Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Carilah Kekayaan Sejati

Carilah Kekayaan Sejati

“Gunakanlah kekayaan daripada dunia jahat ini untuk mendapat sahabat.”​—LUK. 16:9.

LAGU: 122, 129

1, 2. Mengapakah sistem dunia ini pasti ada orang miskin?

DUNIA ekonomi hari ini kejam dan tidak adil. Ramai orang hidup miskin, bahkan di negara maju. Kaum muda sukar mendapat kerja. Banyak orang terpaksa membahayakan diri untuk berpindah ke negara yang lebih makmur. Jurang antara miskin dan kaya juga semakin lebar. Menurut anggaran, harta yang dimiliki 1% penduduk bumi yang terkaya sama banyaknya dengan jumlah harta 99% penduduk yang lain. Meskipun kita tidak tahu seberapa tepatnya angka itu, hakikatnya ialah jutaan orang hidup melarat, sedangkan yang lain begitu kaya sehingga tujuh keturunan pun tidak dapat menghabiskannya. Yesus juga menyebut tentang keadaan itu semasa dia berkata, “Orang miskin sentiasa ada bersama kamu.” (Mrk. 14:7) Mengapakah keadaan sebegini wujud?

2 Yesus tahu bahawa sistem ekonomi sekarang hanya akan berubah semasa Kerajaan Tuhan datang. Dunia Syaitan terdiri daripada unsur politik, agama, dan sistem perdagangan yang digambarkan sebagai “saudagar” di Wahyu 18:3. Meskipun umat Tuhan dapat memisahkan diri dengan sepenuhnya daripada politik dan agama palsu, kebanyakan daripada mereka tidak dapat memisahkan diri dengan sepenuhnya daripada sistem perdagangan dunia Syaitan.

3. Apakah soalan-soalan yang akan kita bincangkan?

3 Sebagai orang Kristian, kita harus menilai pandangan kita terhadap sistem perdagangan dunia hari ini. Tanyalah diri: “Bagaimanakah saya dapat menggunakan harta benda untuk menunjukkan kesetiaan kepada Tuhan? Bagaimanakah saya dapat mengurangkan penglibatan dalam dunia perdagangan? Apakah pengalaman yang menunjukkan bahawa umat Tuhan beriman kepada-Nya meskipun hidup di dunia yang mencabar ini?”

PERUMPAMAAN TENTANG HAMBA YANG TIDAK JUJUR

4, 5. (a) Apakah yang berlaku kepada pengurus dalam perumpamaan Yesus? (b) Apakah nasihat yang diberikan Yesus kepada para pengikutnya?

4 Baca Lukas 16:1-9. Perumpamaan Yesus tentang pengurus rumah tangga itu amat menarik. Setelah dituduh membazirkan harta tuannya, pengurus itu “bertindak dengan bijaksana” untuk “mendapat sahabat” yang akan membantunya apabila dia dipecat nanti. * Sudah pasti, perumpamaan Yesus bukan untuk menggalakkan pengikutnya berbuat jahat demi mencari sesuap nasi, seperti yang dilakukan oleh “orang dalam sistem dunia ini.” Namun, Yesus ingin menegaskan suatu hal yang penting.

5 Seperti pengurus yang dilanda kesusahan itu, ramai orang Kristian perlu mencari nafkah di dunia yang tidak adil. Yesus tahu akan hal itu, maka dia menasihati mereka, “Gunakanlah kekayaan daripada dunia jahat ini untuk mendapat sahabat. Dengan demikian, apabila kekayaan kamu lenyap, sahabat-sahabat itu [Yehuwa dan Yesus] akan menyambut kamu ke dalam tempat kediaman yang abadi.” Apakah pengajarannya bagi kita?

6. Bagaimanakah kita tahu bahawa sistem perdagangan bukanlah tujuan asal Tuhan?

6 Yesus tidak menjelaskan sebabnya dia memanggil kekayaan itu “jahat.” Namun Bible menyatakan bahawa sistem perdagangan bukanlah tujuan asal Tuhan. Di Taman Eden, Yehuwa memuaskan segala keperluan Adam dan Hawa. (Kej. 2:15, 16) Pada abad pertama, orang Kristian yang menerima kuasa suci Tuhan tidak “menganggap apa yang dimilikinya kepunyaan sendiri. Mereka saling mengongsi segala milik mereka.” (Kis. 4:32) Nabi Yesaya juga menubuatkan bahawa semua orang akan menikmati hasil bumi dengan percuma. (Yes. 25:6-9; 65:21, 22) Namun, sebelum waktu itu tiba, para pengikut Yesus memerlukan kebijaksanaan agar dapat menyara kehidupan dengan kekayaan dunia jahat, dan menyenangkan hati Tuhan pada masa yang sama.

