Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 5

Kami Hendak Pergi Bersama-Samamu

Kami Hendak Pergi Bersama-Samamu

“Kami hendak pergi bersama-samamu, kerana kami sudah mendengar bahawa Tuhan menyertai kamu.”​—ZA. 8:23.

LAGU 26 Kamu Melakukannya untukku

PENGENALAN *

Biri-biri lain (“10 orang”) berbesar hati untuk menyembah Yehuwa bersama kaum terurap (“seorang Yahudi”) (Lihat perenggan 1-2)

1. Apakah yang dinubuatkan oleh Yehuwa?

YEHUWA menubuatkan bahawa pada zaman kita, “10 orang daripada semua bangsa dan bahasa akan memegang jubah seorang Yahudi dengan erat sambil berkata, ‘Kami hendak pergi bersama-samamu, kerana kami sudah mendengar bahawa Tuhan menyertai kamu.’” (Za. 8:23) “Seorang Yahudi” itu melambangkan orang yang diurapi kuasa suci Tuhan. Mereka juga dipanggil “Israel milik Tuhan.” (Gal. 6:16) “Sepuluh orang” itu pula melambangkan orang yang diberi harapan untuk hidup kekal di bumi. Mereka tahu bahawa Yehuwa telah memilih kaum terurap, dan mereka berbesar hati untuk menyembah Tuhan bersama kaum terurap.

2. Bagaimanakah “10 orang” itu ‘pergi bersama-sama’ kaum terurap?

2 Adalah mustahil untuk mengetahui nama setiap orang Kristian terurap di bumi. * Walaupun begitu, orang yang diberi harapan untuk hidup di bumi masih dapat ‘pergi bersama-sama’ mereka. Bagaimana? Bible menyatakan bahawa “10 orang” itu akan “memegang jubah seorang Yahudi dengan erat sambil berkata, ‘Kami hendak pergi bersama-samamu, kerana kami sudah mendengar bahawa Tuhan menyertai kamu.’” Dalam ayat ini, Bible menyebut tentang seorang Yahudi, tetapi perkataan “kamu” juga boleh merujuk kepada lebih daripada satu orang. Jadi, “seorang Yahudi” melambangkan semua kaum terurap. Maka, 10 orang itu ‘pergi bersama-sama’ dengan seorang Yahudi bermaksud orang Kristian yang tidak diurapi akan menyembah Yehuwa bersama-sama orang Kristian terurap. Namun, mereka tidak menganggap kaum terurap sebagai pemimpin, kerana mereka sedar bahawa Yesus ialah Pemimpin mereka.​—Mat. 23:10.

3. Apakah soalan-soalan yang akan dijawab dalam rencana ini?

3 Memandangkan kaum terurap masih ada dalam kalangan umat Tuhan, sesetengah orang mungkin tertanya-tanya: (1) Bagaimanakah orang Kristian terurap harus memandang diri sendiri? (2) Bagaimanakah kita patut melayan orang yang makan roti dan minum wain semasa Peringatan? (3) Haruskah kita risau jika bilangan mereka semakin bertambah? Rencana ini akan menjawab soalan-soalan tersebut.

BAGAIMANAKAH ORANG KRISTIAN TERURAP HARUS MEMANDANG DIRI SENDIRI?

4. Apakah amaran di 1 Korintus 11:27-29 yang patut direnungkan oleh kaum terurap, dan mengapa?

4 Kaum terurap harus merenungkan amaran di 1 Korintus 11:27-29. (Baca.) Jika seorang Kristian terurap tidak hidup menurut prinsip Yehuwa yang benar, dia “tidak layak” makan roti dan minum wain semasa Peringatan. (Ibr. 6:4-6; 10:26-29) Maka, kaum terurap sedar bahawa mereka mesti tetap setia, barulah mereka akan “menerima hadiah” yang diberikan oleh Tuhan melalui Kristus Yesus, iaitu “kehidupan di syurga.”​—Flp. 3:13-16.

