Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 4

LAGU 18 Bersyukur atas Kurniaan Tebusan

Apa yang Kita Belajar daripada Korban Tebusan?

Apa yang Kita Belajar daripada Korban Tebusan?

“Inilah caranya Tuhan menunjukkan kasih kepada kita.”​—1 YOH. 4:9.

FOKUS

Apa yang kita belajar daripada korban tebusan tentang sifat-sifat Tuhan Yehuwa dan Yesus Kristus.

1. Mengapakah penting untuk memperingati kematian Yesus setiap tahun?

 KITA pasti setuju bahawa korban tebusan merupakan kurniaan yang paling berharga! (2 Kor. 9:15) Oleh sebab Yesus mengorbankan nyawanya, kita semua berpeluang untuk menjadi sahabat rapat Yehuwa dan hidup selamanya-lamanya. Kita sangat bersyukur kepada Yehuwa kerana Dia begitu mengasihi kita dan menyediakan korban tebusan! (Rm. 5:8) Untuk membantu kita sentiasa menghargai pemberian ini dan tidak melupakannya, Yesus mengarahkan kita untuk memperingati kematiannya setiap tahun.​—Luk. 22:​19, 20.

2. Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana ini?

2 Tahun ini, Peringatan akan disambut pada hari Sabtu, 12 April 2025. Sudah tentu, kita semua mahu menghadirinya. Selain itu, beberapa minggu sebelum dan selepas Peringatan, adalah baik untuk merenungkan a apa yang telah dilakukan oleh Yehuwa dan Yesus demi kita. Rencana ini akan membincangkan apa yang dapat kita pelajari tentang Yehuwa dan Yesus daripada korban tebusan. Rencana seterusnya akan menjelaskan manfaat yang kita raih daripada korban tebusan dan cara kita dapat menunjukkan kesyukuran kita.

APA YANG KITA BELAJAR TENTANG YEHUWA

3. Bagaimanakah kematian satu orang dapat menyelamatkan jutaan orang? (Lihat juga gambar.)

3 Korban tebusan mengajar kita tentang keadilan Yehuwa. (Ul. 32:4) Bagaimana? Fikirkan: Oleh sebab Adam mengingkari Tuhan, kita semua mewarisi dosa dan kematian. (Rm. 5:12) Untuk membebaskan kita, Yehuwa mengutus Yesus untuk mengorbankan nyawanya. Namun bagaimanakah kematian satu orang yang sempurna dapat menyelamatkan jutaan orang? Rasul Paulus menjelaskan, “Disebabkan keingkaran satu orang [Adam], banyak orang menjadi pendosa. Begitu juga, disebabkan kepatuhan satu orang [Yesus], banyak orang mendapat perkenan Tuhan.” (Rm. 5:19; 1 Tim. 2:6) Maksudnya, kerana seorang yang sempurna mengingkari Tuhan, kita semua dikuasai dosa dan maut. Begitu juga, kerana seorang yang sempurna mentaati Tuhan, kita semua dibebaskan.

Kerana satu orang, kita semua dikuasai dosa dan maut. Begitu juga, kerana satu orang, kita semua dibebaskan (Lihat perenggan 3)


4. Mengapakah Yehuwa tidak boleh membiarkan sahaja keturunan Adam untuk hidup selama-lamanya?

4 Sesetengah orang mungkin fikir, “Jika Yehuwa membiarkan sahaja keturunan Adam untuk hidup selama-lamanya, Yesus tidak perlu mati untuk selamatkan kita.” Dari sudut pandangan manusia, hal itu nampaknya lebih senang dan masuk akal. Namun bagi Yehuwa, tindakan sebegitu tidak wajar kerana Dia sentiasa berpegang pada standard keadilan-Nya. Adam telah melakukan dosa yang sangat serius, maka Tuhan tidak akan tutup sebelah mata terhadap perbuatannya.

5. Mengapakah kita boleh yakin bahawa Yehuwa akan selalu melakukan apa yang adil dan benar?

5 Fikirkan satu lagi masalah yang akan timbul jika Yehuwa membiarkan sahaja keturunan Adam untuk hidup selama-lamanya tanpa membayar tebusan. Orang mungkin tertanya-tanya, “Jika Tuhan tidak berpegang pada standard-Nya dalam hal ini, adakah Dia akan mengetepikan standard-Nya dalam hal lain juga? Adakah Dia akan memungkiri sesetengah janji-Nya?” Kita tidak perlu risau hal itu akan berlaku. Yehuwa sanggup mengorbankan nyawa Anak kesayangan-Nya supaya Dia tidak mengetepikan standard-Nya. Hal ini meyakinkan kita bahawa Yehuwa sama sekali tidak akan memungkiri janji-Nya dan pasti selalu melakukan apa yang adil dan benar.

