Adakah Anda Melayan Wanita seperti Yehuwa?
MENYEMBAH Yehuwa bersama saudari-saudari kita yang setia merupakan penghormatan yang istimewa. Kita sangat mengasihi dan menghargai kesetiaan dan kerja keras para saudari! Jadi saudara-saudara, layanlah mereka dengan baik hati, adil, dan penuh hormat. Namun oleh sebab semua manusia tidak sempurna, ada kalanya hal ini susah dilakukan. Sesetengah saudara pula menghadapi cabaran tambahan.
Ada yang dibesarkan dalam budaya di mana lelaki memandang rendah terhadap wanita. Contohnya, Hans, seorang penyelia litar di Bolivia, berkata, “Sesetengah lelaki dibesarkan dalam budaya yang menggalakkan lelaki untuk berasa diri lebih macho a atau lebih baik daripada wanita. Oleh itu, mereka memandang rendah terhadap wanita dan tidak menghormati mereka.” Shengxian, seorang penatua di Taiwan, berkata, “Di kawasan tempat tinggal saya, banyak lelaki berasa bahawa wanita tidak patut memberikan pendapat mereka kepada lelaki. Jika seorang lelaki mendengarkan pendapat wanita, dia mungkin akan dipandang rendah atau dianggap lemah oleh lelaki lain.” Lelaki lain pula menunjukkan prasangka mereka terhadap wanita dalam cara yang tidak ketara. Misalnya, mereka mungkin membuat lawak yang bertujuan untuk merendahkan martabat wanita.
Namun, biarpun seorang lelaki dibesarkan dalam budaya yang menyebabkannya berfikir bahawa martabat lelaki lebih tinggi daripada wanita, dia boleh mengubah pandangannya itu. (Ef. 4:22-24) Dia dapat berbuat demikian dengan meniru teladan Yehuwa. Dalam rencana ini, kita akan membincangkan bagaimana Yehuwa melayan wanita, bagaimana para saudara dapat meniru cara Yehuwa melayan wanita, dan bagaimana para penatua dapat menghormati para saudari dan menjadi teladan bagi sidang.
BAGAIMANAKAH YEHUWA MELAYAN WANITA?
Yehuwa menunjukkan teladan yang sempurna dalam cara melayan wanita. Sebagai Bapa yang berbelas kasihan, Dia amat mengasihi kita semua yang bagaikan anak-anak-Nya. (Yoh. 3:16) Para saudari yang setia adalah seperti anak perempuan yang berharga bagi-Nya. Perhatikan beberapa cara Yehuwa menunjukkan kasih dan hormat terhadap wanita.
Dia melayan wanita dengan adil. Yehuwa menciptakan lelaki dan wanita menurut gambaran-Nya. (Kej. 1:27) Jadi, Yehuwa tidak menciptakan lelaki untuk menjadi lebih bijak atau lebih berbakat daripada wanita. Dia juga tidak lebih mengasihi lelaki berbanding wanita. (2 Taw. 19:7) Sebaliknya, Dia menciptakan lelaki dan wanita dengan kebolehan yang sama untuk memahami kebenaran Bible dan mencerminkan sifat-sifat unggul-Nya. Yehuwa bukan sahaja menghargai kesetiaan lelaki, tetapi juga menghargai kesetiaan wanita. Oleh itu, Dia memberi mereka harapan yang sama, iaitu untuk tinggal di bumi firdaus ataupun berkhidmat sebagai raja dan imam di syurga. (2 Ptr. 1:1) Jelaslah, Yehuwa tidak berat sebelah.
