Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 4

LAGU 30 Bapaku, Tuhanku, dan Kawanku

Yehuwa Mempunyai Kasih yang Mendalam terhadap Anda

Yehuwa Mempunyai Kasih yang Mendalam terhadap Anda

“Yehuwa berbelas kasihan dan mempunyai kasih yang mendalam.”YAK. 5:11.

FOKUS

Belajar bagaimana kasih Yehuwa akan membantu kita menghampiri-Nya, berasa selamat, dijaga, dan disegarkan.

1. Apakah yang anda bayangkan semasa berfikir tentang Yehuwa?

 APAKAH yang anda bayangkan tentang Yehuwa semasa anda berdoa kepada-Nya? Walaupun Yehuwa tidak dapat dilihat, Bible menggambarkan-Nya dalam pelbagai cara. Contohnya, Yehuwa dipanggil “matahari dan perisai” dan “api yang memusnahkan.” (Mzm. 84:11; Ibr. 12:29) Seorang penulis Bible menyatakan bahawa kehadiran Yehuwa adalah seperti batu nilam, logam yang bersinar-sinar, dan pelangi yang terang-benderang. (Yeh. 1:​26-28) Sesetengah gambaran tentang Yehuwa mungkin membuat kita berasa kagum dan ada pula yang mungkin membuat kita berasa takut.

2. Mengapakah sesetengah orang berasa susah untuk menghampiri Yehuwa?

2 Oleh sebab kita tidak dapat melihat Yehuwa, kita mungkin berasa susah untuk percaya bahawa Dia mengasihi kita. Ada yang berfikir bahawa Yehuwa tidak mungkin mengasihi mereka kerana apa yang telah mereka lalui dalam hidup. Barangkali mereka tidak mempunyai bapa yang mengasihi mereka. Yehuwa memahami perasaan kita dan Dia tahu bagaimana pengalaman lampau boleh mempengaruhi kita. Untuk membantu kita, Dia telah menyingkapkan keperibadian-Nya yang menakjubkan dalam Firman-Nya.

3. Mengapakah kita patut belajar lebih banyak tentang kasih Yehuwa?

3 Bible menyatakan bahawa “Tuhan itu kasih.” (1 Yoh. 4:8) Kasih mempengaruhi segala sesuatu yang dilakukan oleh-Nya. Kasih Tuhan sangat kuat dan Dia bahkan menunjukkan kasih-Nya kepada mereka yang tidak mengasihi-Nya. (Mat. 5:​44, 45) Dalam rencana ini, kita akan belajar lebih banyak tentang Yehuwa dan kasih-Nya. Ada peribahasa yang kata, “Tak kenal maka tak cinta.” Jadi, semakin banyak kita belajar tentang Yehuwa, semakin dalam kasih kita terhadap-Nya.

YEHUWA SANGAT MENGASIHI KITA

4. Apakah perasaan anda setelah mengetahui bahawa Yehuwa sangat mengasihi anda? (Lihat juga gambar.)

4 Bible kata, “Yehuwa berbelas kasihan dan mempunyai kasih yang mendalam.” (Yak. 5:11) Dalam Bible, Yehuwa menyamakan diri-Nya dengan seorang ibu yang penyayang. (Yes. 66:​12, 13) Fikirkan sejenak tentang seorang ibu yang sangat mengasihi anaknya yang kecil. Dia menggendong anaknya dan bercakap dalam suara yang lembut. Apabila anaknya menangis atau sakit, dia memastikan anaknya ada apa yang diperlukan. Dalam cara yang sama, kita dapat yakin bahawa Yehuwa akan mengasihi kita apabila kita menghadapi kesusahan. Seorang pemazmur menulis, “Apabila aku dilanda kekhuatiran, Engkau menenangkan dan melegakan jiwaku.”—Mzm. 94:19.