6. Bagaimanakah korban tebusan menonjolkan kasih Yehuwa? (1 Yohanes 4:​9, 10)

6 Korban tebusan mengajar kita bahawa Yehuwa memang adil. Lebih penting lagi, korban tebusan mengajar kita betapa dalamnya kasih Yehuwa kepada kita. (Yoh. 3:16; baca 1 Yohanes 4:​9, 10.) Fikirkan: Semasa Adam mengingkari Tuhan, dia diusir daripada keluarga Yehuwa. Akibatnya, kita semua berdosa dan bukan ahli keluarga Tuhan sejak lahir lagi. Namun dengan adanya korban tebusan, dosa kita dapat diampunkan. Hasilnya, kita dapat menikmati hubungan yang rapat dengan Yehuwa dan dengan rakan seiman kita sekarang. Pada masa depan, kita juga berpeluang diterima sebagai ahli keluarga Yehuwa dan hidup selama-lamanya. Yehuwa menyediakan korban tebusan supaya kita dapat menikmati semua berkat ini. Tidakkah hal ini membuktikan bahawa Yehuwa benar-benar mengasihi kita?​—Rm. 5:​10, 11.

7. Bagaimanakah penderitaan yang dialami oleh Yesus membantu kita memahami betapa dalamnya kasih Yehuwa terhadap kita?

7 Kita akan lebih memahami betapa dalamnya kasih Yehuwa terhadap kita jika kita memikirkan pengorbanan yang perlu dilakukan-Nya untuk menyediakan tebusan. Syaitan mendakwa bahawa tiada hamba Tuhan yang akan tetap setia di bawah cubaan. Untuk menyangkal tuduhan itu, Yehuwa membenarkan Yesus menderita sebelum dia mati. (Ayb. 2:​1-5; 1 Ptr. 2:21) Yehuwa melihat bagaimana Yesus dicemuh oleh pemimpin agama, disebat oleh askar sehingga tubuhnya berdarah, dipakukan pada tiang, dan menderita secara perlahan-lahan sehingga mati. (Mat. 27:​28-31, 39) Sebenarnya, Yehuwa ada kuasa untuk menyelamatkan Yesus pada bila-bila sahaja. Contohnya, Yehuwa boleh segera bertindak semasa orang yang mengejek Yesus berkata, “Jika Tuhan berkenan kepadanya, biarlah Tuhan menyelamatkannya.” (Mat. 27:​42, 43) Namun jika Tuhan campur tangan, tebusan tidak dapat dibayar, dan kita semua tidak akan ada harapan. Oleh sebab Yehuwa begitu mengasihi kita, Dia sanggup membenarkan Anak tersayang-Nya menderita sehingga mati.

8. Bagaimanakah kita tahu bahawa Yehuwa pasti sangat susah hati semasa melihat Anak-Nya menderita? Jelaskan. (Lihat juga gambar.)

8 Ada orang mungkin fikir, “Yehuwa ialah Tuhan Yang Maha Kuasa. Jadi Dia tidak susah hati semasa melihat Anak-Nya menderita.” Hal ini tidak benar kerana kita diciptakan menurut gambaran Tuhan. Maka jika kita mempunyai perasaan, Yehuwa juga pasti mempunyai perasaan. Bible memberitahu kita bahawa manusia dapat “mendukakan hati Tuhan” dan “menyakiti hati-Nya.” (Mzm. 78:​40, 41) Untuk membantu kita membayangkan perasaan Yehuwa, fikirkan perasaan Abraham semasa dia mempersembahkan anak tunggalnya Ishak sebagai korban. (Kej. 22:​9-12; Ibr. 11:​17-19) Bayangkan kepiluan dan kesedihan yang membanjiri hati Abraham semasa dia bersedia untuk membunuh Ishak. Jika Abraham berasa begitu, apatah lagi Yehuwa! Sudah tentu hati-Nya hancur semasa melihat Anak tersayang-Nya diseksa oleh orang jahat sehingga mati!—Lihat video Tirulah Iman Mereka—Abraham, Bahagian 2 di jw.org.

