Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 4

‘Kuasa Suci Tuhan Memberikan Kesaksian’

‘Kuasa Suci Tuhan Memberikan Kesaksian’

“Kuasa suci Tuhan dan hati kita bersama-sama memberikan kesaksian bahawa kita ialah anak-anak Tuhan.”​—RM. 8:16.

LAGU 25 Umat Milik Tuhan

PENGENALAN *

Pada Pentakosta, Yehuwa mencurahkan kuasa suci-Nya dalam cara yang luar biasa ke atas kira-kira 120 orang Kristian (Lihat perenggan 1-2)

1-2. Apakah peristiwa luar biasa yang berlaku pada hari Pentakosta 33 M?

PADA pagi Ahad, hari Pentakosta tahun 33 M, kira-kira 120 orang murid Yesus berkumpul dalam sebuah bilik di tingkat atas. (Kis. 1:13-15; 2:1) Beberapa hari sebelum itu, Yesus telah menyuruh mereka agar terus berada di Yerusalem, kerana mereka bakal menerima pemberian yang istimewa. (Kis. 1:4, 5) Apakah yang berlaku seterusnya?

2 “Tiba-tiba kedengaran bunyi dari langit seperti tiupan angin kencang.” Bunyi itu memenuhi seluruh rumah. Selepas itu, “sesuatu seperti lidah-lidah api” hinggap di atas kepala setiap orang, lalu mereka semua “dipenuhi dengan kuasa suci Tuhan.” (Kis. 2:2-4) Melalui cara yang luar biasa itu, Yehuwa mencurahkan kuasa sucinya ke atas kumpulan tersebut. (Kis. 1:8) Merekalah orang pertama yang diurapi kuasa suci Tuhan * dan diberi harapan untuk memerintah bersama Yesus di syurga.

APAKAH YANG BERLAKU SEMASA SESEORANG DIURAPI?

3. Mengapakah murid-murid Yesus yang berkumpul pada Pentakosta 33 M amat yakin bahawa mereka diurapi kuasa suci Tuhan?

3 Jika anda ialah salah seorang murid Yesus yang berkumpul pada Pentakosta 33 M, anda pasti tidak akan melupakan peristiwa itu. Sesuatu seperti lidah api hinggap di atas kepala anda, lalu anda mula bertutur dalam bahasa asing! (Kis. 2:5-12) Anda tentu tidak akan mempersoalkan sama ada anda diurapi atau tidak. Namun, adakah semua orang Kristian terurap diurapi dalam cara yang sama dan pada waktu yang sama? Tidak. Bagaimanakah kita tahu?

4. Adakah semua orang Kristian terurap pada abad pertama diurapi pada waktu yang sama dalam kehidupan mereka? Jelaskan.

4 Sila fikirkan waktu seseorang diurapi. Selepas 120 orang murid Yesus diurapi pada Pentakosta 33 M, kira-kira 3,000 orang lain juga menerima kuasa suci Tuhan pada hari yang sama. Mereka diurapi semasa dibaptis. (Kis. 2:37, 38, 41) Tetapi dalam tahun-tahun berikutnya, bukan semua orang Kristian terurap diurapi semasa mereka dibaptis. Contohnya, orang Samaria telah diurapi beberapa waktu selepas dibaptis. (Kis. 8:14-17) Kornelius dan rumah tangganya pula telah diurapi bahkan sebelum dibaptis!​—Kis. 10:44-48.

5. Menurut 2 Korintus 1:21, 22, apakah yang berlaku semasa seseorang diurapi kuasa suci Tuhan?

5 Fikirkan juga apa yang berlaku semasa seseorang diurapi kuasa suci Tuhan. Pada mulanya sesetengah orang Kristian terurap berasa susah untuk percaya bahawa Yehuwa telah memilih mereka. Mereka mungkin tertanya-tanya, “Mengapakah Tuhan pilih saya?” Yang lain pula mungkin tidak berasa begitu. Tidak kira apa pun reaksi mereka, Paulus menjelaskan apa yang berlaku kepada semua orang Kristian terurap: “Selepas kamu percaya, Tuhan telah memeterai * kamu melalui Kristus dengan menggunakan kuasa suci yang dijanjikan-Nya itu. Kuasa suci itu merupakan jaminan bahawa kita akan menerima warisan yang dijanjikan-Nya.” (Ef. 1:13, 14; nota kaki) Melalui kuasa suci-Nya, Yehuwa menyatakan dengan jelas sekali kepada orang Kristian terurap bahawa Dia sudah memilih mereka. Kuasa suci-Nya merupakan “jaminan” atau janji bahawa pada masa depan, mereka akan hidup kekal di syurga dan bukannya di bumi.​—Baca 2 Korintus 1:21, 22.

