Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 5

LAGU 108 Kasih Setia Tuhan

Manfaat yang Kita Nikmati kerana Yehuwa Mengasihi Kita

Manfaat yang Kita Nikmati kerana Yehuwa Mengasihi Kita

“Kristus Yesus datang ke dunia untuk menyelamatkan pendosa.”​—1 TIM. 1:15.

FOKUS

Manfaat yang kita nikmati kerana adanya korban tebusan dan cara kita dapat menunjukkan penghargaan kepada Yehuwa.

1. Bagaimanakah kita dapat membuat Yehuwa gembira?

 BAYANGKAN anda memberi orang kesayangan anda sebuah hadiah yang mahal dan berguna. Jika orang tersebut hanya menyimpan hadiah itu di dalam stor dan melupakannya, anda tentu sangat kecewa, bukan? Tetapi jika dia menggunakan hadiah itu dengan baik dan meluahkan penghargaannya, anda pasti sangat gembira. Oleh sebab Yehuwa sangat mengasihi kita, Dia telah memberi kita sebuah hadiah yang sangat mahal, iaitu korban tebusan. Jika kita menunjukkan penghargaan atas hadiah itu dan kasih yang ditunjukkan-Nya, Yehuwa pasti sangat gembira!​—Yoh. 3:16; Rm. 5:​7, 8.

2. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

2 Seraya masa berlalu, penghargaan kita terhadap korban tebusan mungkin berkurang. Jika hal itu berlaku, kita seolah-olah menyimpan hadiah itu di dalam stor lalu melupakannya. Oleh itu, kita mesti selalu merenungkan apa yang telah dilakukan oleh Yehuwa dan Yesus bagi kita. Rencana ini akan membincangkan manfaat yang kita raih daripada korban tebusan, baik sekarang mahupun pada masa depan. Kita juga akan membincangkan cara kita dapat menunjukkan penghargaan atas kasih Yehuwa, terutamanya semasa musim Peringatan.

MANFAAT YANG KITA RAIH SEKARANG

3. Apakah salah satu manfaat yang kita raih sekarang daripada korban tebusan?

3 Sekarang pun, kita sudah meraih manfaat daripada korban tebusan Kristus. Contohnya, atas dasar korban tebusan, Yehuwa dapat mengampunkan dosa kita. Dia berbuat demikian bukan kerana itulah kewajipan-Nya, tetapi kerana Dia ingin melakukannya. Penulis mazmur sangat menghargai pengampunan Yehuwa. Maka dia menulis, “Ya Yehuwa, Engkau baik dan suka mengampuni.”​—Mzm. 86:5; 103:​3, 10-13.

4. Yehuwa menyediakan korban tebusan untuk siapa? (Lukas 5:32; 1 Timotius 1:15)

4 Sesetengah orang berasa bahawa mereka tidak layak diampuni oleh Yehuwa. Sebenarnya, kita semua tidak berhak mendapat pengampunan Yehuwa. Rasul Paulus berkata bahawa oleh sebab dia “pernah menganiaya sidang Tuhan,” dia “tidak layak dipanggil rasul.” Namun dia menambah, “Tetapi aku dapat melakukan tugas yang diberikan kepadaku kerana kebaikan hati Tuhan yang unggul.” (1 Kor. 15:​9, 10) Semasa kita bertaubat daripada dosa kita, Yehuwa mengampuni kita, bukan kerana Dia patut melakukannya, tetapi kerana Dia mengasihi kita. Jadi jika anda rasa diri anda tidak layak diampuni, ingatlah bahawa Yehuwa menyediakan korban tebusan untuk pendosa yang bertaubat, bukan untuk orang yang sempurna.​—Baca Lukas 5:32; 1 Timotius 1:15.

5. Patutkah kita berfikir bahawa Yehuwa wajib mengampuni kita kerana kita sudah lama menyembah-Nya? Jelaskan.

5 Kita tidak patut berfikir bahawa Yehuwa wajib mengampuni kita kerana kita sudah berkhidmat kepada-Nya selama bertahun-tahun. Sudah tentu, Yehuwa menghargai kesetiaan kita. (Ibr. 6:10) Namun ingatlah bahawa korban tebusan disediakan sebagai kurniaan, bukannya sebagai upah untuk kerja yang telah kita lakukan. Oleh itu, jika kita berfikir bahawa Yehuwa patut mengampuni kita kerana kita sudah melakukan banyak kerja untuk-Nya, kita seolah-olah sedang berkata, “Saya tidak memerlukan korban tebusan.”​—Bandingkan Galatia 2:21.

