggelam. Apabila kamu melalui api, kamu tidak akan terbakar. Ya, nyala api tidak akan mencederakan kamu.” (Yes. 43:2) Apakah maksud kata-kata itu?

6 Yehuwa tidak berjanji untuk menghilangkan cabaran hidup kita, tetapi Dia tidak akan membiarkan kita lemas dalam “sungai” masalah atau dihanguskan oleh “nyala api” cubaan sehingga tidak dapat menyembah-Nya. Tuhan menjamin bahawa Dia akan menyertai kita dan membantu kita “menyeberangi” cabaran itu. Bagaimana? Dia akan menenangkan kita supaya kita tidak berasa takut dan dapat tetap setia kepada-Nya meskipun diancam maut. (Yes. 41:13) Yoshiko, yang disebut tadi, telah merasai bantuan Tuhan. Anak perempuannya berkata, “Kami sangat kagum kerana Mak begitu tenang. Kami nampak bahawa dia diberi kedamaian batin daripada Yehuwa. Sehingga hari kematiannya, Mak memberitahu jururawat dan pesakit lain tentang Yehuwa dan janji-janji-Nya.” Apakah yang kita pelajari daripada contoh Yoshiko? Jika kita yakin akan janji Tuhan, “Aku menyertaimu,” kita juga dapat menghadapi cubaan dengan tabah, teguh, dan berani.

“AKULAH TUHANMU”

7-8. (a) Apakah jaminan kedua yang akan kita bincangkan, dan apakah maksud “risau” dalam ayat ini? (b) Mengapakah Yehuwa memberitahu orang Yahudi yang ditawan, “Janganlah risau”? (c) Apakah kata-kata di Yesaya 46:3, 4 yang telah menenangkan umat Tuhan?

7 Perhatikan jaminan kedua yang dicatatkan oleh Yesaya: “Janganlah risau kerana Akulah Tuhanmu.” Apakah maksudnya? Dalam ayat ini, perkataan asal untuk “risau” membawa maksud “asyik menoleh ke belakang kerana takut dicederakan” atau “melihat ke sana sini kerana cemas.”

8 Mengapakah Yehuwa memberitahu orang Yahudi yang bakal ditawan ke Babilon supaya ‘jangan risau’? Menjelang akhir 70 tahun pembuangan orang Yahudi, penduduk Babilon akan berasa takut ketika menghadapi serangan tentera Media dan Persia. Yehuwa akan menggunakan tentera yang kuat itu untuk membebaskan umat-Nya dari Babilon. (Yes. 41:2-4) Apabila orang Babilon dan bangsa-bangsa lain tahu bahawa musuh sudah dekat, mereka menggalakkan satu sama lain dengan berkata, “Kuatkanlah hatimu.” Mereka juga membuat lebih banyak berhala supaya dapat dilindungi. (Yes. 41:5-7) Namun, Yehuwa menenangkan orang Yahudi di Babilon dengan berfirman, “Tetapi engkau, hai Israel, ialah hamba-Ku [tidak seperti penduduk Babilon] . . . Janganlah risau kerana Akulah Tuhanmu.” (Yes. 41:8-10) Kata-kata “Akulah Tuhanmu” merupakan jaminan Yehuwa kepada penyembah-Nya yang setia bahawa mereka tidak dilupakan. Dia masih Tuhan mereka, dan mereka masih umat-Nya. Tuhan memberitahu mereka, “Aku akan . . . mendukung kamu, dan menyelamatkan kamu.” Kata-kata yang memberangsangkan itu pasti telah menabahkan hati orang Yahudi.​—Baca Yesaya 46:3, 4.

9-10. Mengapakah kita tidak perlu berasa takut? Jelaskan dengan menggunakan perumpamaan.

9 Keadaan dunia yang semakin merosot menyebabkan orang di sekeliling kita semakin khuatir. Kita juga menghadapi masalah yang sama, tetapi kita tidak perlu takut. Yehuwa memberitahu kita, “Akulah Tuhanmu.” Mengapakah kata-kata itu merupakan sebab yang kukuh untuk tetap tenang?