6. Apakah yang mesti dilakukan oleh seorang Kristian terurap untuk menerima ganjarannya?

6 Jika seorang Kristian diurapi, adakah itu bermaksud dia pasti akan pergi ke syurga? Tidak. Walaupun dia yakin bahawa dia telah dipilih, dia masih perlu ingat akan nasihat ini: “Saudara-saudara, sebagai orang yang sudah dipanggil dan dipilih oleh Tuhan, berusahalah dengan lebih bersungguh-sungguh lagi agar kamu tetap setia. Jika kamu terus melakukan hal-hal ini, kamu tidak akan gagal sama sekali.” (2 Ptr. 1:10) Jadi, biarpun seorang Kristian yang terurap telah dipanggil atau dipilih oleh Tuhan untuk pergi ke syurga, dia hanya akan menerima ganjaran itu jika dia tetap setia.​—Flp. 3:12-14; Ibr. 3:1; Why. 2:10.

BAGAIMANAKAH SESEORANG TAHU BAHAWA DIA DIURAPI?

7. Bagaimanakah orang Kristian terurap tahu bahawa mereka dipilih untuk pergi ke syurga?

7 Bagaimanakah seseorang tahu bahawa dia dipilih untuk pergi ke syurga? Jawapannya terdapat dalam kata-kata Paulus kepada orang Kristian di Roma yang ‘dipanggil untuk menjadi umat Tuhan yang suci.’ Dia berkata, “Kuasa suci Tuhan tidak menjadikan kita hamba atau menyebabkan kita berasa takut sekali lagi. Tetapi melalui kuasa suci-Nya, kita dijadikan anak-anak Tuhan. Lalu kuasa suci Tuhan menggerakkan kita untuk berseru, ‘Abba, Bapa!’ Kuasa suci Tuhan dan hati kita bersama-sama memberikan kesaksian bahawa kita ialah anak-anak Tuhan.” (Rm. 1:7; 8:15, 16) Ya, melalui kuasa suci-Nya, Tuhan menyatakan dengan jelas kepada kaum terurap bahawa mereka telah dipilih untuk pergi ke syurga.​—1 Tes. 2:12.

8. Bagaimanakah 1 Yohanes 2:20, 27 menunjukkan bahawa orang Kristian terurap tidak memerlukan orang lain untuk meyakinkan mereka bahawa mereka telah diurapi?

8 Yehuwa telah memastikan agar orang Kristian terurap tidak ada sebarang keraguan bahawa mereka telah dipilih untuk pergi ke syurga. (Baca 1 Yohanes 2:20, 27.) Sudah tentu, seperti orang Kristian lain, mereka perlu diajar oleh Yehuwa melalui sidang. Tetapi mereka tidak memerlukan orang lain untuk meyakinkan mereka bahawa mereka sudah diurapi. Yehuwa telah menggunakan kuasa yang terbesar di alam semesta, iaitu kuasa suci-Nya, untuk memberikan kepastian yang sepenuhnya bahawa mereka sudah diurapi!

MEREKA “DILAHIRKAN SEMULA”

9. Menurut Efesus 1:18, apakah perubahan yang berlaku semasa seseorang diurapi?

9 Kebanyakan hamba Tuhan hari ini mungkin tidak memahami apa yang berlaku semasa seseorang diurapi. Hal ini memang biasa, kerana mereka tidak pernah mengalaminya. Tuhan menciptakan manusia untuk hidup kekal di bumi, bukan di syurga. (Kej. 1:28; Mzm. 37:29) Namun, Tuhan telah memilih sebilangan orang untuk hidup di syurga. Jadi, apabila Tuhan mengurapi mereka, Dia akan mengubah harapan dan fikiran mereka supaya mereka menanti-nantikan kehidupan di syurga.​—Baca Efesus 1:18.

10. Apakah maksud “dilahirkan semula”? (Lihat juga nota kaki.)

10 Semasa orang Kristian diurapi oleh kuasa suci Tuhan, mereka “dilahirkan semula,” atau “dilahirkan dari atas.” * Yesus sendiri menyatakan bahawa memang susah untuk menjelaskan kepada orang yang tidak diurapi bagaimana rasanya “dilahirkan semula” atau “dilahirkan daripada kuasa suci Tuhan.”​—Yoh. 3:3-8; nota kaki.

