Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 27

Jangan Menganggap Diri Lebih daripada yang Sepatutnya

Jangan Menganggap Diri Lebih daripada yang Sepatutnya

“Aku memberitahu kamu semua agar tidak menganggap diri kamu lebih daripada yang sepatutnya. Kamu haruslah berfikiran sihat.”​—RM. 12:3.

LAGU 130 Bermaaf-maafan

PENGENALAN *

1. Apakah nasihat di Filipi 2:3? Apakah manfaatnya jika kita menerapkan nasihat itu?

KITA mematuhi Yehuwa dengan rendah hati kerana kita sedar bahawa Yehuwa sentiasa mengetahui apa yang terbaik untuk kita. (Ef. 4:22-24) Sikap rendah hati mendorong kita untuk mengutamakan kehendak Yehuwa dan menganggap orang lain lebih penting daripada diri kita. Hasilnya, kita menikmati hubungan yang baik dengan Yehuwa dan rakan seiman.​—Baca Filipi 2:3.

2. Apakah yang diakui oleh Rasul Paulus? Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

2 Namun, jika kita tidak berhati-hati, kita mungkin dipengaruhi oleh orang di dunia ini yang sombong dan mementingkan diri. * Nampaknya hal ini pernah berlaku kepada sesetengah orang pada abad pertama. Rasul Paulus menasihati orang Kristian di Roma, “Aku memberitahu kamu semua agar tidak menganggap diri kamu lebih daripada yang sepatutnya. Kamu haruslah berfikiran sihat.” (Rm. 12:3) Paulus mengakui bahawa kita memang perlu memiliki harga diri. Namun, kita juga perlu memiliki kerendahan hati untuk memelihara pandangan yang seimbang terhadap diri sendiri. Dalam rencana ini, kita akan membincangkan bagaimana kita dapat bersikap rendah hati dalam tiga aspek berikut: (1) Dalam perkahwinan kita, (2) semasa kita diberikan tanggungjawab dalam organisasi, dan (3) semasa kita menggunakan media sosial.

BERSIKAP RENDAH HATI DALAM PERKAHWINAN

3. Apakah cabaran yang dihadapi suami isteri? Apakah reaksi sesetengah orang semasa menghadapi cabaran itu?

3 Yehuwa ingin suami isteri hidup bahagia. Namun, semua orang tidak sempurna, maka perselisihan akan berlaku. Paulus menulis bahawa orang yang berkahwin akan menghadapi kesusahan. (1 Kor. 7:28) Sesetengah pasangan sering bergaduh, maka mereka berasa bahawa mereka tidak serasi. Jika mereka dipengaruhi fikiran dunia, mereka akan mengutamakan kebahagiaan diri sendiri dan menyimpulkan bahawa perceraian merupakan penyelesaian yang terbaik.

4. Apakah yang mesti kita elakkan?

4 Kita mesti mengelak daripada berfikir bahawa perkahwinan kita sudah gagal. Kita tahu bahawa menurut Bible, orang hanya boleh bercerai jika berlakunya perbuatan seks yang tidak bermoral. (Mat. 5:32) Jadi, semasa menghadapi masalah dalam perkahwinan, janganlah membiarkan rasa sombong membuat kita berfikir, “Pasangan saya tidak memberi saya perhatian dan kasih yang secukupnya. Mungkin saya akan lebih bahagia jika saya bersama orang lain.” Jika kita berfikir begitu, kita sedang mendahulukan kepentingan diri sendiri dan bukannya kepentingan pasangan kita. Orang yang dipengaruhi kebijaksanaan dunia akan berfikir, “Saya akan ikut hati saya dan buat apa sahaja yang akan buat saya bahagia. Kalau perlu cerai, cerai sajalah.” Tetapi orang yang dibimbing oleh kebijaksanaan Tuhan akan ‘menjaga kepentingan orang lain, dan bukan hanya kepentingan diri sendiri.’ (Flp. 2:4) Yehuwa mahu anda mengukuhkan perkahwinan anda, bukan mengakhirinya. (Mat. 19:6) Dia ingin anda mendahulukan prinsip-Nya, bukan perasaan diri anda sendiri.

