Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 29

“Pergilah . . . dan Jadikanlah Mereka Pengikutku”

“Pergilah . . . dan Jadikanlah Mereka Pengikutku”

“Pergilah kepada semua bangsa dan jadikanlah mereka pengikutku.”​—MAT. 28:19.

LAGU 60 Selamatkanlah Mereka

PENGENALAN *

1-2. (a) Menurut perintah Yesus yang tercatat di Matius 28:18-20, apakah tugas utama sidang Kristian? (b) Apakah soalan-soalan yang akan kita jawab dalam rencana ini?

SETELAH dibangkitkan, Yesus menyuruh para rasul untuk bertemu dengannya di sebuah gunung di Galilea. (Mat. 28:16) Sudah pasti mereka sangat teruja semasa berkumpul di situ. Barangkali, itulah masanya Yesus “menampakkan diri kepada lebih daripada 500 orang saudara sekali gus.” (1 Kor. 15:6) Mengapakah Yesus mengaturkan pertemuan itu? Untuk memberi murid-muridnya satu tugas yang penting: “Pergilah kepada semua bangsa dan jadikanlah mereka pengikutku.”​—Baca Matius 28:18-20.

2 Para pengikut Kristus yang mendengar arahannya itu kemudiannya telah menjadi ahli dalam sidang Kristian abad pertama. Tugas utama sidang itu adalah untuk membantu lebih ramai orang menjadi pengikut Kristus. * Hari ini, terdapat lebih daripada seratus ribu buah sidang Kristian di serata dunia, yang menjalankan tugas yang sama. Dalam rencana ini, kita akan menjawab empat soalan berikut: Mengapakah kerja menjadikan orang pengikut Kristus begitu penting? Apakah yang terlibat dalam kerja ini? Adakah semua orang Kristian terlibat dalam tugas ini? Mengapakah kita perlu bersabar semasa menjalankan tugas ini?

MENGAPAKAH TUGAS INI BEGITU PENTING?

3. Menurut Yohanes 14:6 dan 17:3, mengapakah kerja menjadikan orang pengikut Kristus begitu penting?

3 Mengapakah kerja menjadikan orang pengikut Kristus begitu penting? Kerana hanya pengikut Kristus dapat menjadi sahabat Tuhan. Selain itu, orang yang mengikut Kristus dapat menikmati kehidupan yang lebih baik sekarang dan berpeluang hidup selama-lamanya pada masa depan. (Baca Yohanes 14:6; 17:3.) Jelaslah, tanggungjawab yang diberikan Yesus kepada kita amat penting. Namun, kita tidak menjalankannya seorang diri. Rasul Paulus menulis bahawa dia dan beberapa orang kawan karibnya ialah “rakan sekerja Tuhan.” (1 Kor. 3:9) Tidakkah anda setuju bahawa bagi manusia yang tidak sempurna, tugas ini sememangnya penghormatan yang besar daripada Yehuwa dan Kristus?

4. Apakah yang kita pelajari daripada contoh Ivan dan Matilde?

4 Kerja menjadikan orang murid Kristus dapat membawa sukacita yang besar. Perhatikan contoh Ivan dan isterinya Matilde yang tinggal di Colombia. Mereka memberikan kesaksian kepada Davier, seorang pemuda yang memberitahu mereka, “Saya mahu berubah, tetapi tidak mampu melakukannya.” Davier merupakan seorang peninju dan kaki botol, dan dia mengambil dadah serta tinggal bersama teman wanitanya Erika. Ivan menjelaskan, “Davier tinggal di sebuah kampung yang terpencil, jadi kami perlu berbasikal berjam-jam di jalan yang berlumpur untuk mengunjunginya. Setelah Erika melihat perubahan dalam sikap dan kelakuan Davier, dia pun mula belajar Bible.” Akhirnya, Davier berhenti mengambil dadah dan meninju, serta tidak lagi mabuk. Dia juga berkahwin dengan Erika. Matilde berkata, “Semasa Davier dan Erika dibaptis pada tahun 2016, kami menangis kegirangan semasa terfikir kata-kata Davier dahulu bahawa dia tidak dapat berubah.” Sesungguhnya, kita amat bersukacita semasa membantu orang menjadi pengikut Kristus.

