Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Pertanyaan Pembaca

Pertanyaan Pembaca

Bagaimanakah Saksi-Saksi Yehuwa patut memandang laman web dating?

Yehuwa mahu mereka yang berkahwin untuk hidup bahagia dan menikmati hubungan yang erat dan berkekalan. (Mat. 19:4-6) Jika anda ingin berkahwin, bagaimanakah anda dapat mencari pasangan yang baik? Sebagai Pencipta kita, Yehuwa tahu apa yang diperlukan untuk menikmati perkahwinan yang bahagia. Maka, jika anda menerapkan prinsip-prinsip yang diberikan oleh-Nya, anda akan mendapat hasil yang baik. Perhatikan beberapa prinsip berikut.

Pertama, kita perlu mengetahui hakikat ini tentang diri kita: “Hati manusia nekad dan lebih licik daripada segala-galanya.” (Yer. 17:9) Apabila dua orang yang berminat terhadap satu sama lain mula berjumpa dan berdating, mereka mungkin begitu tertarik kepada satu sama lain dalam masa yang singkat sehingga emosi mereka mengaburi daya pertimbangan mereka. Jika keputusan untuk berkahwin dibuat hanya berdasarkan emosi, hal itu sering membawa kekecewaan. (Ams. 28:26) Oleh itu, adalah tidak bijak jika dua orang yang baru mula berdating meluahkan perasaan cinta yang mendalam terhadap satu sama lain atau menjanjikan apa-apa sebelum mereka benar-benar mengenali satu sama lain.

Amsal 22:3 menyatakan, “Orang bijak mengelakkan bahaya apabila melihatnya, tetapi orang yang kurang pengalaman terus berjalan lalu menanggung derita.” Apakah bahayanya laman web dating? Sesetengah orang telah berjumpa dengan orang yang tidak dikenali melalui laman web sebegini dan mula berdating. Namun kemudiannya, mereka sedar bahawa orang itu hanya mempermainkan perasaan mereka. Selain itu, sesetengah orang yang berniat jahat membuka akaun palsu di laman web sebegini dengan tujuan untuk menipu wang orang. Ada kalanya, orang di sebalik penipuan sebegini mendakwa bahawa mereka ialah Saksi.

Terdapat satu lagi bahaya. Sesetengah laman web dating mempunyai program komputer yang menggunakan formula matematik untuk membantu orang mencari pasangan yang serasi. Namun, tiada bukti yang menunjukkan bahawa program sebegini berkesan. Jadi, adakah bijak untuk membiarkan program komputer membuat keputusan bagi kita dalam hal yang begitu penting seperti perkahwinan? Dalam hal sebegini, manakah yang lebih dapat diharapkan, program yang direka oleh manusia atau prinsip Bible?—Ams. 1:7; 3:5-7.

Prinsip di Amsal 14:15 menyatakan, “Orang yang tidak berpengalaman percaya kepada setiap kata orang, tetapi orang yang bijak merenungkan setiap langkahnya.” Sebelum anda memutuskan bahawa seseorang sesuai dijadikan pasangan hidup, anda perlu mengenalinya dengan baik. Namun, hal itu susah dilakukan melalui laman web dating. Biarpun anda dapat melihat maklumat satu sama lain dan sering bersembang secara online, adakah anda yakin bahawa anda benar-benar mengenali orang itu? Sesetengah orang menyangka bahawa mereka telah menemui calon yang sepadan, tetapi kemudiannya terkejut setelah menemui orang itu secara bersemuka.

Penulis mazmur berkata, “Aku tidak bergaul dengan orang yang licik; aku menjauhkan diri daripada orang yang berpura-pura.” (Mzm. 26:4) Ramai orang yang menggunakan laman web dating menganggap bahawa adalah tidak salah untuk memberikan maklumat yang tidak tepat dalam profil mereka supaya mereka kelihatan lebih menarik. Selain itu, mereka mungkin menyembunyikan sifat mereka yang sebenar semasa berkenalan. Tambahan lagi, melalui interaksi secara online, kita tidak dapat mengenali seseorang secara menyeluruh. Biarpun seseorang memperkenalkan dirinya sebagai seorang Saksi, adakah dia benar-benar sudah dibaptis? Adakah dia matang secara rohani? Adakah dia memiliki hubungan yang erat dengan Yehuwa? Adakah dia dihormati dalam sidangnya, atau adakah dia dianggap sebagai teladan yang tidak baik atau bahkan “pergaulan yang buruk”? (1 Kor. 15:33; 2 Tim. 2:20, 21) Menurut prinsip Bible, adakah dia bebas untuk berkahwin? Anda perlu mengetahui hal-hal ini. Namun, adalah susah untuk berbuat demikian tanpa bertanya kepada Saksi-Saksi lain yang mengenali orang tersebut. (Ams. 15:22) Selain itu, seorang hamba Yehuwa yang setia tentu tidak akan terfikir untuk berpasangan dengan seorang yang tidak seiman dan “memikul kuk” bersamanya.—2 Kor. 6:14; 1 Kor. 7:39.

Memandangkan adalah berbahaya untuk menggunakan laman web dating, kita ingin menggunakan cara yang lebih baik untuk mencari dan mengenali seseorang yang mungkin dapat menjadi pasangan kita. Bagaimana? Semasa kita diizinkan untuk berkumpul, kita dapat mengenali Saksi-Saksi lain semasa menghadiri perjumpaan, perhimpunan, konvensyen, dan pertemuan lain.

Semasa meluangkan masa bersama-sama, anda dapat melihat sama ada anda berdua memiliki matlamat yang sama atau tidak

Namun, semasa kita tidak dapat berkumpul, contohnya kerana pandemik COVID-19, kita dapat menghadiri perjumpaan melalui alat elektronik. Perjumpaan sebegini memberi kita peluang untuk mengenali Saksi lain yang bujang. Sebagai contoh, anda dapat melihat bagaimana mereka mengambil bahagian dalam perjumpaan dan mendengar komen mereka. (1 Tim. 6:11, 12) Anda juga dapat bergaul dengan satu sama lain menerusi breakout room selepas perjumpaan. Semasa bergaul dengan Saksi-Saksi lain, anda berpeluang untuk melihat bagaimana orang yang anda minati berinteraksi dengan orang lain. Dengan itu, anda dapat mengenali sifat-sifatnya yang sebenar. (1 Ptr. 3:4) Apabila anda semakin mengenali satu sama lain, anda dapat mengetahui sama ada anda berdua memiliki matlamat yang sama dan sesuai untuk satu sama lain atau tidak.

Apabila orang yang bujang mengikut prinsip Bible semasa mencari pasangan hidup, mereka berpeluang menikmati perkahwinan yang bahagia dan merasai betapa benarnya kata-kata ini: “Orang yang mendapat isteri [atau suami] yang baik, mendapat sesuatu yang berharga dan memperoleh perkenan Yehuwa.”​—Ams. 18:22.