10 Fikirkan perumpamaan ini: Jim dan Ben sedang menaiki kapal terbang yang terhuyung-hayang kerana dipukul angin kencang. Apabila pesawat itu digoncang dengan kuat, kedengaran pengumuman ini: “Sila pasang tali keledar. Kita akan menghadapi cuaca buruk untuk seketika.” Jim sangat risau. Tetapi juruterbang menyambung, “Ini juruterbang kamu. Semuanya terkawal, jadi jangan risau.” Jim menggelengkan kepala dan berkata, “Apa gunanya kata-kata itu?” Namun, dia mendapati bahawa Ben langsung tidak risau. Maka Jim bertanya, “Kenapa kamu begitu tenang?” Ben tersenyum dan berkata, “Kerana saya kenal juruterbang itu. Dia bapa saya!” Kemudian Ben berkata lagi, “Biar saya ceritakan tentang bapa saya. Selepas kamu kenal dia dan kebolehannya, kamu pun akan berasa tenang.”

11. Apakah yang dapat kita pelajari daripada contoh dua orang penumpang tadi?

11 Apakah yang dapat kita pelajari daripada contoh tadi? Seperti Ben, kita tenang kerana kita mengenali Yehuwa, Bapa kita yang di syurga. Kita tahu Dia akan membantu kita agar selamat mengharungi masalah yang bagaikan ribut pada hari-hari terakhir. (Yes. 35:4) Kita yakin kepada Yehuwa, maka kita dapat tetap tenang apabila seluruh dunia dicengkam ketakutan. (Yes. 30:15) Seperti Ben, kita ingin memberitahu orang lain sebabnya kita yakin kepada Tuhan. Dengan itu, mereka akan percaya bahawa tidak kira apa yang terjadi, Yehuwa pasti menyokong mereka.

“AKU AKAN MENEGUHKANMU, DAN AKU AKAN MEMBANTUMU”

12. (a) Apakah jaminan ketiga yang akan kita bincangkan? (b) Pernyataan tentang “lengan” Yehuwa mengingatkan kita tentang apa?

12 Jaminan ketiga yang dicatatkan oleh Yesaya berbunyi, “Aku akan meneguhkanmu, dan Aku akan membantumu.” Sebelum itu, Yesaya menggambarkan bagaimana Yehuwa akan menguatkan umat-Nya: “Yehuwa . . . datang dengan kuasa yang besar. Dia akan memerintah dengan lengan-Nya.” (Yes. 40:10) Bible sering menggunakan perkataan “lengan” untuk melambangkan kuasa. Maka, pernyataan bahawa Yehuwa akan “memerintah dengan lengan-Nya” mengingatkan kita bahawa Yehuwa ialah Raja yang berkuasa. Dia pernah menggunakan kuasa-Nya yang tidak terhad untuk menyokong dan mempertahankan hamba-hamba-Nya pada masa lampau, dan Dia terus menguatkan dan melindungi mereka yang yakin kepada-Nya hari ini.​—Ul. 1:30, 31; Yes. 43:10, nota kaki.

Tiada senjata yang dapat mengalahkan lengan Yehuwa yang perkasa (Lihat perenggan 12-16) *

13. (a) Bilakah Yehuwa pasti menepati janji-Nya untuk meneguhkan kita? (b) Apakah janji Yehuwa yang menguatkan dan meyakinkan kita?

13 Yehuwa pasti menepati janji-Nya untuk meneguhkan kita, terutamanya semasa kita dianiaya. Kini, di sesetengah negara, musuh sedang berusaha keras untuk menghalang kerja penyebaran atau mengharamkan organisasi kita. Biarpun begitu, kita tidak terlalu risau. Janji Yehuwa yang berikut dapat menguatkan dan meyakinkan kita: “Semua senjata yang dihasilkan untuk melawanmu akan menjadi tidak berguna.” (Yes. 54:17) Kata-kata itu mengingatkan kita tentang tiga fakta yang penting.

14. Mengapakah kita tidak terkejut semasa diserang oleh musuh Tuhan?

14 Pertama, sebagai pengikut Kristus, kita akan dibenci. (Mat. 10:22) Yesus menubuatkan bahawa murid-muridnya akan dianiaya dengan teruk pada hari-hari terakhir. (Mat. 24:9; Yoh. 15:20) Kedua, nubuat Yesaya mengingatkan kita bahawa musuh bukan sahaja akan membenci kita, malah akan menyerang kita dengan pelbagai senjata, seperti dusta yang seakan-akan benar, fitnah, dan penganiayaan yang kejam. (Mat. 5:11) Yehuwa tidak akan menghalang musuh daripada menggunakan senjata sedemikian untuk berperang dengan kita. (Ef. 6:12; Why. 12:17) Namun, kita tidak perlu takut. Mengapa?

15-16. (a) Apakah hal ketiga yang perlu kita ingat? Bagaimanakah Yesaya 25:4, 5 membuktikan hal ini? (b) Bagaimanakah Yesaya 41:11, 12 menggambarkan kesudahan penentang kita?