APAKAH YANG TERLIBAT DALAM KERJA INI?

5. Apakah langkah pertama untuk menjadikan orang pengikut Kristus?

5 Langkah pertama untuk menjadikan orang pengikut Kristus ialah mencari orang yang berhati jujur. (Mat. 10:11) Apabila kita berusaha mematuhi perintah Kristus dan memberikan kesaksian kepada semua orang yang kita temui, kita membuktikan bahawa kita ialah Saksi-Saksi Yehuwa dan orang Kristian yang sejati.

6. Bagaimanakah kita boleh mendapat hasil yang baik dalam kerja penyebaran?

6 Sesetengah orang suka mempelajari Bible, tetapi ramai orang yang kita temui mungkin tidak berminat pada mulanya. Untuk mendapat hasil yang baik dalam kerja penyebaran, kita perlu membuat persiapan yang baik agar dapat membangkitkan minat mereka. Pilihlah topik-topik yang mungkin diminati mereka, dan fikirkan bagaimana anda akan memperkenalkannya.

7. Bagaimanakah anda dapat memulakan perbualan? Menurut anda, mengapakah penting untuk mendengar dan menghormati pandangan orang lain?

7 Misalnya, anda boleh bertanya kepada penghuni rumah, “Bolehkah saya tanya pendapat kamu? Ramai orang sekarang menghadapi banyak masalah. Kamu rasa mungkinkah mana-mana kerajaan dapat menyelesaikan semua masalah kita?” Kemudian, anda boleh membincangkan Daniel 2:44. Atau anda boleh bertanya, “Pada pendapat kamu, apakah caranya untuk mengajar anak supaya berkelakuan baik?” Selepas itu, bincangkan Ulangan 6:6, 7. Semasa memilih topik perbincangan, fikirkanlah pendengar anda dan manfaat yang akan diraih mereka setelah mengetahui ajaran Bible. Ketika berbual bersama mereka, dengarlah dan hormatilah pandangan mereka. Dengan itu, anda dapat lebih memahami fikiran mereka, dan mereka pun akan lebih sudi mendengar anda.

8. Mengapakah kita perlu terus berusaha untuk membuat kunjungan kembali?

8 Sebelum seseorang memutuskan untuk mempelajari Bible, anda mungkin perlu mengerahkan masa dan usaha untuk membuat kunjungan kembali. Mengapa? Kerana orang itu tidak semestinya berada di rumah semasa anda melawatnya. Selain itu, dia mungkin perlu dikunjungi beberapa kali terlebih dahulu sebelum dia sudi belajar Bible. Sebagaimana tumbuhan yang disiram secara kerap dapat bertumbuh, kita juga perlu membincangkan Bible bersama seseorang secara kerap, barulah kasihnya untuk Yehuwa dan Kristus dapat bertumbuh.

ADAKAH SEMUA ORANG KRISTIAN TERLIBAT DALAM KERJA INI?

Saksi-Saksi di serata dunia terlibat dalam kerja mencari orang yang layak (Lihat perenggan 9-10) *

9-10. Mengapakah setiap orang Kristian terlibat dalam kerja mencari orang yang berhati jujur? Jelaskan.

9 Setiap orang Kristian terlibat dalam kerja mencari orang yang berhati jujur. Kita dapat menyamakan kerja ini dengan usaha mencari seorang anak yang hilang. Fikirkan kisah benar ini: Seorang budak lelaki yang berumur tiga tahun telah hilang, dan sekitar 500 orang telah menyertai usaha untuk mencarinya. Selepas kira-kira 20 jam, salah seorang daripada mereka berjaya menemui budak itu di sebuah ladang jagung. Namun, dia berkata bahawa itu bukan jasanya sendiri. “Usaha ratusan orang diperlukan untuk cari budak itu,” katanya.

10 Seperti budak itu, ramai orang hilang hala tuju. Mereka hidup tanpa harapan dan ingin dibantu. (Ef. 2:12) Terdapat lebih daripada lapan juta orang rakan seiman kita yang sedang berusaha untuk mencari orang sedemikian. Anda sendiri mungkin tidak berjumpa dengan seseorang yang ingin mempelajari Bible, tetapi penyiar lain di kawasan anda mungkin menemui orang yang mahu mengenali kebenaran. Apabila seorang saudara atau saudari menemui seseorang yang kemudiannya menjadi murid Kristus, semua orang yang terlibat dalam kerja mencari itu patut bersukacita.