Dia mendengarkan mereka. Yehuwa prihatin terhadap perasaan dan masalah yang dihadapi oleh wanita. Sebagai contoh, Dia mendengar dan menjawab doa Rahel dan Hana. (Kej. 30:22; 1 Sam. 1:10, 11, 19, 20) Yehuwa juga mengilhami penulis Bible untuk mencatatkan kisah di mana lelaki sudi mendengarkan wanita. Misalnya, Abraham mematuhi perintah Yehuwa untuk mendengarkan kata-kata isterinya Sara. (Kej. 21:12-14) Raja Daud juga mendengarkan Abigail, dan bahkan berkata bahawa Yehuwalah yang mengutus Abigail untuk bercakap kepadanya. (1 Sam. 25:32-35) Yesus, yang mencerminkan sifat Bapanya dengan sempurna, juga mendengarkan kata-kata ibunya Maria. (Yoh. 2:3-10) Contoh-contoh ini menunjukkan bahawa satu cara Yehuwa menunjukkan hormat terhadap wanita adalah dengan mendengarkan mereka.
Dia mempercayai mereka. Sebagai contoh, Yehuwa memberi Hawa tanggungjawab untuk membantu suaminya Adam menjaga seluruh bumi. (Kej. 1:28) Dengan berbuat demikian, Yehuwa menunjukkan bahawa Dia tidak memandang rendah terhadapnya, tetapi menganggapnya sebagai pembantu bagi suaminya. Yehuwa juga menggunakan Nabi Debora dan Hulda untuk memberikan nasihat kepada umat-Nya, termasuk hakim dan raja. (Hak. 4:4-9; 2 Raj. 22:14-20) Dewasa ini, Yehuwa menggunakan wanita Kristian untuk melakukan kerja-Nya. Saudari-saudari ini berkhidmat sebagai penyiar, perintis, dan mubaligh. Mereka juga membantu untuk membina, mereka bentuk, dan menyelenggarakan Dewan Perjumpaan dan bangunan Bethel. Yang lain pula berkhidmat di Bethel atau di pejabat penterjemahan. Saudari-saudari ini adalah seperti angkatan tentera yang besar, yang digunakan oleh Yehuwa untuk melaksanakan kehendak-Nya. (Mzm. 68:11) Jelaslah, Yehuwa tidak memandang wanita sebagai orang yang lemah atau tidak berupaya.
BAGAIMANAKAH PARA SAUDARA MENIRU CARA YEHUWA MELAYAN WANITA?
Saudara-saudara, untuk mengetahui sama ada anda meniru cara Yehuwa melayan saudari Kristian atau tidak, periksalah fikiran dan perbuatan anda dengan jujur. Bagaimana? Fikirkan contoh ini: Seorang doktor dapat mengetahui keadaan jantung seseorang dengan menggunakan mesin X-ray. Begitu juga, sahabat baik anda atau Firman Tuhan dapat membantu anda mengenal pasti sikap dan perasaan negatif anda terhadap saudari. Apakah yang harus anda lakukan untuk menerima bantuan sebegini?
Tanyalah sahabat yang baik. (Ams. 18:17) Carilah sahabat yang dapat dipercayai, baik hati, dan bersikap munasabah. Kemudian tanyalah dia soalan seperti, “Apa pendapat kamu tentang cara saya melayan saudari? Adakah mereka rasa dihormati? Adakah apa-apa yang boleh saya perbaiki agar dapat melayan mereka dalam cara yang lebih baik?” Jika sahabat anda memberitahu anda apa yang perlu diperbaiki, janganlah ambil hati. Sebaliknya, buatlah perubahan yang diperlukan.
Kajilah Firman Tuhan. Cara terbaik untuk mengetahui sama ada anda melayan saudari dengan baik atau tidak adalah dengan menggunakan Firman Tuhan untuk memeriksa sikap dan perbuatan anda. (Ibr. 4:12) Semasa mengkaji Bible, anda akan belajar tentang lelaki yang melayan wanita dengan baik dan lelaki yang tidak. Kemudian, anda boleh membandingkan perbuatan mereka dengan perbuatan anda. Selain itu, janganlah hanya membaca satu ayat Bible lalu membuat kesimpulan yang salah tentang wanita. Sebagai contoh, menurut 1 Petrus 3:7, seorang isteri digambarkan sebagai “bejana yang lebih lemah.” b Adakah ini bermaksud bahawa wanita lebih rendah martabatnya, kurang bijak, atau tidak cekap? Tidak sama sekali! Jika anda membandingkan kata-kata Petrus dengan apa yang dinyatakan di Galatia 3:26-29, anda akan belajar bahawa Yehuwa telah memilih wanita dan lelaki untuk memerintah bersama-sama Yesus di syurga. Apabila anda mengkaji Firman Tuhan dan menanya sahabat yang baik tentang cara anda melayan wanita, anda dapat belajar cara yang betul untuk menunjukkan hormat kepada para saudari.
