Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 3

LAGU 124 Selalu Setia

Yehuwa Akan Membantu Anda pada Masa Kesusahan

Yehuwa Akan Membantu Anda pada Masa Kesusahan

[Yehuwa] gunung batuku . . . Maka aku tidak sekali-kali goyah.”MZM. 62:2.

FOKUS

Belajar apa yang dapat kita lakukan untuk meraih manfaat daripada bantuan Yehuwa semasa menghadapi kesusahan.

1-2. Apakah sesetengah cabaran yang dihadapi oleh penyembah Yehuwa yang setia?

 DALAM sekelip mata, hidup kita boleh berubah. Contohnya, seorang saudara yang bernama Luis a diberitahu bahawa dia menghidap penyakit kanser dan hanya ada beberapa bulan untuk hidup. Monika dan suaminya sibuk melakukan aktiviti rohani. Suatu hari, Monika mendapat tahu bahawa suaminya, yang juga merupakan seorang penatua, hidup bermuka dua selama bertahun-tahun. Olivia, seorang saudari bujang, terpaksa berpindah keluar dari rumah disebabkan ribut taufan. Semasa dia kembali, rumahnya sudah musnah dihentam ribut. Kehidupan saudara saudari ini berubah semalaman. Pernahkah anda mengalami situasi yang serupa? Adakah cabaran yang anda hadapi membuat hidup anda tunggang terbalik?

2 Sebagai penyembah Yehuwa yang setia, kita menghadapi kesusahan dan masalah penyakit yang biasa dialami oleh semua manusia. Tambahan lagi, kita perlu menghadapi tentangan atau penganiayaan daripada orang yang membenci umat Tuhan. Walaupun Yehuwa tidak melindungi kita daripada semua masalah ini, Dia berjanji untuk membantu kita. (Yes. 41:10) Dengan bantuan-Nya, kita dapat tetap bersukacita, membuat keputusan yang bijak, dan tetap setia kepada-Nya, bahkan semasa menghadapi situasi yang sangat mencabar. Dalam rencana ini, kita akan membincangkan empat cara yang digunakan oleh Yehuwa untuk membantu kita mengharungi detik yang gelap dalam hidup kita. Kita juga akan membincangkan apa yang perlu kita lakukan agar meraih manfaat daripada bantuan Yehuwa.

YEHUWA AKAN MENJAGA ANDA

3. Apabila menghadapi masalah yang besar, kita mungkin berasa susah untuk melakukan apa?

3 Cabaran. Semasa menghadapi masalah yang besar, kita mungkin berasa susah untuk berfikir secara tenang dan membuat keputusan yang bijak. Mengapa? Hati kita mungkin remuk dan fikiran kita mungkin serabut akibat kekhuatiran. Halnya seolah-olah seperti berjalan dalam kabus dan tidak nampak jalan yang harus diambil. Perhatikan perasaan dua saudari kita yang disebutkan tadi. Olivia berkata, “Saya berasa buntu dan fikiran saya bercelaru selepas rumah saya hancur dipukul ribut.” Monika, yang dikhianati oleh suaminya, berkata, “Saya tidak pernah berfikir bahawa hal ini akan berlaku kepada saya. Hati saya hancur berkecai dan saya bahkan tidak dapat melakukan hal-hal seharian.” Bagaimanakah Yehuwa membantu kita semasa kita mengalami situasi sebegini?

4. Menurut Filipi 4:​6, 7, apakah yang Yehuwa janjikan kepada kita?

4 Cara Yehuwa membantu kita. Dia berjanji untuk memberi kita ‘kesejahteraan daripada-Nya.’ (Baca Filipi 4:​6, 7.) Kesejahteraan ini ialah ketenangan hati dan minda yang dirasai kerana kita mempunyai hubungan yang rapat dengan Yehuwa. Kesejahteraan ini luar biasa dan “jauh lebih unggul daripada apa yang dapat difahami oleh manusia.” Pernahkah anda berdoa kepada Yehuwa dengan bersungguh-sungguh dan tiba-tiba berasa sangat tenang? Itulah “kesejahteraan daripada Tuhan.”

5. Bagaimanakah kesejahteraan daripada Tuhan menjaga hati dan fikiran kita?

5 Ayat yang sama menyatakan bahawa kesejahteraan daripada Tuhan “akan menjaga,” atau melindungi, ‘hati dan fikiran kita.’ Perkataan yang diterjemahkan sebagai “menjaga” dalam bahasa asal ialah istilah ketenteraan yang digunakan untuk menggambarkan askar yang menjaga sebuah kota. Penduduk kota itu dapat tidur dengan lena kerana mereka berasa selamat. Begitu juga, apabila kesejahteraan daripada Tuhan menjaga hati dan fikiran kita, kita berasa tenang dan selamat. (Mzm. 4:8) Seperti Hana, biarpun situasi kita tidak berubah dengan segera, kita masih dapat rasa damai dan tenteram. (1 Sam. 1:​16-18) Dengan demikian, lebih senang bagi kita untuk berfikiran rasional dan membuat keputusan yang bijak.