5. Bagaimanakah orang Kristian terurap patut memandang diri sendiri?

5 Kuasa suci Yehuwa membantu hamba-hamba-Nya bersikap rendah hati, bukan sombong. (Ef. 4:1-3; Kol. 3:10, 12) Jadi, kaum terurap tidak menganggap diri lebih baik daripada orang lain. Mereka tahu bahawa mereka tidak semestinya mendapat lebih banyak kuasa suci Tuhan berbanding penyembah Yehuwa yang lain. Mereka tidak berfikir bahawa mereka lebih memahami kebenaran Bible berbanding orang lain. Mereka juga tidak akan memberitahu seorang rakan seiman, “Kamu pun diurapi. Jadi kamu patut mula makan roti dan minum wain semasa Peringatan.” Dengan rendah hati, mereka mengakui bahawa hanya Yehuwa yang boleh memberi seseorang jemputan untuk pergi ke syurga.

6. Menurut 1 Korintus 4:7, 8, bagaimanakah seharusnya kelakuan orang Kristian terurap?

6 Orang Kristian terurap berbesar hati kerana dijemput ke syurga, tetapi mereka tidak mengharapkan layanan istimewa. (Flp. 2:2, 3) Mereka juga tahu bahawa semasa Yehuwa mengurapi mereka, Dia tidak menghebohkan perkara itu. Jadi seorang Kristian terurap tidak berasa hairan jika orang lain tidak segera percaya bahawa dia telah diurapi, kerana Bible menasihati kita agar jangan cepat mempercayai seseorang yang berkata bahawa Tuhan sudah memberinya tugasan istimewa. (Why. 2:2) Orang Kristian terurap tidak ingin menarik perhatian kepada diri sendiri. Jadi, semasa memperkenalkan diri, mereka tidak akan memberitahu orang bahawa mereka diurapi, dan sudah pasti mereka tidak akan bermegah tentang hal itu.​—Baca 1 Korintus 4:7, 8.

7. Apakah yang tidak akan dilakukan orang Kristian terurap? Mengapa?

7 Orang Kristian terurap tidak berfikir bahawa mereka hanya patut meluangkan masa bersama kaum terurap lain, seolah-olah mereka ialah ahli dalam sebuah kelab istimewa. Mereka tidak mencari kaum terurap lain untuk membincangkan bagaimana mereka diurapi atau membentuk kumpulan pembelajaran Bible yang khas. (Gal. 1:15-17) Jika mereka berbuat demikian, sidang tidak akan bersatu. Perbuatan mereka juga bertentangan dengan kuasa suci Tuhan, yang membantu menjaga perpaduan dan kedamaian umat Tuhan.​—Rm. 16:17, 18.

BAGAIMANAKAH KITA PATUT MELAYAN KAUM TERURAP?

Kita tidak patut melayan kaum terurap atau sesiapa yang mengambil pimpinan seperti selebriti (Lihat perenggan 8) *

8. Mengapakah kita harus berhati-hati dengan cara kita melayan orang yang makan roti dan minum wain semasa Peringatan? (Lihat juga nota kaki.)

8 Bagaimanakah kita patut melayan saudara saudari yang terurap? Kita tidak patut terlampau menyanjung seseorang, walaupun orang itu ialah saudara Kristus yang terurap. (Mat. 23:8-12) Bible menggalakkan kita untuk meniru iman para penatua, tetapi Bible tidak menyuruh kita untuk menjadikan manusia sebagai pemimpin kita. (Ibr. 13:7) Bible juga menyatakan bahawa sesetengah orang “layak untuk menerima lebih banyak penghormatan,” tetapi hal ini kerana mereka “mengambil pimpinan dengan cara yang baik” dan “bekerja keras untuk mengajar,” bukan kerana mereka ialah kaum terurap. (1 Tim. 5:17) Jika kita memberi kaum terurap terlalu banyak pujian dan perhatian, mereka mungkin berasa tidak selesa. * Lebih teruk lagi, kita mungkin menyebabkan mereka menjadi sombong. (Rm. 12:3) Sudah pasti kita tidak ingin melakukan apa-apa yang akan membuat saudara terurap Kristus menjadi angkuh!​—Luk. 17:2.

