Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 2

LAGU 19 Perjamuan Malam Tuan

Sudahkah Anda Bersedia bagi Hari yang Terpenting untuk Tahun Ini?

Sudahkah Anda Bersedia bagi Hari yang Terpenting untuk Tahun Ini?

“Teruslah melakukan hal ini untuk mengenang aku.”LUK. 22:19.

FOKUS

Kita akan bincang mengapa Peringatan sangat istimewa, bagaimana kita dapat bersedia bagi sambutan ini, dan bagaimana kita dapat membantu orang lain untuk menghadirinya.

1. Mengapakah sambutan Peringatan ialah hari yang terpenting dalam setahun? (Lukas 22:​19, 20)

 BAGI umat Yehuwa, Peringatan kematian Kristus ialah hari yang terpenting dalam setahun. Itulah satu-satunya perayaan yang Yesus suruh pengikutnya untuk sambut. (Baca Lukas 22:​19, 20.) Ada banyak sebab kita menanti-nantikan sambutan Peringatan. Perhatikan beberapa sebab berikut.

2. Mengapakah sambutan Peringatan sangat istimewa bagi kita?

2 Sambutan Peringatan memberi kita peluang untuk merenungkan betapa berharganya korban tebusan Yesus. Kita diingatkan tentang bagaimana kita dapat menunjukkan penghargaan bagi pengorbanan Yesus. (2 Kor. 5:​14, 15) Kita juga berpeluang untuk menggalakkan satu sama lain. (Rm. 1:12) Setiap tahun, sebilangan orang yang tidak aktif menghadiri Peringatan. Ada yang bahkan tergerak untuk kembali kepada Yehuwa kerana sambutan mesra yang diterima oleh mereka. Banyak orang yang baharu sangat kagum dengan apa yang mereka nampak dan dengar sehingga mula belajar Bible. Maka tidak hairanlah Peringatan sangat istimewa bagi kita semua!

3. Bagaimanakah Peringatan menyatupadukan Saksi-Saksi Yehuwa di seluas dunia? (Lihat juga gambar.)

3 Sambutan Peringatan juga menyatupadukan Saksi-Saksi Yehuwa di seluas dunia. Dalam masa 24 jam, seraya matahari terbenam dari satu negara ke negara lain, kita semua akan mengadakan sambutan Peringatan dalam cara yang sama. Kita akan mendengar ceramah yang menjelaskan pentingnya korban tebusan, menyanyikan dua lagu pujian, mengedarkan roti dan wain, dan berkata “amin” dengan ikhlas pada hujung empat doa. Semasa Yehuwa dan Yesus melihat kita memuliakan mereka dengan bersatu padu dalam cara ini, mereka pasti sangat gembira!

Peringatan menyatupadukan saudara saudari di seluas dunia (Lihat perenggan 3) f


4. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

4 Dalam rencana ini, kita akan membincangkan soalan-soalan berikut: Bagaimanakah kita dapat mempersiapkan hati kita untuk menyambut Peringatan? Bagaimanakah kita dapat membantu orang lain untuk meraih manfaat daripada sambutan ini? Bagaimanakah kita dapat membantu mereka yang tidak aktif? Jawapannya akan membantu kita bersedia untuk hari yang suci ini.

BAGAIMANAKAH KITA DAPAT MEMPERSIAPKAN HATI KITA UNTUK MENYAMBUT PERINGATAN?

5. (a) Mengapakah kita harus merenungkan nilai korban tebusan? (Mazmur 49:​7, 8) (b) Apakah yang telah anda pelajari daripada video Mengapakah Yesus Mati?

5 Salah satu cara terpenting kita dapat mempersiapkan hati kita untuk menyambut Peringatan adalah dengan merenungkan nilai korban tebusan Yesus Kristus. Adalah mustahil bagi kita untuk membebaskan diri daripada cengkaman dosa dan maut. (Baca Mazmur 49:​7, 8; lihat juga video Mengapakah Yesus Mati?) a Maka, Yehuwa telah mengaturkan agar Yesus mengorbankan nyawanya untuk menyelamatkan kita. Yehuwa dan Yesus telah membuat pengorbanan yang sangat besar bagi kita. (Rm. 6:23) Semakin banyak kita berfikir tentang pengorbanan yang dibuat oleh Yehuwa dan Yesus, semakin dalam penghargaan kita terhadap korban tebusan. Dalam rencana ini, kita akan membincangkan beberapa pengorbanan yang dilakukan oleh Yehuwa dan Yesus. Tapi sekarang, mari kita lihat apa itu tebusan.