15 Perhatikan hal ketiga yang perlu kita ingat: Yehuwa berkata bahawa “semua senjata” yang dihasilkan untuk melawan kita “akan menjadi tidak berguna.” Sebagaimana dinding melindungi kita daripada ribut, Yehuwa melindungi kita daripada “kemarahan orang yang zalim.” (Baca Yesaya 25:4, 5.) Musuh kita tidak dapat mendatangkan kecelakaan yang kekal.​—Yes. 65:17.

16 Untuk meneguhkan hati kita, Yehuwa juga menggambarkan secara terperinci kesudahan yang menantikan orang yang ‘marah terhadap kita.’ (Baca Yesaya 41:11, 12.) Biarpun musuh menyerang kita dengan sengit atau mencetuskan peperangan yang dahsyat, kesudahannya tetap sama: Semua musuh umat Tuhan “akan dimusnahkan dan dilenyapkan.”

CARA MEMPERKUKUH KEYAKINAN KITA KEPADA YEHUWA

Kita dapat memperkukuh keyakinan kita kepada Yehuwa dengan membaca Bible secara tetap (Lihat perenggan 17-18) *

17-18. (a) Mengapakah membaca Bible dapat memperkukuh keyakinan kita kepada Yehuwa? Berikan contoh. (b) Apakah manfaatnya merenungkan ayat tahunan 2019?

17 Untuk memperkukuh keyakinan kita kepada Yehuwa, kita perlu mengenali-Nya dengan lebih baik, dan satu-satunya cara untuk berbuat demikian adalah dengan membaca Bible dengan teliti dan membuat perenungan. Catatan Bible menunjukkan bagaimana Yehuwa melindungi umat-Nya pada zaman lampau, dan catatan itu meyakinkan kita bahawa Dia pasti menjaga kita pada masa sekarang.

18 Perhatikan bagaimana Yesaya menggambarkan cara Yehuwa melindungi kita. Dia menyamakan Yehuwa dengan gembala dan umat Tuhan dengan anak-anak bebiri. Yesaya menulis, “Dia akan menghulurkan tangan-Nya untuk mengumpulkan anak-anak bebiri, dan Dia akan mendukung anak-anak bebiri itu.” (Yes. 40:11) Gambaran yang sungguh indah! Semasa merasai dakapan daripada lengan Yehuwa yang perkasa, kita berasa selamat dan tenang. Untuk membantu kita tetap bertenang ketika berdepan dengan masalah, hamba yang setia dan bijaksana telah memilih Yesaya 41:10 sebagai ayat tahunan 2019, “Janganlah risau kerana Akulah Tuhanmu.” Renungkanlah kata-kata itu, supaya anda dikuatkan untuk menghadapi cabaran pada masa hadapan.

LAGU 38 Dia Akan Menguatkanmu

^ per. 5 Ayat tahunan 2019 memberi kita tiga sebab untuk tetap bertenang bahkan semasa timbulnya masalah di dunia atau dalam kehidupan kita. Rencana ini akan mengkaji tiga sebab tersebut dan membantu kita supaya tidak begitu khuatir dan lebih yakin kepada Yehuwa. Renungkanlah ayat tahunan ini. Hafalnya jika dapat. Anda akan dikuatkan untuk menghadapi cabaran pada masa depan.

^ per. 3 MAKSUD UNGKAPAN: Jaminan merupakan pernyataan atau janji bahawa sesuatu pasti terjadi. Jaminan daripada Yehuwa dapat membantu kita agar tidak terlalu risau tentang masalah hidup yang mungkin timbul.

^ per. 4 Ungkapan “Janganlah takut” disebut sebanyak tiga kali di Yesaya 41:10, 13, dan 14. Tiga ayat itu juga sering menyebut perkataan “Aku” (iaitu Yehuwa). Mengapakah Yehuwa mengilhami Yesaya untuk menggunakan perkataan “Aku” begitu banyak kali? Untuk menekankan satu fakta penting: Kita dapat mengatasi ketakutan hanya jika kita yakin kepada Yehuwa.

^ per. 52 KETERANGAN GAMBAR: Ahli-ahli keluarga yang menghadapi cubaan di tempat kerja, masalah kesihatan, cabaran di kawasan penyebaran, dan dugaan di sekolah.

^ per. 54 KETERANGAN GAMBAR: Perjumpaan Saksi-Saksi yang diadakan di rumah diserbu polis, tetapi saudara saudari tidak panik.

^ per. 56 KETERANGAN GAMBAR: Penyembahan Keluarga yang diadakan secara tetap menguatkan kita agar dapat bertabah.