Berdoalah sehingga “kesejahteraan daripada Tuhan” menjaga hati dan minda anda (Lihat perenggan 4-6)


6. Apakah yang perlu kita lakukan untuk merasai kesejahteraan daripada Tuhan? (Lihat juga gambar.)

6 Apa yang perlu kita lakukan. Semasa sebuah kota diancam, penduduknya akan memanggil askar untuk melindungi mereka. Begitu juga, apabila kita berasa runsing kerana ditimpa masalah, kita harus memanggil Yehuwa. Bagaimana? Dengan berdoa sehingga kita merasai kesejahteraan daripada-Nya. (Luk. 11:9; 1 Tes. 5:17) Luis, yang disebut tadi, menjelaskan bagaimana dia dan isterinya, Ana, dapat berasa tenang semasa mendapat tahu bahawa Luis hanya ada beberapa bulan untuk hidup. Dia berkata, “Pada waktu sebegini, adalah sangat susah untuk membuat keputusan mengenai penjagaan kesihatan dan hal-hal lain. Tetapi kami dapat merasai ketenangan kerana kami berdoa kepada Yehuwa.” Luis dan isterinya berkata bahawa mereka berdoa secara kerap dan dengan bersungguh-sungguh agar Yehuwa memberi mereka ketenangan hati dan minda, serta kebijaksanaan untuk membuat keputusan yang bijak. Hasilnya, mereka merasai bantuan Yehuwa. Jika anda menghadapi masalah yang besar, berdoalah kepada Yehuwa secara kerap dan dengan bersungguh-sungguh. Dengan demikian, anda akan merasai kesejahteraan daripada Yehuwa yang akan melindungi hati dan fikiran anda.—Rm. 12:12.

YEHUWA AKAN MEMBANTU ANDA TETAP STABIL

7. Apakah perasaan kita semasa kita menghadapi kesusahan?

7 Cabaran. Semasa kita menghadapi kesusahan, emosi kita mungkin menjadi tidak stabil. Perasaan, fikiran, dan reaksi kita juga mungkin menjadi tidak seimbang. Ana, yang disebut tadi, berkata bahawa dia dibanjiri pelbagai perasaan yang berbeza selepas kematian Luis. Dia berkata, “Kadangkala saya rasa kosong dan mengasihani diri. Saya juga berasa marah.” Selain itu, Ana berasa keseorangan dan geram kerana perlu membuat keputusan yang dibuat oleh Luis dulu. Ada kalanya, dia berasa seperti kapal laut yang dipukul ombak yang bergelora. Bagaimanakah Yehuwa membantu kita semasa kita dihanyutkan emosi sebegini?

8. Menurut Mazmur 62:​2, Yehuwa meyakinkan kita tentang apa?

8 Cara Yehuwa membantu kita. Dia meyakinkan kita bahawa Dia akan menstabilkan kita. (Baca Mazmur 62:2.) Semasa sebuah kapal memasuki kawasan ribut, kapal itu mungkin berayun ke kiri dan ke kanan kerana dipukul ombak. Keadaan ini sangat berbahaya. Jadi, untuk memastikan perjalanan para penumpang lebih selamat dan selesa, setiap sisi kapal biasanya mempunyai sirip penstabil untuk menstabilkan kapal. Namun, sirip-sirip ini hanya boleh berfungsi dengan baik jika kapal terus bergerak ke depan. Begitu juga, Yehuwa berjanji akan menstabilkan kita, tetapi kita harus terus mara ke depan secara rohani dan menyembah-Nya dengan setia.