MENGGUNAKAN KEKAYAAN DUNIA JAHAT DENGAN BIJAK

7. Apakah nasihat yang terkandung dalam Lukas 16:10-13?

7 Baca Lukas 16:10-13. Pengurus dalam perumpamaan Yesus mencari sahabat demi kepentingan sendiri. Namun, itu bukanlah tujuan kita mencari sahabat yang di syurga. Kata-kata Yesus yang seterusnya menunjukkan bahawa cara kita menggunakan kekayaan dunia ini dapat menyatakan sama ada kita setia kepada Tuhan atau tidak. Bagaimana?

8, 9. Bagaimanakah sesetengah saudara saudari menunjukkan kesetiaan semasa menggunakan harta benda mereka?

8 Salah satu cara kita menunjukkan kesetiaan adalah dengan menderma untuk kerja sedunia yang dinubuatkan Yesus. (Mat. 24:14) Seorang budak perempuan di India menabung duit syilingnya dan sanggup tidak membeli mainan supaya dapat mengumpulkan wang untuk menyokong kerja penyebaran. Seorang saudara di India yang memiliki ladang kelapa tahu bahawa pejabat penterjemahan Malayalam perlu membeli kelapa. Jadi dia menyumbangkan banyak kelapa kerana percaya bahawa cara itu lebih baik daripada menyumbangkan wang. Itulah tindakan yang bijak. Begitu juga, saudara saudari di Greece selalu menyumbangkan minyak zaitun, keju, dan makanan lain kepada keluarga Bethel.

9 Seorang saudara dari Sri Lanka, yang kini tinggal di luar negara, telah menawarkan rumahnya di negara asalnya sebagai tempat untuk perjumpaan, perhimpunan, dan sebagai penginapan bagi pekhidmat sepenuh masa. Pengorbanan saudara itu amat membantu penyiar tempatan yang miskin. Di sebuah negara yang menyekat kerja kita, saudara-saudara telah menawarkan rumah mereka sebagai Dewan Perjumpaan, supaya banyak perintis dan rakan seiman yang kurang berkemampuan dapat beribadat tanpa menanggung perbelanjaan yang besar.

10. Apakah berkat-berkat yang diterima apabila kita murah hati?

10 Contoh-contoh tadi menunjukkan bagaimana umat Tuhan “setia dalam perkara yang kecil.” Mereka menggunakan harta benda untuk membantu orang lain. (Luk. 16:10) Sahabat-sahabat Yehuwa sudi membuat pengorbanan sebegini, kerana mereka tahu bahawa sikap murah hati membawa berkat dan “kekayaan sejati.” (Luk. 16:11; Mzm. 112:5; Ams. 22:9) Seorang saudari yang sering menderma untuk kerja sedunia menjelaskan, “Sikap murah hati mengubah diri saya dengan luar biasa. Apabila saya semakin gemar memberi, sikap murah hati saya terhadap orang lain juga bertambah. Saya lebih sudi mengampuni, lebih sabar, dan lebih sanggup menghadapi kekecewaan dan menerima nasihat.”

11. (a) Mengapakah kemurahan hati kita merupakan ‘tindakan yang bijaksana’? (b) Bagaimanakah umat Tuhan mengagihkan wang dengan “sama rata”? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

11 Apabila kita menggunakan harta benda untuk menyokong Kerajaan Tuhan dan membantu orang lain, kita sedang “bertindak dengan bijaksana.” Sesetengah umat Tuhan tidak dapat berkhidmat sepenuh masa atau berpindah ke tempat yang memerlukan bantuan. Namun, mereka berasa puas kerana derma mereka menyokong kerja rohani rakan seiman yang lain. (Ams. 19:17) Sumbangan sukarela kita membantu menyediakan bahan bacaan dan menyokong kerja penyebaran di negara miskin yang mempunyai pertumbuhan rohani yang pesat. Dahulu, di negara seperti Congo, Madagascar, dan Rwanda, harga Bible biasanya sama dengan gaji seminggu atau sebulan. Jadi jika saudara saudari kita membeli Bible, mereka tidak dapat membeli makanan untuk keluarga. Namun, dengan adanya sumbangan saudara saudari dan pengagihan wang dengan “sama rata,” organisasi Yehuwa dapat menterjemahkan dan mengedarkan Bible kepada setiap ahli keluarga dan pelajar Bible yang menginginkan kebenaran. (Baca 2 Korintus 8:13-15.) Dengan cara itu, orang yang memberi dan yang menerima dapat menjadi sahabat Yehuwa.