5. Menurut Efesus 5:33, bagaimanakah suami isteri harus melayan satu sama lain?

5 Suami isteri mesti mengasihi dan menghormati satu sama lain. (Baca Efesus 5:33.) Bible mengajar kita bahawa adalah lebih penting untuk memberi daripada menerima. (Kis. 20:35) Bagaimanakah suami isteri dapat menunjukkan kasih dan hormat kepada satu sama lain? Mereka perlu bersikap rendah hati. Suami dan isteri yang rendah hati tidak akan mengutamakan kepentingan diri sendiri, tetapi akan “berusaha melakukan apa yang berfaedah” untuk pasangan mereka.​—1 Kor. 10:24.

Daripada bersaing, pasangan yang bersikap rendah hati akan bekerjasama sebagai satu pasukan (Lihat perenggan 6)

6. Apakah yang anda pelajari daripada kata-kata Steven dan Stephanie?

6 Banyak pasangan Kristian berasa lebih bahagia setelah memupuk kerendahan hati. Misalnya, seorang suami yang bernama Steven berkata, “Suami isteri yang ada semangat berpasukan akan bekerjasama, khasnya semasa masalah berlaku. Daripada berfikir, ‘Apakah yang terbaik untuk saya?’ suami isteri akan berfikir, ‘Apakah yang terbaik untuk kami?’” Isterinya Stephanie menambah, “Tiada orang mahu tinggal bersama orang yang suka bertengkar. Jadi, semasa konflik timbul, kami cuba kenal pasti puncanya. Selepas itu, kami berdoa, membuat penyelidikan, dan membincangkan penyelesaiannya. Kami tidak kisah siapa betul dan siapa salah, yang penting masalah selesai.” Ya, apabila suami dan isteri tidak menganggap diri lebih penting daripada pasangan mereka, perkahwinan mereka akan lebih bahagia.

BERKHIDMAT KEPADA YEHUWA DENGAN RENDAH HATI

7. Apakah sepatutnya reaksi seorang saudara semasa diberikan tanggungjawab dalam organisasi Yehuwa?

7 Kita berbesar hati untuk berkhidmat kepada Yehuwa dalam apa jua cara. (Mzm. 27:4; 84:10) Jika seorang saudara sudi meluaskan khidmat dalam organisasi Yehuwa, hal itu sangat baik. Bible menyatakan, “Jika seseorang sedang berusaha untuk menjadi seorang penyelia, dia menginginkan pekerjaan yang baik.” (1 Tim. 3:1) Namun, dia tidak patut meninggikan diri setelah diberikan tanggungjawab. (Luk. 17:7-10) Sebaliknya, dia patut berusaha untuk berkhidmat bagi orang lain dengan rendah hati.​—2 Kor. 12:15.

8. Apakah yang kita pelajari daripada contoh Diotrefes, Uzia, dan Absalom?

8 Perhatikan beberapa contoh dalam Bible tentang orang yang sombong. Diotrefes ingin mendapat “tempat pertama” dalam sidang. (3 Yoh. 9) Uzia bertindak melampaui batas kuasanya dan ingin melakukan tugas yang tidak diberikan oleh Yehuwa. (2 Taw. 26:16-21) Absalom pula sangat licik dan cuba mengambil hati rakyat agar dia dapat menjadi raja. (2 Sam. 15:2-6) Kisah Bible tentang tiga orang itu jelas menunjukkan bahawa Yehuwa tidak menyukai orang yang mencari kemuliaan diri sendiri. (Ams. 25:27) Orang yang sombong dan mendahagakan sanjungan selalunya ditimpa masalah.​—Ams. 16:18.

9. Bagaimanakah Yesus menunjukkan kerendahan hati?

9 Fikirkan pula contoh Yesus. “Walaupun dia seperti Tuhan, dia tidak pernah berfikir untuk merebut kedudukan Tuhan agar menjadi setara dengan-Nya.” (Flp. 2:6) Walaupun Yesus merupakan individu yang kedua paling berkuasa di alam semesta, dia tidak meninggikan diri. Sebaliknya, dia mengajar murid-muridnya, “Sesiapa dalam kalangan kamu yang berkelakuan seperti orang yang berkedudukan rendah, dialah yang besar.” (Luk. 9:48) Tidakkah kita bersyukur kerana dapat berganding bahu dengan para perintis, pembantu sidang, penatua, dan penyelia litar, yang meniru kerendahan hati Yesus? Oleh sebab hamba-hamba Yehuwa bersikap rendah hati, hal itu membantu mereka menunjukkan kasih, iaitu tanda pengenal organisasi Tuhan.​—Yoh. 13:35.