“Sebagaimana seorang ibu melegakan anaknya, Aku juga akan sentiasa melegakan kamu” (Lihat perenggan 4)


5. Apakah maksud kasih setia Yehuwa bagi anda?

5 Yehuwa itu setia. (Mzm. 103:8) Dia tidak berputus asa terhadap kita apabila kita berbuat salah. Walaupun bangsa Israel telah mengecewakan Yehuwa banyak kali, Yehuwa masih menunjukkan kasih-Nya kepada mereka yang bertaubat. Yehuwa berkata, “Kamu berharga dan terhormat di mata-Ku, dan Aku mengasihi kamu.” (Yes. 43:​4, 5) Kasih Tuhan tidak berubah. Jadi kita dapat yakin bahawa biarpun kita melakukan dosa yang serius, Yehuwa tidak akan meninggalkan kita asalkan kita bertaubat dengan ikhlas. Apabila kita kembali kepada-Nya, Dia akan terus mengasihi kita. Yehuwa berjanji bahawa Dia akan “mengampuni [kita] dengan rela hati.” (Yes. 55:7) Bible berkata bahawa apabila Yehuwa mengampuni kita, Dia sendiri akan menyegarkan kita.—Kis. 3:19.

6. Apakah yang dapat kita belajar tentang Yehuwa daripada ayat di Zakharia 2:8?

6 Baca Zakharia 2:8. Oleh sebab Yehuwa mengasihi kita, Dia sangat peka terhadap perasaan kita dan ingin melindungi kita. Apabila kita berasa sakit, Yehuwa juga berasa sakit. Itulah sebabnya kita dapat berdoa, “Peliharalah aku seperti biji mata-Mu sendiri.” (Mzm. 17:8) Mata ialah bahagian tubuh yang sangat berharga dan sangat sensitif. Maka apabila Yehuwa membandingkan kita dengan biji mata-Nya, Yehuwa seolah-olah sedang memberitahu kita, “Hai umat-Ku, sesiapa yang menyakiti kamu, juga menyakiti Aku, kerana kamu sangat berharga bagi-Ku.”

7. Mengapakah anda perlu menguatkan keyakinan anda terhadap kasih Yehuwa?

7 Yehuwa mahu anda yakin bahawa Dia mengasihi anda secara peribadi. Namun Dia tahu bahawa oleh sebab anda mempunyai pengalaman buruk pada masa lampau, anda mungkin meragui kasih-Nya. Selain itu, anda mungkin sedang menghadapi situasi yang menguji keyakinan anda terhadap kasih Yehuwa. Jadi, apakah yang dapat menguatkan keyakinan anda? Belajarlah bagaimana Yehuwa menunjukkan kasih-Nya kepada Yesus, kaum terurap, dan kita semua.

CARA YEHUWA MENUNJUKKAN KASIH-NYA

8. Mengapakah Yesus yakin akan kasih Bapanya?

8 Yehuwa sangat mengasihi Anak kesayangan-Nya. Hubungan mereka ialah hubungan yang paling lama dan yang paling akrab dalam alam semesta. Yehuwa mengungkapkan kasih-Nya kepada Yesus dengan jelas di Matius 17:5. Sebenarnya Yehuwa dapat kata, “Inilah individu yang saya perkenan.” Namun, Dia mahu kita tahu seberapa dalam kasih-Nya kepada Yesus. Maka Dia memanggil Yesus, “Anak-Ku yang Aku kasihi.” Yehuwa bangga dengan Yesus, terutamanya kerana Yesus rela mengorbankan nyawanya untuk manusia. (Ef. 1:7) Yesus pula tidak pernah meragui kasih Bapanya. Bagi Yesus, kasih Yehuwa sangat nyata. Itulah sebabnya dia sering menyatakan bahawa dia yakin Yehuwa mengasihinya.—Yoh. 3:35; 10:17; 17:24.