BAGAIMANAKAH PARA PENATUA MENUNJUKKAN HORMAT TERHADAP PARA SAUDARI?
Saudara-saudara dalam sidang dapat belajar cara untuk menghormati para saudari melalui teladan para penatua yang pengasih. Bagaimanakah para penatua dapat menunjukkan hormat terhadap para saudari? Perhatikan beberapa cara spesifik berikut.
Mereka memuji para saudari. Para penatua boleh meniru teladan Rasul Paulus. Dalam suratnya kepada sidang di Roma, dia telah memuji beberapa orang saudari. (Rm. 16:12) Saudari-saudari ini pasti gembira semasa surat itu dibacakan kepada sidang! Begitu juga, para penatua boleh memuji sifat-sifat baik dan kerja keras para saudari untuk Yehuwa. Dengan demikian, para saudari dapat merasai bahawa mereka dihormati dan dihargai dalam sidang. Barangkali, kata-kata galakan daripada penatua ialah apa yang diperlukan oleh para saudari untuk terus menyembah Yehuwa dengan setia.—Ams. 15:23.
Para penatua digalakkan untuk memuji para saudari dengan ikhlas dan spesifik. Mengapa? Seorang saudari yang bernama Jessica berkata, “Memang bagus semasa saudara berkata kepada saudari, ‘Syabas!’ Namun kami lebih digalakkan jika pujiannya spesifik. Contohnya, ‘terima kasih kerana mengajar anak-anak untuk duduk diam semasa perjumpaan,’ atau, ‘terima kasih kerana sudi mengorbankan masa untuk membawa pelajar Bible dari jauh untuk menghadiri perjumpaan.’” Apabila para penatua memuji saudari-saudari secara spesifik, mereka akan berasa diperlukan dan dihargai.
Mereka mendengarkan para saudari. Penatua yang rendah hati sedar bahawa para saudari juga dapat memberi cadangan yang baik. Oleh itu, mereka menjemput saudari untuk mengongsi pendapat mereka dan mendengar dengan teliti semasa mereka bercakap. Dengan berbuat demikian, para penatua menggalakkan saudari-saudari dan mereka sendiri pun meraih manfaat. Gerardo, seorang penatua yang berkhidmat di Bethel, berkata, “Saya mendapati bahawa apabila saya meminta cadangan daripada para saudari, idea-idea mereka membantu saya untuk melaksanakan kerja saya dengan lebih baik. Selalunya, mereka lebih berpengalaman daripada kebanyakan saudara.” Di dalam sidang, ramai saudari berkhidmat sebagai perintis. Maka, mereka ada lebih banyak pengetahuan tentang orang di kawasan menginjil. Seorang penatua yang bernama Bryan berkata, “Saudari-saudari kami dapat banyak membantu organisasi Yehuwa. Janganlah mensia-siakan pengalaman mereka!”
Penatua yang bijak tidak akan meremehkan cadangan saudari. Mengapa? Seorang penatua yang bernama Edward berkata, “Pendapat dan pengalaman saudari dapat membantu seorang saudara untuk memahami sesuatu dengan lebih mendalam, dan membantunya memupuk empati.” (Ams. 1:5) Biarpun cadangan yang diberikan oleh seorang saudari tidak digunakan, ucapkanlah terima kasih kerana mengongsi pengalaman dan pemerhatiannya.