10. Apakah yang harus anda lakukan jika anda berasa bahawa terdapat masalah di sidang yang tidak ditangani dengan baik?

10 Apakah yang harus anda lakukan jika anda berasa bahawa terdapat masalah di sidang yang tidak ditangani dengan baik? Daripada bersungut-sungut, tunjukkanlah kerendahan hati dan sokonglah mereka yang mengambil pimpinan. (Ibr. 13:17) Apakah yang dapat membantu kita berbuat demikian? Tanyalah diri, “Adakah masalah itu begitu besar sehingga perlu dibetulkan?” “Adakah masalah itu perlu dibetulkan sekarang juga?” “Adakah saya yang patut membetulkan masalah itu?” “Secara jujur, adakah saya sedang mencuba menguatkan perpaduan sidang atau sedang mencuba menonjolkan diri?”

Orang yang diberi tanggungjawab harus dikenali kerana kerendahan hati mereka dan bukan sekadar kerana kemahiran mereka (Lihat perenggan 11) *

11. Menurut Efesus 4:2, 3, apakah hasilnya apabila kita berkhidmat kepada Yehuwa dengan rendah hati?

11 Bagi Yehuwa, kerendahan hati lebih penting daripada kemahiran, dan perpaduan lebih penting daripada kecekapan. Apabila anda berusaha keras untuk berkhidmat kepada Yehuwa dengan rendah hati, anda akan menyumbang kepada perpaduan sidang. (Baca Efesus 4:2, 3.) Oleh itu, bergiatlah dengan sepenuhnya dalam kerja penyebaran, dan carilah peluang untuk menunjukkan kebaikan hati kepada orang lain. Tunjukkanlah kemurahan hati kepada semua orang, termasuk mereka yang tidak diberikan tanggungjawab dalam sidang. (Mat. 6:1-4; Luk. 14:12-14) Apabila anda berbuat demikian, saudara saudari bukan sahaja akan memperhatikan kemahiran anda, tetapi juga akan memperhatikan kerendahan hati anda.

TUNJUKKAN KERENDAHAN HATI SEMASA MENGGUNAKAN MEDIA SOSIAL

12. Adakah Bible menggalakkan kita untuk memiliki sahabat? Jelaskan.

12 Yehuwa ingin kita menikmati pergaulan bersama ahli keluarga dan sahabat kita. (Mzm. 133:1) Bible menyatakan bahawa memiliki sahabat sejati amat bermanfaat, dan Bible juga menggalakkan kita untuk tidak mengasingkan diri. (Ams. 17:17; 18:1, 24) Yesus sendiri pun memiliki sahabat-sahabat baik. (Yoh. 15:15) Hari ini, ramai orang berasa bahawa media sosial dapat membantu mereka memiliki banyak sahabat dan dapat menghilangkan rasa sunyi. Namun, kita harus berhati-hati semasa menggunakan media sosial.

13. Mengapakah sesetengah orang yang menggunakan media sosial berasa sunyi dan murung?

13 Menurut kajian, orang yang menghabiskan banyak masa untuk melihat komen dan gambar di media sosial mungkin akan berasa sunyi dan murung. Mengapa? Salah satu sebabnya ialah orang biasanya memaparkan gambar-gambar yang paling cantik dan menarik tentang pelancongan mereka, diri mereka, atau kawan-kawan mereka. Gambar sebegini mungkin membuat kita berasa bahawa kehidupan kita biasa sahaja dan bahkan membosankan. Seorang saudari yang berumur 19 tahun berkata, “Semasa saya lihat orang lain berseronok pada hujung minggu, saya rasa cemburu kerana saya hanya terperuk di rumah.”

14. Bagaimanakah nasihat di 1 Petrus 3:8 membantu kita menggunakan media sosial dengan bijak?

14 Memang benar, media sosial ada kegunaannya, contohnya untuk berhubung dengan keluarga dan sahabat. Namun, adakah anda memperhatikan bahawa sesetengah orang menggunakan media sosial untuk menunjuk-nunjuk atau menarik perhatian orang? Ada yang bahkan memberikan komen yang biadab atau lucah pada gambar diri sendiri atau gambar orang lain. Perbuatan sebegini tidak mencerminkan kasih dan kerendahan hati yang patut ditunjukkan oleh orang Kristian.​—Baca 1 Petrus 3:8.