9. Apakah ungkapan yang menggambarkan kasih Yehuwa kepada kaum terurap? Jelaskan. (Roma 5:5)

9 Yehuwa juga sangat mengasihi kaum terurap. (Baca Roma 5:5.) Perhatikan ungkapan “kasih-Nya telah dicurahkan.” Sebuah buku rujukan menjelaskan bahawa kasih Tuhan terhadap kaum terurap begitu kuat sehingga dapat disamakan dengan “aliran air sungai.” Ini ialah gambaran yang sangat menakjubkan dan menunjukkan betapa besarnya kasih Yehuwa terhadap kaum terurap! Kaum terurap juga tahu bahawa mereka “dikasihi oleh Tuhan.” (Yud. 1) Kata-kata Rasul Yohanes pasti mengungkapkan perasaan kaum terurap terhadap kasih Yehuwa. Dia menulis, “Lihatlah betapa besarnya kasih Bapa kepada kita! Dia mengizinkan kita disebut sebagai anak-anak Tuhan!” (1 Yoh. 3:1) Namun, adakah Yehuwa mengasihi kaum terurap sahaja? Tidak. Yehuwa juga menunjukkan kasih-Nya kepada kita semua.

10. Apakah bukti terbesar yang menunjukkan kasih Yehuwa kepada anda?

10 Apakah bukti terbesar yang menunjukkan kasih Yehuwa kepada anda? Korban tebusan. Itulah kasih terbesar di alam semesta! (Yoh. 3:16; Rm. 5:8) Yehuwa mengizinkan Anak kesayangan-Nya untuk mati bagi kita agar dosa kita dapat diampuni dan kita dapat menjadi sahabat-Nya. (1 Yoh. 4:10) Semakin kerap kita merenungkan betapa tingginya harga yang dibayar oleh Yehuwa dan Yesus, semakin senang bagi kita untuk faham betapa besarnya kasih mereka terhadap kita masing-masing. (Gal. 2:20) Namun ingatlah, Yehuwa tidak menyediakan tebusan semata-mata kerana ingin berlaku adil. Ini ialah kurniaan yang didorong oleh kasih. Ya, Yehuwa membuktikan kasih-Nya kepada kita dengan mengizinkan Anak-Nya yang tersayang untuk menderita dan mati demi kita.

11. Apakah yang dapat kita belajar daripada Yeremia 31:3?

11 Seperti yang sudah kita bincangkan, kasih Yehuwa bukan sekadar perasaan di hati-Nya. Yehuwa juga memberitahu kita betapa dalamnya kasih-Nya terhadap kita. (Baca Yeremia 31:3.) Yehuwa sudah membimbing kita kepada-Nya kerana Dia mengasihi kita. (Bandingkan Ulangan 7:​7, 8.) Tiada apa-apa dan sesiapa pun yang dapat memisahkan kita daripada kasih Tuhan. (Rm. 8:​38, 39) Apakah perasaan anda terhadap kasih Yehuwa? Bacalah Mazmur 23 dan lihatlah kesan kasih Yehuwa terhadap Daud dan bagaimana hal itu juga boleh mempengaruhi kita semua.

APAKAH PERASAAN ANDA TERHADAP KASIH YEHUWA?

12. Sila rumuskan kandungan Mazmur 23.

12 Baca Mazmur 23:​1-6. Penulis Mazmur 23 ialah Daud. Lagu ini mengungkapkan keyakinan Daud terhadap kasih dan jagaan Yehuwa. Dia menggambarkan hubungannya yang akrab dengan Gembalanya, Yehuwa. Oleh sebab Daud percaya kepada Yehuwa dengan sepenuhnya, dia mahu Yehuwa membimbing jalan hidupnya. Dia yakin Yehuwa akan menunjukkan kasih kepadanya setiap hari sepanjang hayatnya. Mengapakah Daud begitu yakin akan hal itu?

13. Mengapakah Daud yakin akan jagaan Yehuwa?

13 “Aku tidak akan kekurangan apa-apa.” Daud rasa dia dijaga dengan baik kerana Yehuwa sentiasa menyediakan apa yang diperlukannya. Daud juga menikmati persahabatan dan perkenan Yehuwa. Itulah sebabnya dia berasa yakin bahawa tidak kira apa pun yang bakal berlaku dalam hidupnya, Yehuwa akan terus menjaga semua keperluannya. Oleh sebab Daud yakin bahawa Yehuwa mengasihinya dan akan terus menjaganya, dia tidak terlalu risau. Sebaliknya, dia berasa gembira dan puas.—Mzm. 16:11.