11. Biarpun anda tidak mempunyai pelajar Bible sekarang, bagaimanakah anda dapat membantu menjadikan orang murid Kristus?

11 Biarpun anda kini tiada pelajar Bible, anda masih dapat membantu menjadikan orang murid Kristus. Misalnya, anda boleh mengalu-alukan orang baharu di Dewan Perjumpaan dan menjadi kawan mereka. Kasih yang anda tunjukkan melalui cara ini dapat meyakinkan mereka bahawa kita memang orang Kristian sejati. (Yoh. 13:34, 35) Komen anda di perjumpaan, walaupun singkat, dapat mengajar orang baharu untuk mengungkapkan kepercayaan mereka di perjumpaan dengan cara yang ikhlas dan hormat. Anda juga dapat menginjil bersama seorang penyiar yang baharu dan membantunya menggunakan Bible untuk mengajar orang. Dengan itu, anda dapat mengajarnya cara meniru Kristus.​—Luk. 10:25-28.

12. Perlukah kita memiliki kebolehan yang luar biasa untuk menjadikan orang murid Kristus? Jelaskan.

12 Kita tidak patut berfikir bahawa kita memerlukan kebolehan yang luar biasa untuk membantu orang menjadi pengikut Kristus. Mengapa? Perhatikan contoh Faustina dari Bolivia. Dia buta huruf semasa baru mengenali Saksi. Kini dia sudah lebih mahir membaca, sudah dibaptis, dan suka mengajar orang. Biasanya, dia mengadakan lima pembelajaran Bible setiap minggu. Walaupun kemahiran membaca Faustina tidak sebaik pelajarnya, setakat ini dia telah membantu enam orang untuk dibaptis.​—Luk. 10:21.

13. Walaupun kita sangat sibuk, apakah manfaatnya jika kita berusaha menjadikan orang murid Kristus?

13 Ramai orang Kristian sangat sibuk kerana perlu mengurus pelbagai tanggungjawab yang penting. Namun, mereka masih meluangkan masa untuk mengadakan pembelajaran Bible, dan mereka amat menikmati kerja ini. Fikirkan Melanie, seorang ibu tunggal di Alaska yang mempunyai seorang anak perempuan yang berumur lapan tahun. Melanie merupakan satu-satunya Saksi di pekannya yang terpencil, dan dia perlu bekerja sepenuh masa dan menjaga bapanya yang menghidap kanser. Meskipun demikian, dia benar-benar ingin menemui seorang yang sudi belajar Bible, maka dia sering berdoa agar diberi kekuatan untuk keluar menginjil dalam cuaca yang sejuk. Akhirnya Melanie telah menemui Sara, yang teruja semasa diberitahu bahawa Tuhan mempunyai nama. Tidak lama kemudian, Sara mula belajar Bible. Melanie berkata, “Pada malam Jumaat, saya letih sekali, tetapi saya dan anak perempuan saya mendapat manfaat kerana belajar Bible dengan Sara. Kami suka membuat penyelidikan untuk mencari jawapan kepada soalan Sara, dan kami sangat gembira melihatnya menjadi sahabat Yehuwa.” Sara telah menghadapi tentangan dengan berani, meninggalkan gerejanya, dan akhirnya dibaptis.

SEBABNYA KERJA INI MEMERLUKAN KESABARAN

14. (a) Apakah persamaan antara kerja menjadikan orang pengikut Kristus dengan kerja nelayan? (b) Bagaimanakah kata-kata Paulus di 2 Timotius 4:1, 2 mempengaruhi pandangan anda terhadap kerja penyebaran?