6. Mengapakah Paulus bekerja begitu keras untuk Yehuwa?

6 Paulus tahu bahawa tidak kira berapa banyak yang dilakukannya untuk Yehuwa, usahanya tidak membuatnya layak diampuni. Jadi, mengapakah dia masih bekerja begitu keras untuk Yehuwa? Kerana dia ingin menunjukkan penghargaannya atas kebaikan hati Yehuwa yang unggul. (Ef. 3:7) Seperti Paulus, kita mahu terus berkhidmat kepada Yehuwa dengan bersemangat, bukan supaya kita layak menerima pengampunan-Nya, tetapi untuk menunjukkan penghargaan kita kepada-Nya.

7. Apakah satu lagi manfaat yang kita raih sekarang daripada korban tebusan? (Roma 5:1; Yakobus 2:23)

7 Satu lagi manfaat yang kita raih sekarang daripada korban tebusan ialah kita dapat menikmati hubungan yang erat dengan Yehuwa. a Seperti yang dibincangkan dalam rencana sebelumnya, sejak lahir lagi, kita bukan sebahagian daripada keluarga Tuhan. Namun, dengan adanya korban tebusan, kita dapat “menikmati kedamaian dengan Tuhan” dan dapat menghampiri-Nya.​—Baca Roma 5:1; Yakobus 2:23.

8. Mengapakah kita bersyukur kerana dapat berdoa kepada Yehuwa?

8 Fikirkan satu penghormatan yang kita miliki kerana mempunyai hubungan yang erat dengan Yehuwa: Kita dapat berdoa kepada-Nya. Yehuwa bukan sahaja mendengar doa yang diucapkan semasa umat-Nya berhimpun, tetapi juga mendengar doa yang diucapkan setiap seorang daripada penyembah-Nya semasa mereka bersendirian. Doa dapat menenangkan hati dan fikiran kita. Bukan itu sahaja, doa dapat mengeratkan lagi hubungan kita dengan Tuhan. (Mzm. 65:2; Yak. 4:8; 1 Yoh. 5:14) Semasa di bumi, Yesus sering berdoa kerana dia tahu bahawa Yehuwa mendengar doanya dan doa dapat menguatkan hubungannya dengan Yehuwa. (Luk. 5:16) Kita sangat bersyukur kerana korban tebusan Yesus membolehkan kita berdoa kepada Yehuwa dan menjadi sahabat-Nya!

MANFAAT YANG AKAN KITA RAIH PADA MASA DEPAN

9. Apakah manfaat yang menantikan penyembah Yehuwa yang setia kerana adanya korban tebusan?

9 Apakah manfaat yang menantikan penyembah Yehuwa yang setia kerana adanya korban tebusan? Mereka akan diberi kehidupan kekal. Ramai orang rasa hal itu mustahil kerana selama ribuan tahun, tiada sesiapa pun yang dapat hidup selama-lamanya. Namun pada mulanya, Yehuwa memang mahu manusia hidup kekal. Jika Adam tidak berdosa, hal itu sudah pun menjadi realiti bagi semua orang di bumi. Walaupun kehidupan kekal masih kedengaran seperti mimpi buat masa ini, kita tahu bahawa hal ini pasti berlaku kerana Yehuwa sudah membayar harga yang tertinggi, iaitu nyawa Anak kesayangan-Nya, untuk membolehkan janji itu menjadi kenyataan.​—Rm. 8:32.