Hati Yehuwa tertusuk semasa melihat Anak-Nya menderita (Lihat perenggan 8)


9. Apakah yang anda belajar daripada Roma 8:​32, 38, 39 tentang kasih Yehuwa?

9 Korban tebusan mengajar kita bahawa kasih Yehuwa terhadap kita jauh lebih besar daripada kasih ahli keluarga atau sahabat kita yang paling rapat. (Baca Roma 8:​32, 38, 39.) Sebenarnya, Yehuwa lebih mengasihi kita daripada kita mengasihi diri sendiri. Inginkah anda hidup selama-lamanya? Yehuwa lagi mahu anda hidup selama-lamanya! Adakah anda mahu dosa anda diampunkan? Yehuwa lagi mahu mengampunkan dosa anda! Untuk mendapat semua berkat itu, Yehuwa hanya mahu anda menghargai korban tebusan, beriman kepada-Nya, dan mentaati-Nya. Sememangnya, korban tebusan merupakan cara terbesar Yehuwa menunjukkan kasih-Nya kepada kita. Di dunia baharu nanti, kita akan memahami kasih Yehuwa dengan lebih mendalam.​—Pkh. 3:11.

APA YANG KITA BELAJAR TENTANG YESUS

10. (a) Mengapakah Yesus begitu sedih tentang cara dia akan dihukum mati? (b) Dengan tetap sampai mati, Yesus membuktikan apa? (Lihat juga kotak “ Cara Yesus Membela Nama Yehuwa.”)

10 Yesus sangat mementingkan nama Bapanya. (Yoh. 14:31) Sebelum Yesus dihukum mati, dia tahu bahawa dia akan dituduh sebagai penjenayah yang menghina nama Tuhan. Dia risau tuduhan itu akan menyebabkan nama Bapanya dicela. Itulah sebabnya dia amat sedih dan berdoa, “Bapaku, jika boleh, jauhkanlah cawan ini daripadaku.” (Mat. 26:39) Namun, dengan tetap setia kepada Yehuwa sehingga mati, Yesus telah membela nama Bapanya.

11. Bagaimanakah Yesus menunjukkan kasih yang mendalam kepada orang lain? (Yohanes 13:1)

11 Korban tebusan juga mengajar kita bahawa Yesus sangat prihatin terhadap orang, terutamanya murid-muridnya. (Ams. 8:31; baca Yohanes 13:1.) Sebagai contoh, Yesus tahu bahawa dia akan menghadapi cabaran semasa menjalankan khidmatnya di bumi. Namun, dia tidak melakukan tugasannya dengan sambil lewa. Dia menginjil, mengajar, dan berkhidmat kepada orang lain dengan sepenuh hati. Bahkan pada malam sebelum dia dibunuh, dia mengambil masa untuk mencuci kaki para rasulnya, mengajar mereka, menggalakkan mereka, dan melegakan hati mereka. (Yoh. 13:​12-15) Walaupun dia sangat menderita semasa di tiang seksaan, dia memberikan harapan kepada penjenayah di sebelahnya. Dia juga mengaturkan agar ibunya dijaga selepas kematiannya. (Luk. 23:​42, 43; Yoh. 19:​26, 27) Maka, kasih Yesus yang mendalam bukan sahaja ditonjolkan melalui kematiannya, tetapi juga melalui kehidupannya di bumi.

12. Mengapakah kita dapat berkata bahawa Yesus masih membuat pengorbanan bagi kita?

12 Walaupun Kristus “mati sekali sahaja,” dia masih terus membuat pengorbanan untuk kita. (Rm. 6:10) Mengapakah kita dapat berkata demikian? Walaupun Yesus kini berada di syurga, dia terus meluangkan masa dan usaha untuk memastikan kita meraih manfaat daripada korban tebusannya. Fikirkan apa yang sedang dilakukannya. Dia berkhidmat sebagai Raja, Imam Agung, dan ketua sidang Kristian. (1 Kor. 15:25; Ef. 5:23; Ibr. 2:17) Dia juga memimpin kerja mengumpulkan orang Kristian terurap dan kumpulan besar manusia, dan kerja ini harus disiapkan sebelum kesengsaraan besar berakhir. b (Mat. 25:32; Mrk. 13:27) Selain itu, dia memastikan agar para pengikutnya diberi makanan rohani yang melimpah sepanjang hari-hari terakhir. (Mat. 24:45) Semasa Pemerintahan Seribu Tahun Kristus nanti, dia akan terus membantu manusia. Jelaslah, Yehuwa memberikan Anak-Nya, bukan sahaja untuk mati bagi kita, tetapi juga untuk menolong kita dalam banyak cara yang lain!