11. Bagaimanakah fikiran seseorang berubah semasa dia diurapi? Jelaskan.

11 Bagaimanakah fikiran orang Kristian terurap berubah? Sebelum diurapi, mereka menanti-nantikan harapan kehidupan kekal di bumi. Mereka tidak sabar-sabar untuk melihat Yehuwa melenyapkan segala kejahatan dan menjadikan bumi ini firdaus. Mereka mungkin membayangkan masanya mereka menyambut ahli keluarga atau sahabat yang dibangkitkan. Tetapi selepas diurapi, fikiran mereka berubah. Mengapa? Adakah mereka tidak lagi puas dengan harapan di bumi? Adakah mereka mengubah fikiran kerana mereka menderita atau berasa tertekan? Adakah mereka tiba-tiba berasa bahawa hidup kekal di bumi sangat membosankan? Tidak. Sebaliknya, Yehuwa telah menggunakan kuasa suci-Nya untuk mengubah cara mereka berfikir dan harapan yang dekat di hati mereka.

12. Menurut 1 Petrus 1:3, 4, apakah perasaan orang Kristian terurap tentang harapan mereka?

12 Seseorang yang diurapi mungkin berasa bahawa dia tidak layak menerima penghormatan yang begitu besar. Namun, dia tidak sekali-kali meragui bahawa Yehuwa telah memilihnya. Apabila dia memikirkan harapannya, hatinya melimpah dengan sukacita dan rasa syukur.​—Baca 1 Petrus 1:3, 4.

13. Apakah perasaan orang Kristian terurap tentang kehidupan mereka di bumi?

13 Adakah hal itu bermaksud kaum terurap ingin mati? Rasul Paulus menjawab soalan itu. Dia menyamakan tubuh manusia mereka dengan khemah dan berkata, “Kami mengerang dan menanggung beban yang berat semasa berada di dalam khemah ini. Bukannya kami ingin menanggalkan khemah ini, tetapi kami ingin mengenakan kediaman di syurga, supaya tubuh yang dapat mati digantikan dengan kehidupan kekal.” (2 Kor. 5:4) Orang Kristian terurap tidak berasa bosan dengan kehidupan di bumi dan ingin menamatkannya dengan segera. Sebaliknya, mereka menikmati kehidupan dan ingin menyembah Yehuwa bersama keluarga dan sahabat mereka setiap hari. Namun, mereka sentiasa ingat akan harapan mereka yang indah.​—1 Kor. 15:53; 2 Ptr. 1:4; 1 Yoh. 3:2, 3; Why. 20:6.

ADAKAH YEHUWA MENGURAPI ANDA?

14. Apakah perkara-perkara yang tidak membuktikan bahawa seseorang telah diurapi?

14 Barangkali anda tertanya-tanya sama ada anda diurapi atau tidak. Jika anda berasa sedemikian, fikirkanlah soalan-soalan berikut: Adakah anda memiliki azam yang kuat untuk melakukan kehendak Yehuwa? Adakah anda sangat bersemangat dalam kerja penyebaran? Adakah anda suka mengkaji Bible dan mempelajari “kebijaksanaan Tuhan yang dalam”? (1 Kor. 2:10) Adakah anda berasa bahawa Yehuwa telah memberi anda hasil yang baik dalam kerja penyebaran? Adakah anda berasa bahawa anda mempunyai kewajipan untuk mengajar orang lain tentang Yehuwa? Adakah anda melihat bukti bahawa Yehuwa telah membantu anda melalui pelbagai cara? Jika anda menjawab “ya” kepada soalan-soalan itu, adakah hal itu bermaksud anda sudah dipilih untuk pergi ke syurga? Tidak. Mengapa? Kerana semua hamba Tuhan dapat berasa sedemikian, tidak kira mereka diurapi ataupun tidak. Menerusi kuasa suci-Nya, Yehuwa dapat memberikan kekuatan yang sama kepada semua hamba-Nya, tidak kira apa harapan mereka. Sebenarnya, jika anda tertanya-tanya sama ada anda diurapi atau tidak, hal itu menunjukkan bahawa anda tidak diurapi, kerana orang yang dipilih oleh Yehuwa tidak akan meragui sama ada mereka diurapi atau tidak!