MENGURANGKAN PENGLIBATAN DALAM “URUSAN PERDAGANGAN”

12. Bagaimanakah Abraham menunjukkan bahawa dia beriman kepada Tuhan?

12 Kita juga dapat menjadi sahabat Yehuwa dengan mengurangkan penglibatan dalam dunia perdagangan dan berusaha mencari “kekayaan sejati.” Abraham rela meninggalkan kota Ur yang makmur dan tinggal di khemah kerana ingin menjadi sahabat Yehuwa. (Ibr. 11:8-10) Dia sentiasa berharap kepada Tuhan, Sumber kekayaan sejati, dan bukannya harta benda. (Kej. 14:22, 23) Semasa menggalakkan seorang pemuda yang kaya untuk menunjukkan iman sebegitu dan menjadi pengikutnya, Yesus berkata, “Jika kamu mahu menjadi sempurna, pergilah dan juallah semua harta milik kamu lalu berikanlah wang itu kepada orang yang miskin. Dengan demikian, kamu akan mempunyai harta di syurga.” (Mat. 19:21) Pemuda itu gagal menunjukkan iman yang diperlihatkan Abraham, tetapi ramai telah menaruh sepenuh keyakinan kepada Tuhan.

13. (a) Apakah nasihat Paulus kepada Timotius? (b) Bagaimanakah kita dapat menerapkan nasihat Paulus?

13 Timotius seorang yang teguh imannya. Setelah memanggilnya “askar Kristus Yesus yang baik,” Paulus memberitahunya bahawa seorang “askar tidak akan melibatkan diri dalam urusan perdagangan orang awam, agar dia dapat menyenangkan hati orang yang mendaftarkannya sebagai askar.” (2 Tim. 2:3, 4) Para pengikut Yesus hari ini, termasuk lebih daripada sejuta orang pekhidmat sepenuh masa, berusaha menerapkan nasihat Paulus. Mereka menolak godaan daripada iklan dunia ini dan ingat bahawa penghutang ialah hamba kepada pemiutang. (Ams. 22:7) Syaitan mahu kita menghabiskan semua masa dan tenaga kita sebagai hamba kepada dunia perdagangannya. Jika kita membuat keputusan yang kurang bijak, kita mungkin terikat kepada hutang selama bertahun-tahun kerana membuat pinjaman yang besar untuk rumah, pendidikan, kereta, dan bahkan majlis perkahwinan. Kita “bertindak dengan bijaksana” jika kita hidup sederhana dan mengurangkan hutang dan perbelanjaan. Dengan itu, kita dapat menjadi hamba Tuhan dan bukannya hamba dunia perdagangan.​—1 Tim. 6:10.

14. Kita harus bertekad untuk melakukan apa? Berikan contoh.

14 Kita perlu mengenal pasti keutamaan sendiri agar dapat hidup sederhana. Satu pasangan yang memiliki perniagaan yang maju ingin menyertai khidmat sepenuh masa semula. Maka, mereka telah menjual perniagaan, kapal, dan harta mereka yang lain, lalu menyertai kerja pembinaan ibu pejabat sedunia di Warwick, New York. Usaha itu membawa berkat yang istimewa. Mereka dapat bekerja beberapa minggu bersama ibu bapa si suami di Warwick, dan bahkan berpeluang berkhidmat di Bethel bersama anak perempuan dan menantu mereka. Seorang saudari yang merintis di Colorado, A.S., bekerja separuh masa di bank. Dia melakukan kerjanya dengan begitu baik, sehingga dia ditawarkan jawatan sepenuh masa dan gaji tiga kali ganda. Namun, dia menolak tawaran itu kerana jawatan tersebut akan menghalangnya daripada berfokus kepada kerja penyebaran. Banyak hamba Yehuwa telah membuat pengorbanan sedemikian. Tekad sebegini untuk mengutamakan Kerajaan Tuhan menunjukkan bahawa kita lebih menghargai persahabatan dengan Tuhan dan kekayaan rohani berbanding segala harta dunia ini.