Gunakanlah alat penyelidikan untuk menjadi stabil (Lihat perenggan 8-9)


9. Bagaimanakah alat penyelidikan membantu kita tetap stabil? (Lihat juga gambar.)

9 Apa yang perlu kita lakukan. Apabila anda menghadapi pergolakan emosi kerana dibadai kesusahan, berusahalah sedaya upaya untuk mengekalkan rutin rohani anda. Anda mungkin tidak dapat melakukan sebanyak yang anda lakukan sebelum ini. Namun ingatlah, Yehuwa Tuhan yang munasabah. (Bandingkan Lukas 21:​1-4.) Cubalah meluangkan masa bagi pembelajaran peribadi dan perenungan. Yehuwa telah memberi kita banyak maklumat yang berguna untuk membantu kita tetap stabil. Untuk mencari maklumat sebegini, gunakanlah alat penyelidikan seperti aplikasi JW Library® dan Panduan Penyelidikan Saksi-Saksi Yehuwa. Monika, yang disebut sebelum ini, berkata bahawa dia menggunakan alat penyelidikan apabila dia berasa emosinya tidak stabil. Sebagai contoh, dia akan menaip perkataan “marah” dalam kotak carian. Kadangkala dia juga akan mencari perkataan “dikhianati” atau “kesetiaan.” Dia akan terus membaca maklumat dalam bahan bacaan kita sehingga dia rasa lebih stabil. Dia berkata, “Biarpun pada mulanya fikiran saya bercelaru, selepas membuat penyelidikan, saya berasa seolah-olah Yehuwa sedang memeluk saya. Saya diingatkan bahawa Yehuwa memahami semua perasaan saya dan Dia sedang membantu saya.” Sokongan sedemikian daripada Yehuwa juga dapat membantu anda tetap stabil sehingga situasi hidup anda menjadi lebih tenang.—Mzm. 119:​143, 144.

YEHUWA AKAN MENYOKONG ANDA

10. Apakah mungkin perasaan kita selepas mengalami trauma atau pengalaman yang dahsyat?

10 Cabaran. Selepas mengalami pengalaman yang teruk, kita mungkin berasa lemah secara fizikal atau emosi pada hari tertentu. Kita mungkin berasa seperti pelari yang tercedera. Pada mulanya dia dapat berlari dengan laju, tetapi sekarang dia berjalan dengan tempang. Begitu juga, kita mungkin berasa susah untuk melakukan kerja yang dahulunya senang bagi kita, atau kita mungkin tiada keinginan untuk melakukan kegiatan yang biasanya membuat kita gembira. Seperti Elia, kita mungkin berasa sangat susah untuk bangun dan hanya mahu tidur. (1 Raj. 19:​5-7) Apakah yang Yehuwa janjikan kepada kita jika kita berasa lemah?

11. Apakah satu lagi cara Yehuwa membantu kita? (Mazmur 94:18)

11 Cara Yehuwa membantu kita. Dia berjanji untuk menyokong kita. (Baca Mazmur 94:18.) Sepertimana seorang pelari yang tercedera memerlukan sokongan untuk bergerak, kita juga mungkin memerlukan bantuan untuk tetap aktif dalam khidmat kepada Yehuwa. Yehuwa berjanji, “Aku, Yehuwa, Tuhanmu, memegang tangan kananmu dan berfirman kepadamu, ‘Janganlah takut. Aku akan menolongmu.’” (Yes. 41:13) Raja Daud pernah menerima bantuan sebegini daripada Yehuwa. Semasa menghadapi cubaan dan ancaman musuh, dia berkata kepada Yehuwa, “Engkau menyokong aku dengan tangan kanan-Mu.” (Mzm. 18:35) Tetapi, bagaimanakah Yehuwa menyokong kita?

Terimalah bantuan daripada kawan, keluarga, dan para penatua (Lihat perenggan 11-13)


12. Siapakah yang Yehuwa gunakan untuk membantu kita semasa kita lemah?

12 Sering kali, Yehuwa akan menggerakkan orang lain untuk menyokong kita. Sebagai contoh, pernah sekali semasa Daud berasa lemah, kawannya Yonatan melawatnya dan mengucapkan kata-kata galakan yang menyemarakkan semangatnya. (1 Sam. 23:​16, 17) Begitu juga, Yehuwa melantik Elisa untuk membantu Elia. (1 Raj. 19:​16, 21; 2 Raj. 2:2) Hari ini, Yehuwa mungkin menggunakan kawan, keluarga, atau para penatua untuk menyokong kita. Namun, apabila kita berasa remuk hati, kita mungkin mahu mengasingkan diri daripada orang lain. Itu reaksi yang normal. Apakah yang dapat kita lakukan untuk menerima sokongan Yehuwa?