6. Apakah itu tebusan? Mengapakah kita memerlukan tebusan?

6 Tebusan ialah sesuatu yang dibayar untuk mendapat semula apa yang sudah hilang. Manusia pertama, iaitu Adam, diberi nyawa yang sempurna semasa diciptakan. Selepas Adam melanggar perintah Tuhan, dia menyebabkan dirinya dan keturunannya kehilangan peluang untuk hidup kekal. Untuk mendapat semula apa yang sudah dihilangkan oleh Adam, Yesus mengorbankan nyawanya yang sempurna. Sepanjang hidupnya di bumi, Yesus “tidak melakukan dosa, dan mulutnya tidak mengucapkan kata-kata dusta.” (1 Ptr. 2:22) Jadi semasa dia mati, dia dapat menyerahkan nyawanya yang sempurna, yang sama nilainya dengan nyawa yang dihilangkan oleh Adam.—1 Kor. 15:45; 1 Tim. 2:6.

7. Apakah sesetengah cabaran yang dihadapi oleh Yesus di bumi?

7 Yesus sentiasa mematuhi Bapanya di syurga biarpun menghadapi banyak cabaran di bumi. Semasa kecil, dia perlu mematuhi ibu bapanya yang tidak sempurna, biarpun dia sendiri sempurna. (Luk. 2:51) Semasa remaja, dia perlu melawan tekanan daripada orang yang mungkin mahu dia mengingkari ibu bapanya atau Yehuwa. Semasa dewasa, Yesus perlu melawan godaan Syaitan Si Iblis, bahkan apabila Syaitan terang-terang menyuruhnya untuk melanggar perintah Yehuwa. (Mat. 4:​1-11) Syaitan bertekad untuk membuat Yesus berdosa agar tebusan tidak dapat dibayar.

8. Apakah cabaran lain yang dihadapi oleh Yesus?

8 Semasa menginjil di bumi, Yesus menghadapi cabaran lain. Dia menghadapi penganiayaan dan nyawanya terancam. (Luk. 4:​28, 29; 13:31) Dia juga perlu bersabar dengan ketidaksempurnaan para pengikutnya. (Mrk. 9:​33, 34) Semasa dia dibicarakan, dia diseksa dan dihina. Kemudian, dia dihukum mati dalam cara yang sangat kejam dan memalukan. (Ibr. 12:​1-3) Tambahan lagi, dia perlu mengharungi detik-detik akhir hayatnya tanpa perlindungan Yehuwa. bMat. 27:46.

9. Apakah perasaan kita terhadap pengorbanan Yesus? (1 Petrus 1:8)

9 Jelaslah, Yesus telah mengharungi penderitaan yang sangat besar untuk menyediakan tebusan. Semasa memikirkan bahawa Yesus begitu rela membuat banyak pengorbanan demi kita, tidakkah kita terdorong untuk mengasihinya secara mendalam?—Baca 1 Petrus 1:8.

10. Apakah yang perlu dikorbankan oleh Yehuwa untuk menyediakan tebusan?

10 Bagaimana pula dengan Yehuwa? Apakah yang perlu dikorbankan-Nya untuk menyediakan tebusan? Hubungan antara Yehuwa dengan Yesus jauh lebih rapat berbanding mana-mana bapa dan anak. (Ams. 8:30) Jadi fikirkan perasaan Yehuwa semasa melihat Yesus menghadapi begitu banyak cabaran di bumi. Dia pasti sangat sedih melihat Anak-Nya ditindas dan menderita.

11. Berikan contoh untuk menjelaskan perasaan Yehuwa semasa melihat Yesus dihukum mati.

11 Ibu bapa yang kehilangan anak dalam kematian pasti merasai kesedihan yang menyayat hati. Walaupun kita betul-betul percaya bahawa pembangkitan pasti berlaku, hal ini tidak bermaksud kita tidak akan hancur hati atau berasa pilu apabila orang kesayangan kita meninggal. Contoh ini membantu kita untuk memahami perasaan Yehuwa semasa melihat Anak kesayangan-Nya menderita dan mati pada tahun 33 M. cMat. 3:17.