APABILA KEKAYAAN LENYAP

15. Apakah yang harus kita lakukan untuk meraih kepuasan yang terbesar?

15 Harta benda tidak semestinya bukti akan berkat Tuhan. Yehuwa memberkati orang yang “melakukan banyak perbuatan yang baik.” (Baca 1 Timotius 6:17-19.) Contohnya, apabila Saudari Lucia * dari Itali mendapat tahu tentang keperluan di Albania, dia berpindah ke sana pada tahun 1993. Dia tiada sumber pendapatan, tetapi dia percaya sepenuhnya kepada Yehuwa. Dia telah menguasai bahasa Albania dan membantu lebih daripada 60 orang untuk membaktikan diri kepada Tuhan. Meskipun kebanyakan umat Tuhan tidak menginjil di tempat yang begitu berhasil, apa-apa pun yang kita lakukan untuk membantu orang mengikut jalan kehidupan akan dihargai buat selama-lamanya.​—Mat. 6:20.

16. (a) Apakah yang akan berlaku kepada sistem perdagangan hari ini? (b) Bagaimanakah pengetahuan tentang hal itu harus mempengaruhi pandangan kita terhadap harta benda?

16 Yesus berkata, “Apabila kekayaan kamu lenyap” dan bukannya ‘Jika kekayaan kamu lenyap.’ (Luk. 16:9) Tidak lama lagi, sistem politik, agama, dan perdagangan dunia Syaitan akan lenyap. Keadaan pada masa itu akan jauh lebih teruk daripada keruntuhan ekonomi sekarang. Nabi Yehezkiel dan Zefanya menubuatkan bahawa emas dan perak yang begitu berharga selama ini akan menjadi tidak berguna. (Yeh. 7:19; Zef. 1:18) Apabila kita sudah tua nanti, apakah perasaan kita jika mendapati bahawa kita telah mengorbankan kekayaan sejati untuk mengumpulkan banyak harta daripada dunia jahat ini? Kita akan seperti seorang yang mendapati bahawa semua wang simpanannya ialah duit palsu setelah membanting tulang seumur hidup untuk bekerja. (Ams. 18:11) Memandangkan kekayaan sebegini akan lenyap, gunakannya sekarang untuk “mendapat sahabat” yang di syurga. Ya, berusahalah untuk menyokong Kerajaan Yehuwa dan jadilah kaya secara rohani.

17, 18. Apakah masa depan sahabat-sahabat Tuhan?

17 Semasa Kerajaan Tuhan datang, kita tidak perlu membayar sewa, ansuran, atau kos perubatan lagi. Makanan yang berlimpah akan disediakan secara percuma. Keluarga Yehuwa di bumi akan menikmati hasil bumi yang terbaik. Emas, perak, dan permata, akan digunakan sebagai perhiasan, bukan sebagai lambang kekayaan. Semua orang akan mendapat kayu, batu, dan logam, yang bermutu untuk membina rumah yang cantik. Sahabat akan saling membantu dengan rela hati, bukan untuk mendapat duit. Segala sumber bumi akan dikongsi bersama-sama.

18 Semua itu hanya sebahagian daripada warisan yang menantikan mereka yang berusaha mendapat sahabat yang di syurga. Umat Yehuwa akan menikmati sukacita yang tidak terhingga semasa mendengar Yesus berkata, “Marilah, kamu yang telah diberkati oleh Bapaku. Warisilah Kerajaan Tuhan yang telah disediakan untuk kamu sejak dunia diasaskan.”​—Mat. 25:34.

^ per. 4 Yesus tidak menyatakan sama ada tuduhan itu benar atau palsu. Perkataan Yunani yang diterjemahkan sebagai “dituduh” di Lukas 16:1 juga mungkin bermaksud pengurus itu telah difitnah. Namun, tumpuan Yesus adalah kepada reaksi pengurus itu, bukannya sebab dia dipecat.

^ per. 15 Kisah hidup Lucia Moussanett terdapat dalam majalah Sedarlah! terbitan 22 Jun 2003, ms. 18-22.