14. Bagaimanakah Yehuwa mungkin menunjukkan kasih-Nya kepada kita?

14 Yehuwa akan menunjukkan kasih-Nya kepada kita, terutamanya apabila hal-hal buruk berlaku kepada kita. Claire, a yang sudah berkhidmat di Bethel untuk lebih daripada 20 tahun, berasa buntu apabila keluarganya menghadapi masalah yang bertubi-tubi. Bapanya kena strok yang teruk, adik perempuannya disingkirkan, dan perniagaan keluarganya terpaksa ditutup lalu mereka kehilangan rumah mereka. Bagaimanakah Yehuwa menunjukkan kasih kepada mereka dan menjaga mereka? Claire berkata, “Yehuwa memastikan keluarga saya mempunyai apa yang kami perlukan setiap hari. Sebenarnya, sudah banyak kali Dia memberi kami lebih daripada apa yang kami perlukan! Saya sering memikirkan bagaimana Yehuwa telah membantu kami, dan saya tidak akan melupakan kasih-Nya yang mendalam. Kenangan sebegini membantu saya bertabah semasa menghadapi cubaan.”

15. Mengapakah Daud rasa disegarkan? (Lihat juga gambar.)

15 Engkau menyegarkan jiwaku.”  Ada kalanya, Daud berasa tertekan disebabkan semua masalah dan cubaan yang dihadapinya. (Mzm. 18:​4-6) Walaupun begitu, Daud disegarkan oleh keprihatinan Yehuwa dan kasih-Nya yang mendalam. Yehuwa seolah-olah membawa sahabat-Nya yang lesu ke “padang rumput yang hijau” dan “sungai untuk beristirahat.” Hasilnya, Daud mendapat semula kekuatannya dan dapat terus menyembah Yehuwa dengan sukacita.—Mzm. 18:​28-32.

Walaupun Daud perlu melarikan diri, dia berasa lega kerana Yehuwa menjaganya dan mengasihinya secara mendalam (Lihat perenggan 15)


16. Bagaimanakah kasih Yehuwa menyegarkan anda?

16 Begitu juga, semasa kita menghadapi cabaran dalam hidup, kita dapat bertahan ‘kerana Yehuwa menunjukkan kasih setia-Nya’ kepada kita. (Rat. 3:22; Kol. 1:11) Perhatikan contoh Rachel. Dia hancur hati apabila suaminya meninggalkannya dan meninggalkan Yehuwa semasa pandemik COVID-19. Bagaimanakah Yehuwa membantu Rachel? Dia berkata, “Menerusi kawan-kawan saya, Yehuwa memastikan saya rasa dikasihi. Mereka meluangkan masa bersama saya, membawa makanan untuk saya, menghantar mesej dan ayat Bible yang menggalakkan, senyum kepada saya, dan terus mengingatkan saya bahawa Yehuwa sedang menjaga saya. Saya selalu bersyukur kepada Yehuwa kerana memberi saya keluarga besar yang penyayang ini.”

17. Mengapakah Daud “tidak berasa takut”?

17 “Aku tidak berasa takut, kerana Engkau berada di sampingku.” Nyawa Daud sering terancam dan dia ada banyak musuh yang kuat. Namun, kasih Yehuwa membuat Daud berasa selamat dan dilindungi. Daud dapat rasa bahawa Yehuwa bersamanya pada setiap masa. Oleh itu, dia dapat bernyanyi dengan yakin, “[Yehuwa] membebaskan aku daripada segala ketakutanku.” (Mzm. 34:4) Walaupun Daud ada kalanya berasa sangat takut, dia dapat mengatasi rasa takutnya itu kerana dia tahu Yehuwa mengasihinya.