9. Bagaimanakah kita menunjukkan hormat kepada orang Kristian terurap?

9 Bagaimanakah kita dapat menunjukkan hormat kepada orang yang diurapi Yehuwa? Kita tidak akan menanya mereka bagaimana mereka diurapi. Itu merupakan hal peribadi, dan kita tidak berhak mengetahuinya. (1 Tes. 4:11; 2 Tes. 3:11) Kita juga tidak patut menyangka bahawa suami atau isteri, ibu bapa, atau ahli keluarga mereka juga kaum terurap. Ingatlah, harapan untuk pergi ke syurga tidak diwarisi, tetapi diberikan oleh Tuhan. (1 Tes. 2:12) Kita juga tidak patut menanyakan soalan yang dapat membuat mereka sakit hati. Contohnya, kita tidak akan bertanya kepada isteri seorang saudara terurap tentang perasaannya apabila dia harus hidup di bumi buat selama-lamanya tanpa suaminya. Kita yakin sepenuhnya bahawa dalam dunia baharu, Yehuwa akan “memuaskan keinginan semua makhluk hidup.”​—Mzm. 145:16.

10. Apakah manfaatnya jika kita tidak meninggi-ninggikan orang lain?

10 Jika kita tidak meninggi-ninggikan kaum terurap, hal itu dapat melindungi kita. Bagaimana? Bible menyatakan bahawa sesetengah orang Kristian terurap mungkin menjadi tidak setia. (Mat. 25:10-12; 2 Ptr. 2:20, 21) Jadi, jika kita tidak meninggi-ninggikan orang lain, kita tidak akan menjadi pengikut manusia, biarpun mereka diurapi, dikenali ramai, atau sudah lama menyembah Yehuwa. Dengan itu, walaupun mereka menjadi tidak setia atau meninggalkan sidang, kita masih akan beriman kepada Yehuwa dan terus menyembah-Nya.

PATUTKAH KITA RISAU TENTANG JUMLAH MEREKA?

11. Apakah yang diperhatikan berkenaan jumlah orang yang makan roti dan minum wain semasa Peringatan?

11 Selama bertahun-tahun, jumlah orang yang makan roti dan minum wain semasa Peringatan semakin berkurang. Namun, dalam beberapa tahun ini, jumlahnya semakin meningkat. Patutkah kita risau tentang hal itu? Tidak. Mari kita lihat beberapa sebabnya.

12. Mengapakah kita tidak patut risau tentang jumlah orang yang makan roti dan minum wain semasa Peringatan?

12 “Yehuwa mengenal mereka yang merupakan milik-Nya.” (2 Tim. 2:19) Tidak seperti Yehuwa, saudara yang mengira jumlah orang yang makan roti dan minum wain semasa Peringatan tidak tahu siapa yang benar-benar diurapi. Maka, angka yang dilaporkan merangkumi orang yang menganggap diri diurapi tetapi sebenarnya tidak. Contohnya, ada yang dahulunya makan roti dan minum wain, tetapi kemudiannya berhenti. Yang lain pula ada masalah mental atau emosi, dan percaya bahawa mereka akan memerintah bersama Kristus di syurga. Jadi, kita tidak tahu secara tepat jumlah kaum terurap yang masih berada di bumi.

13. Adakah Bible menyatakan bilangan kaum terurap yang akan berada di bumi semasa kesengsaraan besar bermula?

13 Kaum terurap akan berada di merata tempat semasa Yesus datang untuk membawa mereka ke syurga. (Mat. 24:31) Bible menyatakan bahawa pada hari-hari terakhir, sebilangan kecil kaum terurap akan berada di bumi. (Why. 12:17) Tetapi Bible tidak memberitahu kita bilangan kaum terurap yang akan berada di bumi semasa kesengsaraan besar bermula.