12. Apakah yang dapat kita lakukan sebelum Peringatan?

12 Sebelum Peringatan, cubalah membuat projek pembelajaran peribadi atau projek penyembahan keluarga tentang topik korban tebusan. Gunakanlah Panduan Penyelidikan Saksi-Saksi Yehuwa atau bahan bacaan lain untuk mengkaji topik tebusan secara mendalam. d Anda juga boleh mengikuti jadual pembacaan Bible sempena Peringatan yang disediakan dalam Kehidupan dan Kegiatan Kristian Kita—Lembaran Kerja. Pada hari Peringatan, janganlah lupa untuk menonton program Penyembahan Pagi istimewa. Apabila kita mempersiapkan hati kita bagi Peringatan, kita akan dapat membantu orang lain meraih manfaat daripadanya.—Ezr. 7:10.

BANTU ORANG LAIN MERAIH MANFAAT

13. Apakah hal pertama yang dapat kita lakukan untuk membantu orang meraih manfaat daripada Peringatan?

13 Apakah hal pertama yang dapat kita lakukan untuk membantu orang meraih manfaat daripada Peringatan? Jemputlah mereka. Selain menjemput orang yang kita temui semasa menginjil, kita juga dapat membuat senarai nama orang yang mahu kita jemput, seperti saudara-mara, rakan sekerja, rakan sekolah, dan orang lain. Biarpun kita tidak mempunyai jemputan bercetak yang mencukupi, kita dapat mengongsi pautan untuk versi elektronik. Mungkin orang yang anda sangka tidak akan hadir akan menghadiri Peringatan.—Pkh. 11:6.

14. Mengapakah kita tidak patut memandang remeh terhadap surat jemputan? Berikan contoh.

14 Janganlah memandang remeh terhadap surat jemputan. Perhatikan contoh seorang saudari yang suaminya tidak seiman. Suatu hari, suaminya dengan bangga berkata bahawa dia akan menghadiri Peringatan pada tahun itu. Saudari kita sangat terkejut. Mengapa? Kerana dahulu, saudari kita telah banyak kali menjemput suaminya untuk hadir, tetapi dia tidak pernah datang. Apakah yang membuat suaminya hadir kali ini? Suaminya berkata bahawa dia telah menerima surat jemputan daripada seorang penatua tempatan yang dia kenal. Sejak hari itu, suami saudari itu menghadiri Peringatan setiap tahun.

15. Apakah yang harus kita ingat semasa menjemput orang menghadiri Peringatan?

15 Ingatlah, orang yang kita jemput mungkin mempunyai soalan, terutamanya jika mereka tidak pernah menghadiri perjumpaan kita. Maka adalah bijak untuk berfikir tentang soalan yang biasa timbul dan membuat persiapan untuk menjawabnya. (Kol. 4:6) Sebagai contoh, sesetengah orang mungkin tertanya-tanya, “Apakah yang akan berlaku semasa Peringatan?” “Berapa lamakah Peringatan akan berlangsung?” “Apakah yang harus saya pakai?” “Adakah bayaran masuk dikenakan?” “Adakah kita wajib memberikan sumbangan?” Semasa menjemput seseorang untuk hadir, kita boleh tanya, “Adakah anda mempunyai apa-apa soalan?” dan kemudian, jawablah soalan mereka. Anda juga dapat menggunakan video Kenanglah Kematian Yesus dan Apakah yang Berlaku di Dewan Perjumpaan? untuk membantu orang faham bagaimana perjumpaan kita diadakan. Pelajaran 28 dalam buku Nikmati Hidup Selama-Lamanya! mempunyai banyak maklumat yang bagus yang dapat kita kongsi.

16. Apakah soalan lain yang mungkin ditanya oleh mereka yang menghadiri Peringatan?

16 Selepas menghadiri Peringatan, orang yang baharu mungkin tertanya-tanya mengapa tiada orang, atau hanya beberapa orang, yang memakan roti dan meminum wain. Mereka juga mungkin ingin tahu jika setiap perjumpaan kita diadakan dalam cara yang sama. Walaupun kebanyakan soalan mereka telah dijawab dalam ceramah Peringatan, mereka mungkin memerlukan penjelasan yang lebih lanjut. Rencana yang bertajuk “Mengapakah Cara Saksi-Saksi Yehuwa Menyambut Perjamuan Malam Tuan Berbeza daripada Agama Lain?” di jw.org dapat membantu kita menjawab soalan-soalan mereka. Tidak kira sebelum, semasa, dan selepas Peringatan, kita mahu melakukan apa sahaja yang kita mampu untuk membantu mereka yang berhati jujur meraih manfaat daripada sambutan Peringatan.—Kis. 13:48.

