Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Benarkah Yesus Mati untuk Saya?

Benarkah Yesus Mati untuk Saya?

BIBLE penuh dengan luahan daripada orang yang “mempunyai perasaan seperti kita.” (Yak. 5:17) Sebagai contoh, fikirkan kata-kata Paulus: “Apabila aku mahu melakukan apa yang baik, apa yang jahat ada padaku. . . . Alangkah malangnya aku ini!” (Rm. 7:21-24) Sebagai orang yang tidak sempurna, kata-kata itu menggalakkan kita kerana menunjukkan bahawa orang yang setia seperti Paulus juga mengalami cabaran yang serupa.

Paulus pernah mengungkapkan perasaan yang lain juga. Di Galatia 2:20, dia meluahkan keyakinannya bahawa Yesus ‘mengasihinya dan telah menyerahkan diri baginya.’ Adakah anda selalu yakin bahawa Yesus telah mengorbankan diri bagi anda?

Jika kita memandang rendah kepada diri sendiri kerana dosa lampau, ada kalanya kita mungkin berasa susah untuk percaya bahawa Yehuwa mengasihi kita dan telah mengampuni kita. Kita juga mungkin berasa susah untuk memandang korban tebusan sebagai kurniaan yang disediakan untuk diri kita. Adakah Yesus mahu kita menganggap pengorbanannya sebagai kurniaan peribadi untuk kita? Bagaimanakah kita dapat memupuk pandangan itu? Mari kita menjawab dua soalan ini.

PANDANGAN YESUS TERHADAP PENGORBANANNYA

Bagaimanakah kita tahu bahawa Yesus mahu kita menganggap pengorbanannya sebagai kurniaan peribadi untuk kita? Sila bayangkan situasi yang digambarkan di Lukas 23:39-43. Seorang lelaki digantungkan pada tiang seksaan di sebelah Yesus. Dia mengaku bahawa dia telah berbuat jahat, dan kejahatan yang dilakukannya pasti serius, kerana hanya penjenayah yang keji akan dihukum mati pada tiang. Lelaki itu berasa risau dan merayu kepada Yesus, “Ingatlah aku apabila kamu masuk dalam Kerajaanmu.”

Apakah reaksi Yesus? Bayangkan Yesus menahan kesakitan semasa dia mengangkat kepalanya lalu memandang penjenayah itu. Meskipun Yesus menderita, dia masih tersenyum dan memberitahu lelaki tersebut, “Sesungguhnya aku berkata kepada kamu hari ini: Kamu akan bersama-sama aku di Firdaus.” Yesus memang boleh memberitahunya bahawa ‘Anak Manusia datang untuk menyerahkan nyawanya sebagai tebusan bagi banyak orang.’ (Mat. 20:28) Tetapi dengan menggunakan perkataan “aku” dan “kamu,” Yesus menegaskan bahawa pengorbanannya dan harapan lelaki itu untuk hidup di bumi firdaus merupakan kurniaan peribadi.

Penjenayah itu tidak berpeluang untuk menyembah Tuhan, namun Yesus ingin dia menganggap korban tebusan sebagai kurniaan peribadi. Jika begitu, sudah tentu Yesus mahu orang Kristian terbaptis yang sedang menyembah Tuhan untuk mempunyai pandangan yang sama! Jadi, bagaimanakah kita dapat memupuk pandangan itu meskipun kita pernah berdosa pada masa dahulu?

APAKAH YANG MEMBANTU PAULUS?

Tugas suci Paulus telah mempengaruhi pandangannya terhadap korban Yesus. Dia menjelaskan, “Aku bersyukur kepada Tuan kita, Kristus Yesus, yang memberi aku kuasa, kerana dia menganggap aku setia dan memberi aku suatu tugas suci meskipun dahulu aku menghina Tuhan, menganiaya umat-Nya, dan bersikap biadab.” (1 Tim. 1:12-14) Tugas itu mengingatkan Paulus bahawa Yesus mengasihinya, berbelas kasihan terhadapnya, dan yakin kepadanya. Begitu juga, Yesus telah memberi setiap seorang daripada kita suatu tugas yang suci, iaitu kerja penyebaran. (Mat. 28:19, 20) Dapatkah tugas itu membantu kita memupuk pandangan seperti Paulus?

Albert, yang kembali kepada Yehuwa setelah disingkirkan untuk hampir 34 tahun, berkata, “Saya tidak dapat lupakan dosa-dosa saya. Tetapi semasa menginjil, saya berasa Yesus telah memberi saya tugas suci ini, seperti yang diberikannya kepada Paulus. Hal ini menguatkan saya dan membantu saya berpandangan positif terhadap diri saya, kehidupan saya, dan masa depan saya.”​—Mzm. 51:3.

Semasa mengajar orang daripada pelbagai latar belakang, yakinkanlah mereka bahawa Yesus berbelas kasihan dan mengasihi mereka

Allan, yang sangat ganas dan melakukan banyak jenayah sebelum mengenali kebenaran, berkata, “Saya masih fikir tentang bagaimana saya pernah melukai orang lain, dan ada masanya saya berasa murung. Tetapi saya bersyukur kepada Yehuwa kerana Dia membenarkan seorang pendosa seperti saya untuk kongsi berita baik dengan orang lain. Semasa melihat reaksi mereka terhadap berita baik, saya diingatkan bahawa Yehuwa amat baik dan pengasih. Saya berasa bahawa Dia sedang menggunakan saya untuk membantu orang lain yang seperti saya.”

Semasa menginjil, kita dapat bertumpu kepada perbuatan yang baik dan fikiran yang positif. Tugas suci itu mengingatkan kita bahawa Yesus berbelas kasihan terhadap kita, mengasihi kita, dan yakin kepada kita.

YEHUWA LEBIH BESAR DARIPADA HATI KITA

Selagi dunia jahat Syaitan belum dilenyapkan, kita mungkin masih berasa bersalah kerana kesilapan yang lampau. Bagaimanakah kita dapat mengatasinya?

“Saya bersyukur kerana ‘Tuhan lebih besar daripada hati kita,’” kata Jean, yang sering menyalahkan diri kerana hidup bermuka dua semasa muda. (1 Yoh. 3:19, 20) Seperti Jean, kita dapat berasa lega jika kita ingat bahawa Yehuwa dan Yesus jauh lebih memahami keadaan kita yang berdosa berbanding kita sendiri. Ingatlah bahawa mereka menyediakan tebusan, bukan untuk manusia yang sempurna, tetapi untuk pendosa yang bertaubat.​—1 Tim. 1:15.

Kita dapat meyakinkan diri tentang kebenaran itu dengan berdoa sambil merenungkan cara Yesus melayan orang yang tidak sempurna, dan dengan berusaha sebaik-baiknya untuk melaksanakan tugas yang diberinya kepada kita. Apabila kita berbuat demikian, kita dapat berkata seperti Paulus, “[Yesus] mengasihi aku dan telah menyerahkan dirinya bagi aku.”