Walaupun Yehuwa memberikan kuasa suci-Nya kepada Abraham, Sara, Daud, dan Yohanes Pembaptis supaya mereka dapat melakukan hal yang luar biasa, Dia tidak menggunakan kuasa suci itu untuk memberi mereka harapan kehidupan di syurga (Lihat perenggan 15-16) *

15. Bagaimanakah kita tahu bahawa bukan semua orang yang menerima kuasa suci Tuhan akan dipilih untuk pergi ke syurga?

15 Dalam Bible, terdapat banyak contoh orang yang menerima kuasa suci Tuhan, tetapi tidak dipilih untuk hidup di syurga. Contohnya, Daud dibimbing oleh kuasa suci Tuhan. (1 Sam. 16:13) Kuasa suci itu membantunya memahami hal-hal yang dalam tentang Yehuwa dan membimbingnya untuk menulis sesetengah buku Bible. (Mrk. 12:36) Meskipun begitu, Rasul Petrus berkata bahawa “Daud tidak naik ke syurga.” (Kis. 2:34) Yohanes Pembaptis juga “dipenuhi kuasa suci Tuhan.” (Luk. 1:13-16) Yesus berkata bahawa tiada manusia yang lebih besar daripada Yohanes, tetapi dia juga berkata bahawa Yohanes tidak akan memerintah di syurga. (Mat. 11:10, 11) Walaupun Yehuwa memberi mereka kuasa suci-Nya supaya mereka dapat melakukan hal yang luar biasa, Dia tidak menggunakan kuasa suci itu untuk memberi mereka harapan kehidupan di syurga. Adakah hal itu bermaksud mereka kurang setia berbanding orang yang akan memerintah di syurga? Tidak. Hal itu bermaksud Yehuwa akan membangkitkan mereka di bumi Firdaus.​—Yoh. 5:28, 29; Kis. 24:15.

16. Apakah harapan kebanyakan hamba Tuhan pada zaman ini?

16 Kebanyakan hamba Tuhan di bumi pada zaman ini tidak diberi harapan untuk hidup di syurga. Seperti Abraham, Sara, Daud, Yohanes Pembaptis, dan ramai lagi lelaki dan wanita pada zaman Bible, mereka menantikan kehidupan di bumi di bawah pemerintahan Kerajaan Tuhan.​—Ibr. 11:10.

17. Apakah soalan-soalan yang akan kita jawab dalam rencana seterusnya?

17 Hari ini, sesetengah kaum terurap masih ada dalam kalangan umat Tuhan. (Why. 12:17) Jadi timbullah soalan-soalan seperti ini: Bagaimanakah kaum terurap harus memandang diri sendiri? Jika seseorang di sidang anda mula makan roti dan minum wain semasa Peringatan, bagaimanakah anda patut melayannya? Jika bilangan orang yang makan roti dan minum wain semasa Peringatan semakin bertambah, patutkah anda berasa risau? Soalan-soalan ini akan dijawab dalam rencana seterusnya.

^ per. 5 Sejak Pentakosta 33 M, Yehuwa telah memberi sebilangan orang Kristian harapan yang menakjubkan untuk memerintah bersama Anak-Nya di syurga. Namun, bagaimanakah orang Kristian itu tahu bahawa mereka telah dipilih untuk pergi ke syurga? Apakah yang berlaku semasa Yehuwa memberi seseorang jemputan itu? Maklumat dalam rencana ini diambil daripada rencana dalam Menara Pengawal Januari 2016, dan akan menjawab soalan-soalan tersebut.

^ per. 2 MAKSUD UNGKAPAN: Diurapi kuasa suci Tuhan: Yehuwa menggunakan kuasa suci-Nya untuk memilih orang Kristian yang akan memerintah bersama Yesus di syurga. Melalui kuasa suci-Nya, Yehuwa memberikan “jaminan” bahawa itulah harapan mereka. (Ef. 1:13, 14) Maka, mereka dapat berkata bahawa kuasa suci Tuhan “memberikan kesaksian,” atau membuktikan kepada mereka bahawa mereka akan menerima ganjaran di syurga.​—Rm. 8:16.

^ per. 5 MAKSUD UNGKAPAN: Meterai. Apa yang dijanjikan melalui meterai ini hanya akan menjadi kenyataan selepas orang yang dimeterai itu tetap setia sampai mati, atau sebelum kesengsaraan besar bermula.​—Ef. 4:30; Why. 7:2-4; lihat “Pertanyaan Pembaca” dalam Menara Pengawal terbitan April 2016.

^ per. 10 Untuk penjelasan lanjut tentang maksud “dilahirkan semula,” lihat Menara Pengawal bahasa Indonesia, terbitan 1 April 2009, ms. 3-12.

LAGU 27 Anak-Anak Tuhan Disingkapkan

^ per. 57 KETERANGAN GAMBAR: Sama ada kita dipenjarakan kerana iman kita atau bebas untuk menginjil dan mengajar, kita dapat menanti-nantikan kehidupan di bumi di bawah pemerintahan Kerajaan Tuhan.