13. Apakah yang perlu kita lakukan agar menerima sokongan Yehuwa? (Lihat juga gambar.)

13 Apa yang perlu kita lakukan. Lawanlah kecenderungan untuk mengasingkan diri. Apabila kita mengasingkan diri, pandangan kita menjadi sempit dan kita mungkin hanya berfikir tentang diri sendiri dan masalah yang sedang kita lalui. Pemikiran sebegini dapat mempengaruhi seseorang sehingga membuat keputusan yang tidak bijak. (Ams. 18:1) Sudah tentu, kita memerlukan masa untuk berseorangan terutamanya semasa menghadapi kesusahan yang bagaikan ribut. Namun, jika kita mengasingkan diri untuk masa yang lama, kita mungkin menolak bantuan Yehuwa yang diberikan melalui orang lain. Jadi walaupun anda menghadapi cubaan yang amat berat, terimalah bantuan daripada kawan, keluarga, dan para penatua. Ingatlah bahawa Yehuwa sedang menggunakan mereka untuk menyokong anda.—Ams. 17:17; Yes. 32:​1, 2.

YEHUWA AKAN MELEGAKAN HATI ANDA

14. Apakah situasi menakutkan yang mungkin kita hadapi?

14 Cabaran. Kita mungkin menghadapi situasi yang buat kita berasa takut. Dalam Bible, terdapat catatan tentang hamba Tuhan yang berasa risau dan takut kerana diancam musuh atau menghadapi kesusahan. (Mzm. 18:4; 55:​1, 5) Dalam cara yang serupa, kita mungkin menghadapi tentangan di sekolah, tempat kerja, daripada ahli keluarga sendiri, atau pihak berkuasa. Kita mungkin menghidap penyakit yang serius dan takut kita akan mati. Pada masa sebegitu, kita mungkin berasa seperti seorang budak kecil yang tidak berdaya. Bagaimanakah Yehuwa membantu kita pada saat sebegitu?

15. Apakah jaminan Tuhan di Mazmur 94:19?

15 Cara Yehuwa membantu kita. Dia melegakan hati dan menenangkan kita. (Baca Mazmur 94:19.) Semasa membaca mazmur ini, kita boleh membayangkan seorang gadis kecil yang ketakutan semasa ribut petir dan tidak dapat tidur. Tetapi bapanya datang lalu memeluknya sehingga dia tertidur. Walaupun ribut petir masih ada, dakapan bapanya membuat gadis itu berasa selamat. Begitu juga, semasa cubaan yang besar melanda, kita perlukan dakapan daripada Bapa kita yang di syurga sehingga kita berasa tenang. Bagaimanakah kita dapat menerima kelegaan sebegini daripada Yehuwa?

Biarlah Bapa anda yang di syurga melegakan hati anda melalui Firman-Nya (Lihat perenggan 15-16)


16. Bagaimanakah anda dapat menerima kelegaan hati daripada Yehuwa? (Lihat juga gambar.)

16 Apa yang perlu kita lakukan. Pupuklah tabiat untuk berdoa kepada Yehuwa dan membaca Firman-Nya secara kerap. (Mzm. 77:​1, 12-14) Jika anda berbuat demikian, apabila anda ditimpa kesusahan, hal pertama yang akan anda lakukan ialah mencari Yehuwa. Kemudian, Yehuwa akan “bercakap” kepada anda dan melegakan hati anda melalui Firman-Nya. (Mzm. 119:28) Anda mungkin mendapati sesetengah bahagian Bible dapat melegakan hati anda semasa anda takut. Sebagai contoh, anda mungkin digalakkan setelah membaca buku Ayub, Mazmur, Amsal, dan kata-kata Yesus di Matius bab 6. Apabila anda berdoa kepada Yehuwa dan membaca Firman-Nya, anda akan menerima kelegaan hati daripada-Nya.

17. Kita yakin akan hal apa?

17 Kita yakin bahawa Yehuwa akan berada di sisi kita semasa kita mengalami kesusahan dalam hidup. Kita tidak akan pernah keseorangan. (Mzm. 23:4; 94:14) Yehuwa berjanji untuk menjaga, menstabilkan, menyokong, dan melegakan hati kita. Mengenai Yehuwa, Yesaya 26:3 kata, “Ya Tuhan, Engkau melindungi orang yang bergantung sepenuhnya pada-Mu; Engkau mengurniai mereka kedamaian yang berkekalan, kerana mereka yakin kepada-Mu.” Jadi, yakinlah kepada Yehuwa dan terimalah bantuan yang dihulurkan oleh-Nya. Dengan demikian, anda akan mendapat kekuatan, bahkan semasa menghadapi kesusahan.

APAKAH JAWAPAN ANDA?

  • Bilakah terutamanya kita memerlukan bantuan Yehuwa?

  • Apakah empat cara Yehuwa membantu kita pada masa kesusahan?

  • Apakah yang dapat kita lakukan untuk menerima bantuan Yehuwa?

LAGU 12 Tuhan Yehuwa Yang Maha Kuasa

a Sesetengah nama telah diubah.