Mereka melatih para saudari. Penatua yang bijak akan mencari peluang untuk melatih saudari. Sebagai contoh, mereka dapat mengajar saudari cara untuk mengendalikan perjumpaan sebelum kerja penyebaran jika tiada saudara yang terbaptis. Mereka boleh melatih para saudari untuk menggunakan peralatan atau mengendalikan mesin supaya mereka dapat membantu dalam kerja pembinaan dan penyelenggaraan teokratik. Di Bethel, para penyelia dapat melatih saudari untuk menjalankan pelbagai kerja, seperti kerja penyelenggaraan, membeli barang, membuat akaun, programming, dan sebagainya. Dengan melatih saudari, para penatua menunjukkan bahawa mereka memandang saudari sebagai orang yang cekap dan boleh dipercayai.
Banyak saudari menggunakan latihan yang mereka terima daripada penatua untuk membantu orang lain. Sebagai contoh, sesetengah saudari menggunakan kemahiran yang mereka terima dalam kerja pembinaan untuk membantu orang lain membina semula rumah mereka yang rosak akibat bencana. Yang lain pula menggunakan kemahiran yang mereka belajar semasa membuat kesaksian awam untuk melatih lebih banyak saudari agar mereka juga dapat menyertai kesaksian ini. Apakah perasaan saudari terhadap para penatua yang melatih mereka? Seorang saudari yang bernama Jennifer berkata, “Semasa saya membantu dalam satu projek pembinaan Dewan Perjumpaan, seorang penyelia meluangkan masa untuk melatih saya. Dia melihat kerja yang saya lakukan dan dia memuji saya. Saya suka bekerja dengan saudara ini kerana saya rasa dihargai dan dipercayai.”
MANFAAT MELAYAN SAUDARI SEPERTI AHLI KELUARGA SENDIRI
Para saudara, seperti Yehuwa, anda tentu mengasihi saudari-saudari yang setia dan ingin melayan mereka seperti ahli keluarga sendiri. (1 Tim. 5:1, 2) Anda pasti berbangga dan gembira kerana dapat berkhidmat bersama mereka, dan anda juga gembira apabila mereka merasai kasih dan sokongan anda. Seorang saudari yang bernama Vanessa berkata, “Saya bersyukur kepada Yehuwa kerana dapat menjadi sebahagian daripada organisasi-Nya yang ada banyak saudara yang menggalakkan.” Seorang saudari di Taiwan berkata, “Saya bersyukur kepada Yehuwa dan organisasi-Nya kerana menghargai wanita dan perasaan kami. Hal ini menguatkan iman saya dan membuat saya lebih menghargai peluang untuk menjadi sebahagian daripada organisasi Yehuwa.”
Yehuwa pasti bangga apabila Dia melihat para saudara Kristian yang setia melayan wanita sepertimana Dia melayan mereka! (Ams. 27:11) Benjamin, seorang penatua dari Scotland, berkata, “Dunia hari ini penuh dengan orang yang tidak menghormati wanita. Jadi semasa wanita datang ke Dewan Perjumpaan, kami mahu mereka merasai perbezaan antara cara kami melayan mereka dengan cara dunia melayan mereka.” Semoga kita semua meniru teladan Yehuwa dan melayan para saudari dengan penuh kasih dan hormat yang mendalam.—Rm. 12:10.
a Istilah “macho” menggambarkan lelaki yang suka menunjuk-nunjuk dan berasa diri sangat gagah perkasa. Lelaki sebegini mengagung-agungkan pemikiran dan sifat kelelakian dan suka memandang rendah terhadap wanita.
b Untuk penjelasan lanjut bagi ungkapan “bejana yang lebih lemah,” lihat rencana yang bertajuk “Nilai ‘Bejana yang Lebih Lemah’” dalam Menara Pengawal bahasa Indonesia terbitan 15 Mei 2006, dan rencana “Bimbingan yang Bijaksana bagi Pasangan Suami Istri” dalam Menara Pengawal bahasa Indonesia terbitan 1 Mac 2005.