14 Jika hasil kerja penyebaran anda nampaknya kurang memberangsangkan, janganlah putus asa. Ingatlah bahawa Yesus menyamakan kerja menjadikan orang muridnya dengan kerja nelayan. Nelayan mungkin perlu menghabiskan masa berjam-jam sebelum dapat menangkap ikan. Sering kali, mereka perlu bekerja pada lewat malam atau awal pagi, dan ada kalanya mereka perlu pergi ke tempat yang jauh untuk menangkap ikan. (Luk. 5:5) Begitu juga, sesetengah orang Kristian dengan sabar menghabiskan masa berjam-jam untuk “menangkap ikan” di pelbagai tempat pada masa yang berlainan. Mengapa? Supaya mereka berpeluang menemui lebih ramai orang. Penyiar yang mencurahkan usaha sebegini biasanya meraih berkat kerana dapat berjumpa dengan orang yang berminat. Dapatkah anda mencuba menginjil pada masa dan di tempat yang membolehkan anda berjumpa dengan lebih ramai orang?​—Baca 2 Timotius 4:1, 2.

Bantulah pelajar Bible anda dengan sabar untuk membuat kemajuan rohani (Lihat perenggan 15-16) *

15. Mengapakah kita perlu bersabar semasa mengadakan pembelajaran Bible?

15 Kita juga perlu bersabar semasa mengadakan pembelajaran Bible. Mengapa? Kita bukan sahaja perlu membantu pelajar kita mengenali dan mengasihi ajaran Bible, tetapi juga membantunya mengenali dan mengasihi Pengarang Bible, iaitu Yehuwa. Selain itu, sekadar mengajar pelajar kita apa yang dikehendaki Yesus daripada para pengikutnya tidak cukup. Kita juga perlu membantu pelajar kita memahami bagaimana dia dapat hidup selaras dengan perintah Yesus. Apabila pelajar itu berusaha menerapkan prinsip Bible, kita mesti menolongnya dengan sabar. Sesetengah pelajar dapat mengubah tabiat dan fikiran mereka dalam masa beberapa bulan, tetapi ada juga yang memerlukan waktu yang jauh lebih lama.

16. Apakah yang anda pelajari daripada pengalaman tentang Raúl?

16 Seorang mubaligh di Peru telah mendapat hasil yang baik kerana bersikap sabar. “Saya sudah habis mempelajari dua buku bersama Raúl,” katanya. “Tetapi Raúl masih perlu membuat banyak perubahan. Perkahwinannya bermasalah, dia suka memaki, dan anak-anaknya susah menghormatinya. Namun, Raúl menghadiri perjumpaan dengan tetap, maka saya terus melawatnya untuk membantu dia dan keluarganya. Lebih daripada tiga tahun selepas saya berjumpa dengannya, Raúl memenuhi syarat untuk dibaptis.”

17. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana seterusnya?

17 Yesus menyuruh kita untuk ‘pergi kepada semua bangsa dan menjadikan mereka pengikutnya.’ Untuk melaksanakan tugas itu, kita sering perlu bercakap kepada orang yang mempunyai fikiran yang sangat berbeza daripada kita. Ada antara mereka yang tidak menganuti mana-mana agama atau tidak percaya bahawa Tuhan wujud. Rencana seterusnya akan membincangkan bagaimana kita dapat menyampaikan berita baik kepada orang daripada pelbagai latar belakang.

LAGU 68 Menabur Benih Kerajaan Tuhan

^ per. 5 Tanggungjawab utama sidang Kristian adalah untuk membantu orang menjadi pengikut Kristus. Rencana ini menyatakan beberapa cadangan yang akan membantu kita melaksanakan tanggungjawab itu.

^ per. 2 MAKSUD UNGKAPAN: Pengikut Kristus bukan sahaja mendengar ajaran Yesus, tetapi akan menerapkannya dalam kehidupan. Mereka berusaha dengan sebaik-baiknya untuk mengikut jejak, iaitu teladan Yesus, dengan teliti.​—1 Ptr. 2:21.

^ per. 52 KETERANGAN GAMBAR: Seorang lelaki yang hendak pergi bercuti telah menerima bahan bacaan daripada Saksi-Saksi di lapangan terbang. Semasa melancong, dia nampak Saksi-Saksi lain yang membuat kesaksian awam. Setelah dia pulang, dua orang penyiar berkunjung ke rumahnya.

^ per. 54 KETERANGAN GAMBAR: Lelaki yang sama menerima pembelajaran Bible. Akhirnya, dia memenuhi syarat untuk dibaptis.