Apakah sepatutnya reaksi kita jika seseorang makan roti dan minum wain semasa Peringatan? (Lihat perenggan 14)

14. Apakah yang kita pelajari daripada Roma 9:11, 16 tentang cara Tuhan memilih kaum terurap?

14 Yehuwa memutuskan bila Dia akan memilih kaum terurap. (Rm. 8:28-30) Yehuwa mula memilih kaum terurap selepas Yesus dibangkitkan. Nampaknya, semua orang Kristian sejati pada abad pertama telah diurapi. Pada abad-abad berikutnya, kebanyakan orang yang mengaku diri Kristian sebenarnya tidak mengikut Kristus. Meskipun begitu, terdapat segelintir orang Kristian sejati yang diurapi Yehuwa. Yesus berkata bahawa mereka bagaikan gandum yang tumbuh di antara lalang. (Mat. 13:24-30) Sepanjang hari-hari terakhir, Yehuwa masih memilih orang untuk menjadi sebahagian daripada 144,000 orang terurap. * Jika Tuhan ingin memilih sesetengah kaum terurap sejurus sebelum akhir tiba, kita tidak akan mempersoalkan kebijaksanaan-Nya. (Baca Roma 9:11, 16.) * Kita mesti berhati-hati agar tidak menjadi seperti para pekerja yang digambarkan oleh Yesus. Mereka bersungut-sungut kerana tidak puas hati dengan cara tuan mereka melayan pekerja yang bekerja satu jam sahaja.​—Mat. 20:8-15.

15. Adakah semua kaum terurap merupakan “hamba yang setia dan bijaksana” yang disebut di Matius 24:45-47? Jelaskan.

15 Bukan semua orang yang diberi harapan untuk tinggal di syurga merupakan “hamba yang setia dan bijaksana.” (Baca Matius 24:45-47.) Seperti yang berlaku pada abad pertama, Yehuwa dan Yesus menggunakan beberapa orang saudara untuk mengajar ramai orang pada hari ini. Pada abad pertama, hanya beberapa orang Kristian terurap digunakan untuk menulis Kitab Yunani Kristian. Begitu juga, pada zaman ini, hanya beberapa orang Kristian terurap bertanggungjawab memberi umat Tuhan “makanan pada masa yang sesuai.”

16. Apakah yang telah anda pelajari daripada rencana ini?

16 Apakah yang telah kita pelajari dalam rencana ini? Yehuwa telah memutuskan untuk memberikan kehidupan kekal di bumi kepada kebanyakan umat-Nya, dan memberikan kehidupan di syurga kepada sesetengah orang yang akan memerintah bersama Yesus. Yehuwa akan memberikan ganjaran kepada semua hamba-Nya, tidak kira mereka tergolong sebagai “seorang Yahudi” atau “10 orang.” Dia menghendaki mereka mematuhi hukum yang sama dan tetap setia. Mereka semua mesti terus rendah hati, bersatu padu, menyembah-Nya bersama-sama, dan berusaha memelihara kedamaian dalam sidang. Apabila akhir semakin dekat, semoga kita semua terus menyembah Yehuwa dan mengikut Kristus sebagai “satu kawanan.”​—Yoh. 10:16.

^ per. 5 Tahun ini, Peringatan kematian Kristus jatuh pada hari Selasa, 7 April. Bagaimanakah kita patut memandang orang yang makan roti dan minum wain semasa Peringatan? Haruskah kita risau jika bilangan orang yang berbuat demikian terus bertambah? Kita akan menemui jawapannya dalam rencana ini, yang berdasarkan rencana dalam Menara Pengawal terbitan Januari 2016.

^ per. 2 Menurut Mazmur 87:5, 6, pada masa depan, Tuhan mungkin memberitahu kita nama semua orang yang memerintah bersama Yesus di syurga.​—Rm. 8:19.

^ per. 8 Lihat kotak “Kasih ‘Tidak Bersikap Biadab’” dalam Menara Pengawal terbitan Januari 2016.

^ per. 14 Kisah 2:33 menyatakan bahawa kuasa suci dicurahkan melalui Yesus, tetapi Yehuwalah yang sebenarnya memilih kaum terurap.

^ per. 14 Untuk maklumat lanjut, lihat Pertanyaan Pembacadalam Menara Pengawal bahasa Indonesia, terbitan 1 Mei 2007.

LAGU 34 Berjalan di Haluan yang Benar

^ per. 56 KETERANGAN GAMBAR: Bayangkan jika wakil ibu pejabat dan isterinya dikerumuni ramai orang yang asyik ingin mengambil gambar mereka di konvensyen. Perbuatan yang tidak menunjukkan hormat!