18. Setelah mengetahui bahawa Yehuwa mengasihi kita, bagaimanakah hal itu menguatkan kita semasa kita berasa takut?

18 Setelah mengetahui bahawa Yehuwa mengasihi kita, bagaimanakah hal itu menguatkan kita semasa menghadapi situasi yang menakutkan? Seorang perintis yang bernama Susi menggambarkan perasaannya dan suaminya setelah anak lelaki mereka membunuh diri. Dia berkata, “Setelah dilanda tamparan besar sebegini, kami rasa takut dan tidak berdaya. Kami juga risau hal buruk yang lain mungkin berlaku. Tetapi kasih Yehuwa yang mendalam membuat kami rasa selamat dan dilindungi.” Rachel, yang disebut tadi, berkata, “Pada suatu malam, hati saya terasa sangat pilu. Saya sangat takut dan risau, jadi saya berdoa kepada Yehuwa sambil menangis. Pada masa itu juga, Dia melegakan hati saya dan membantu saya bertenang, sepertimana seorang ibu melegakan bayinya. Akhirnya, saya tertidur. Saya tidak akan melupakan peristiwa itu.” Seorang penatua yang bernama Tasos, dipenjarakan selama empat tahun kerana enggan menyertai tentera. Bagaimanakah Yehuwa menunjukkan kasih dan keprihatinan kepadanya? Dia berkata, “Yehuwa menjaga semua keperluan saya, dan bahkan memberi saya lebih daripada apa yang saya perlukan. Oleh itu, saya lebih yakin saya dapat percaya kepada-Nya dengan sepenuhnya. Selain itu, menerusi kuasa suci-Nya, Yehuwa membantu saya bersukacita meskipun saya dikurung di tempat yang suram. Saya belajar bahawa jika saya semakin mempercayai Yehuwa, saya akan semakin merasai bantuan-Nya. Jadi, saya menjadi perintis biasa semasa di penjara.”

HAMPIRILAH TUHAN ANDA YANG PENUH DENGAN KASIH

19. (a) Jika kita ingat bahawa Tuhan mengasihi kita, bagaimanakah hal itu akan mempengaruhi apa yang kita ucapkan dalam doa? (b) Ayat Bible manakah tentang kasih Yehuwa yang paling menyentuh hati anda? (Lihat kotak “ Ayat Bible yang Membantu Kita Merasai Kasih Yehuwa.”)

19 Pengalaman-pengalaman yang kita bincangkan tadi membuktikan bahawa Yehuwa, “Tuhan yang penuh dengan kasih,” memang menyertai kita! (2 Kor. 13:11) Dia mengambil berat terhadap kita secara peribadi, dan kita yakin bahawa kita “dilimpahi kasih setia-Nya.” (Mzm. 32:10) Semakin kerap kita merenungkan bagaimana Yehuwa telah menunjukkan kasih kepada kita, Dia akan menjadi semakin nyata bagi kita, dan kita akan semakin akrab dengan-Nya. Memandangkan Tuhan begitu mengasihi kita, kita dapat berdoa kepada-Nya secara terbuka dan memberitahu-Nya bahawa kita amat memerlukan kasih-Nya. Kita juga dapat memberitahu-Nya segala kekhuatiran kita dan yakin bahawa Dia memahami situasi kita dan ingin membantu kita.—Mzm. 145:​18, 19.

20. Bagaimanakah kasih Yehuwa membantu kita menghampiri-Nya?

20 Sepertimana api dapat memanaskan badan kita pada hari yang sejuk, kasih Yehuwa dapat melegakan hati kita semasa kita menghadapi cubaan. Oleh itu, marilah kita menerima kasih Yehuwa dalam hidup kita dan berseru dengan penuh syukur, “Aku mengasihi Yehuwa”!—Mzm. 116:1.

APAKAH JAWAPAN ANDA?

  • Bagaimanakah anda akan menggambarkan kasih Yehuwa?

  • Mengapakah anda yakin bahawa Yehuwa sangat mengasihi anda?

  • Apakah perasaan anda setelah mengetahui bahawa Yehuwa mengasihi anda?

LAGU 108 Kasih Setia Tuhan

a Sesetengah nama telah diubah.