Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 31

“Hendaklah Kamu Teguh dan Tidak Tergoyah”

“Hendaklah Kamu Teguh dan Tidak Tergoyah”

“Saudara-saudara yang aku kasihi, hendaklah kamu teguh dan tidak tergoyah.”​—1 KOR. 15:58.

LAGU 122 Berteguhlah, Jangan Goyah!

PENGENALAN a

1-2. Bagaimanakah orang Kristian adalah seperti bangunan pencakar langit? (1 Korintus 15:58)

 PADA lewat tahun 1970-an, sebuah bangunan pencakar langit yang mempunyai 60 tingkat dibina di Tokyo, Jepun. Memandangkan bandar itu sering dilanda gempa bumi, bagaimanakah bangunan itu dapat bertahan? Para jurutera telah mereka bangunan itu agar cukup kuat, tetapi pada masa yang sama cukup fleksibel supaya dapat menyerap gegaran. Orang Kristian adalah seperti bangunan pencakar langit itu. Bagaimana?

2 Orang Kristian mesti tahu bila mereka harus tetap teguh, dan bila mereka harus bersikap fleksibel. Mereka harus tetap teguh semasa menjunjung hukum dan standard Yehuwa. (Baca 1 Korintus 15:58.) Mereka akan “sedia mematuhi” perintah Tuhan dan tidak akan berkompromi. Namun, mereka akan bersikap “munasabah,” atau fleksibel, jika perlu. (Yak. 3:17) Orang Kristian yang bersikap seimbang dalam hal ini tidak akan terlalu tegas atau terlalu berlembut. Rencana ini akan membincangkan bagaimana kita dapat menunjukkan bahawa kita berpendirian teguh. Kita juga akan melihat lima taktik yang akan digunakan oleh Syaitan untuk melemahkan tekad kita dan cara untuk melawannya.

BAGAIMANAKAH KITA MENUNJUKKAN BAHAWA KITA BERPENDIRIAN TEGUH?

3. Apakah perintah Yehuwa yang tercatat di Kisah 15:28, 29?

3 Yehuwa ialah Pemberi Hukum yang Agung, jadi Yehuwa selalu menyampaikan perintah yang jelas kepada umat-Nya. (Yes. 33:22) Sebagai contoh, badan pimpinan pada abad pertama menyatakan bahawa orang Kristian mesti berpendirian teguh dalam tiga hal ini: (1) menolak penyembahan berhala dan hanya menyembah Yehuwa, (2) menghormati kesucian darah, dan (3) menjunjung standard moral Bible yang tinggi. (Baca Kisah 15:28, 29.) Bagaimanakah orang Kristian dapat berpendirian teguh dalam tiga hal ini?

4. Bagaimanakah kita menunjukkan bahawa kita menyembah Yehuwa sahaja? (Wahyu 4:11)

4 Kita menolak penyembahan berhala dan hanya menyembah Yehuwa. Yehuwa memerintahkan orang Israel untuk menyembah Dia sahaja. (Ul. 5:6-10) Semasa digoda oleh Si Iblis, Yesus menyatakan dengan jelas bahawa kita mesti menyembah Yehuwa sahaja. (Mat. 4:8-10) Maka, kita tidak menyembah Tuhan dengan menggunakan patung berhala. Kita juga tidak mengagung-agungkan manusia, tidak kira sama ada mereka ialah pemimpin agama, pemimpin politik, atau bintang dalam dunia sukan dan hiburan. Kita berpihak kepada Yehuwa dan hanya menyembah Dia yang “menciptakan segala sesuatu.”​—Baca Wahyu 4:11.

5. Mengapakah kita mematuhi hukum Yehuwa tentang nyawa dan darah?

5 Kita mematuhi hukum Yehuwa tentang nyawa dan darah. Mengapa? Yehuwa berfirman bahawa darah melambangkan nyawa, dan nyawa ialah kurniaan yang berharga daripada-Nya. (Im. 17:14) Pada zaman Nuh, semasa Yehuwa mengizinkan manusia untuk mula memakan daging, Dia melarang manusia memakan darah. (Kej. 9:4) Semasa Yehuwa memberikan Hukum Musa kepada orang Israel, Dia mengulangi perintah yang sama. (Im. 17:10) Pada abad pertama, Dia menyuruh badan pimpinan untuk memberikan arahan kepada semua orang Kristian agar “menjauhi darah.” (Kis. 15:28, 29) Kita akan berpendirian teguh dalam soal darah semasa memilih rawatan yang akan kita terima. b

6. Apakah yang dapat kita lakukan untuk menjunjung standard moral Yehuwa?

6 Kita menjunjung standard moral Yehuwa yang tinggi. (Ibr. 13:4) Paulus menasihati kita untuk ‘mematikan keinginan dalam anggota tubuh.’ Maksudnya, kita akan mengambil tindakan yang tegas untuk menyingkirkan nafsu yang salah. (Kol. 3:5) Oleh itu, kita tidak akan melihat atau melakukan apa sahaja yang dapat menyebabkan kita terjebak dalam perbuatan seks yang tidak bermoral. (Ayb. 31:1) Semasa digoda, kita harus segera menolak apa sahaja fikiran atau perbuatan yang dapat merosakkan hubungan kita dengan Tuhan.