Adakah gambar atau video anda di media sosial membuat orang lain berfikir bahawa anda seorang yang rendah hati atau seorang yang suka menunjuk-nunjuk? (Lihat perenggan 15)

15. Bagaimanakah Bible membantu kita menjauhi sikap suka menunjuk-nunjuk?

15 Jika anda seorang pengguna media sosial, tanyalah diri, “Adakah komen, gambar, atau video saya membuat orang lain berasa cemburu atau berasa saya sedang menunjuk-nunjuk?” Bible menyatakan, “Segala sesuatu di dalam dunia ini, iaitu keinginan tubuh yang berdosa, keinginan mata, dan sikap suka menunjuk-nunjukkan harta milik sendiri, tidak berasal daripada Bapa, tetapi berasal daripada dunia.” (1 Yoh. 2:16) Sebagai orang Kristian, kita tidak patut membanggakan diri. Sebaliknya, kita mengikut nasihat Bible untuk tidak menjadi sombong, tidak membangkitkan persaingan, dan tidak iri hati terhadap satu sama lain. (Gal. 5:26) Jika kita rendah hati, kita tidak akan dijangkiti sikap suka menunjuk-nunjuk yang dimiliki ramai orang di dunia ini.

“KAMU HARUSLAH BERFIKIRAN SIHAT”

16. Mengapakah kita harus menjauhi sikap sombong?

16 Kita perlu memupuk kerendahan hati kerana orang yang sombong tidak “berfikiran sihat.” (Rm. 12:3) Orang yang sombong menganggap diri penting dan suka bersaing, akibatnya mereka sering menyakiti diri sendiri dan orang lain. Jika mereka tidak berubah, fikiran mereka akan dibutakan dan dirosakkan oleh Syaitan. (2 Kor. 4:4; 11:3) Orang yang rendah hati pula berfikiran sihat. Mereka mempunyai pandangan yang seimbang terhadap diri sendiri, dan mereka sedar bahawa orang lain lebih baik daripada mereka dalam aspek tertentu. (Flp. 2:3) Mereka juga tahu bahawa “Tuhan menentang orang yang angkuh tetapi Dia menunjukkan kebaikan hati yang unggul kepada orang yang rendah hati.” (1 Ptr. 5:5) Oleh itu, orang yang berfikiran sihat akan menjauhi sikap sombong kerana mereka tidak ingin menjadi musuh Yehuwa.

17. Apakah yang mesti kita lakukan untuk tetap rendah hati?

17 Jika kita ingin tetap rendah hati, kita mesti mengikut nasihat Bible untuk ‘menanggalkan keperibadian lama dengan amalan-amalannya, dan mengenakan keperibadian baharu.’ (Kol. 3:9, 10) Untuk berbuat demikian, kita perlu berusaha keras untuk mengkaji teladan Yesus dan mengikut jejaknya dengan teliti. (1 Ptr. 2:21) Namun, usaha kita berbaloi. Jika kita memupuk kerendahan hati, keluarga kita akan lebih bahagia, sidang kita akan lebih bersatu, dan kita tidak akan menggunakan media sosial untuk membanggakan diri. Yang terpenting, kita akan mendapat berkat dan perkenan Yehuwa.

LAGU 117 Sifat Kebaikan

^ per. 5 Dunia hari ini penuh dengan orang yang sombong dan mementingkan diri. Kita perlu berhati-hati agar tidak dijangkiti sikap mereka. Rencana ini akan membincangkan bagaimana kita dapat bersikap rendah hati dalam tiga aspek kehidupan.

^ per. 2 MAKSUD UNGKAPAN: Orang yang sombong selalu memikirkan kepentingan diri dan tidak mengambil kira kepentingan orang lain. Orang yang rendah hati pula tidak mementingkan diri, tidak sombong, dan tidak meninggikan diri.

^ per. 56 KETERANGAN GAMBAR: Seorang penatua mahir menyampaikan ceramah di konvensyen dan mengatur kerja dengan cekap. Dia juga sudi mengambil pimpinan dalam kerja penyebaran dan membantu membersihkan Dewan Perjumpaan.