JANGAN BERHENTI BELAJAR

13. Apakah sesetengah hal yang dapat anda lakukan untuk merenungkan kasih Yehuwa dan Yesus?

13 Anda dapat terus belajar tentang kasih Yehuwa dan Yesus Kristus terhadap kita dengan merenungkan apa yang telah mereka lakukan. Contohnya, pada musim Peringatan tahun ini, cubalah membaca kisah hidup Yesus dalam Bible dengan lebih teliti. Janganlah membacanya dengan tergesa-gesa. Sebaliknya, bacalah dengan perlahan sambil mencari lebih banyak sebab mengapa kita patut mengasihi Yehuwa dan Yesus. Kemudian, kongsilah apa yang anda belajar dengan orang lain.

14. Selaras dengan Mazmur 119:97 dan nota kaki, bagaimanakah anda dapat terus belajar tentang korban tebusan dan ajaran Bible yang lain? (Lihat juga gambar.)

14 Jika anda sudah lama dalam kebenaran, anda mungkin fikir anda tidak dapat belajar hal yang baharu tentang topik asas seperti keadilan Tuhan, kasih-Nya, dan korban tebusan. Namun hal itu tidak benar. Apakah yang dapat anda lakukan? Gunakanlah bahan bacaan kita dengan sebaik-baiknya. Jika anda membaca sesuatu dalam Bible yang anda tidak begitu faham, buatlah kajian. Kemudian, semasa melakukan aktiviti seharian, renungkanlah apa yang telah anda belajar tentang Yehuwa, Yesus, dan kasih mereka untuk anda.​—Baca Mazmur 119:97 dan nota kaki.

Biarpun kita sudah lama dalam kebenaran, kita masih dapat meningkatkan penghargaan kita terhadap korban tebusan (Lihat perenggan 14)


15. Mengapakah kita patut terus mencari permata rohani dalam Bible?

15 Janganlah tawar hati jika anda tidak menjumpai sesuatu yang baharu atau menarik setiap kali anda membaca Bible atau membuat penyelidikan. Sebenarnya, anda seperti orang yang mendulang emas. Orang sebegini perlu berusaha dengan sabar selama berjam-jam atau bahkan berhari-hari sebelum dapat menjumpai ketulan emas yang kecil. Namun, mereka tidak putus asa kerana ketulan emas yang kecil pun amat berharga. Sudah pasti, permata rohani dalam Bible jauh lebih bernilai daripada emas! (Mzm. 119:127; Ams. 8:10) Maka, janganlah putus asa dan teruslah membaca dan mengkaji Bible.​—Mzm. 1:2.

16. Bagaimanakah kita dapat meniru teladan Yehuwa dan Yesus?

16 Semasa membuat pembelajaran, carilah cara untuk menerapkan apa yang anda belajar dalam kehidupan anda. Sebagai contoh, anda boleh meniru keadilan Yehuwa dengan bersikap tidak berat sebelah. Anda juga boleh meniru kasih Yesus terhadap Yehuwa dan orang lain dengan sanggup menderita demi nama Yehuwa dan sudi membuat pengorbanan untuk rakan seiman. Selain itu, anda boleh meniru teladan Yesus dengan menginjil kepada orang lain supaya mereka juga berpeluang untuk beriman kepada korban tebusan.

17. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana seterusnya?

17 Apabila kita lebih memahami dan menghargai korban tebusan, kasih kita kepada Yehuwa dan Yesus akan semakin mendalam. Hasilnya, mereka juga akan semakin mengasihi kita. (Yoh. 14:21; Yak. 4:8) Maka, marilah kita menggunakan Bible dan bahan bacaan yang disediakan oleh organisasi Yehuwa untuk terus belajar tentang korban tebusan! Dalam rencana seterusnya, kita akan membincangkan beberapa manfaat yang kita raih daripada korban tebusan dan cara kita dapat menunjukkan penghargaan atas kasih Yehuwa.

LAGU 107 Haluan Kasih Tuhan

a MAKSUD UNGKAPAN: Perkataan “merenungkan” bermaksud menumpukan perhatian kepada sesuatu dan memikirkannya secara mendalam.

b Kerja mengumpulkan “perkara di syurga,” yang disebut oleh Paulus di Efesus 1:​10, dan kerja mengumpulkan “umatnya yang terpilih,” yang disebut oleh Yesus di Matius 24:31 dan Markus 13:​27, berlaku pada tempoh masa yang berbeza. Apa yang disebut oleh Paulus berlaku semasa Yehuwa memilih dan mengurapi orang yang akan memerintah bersama Yesus di syurga. Apa yang disebut oleh Yesus pula berlaku semasa orang Kristian terurap yang masih di bumi dibawa ke syurga semasa kesengsaraan besar.