BANTU MEREKA YANG TIDAK AKTIF

17. Bagaimanakah para penatua dapat membantu mereka yang tidak aktif? (Yehezkiel 34:​12, 16)

17 Sepanjang musim Peringatan, bagaimanakah para penatua dapat membantu mereka yang tidak aktif? Tunjukkanlah bahawa anda mengasihi dan mengambil berat terhadap mereka. (Baca Yehezkiel 34:​12, 16.) Sebelum Peringatan, pastikan anda menghubungi mereka yang tidak aktif. Beritahulah mereka bahawa anda mengasihi mereka dan ingin membantu mereka. Jemputlah mereka untuk menghadiri Peringatan, dan sambutlah mereka dengan mesra jika mereka datang. Selepas Peringatan, teruslah melawat atau menghubungi mereka dan beri mereka apa-apa sahaja bantuan rohani yang mereka perlukan untuk kembali kepada Yehuwa.—1 Ptr. 2:25.

18. Bagaimanakah kita semua dapat membantu mereka yang tidak aktif? (Roma 12:10)

18 Semua ahli sidang dapat membantu mereka yang tidak aktif yang menghadiri Peringatan. Bagaimana? Layanlah mereka dengan penuh kasih, baik hati, dan hormat. (Baca Roma 12:10.) Ingatlah bahawa adalah susah bagi saudara saudari yang dikasihi ini untuk kembali menghadiri perjumpaan. Mereka mungkin risau tentang apa yang akan dikatakan oleh ahli sidang. e Jadi, elakkanlah daripada menanyakan soalan yang boleh membuat mereka berasa malu atau mengatakan sesuatu yang boleh menyakitkan hati mereka. (1 Tes. 5:11) Saudara saudari ini ialah rakan seiman kita, dan kita gembira untuk menyembah Yehuwa bersama mereka sekali lagi!—Mzm. 119:176; Kis. 20:35.

19. Apakah manfaat yang dapat diraih dengan memperingati kematian Yesus?

19 Kita bersyukur bahawa Yesus telah mengasaskan sambutan Peringatan. Apabila kita menghadiri Peringatan, kita membawa manfaat kepada diri kita dan orang lain. (Yes. 48:​17, 18) Kasih kita kepada Yehuwa dan Yesus akan semakin mendalam. Kita berpeluang menunjukkan penghargaan atas segala yang telah dilakukan oleh mereka. Kita menguatkan ikatan kasih antara satu sama lain. Kita juga membantu orang lain belajar bagaimana mereka dapat meraih manfaat daripada korban tebusan. Oleh itu, semoga kita berusaha sedaya upaya untuk bersedia bagi Peringatan tahun ini, kerana itulah hari yang terpenting!

BAGAIMANAKAH KITA DAPAT . . .

  • mempersiapkan hati kita bagi sambutan Peringatan?

  • membantu orang lain meraih manfaat daripada sambutan Peringatan?

  • membantu mereka yang tidak aktif?

LAGU 18 Bersyukur atas Kurniaan Tebusan

a Untuk mencari rencana dan video yang disebutkan dalam rencana ini, layarilah jw.org dan taip tajuk dalam kotak carian.

b Lihat rencana “Pertanyaan Pembaca” dalam Menara Pengawal terbitan April 2021.

e Lihat gambar-gambar dan kotak “ Apakah Reaksi Sidang?” Seorang saudara yang tidak aktif teragak-agak untuk memasuki Dewan Perjumpaan. Namun, dia mengatasi rasa takutnya itu. Dia disambut dengan mesra dan menikmati pergaulan dengan saudara saudari.

f KETERANGAN GAMBAR: Semasa umat Yehuwa di satu negara menyambut Peringatan, rakan seiman mereka di negara lain bersiap sedia untuk menyambut peristiwa yang istimewa ini.