10. Apakah harapan yang menantikan orang Kristian terurap dan biri-biri lain?

10 Walaupun kehidupan kekal ialah berkat pada masa depan, Yehuwa mahu kita merenungkannya sekarang. Orang Kristian terurap menantikan harapan untuk pergi ke syurga dan memerintah bumi bersama Kristus. (Why. 20:6) Biri-biri lain pula menantikan harapan untuk hidup di bumi firdaus tanpa kesakitan dan kesedihan. (Why. 21:​3, 4) Adakah anda tergolong dalam biri-biri lain yang bakal hidup kekal di bumi? Janganlah berfikir bahawa harapan anda kurang bernilai berbanding harapan orang Kristian terurap. Yehuwa memang menciptakan manusia untuk hidup di bumi. Oleh itu, anda pasti menikmati kehidupan di bumi firdaus dengan sepuas-puasnya dan tidak kekurangan apa-apa.

11-12. Apakah sesetengah berkat yang menantikan kita di Firdaus? (Lihat juga gambar.)

11 Bayangkan kehidupan anda di Firdaus nanti. Anda tidak perlu risau lagi tentang penyakit atau kematian. (Yes. 25:8; 33:24) Yehuwa akan memberi anda semua hal baik yang anda ingini. Apakah yang ingin anda belajar nanti? Fizik? Kimia? Muzik? Melukis? Di Firdaus nanti, kita pasti memerlukan arkitek, tukang bina, dan pekebun. Kita juga memerlukan orang untuk melakukan kerja-kerja lain, seperti menyediakan makanan, membuat penyelenggaraan, menghasilkan peralatan, dan memastikan tanaman selalu kemas dan cantik. (Yes. 35:1; 65:21) Dengan adanya kehidupan kekal, anda dapat melakukan semua itu dan banyak lagi!

12 Selain itu, bayangkan perasaan anda semasa melihat orang mati dibangkitkan! (Kis. 24:15) Bayangkan juga betapa gembiranya anda semasa menerokai segala ciptaan Yehuwa dan semakin mengenali-Nya. (Mzm. 104:24; Yes. 11:9) Yang paling penting, anda akan menjadi sempurna dan tidak akan mengecewakan Yehuwa lagi! Sanggupkah anda mengorbankan semua berkat ini hanya untuk “menikmati kesenangan hidup berdosa yang bersifat sementara”? (Ibr. 11:25) Janganlah berbuat demikian! Apa yang ditawarkan dunia ini langsung tidak dapat menandingi berkat yang dijanjikan Yehuwa. Jadi, biarpun anda perlu membuat pengorbanan untuk Yehuwa sekarang, semua itu tidak akan sia-sia. Ingatlah, dunia baharu bukanlah janji kosong, tetapi pasti menjadi realiti. Semua ini dapat terjadi hanya kerana Yehuwa begitu mengasihi kita sehingga rela menyediakan korban tebusan!

Berkat apakah yang paling anda nanti-nantikan di Firdaus? (Lihat perenggan 11-12)


CARA MENUNJUKKAN PENGHARGAAN KEPADA YEHUWA ATAS KASIH-NYA

13. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan penghargaan kepada Yehuwa atas kasih-Nya? (2 Korintus 6:1)

13 Bagaimanakah kita dapat menunjukkan penghargaan kepada Yehuwa kerana menyediakan korban tebusan? Dengan mengutamakan kehendak-Nya dalam kehidupan kita. (Mat. 6:33) Yesus mati “supaya orang yang hidup tidak lagi hidup untuk diri sendiri, tetapi untuk dia yang sudah mati bagi mereka dan yang sudah dibangkitkan.” (2 Kor. 5:15) Sudah pasti, kita tidak mahu mensia-siakan kebaikan hati Yehuwa yang unggul.​—Baca 2 Korintus 6:1.

14. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan bahawa kita mempercayai Yehuwa dan mematuhi arahan-Nya?

14 Kita juga dapat menunjukkan penghargaan atas kasih Yehuwa dengan mempercayai-Nya dan mematuhi arahan-Nya. Bagaimana? Kita perlu memikirkan kehendak Yehuwa semasa membuat keputusan, contohnya dalam soal pendidikan tinggi atau semasa memilih pekerjaan. (1 Kor. 10:31; 2 Kor. 5:7) Apabila kita menunjukkan iman kita melalui perbuatan, iman dan hubungan kita dengan Yehuwa akan semakin kuat. Harapan kita pun akan semakin kukuh.​—Rm. 5:​3-5; Yak. 2:​21, 22.

15. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan penghargaan atas kasih Yehuwa semasa musim Peringatan?

15 Terdapat satu lagi cara untuk menunjukkan penghargaan atas kasih Yehuwa, iaitu dengan menunjukkan kesyukuran kita atas korban tebusan semasa musim Peringatan tahun ini. Selain membuat persiapan untuk menghadiri sambutan Peringatan, kita juga mahu menjemput orang lain untuk hadir. (1 Tim. 2:4) Anda boleh menggunakan video Mengapakah Yesus Mati? dan Kenanglah Kematian Yesus di jw.org untuk menunjukkan kepada mereka apa yang akan berlaku semasa sambutan Peringatan. Para penatua, pastikan anda menjemput saudara saudari yang tidak aktif untuk hadir. Bayangkan betapa besarnya sukacita di syurga dan di bumi apabila sesetengah bebiri Yehuwa yang sesat kembali ke kawanan-Nya! (Luk. 15:​4-7) Pada malam Peringatan, janganlah kita hanya bersalam dengan orang yang kita kenal. Kita juga mahu mengalu-alukan orang yang baharu dan mereka yang sudah lama tidak menghadiri Peringatan!​—Rm. 12:13.

16. Mengapakah kita patut berusaha untuk melakukan lebih banyak dalam khidmat kepada Yehuwa semasa musim Peringatan?

16 Dapatkah anda melakukan lebih banyak untuk Yehuwa semasa musim Peringatan? Itulah satu lagi cara anda dapat menunjukkan penghargaan kepada Yehuwa dan Yesus atas segala yang telah mereka lakukan. Apabila anda lebih giat menginjil, anda akan lebih merasai sokongan Yehuwa. Hasilnya, keyakinan anda terhadap-Nya akan menjadi lebih kukuh. (1 Kor. 3:9) Selain itu, janganlah lupa untuk ikut jadual pembacaan Bible sempena Peringatan seperti yang terdapat dalam Mengkaji Ayat-Ayat Suci Setiap Hari atau dalam carta di lembaran kerja perjumpaan pertengahan minggu. Anda bahkan boleh menggunakan ayat-ayat Bible itu untuk melakukan projek pembelajaran.

17. Bagaimanakah kita dapat membuat Yehuwa gembira? (Lihat juga kotak “ Cara untuk Menunjukkan Penghargaan Atas Kasih Yehuwa.”)

17 Jika situasi anda tidak mengizinkan anda untuk melakukan semua yang dicadangkan dalam rencana ini, janganlah risau. Yehuwa tidak membandingkan usaha anda dengan usaha orang lain. Sebaliknya, Dia melihat hati anda. Apabila anda berusaha melakukan apa yang terdaya untuk menunjukkan penghargaan atas korban tebusan, Yehuwa pasti akan sangat gembira!​—1 Sam. 16:7; Mrk. 12:​41-44.

18. Mengapakah kita berterima kasih kepada Yehuwa dan Yesus?

18 Tanpa korban tebusan, dosa kita tidak akan diampunkan, kita tidak akan dapat menjadi sahabat Yehuwa, dan kita tiada harapan untuk hidup selama-lamanya. Namun, oleh sebab Yehuwa begitu mengasihi kita, Dia membuka jalan agar kita dapat menikmati semua berkat ini. Maka, marilah kita sentiasa menunjukkan penghargaan kepada Yehuwa atas kasih-Nya. (1 Yoh. 4:19) Kita juga mahu menunjukkan penghargaan kepada Yesus kerana dia begitu mengasihi kita sehingga sanggup mengorbankan nyawanya!​—Yoh. 15:13.

LAGU 154 Kasih yang Abadi

a Mengapakah Yehuwa dapat mengampunkan dosa para penyembah-Nya yang hidup sebelum Yesus membayar tebusan? Yehuwa sangat yakin Yesus akan tetap setia sampai mati. Oleh itu, biarpun Yesus belum mengorbankan nyawanya, Yehuwa menganggap korban tebusan sudah dibayar dan menggunakannya sebagai dasar untuk mengampuni mereka.—Rm. 3:25.