Tahukah Anda?
Bagaimanakah sebuah batu bersurat membuktikan bahawa catatan Bible memang benar?
TERDAPAT sebuah batu bersurat di Muzium Bible Lands di Jerusalem yang bertarikh sekitar tahun 700-600 SM. Batu itu diambil dari sebuah gua yang digunakan sebagai makam, yang terletak tidak jauh dari Hebron di Israel. Tulisan pada batu bersurat itu berbunyi: “Semoga Hagaf anak Hagav dikutuk oleh Yahweh Sabaot.” Bagaimanakah tulisan ini membuktikan bahawa catatan Bible memang benar? Hal ini menunjukkan bahawa pada zaman Bible, nama Tuhan, iaitu Yehuwa, yang ditulis sebagai YHWH dalam bahasa Ibrani kuno, memang dikenali ramai dan sering digunakan dalam kehidupan seharian. Selain itu, pada dinding gua-gua di kawasan itu, terdapat banyak nama Tuhan dan nama orang yang mengandungi nama Tuhan. Nama-nama itu ditulis oleh orang yang bersembunyi atau bertemu di gua-gua itu yang digunakan sebagai makam.
Mengenai tulisan-tulisan tersebut, Dr. Rachel Nabulsi dari Universiti Georgia berkata, “Nama YHWH sering muncul dalam tulisan-tulisan kuno. Maklumat ini sangat berguna. . . . Teks Bible dan tulisan-tulisan itu menunjukkan betapa pentingnya YHWH bagi orang Israel dan Yehuda.” Kata-katanya menyokong catatan Bible yang mengandungi nama Tuhan, yang ditulis sebagai YHWH dalam bahasa Ibrani, yang muncul beribu-ribu kali dalam Bible. Bukan itu sahaja, nama orang pada zaman Bible juga sering mengandungi nama Tuhan.
Ungkapan “Yahweh Sabaot” pada batu bersurat itu bermaksud “Yehuwa, ketua angkatan syurga.” Nampaknya hal ini menunjukkan bahawa pada zaman Bible, selain nama Tuhan, ungkapan “Yehuwa, ketua angkatan syurga” sering digunakan. Sebenarnya, ungkapan ini muncul lebih daripada 240 kali dalam Kitab Ibrani, dan kebanyakannya terdapat dalam buku Yesaya, Yeremia, dan Zakharia.