7. Apakah sepatutnya tekad kita, dan mengapa?

7 Yehuwa mahu kita mematuhi-Nya “dengan rela hati.” (Rm. 6:17) Walaupun kita tidak boleh memilih hukum mana yang ingin kita patuhi, kita harus ingat bahawa bimbingan Tuhan selalu membawa manfaat yang terbesar. (Yes. 48:17, 18; 1 Kor. 6:9, 10) Kita mahu berusaha menyenangkan hati Yehuwa dan menunjukkan sikap seperti pemazmur yang kata, “Aku berazam untuk mengikut peraturan-Mu pada setiap waktu dan mematuhinya sehingga akhir hayatku.” (Mzm. 119:112) Namun, Syaitan akan cuba melemahkan azam kita. Bagaimana?

BAGAIMANAKAH SYAITAN CUBA UNTUK MELEMAHKAN TEKAD KITA?

8. Bagaimanakah Syaitan menggunakan penganiayaan untuk melemahkan tekad kita?

8 Penganiayaan. Si Iblis menggunakan serangan dari segi fizikal dan emosi untuk melemahkan tekad kita. Dia mahu menjadikan kita mangsanya dan merosakkan hubungan kita dengan Yehuwa. (1 Ptr. 5:8) Orang Kristian pada abad pertama diugut, dipukul, dan dibunuh kerana mereka bertekad untuk berpendirian teguh. (Kis. 5:27, 28, 40; 7:54-60) Hari ini, Syaitan masih menggunakan penganiayaan untuk melemahkan tekad kita. Hal ini jelas kelihatan daripada tentangan dan layanan buruk yang dihadapi saudara saudari kita di Rusia dan di negara lain.

9. Mengapakah kita perlu berwaspada terhadap serangan yang licik daripada Syaitan? Berikan contoh.

9 Serangan yang licik. Selain menyerang kita secara terang-terangan, Syaitan juga menggunakan “muslihat” untuk melemahkan tekad kita. (Ef. 6:11) Fikirkan pengalaman Saudara Bob, yang diwadkan dan perlu menjalani pembedahan yang besar. Dia memberitahu doktor bahawa tidak kira apa yang terjadi, dia tidak akan menerima transfusi darah. Doktor yang melakukan pembedahan menghormati keputusannya. Namun, pada malam sebelum pembedahan, pakar bius telah melawat Bob selepas keluarganya pulang. Doktor itu berkata bahawa biarpun pembedahan itu sepatutnya tidak memerlukan transfusi darah, mereka akan menyediakan bekalan darah sebagai langkah berjaga-jaga sahaja. Barangkali, doktor itu berfikir bahawa Bob akan mengubah fikirannya semasa keluarganya tiada di situ. Tetapi Bob tetap berpendirian teguh. Dia menegaskan bahawa tidak kira apa yang berlaku, dia enggan menerima darah.

10. Mengapakah pemikiran manusia berbahaya? (1 Korintus 3:19, 20)

10 Pemikiran manusia. Jika kita melihat sesuatu perkara dari sudut pandangan manusia, kita mungkin tidak menghiraukan Yehuwa dan standard-Nya. (Baca 1 Korintus 3:19, 20.) “Kebijaksanaan dunia ini” menggalakkan kita untuk memenuhi nafsu sendiri. Beberapa orang Kristian di sidang Pergamus dan Tiatira terikut-ikut dengan pandangan orang di sekeliling mereka terhadap penyembahan berhala dan perbuatan seks yang tidak bermoral. Jadi, Yesus memberi mereka nasihat yang tegas kerana mereka tutup sebelah mata kepada hal yang tidak bermoral. (Why. 2:14, 20) Hari ini, kita diberi tekanan untuk menerima pandangan manusia yang salah. Ahli keluarga dan kenalan kita mungkin menggalakkan kita untuk melanggar hukum Yehuwa dan mengikut hati kita. Sebagai contoh, mereka mungkin mendakwa bahawa standard moral Bible sudah ketinggalan zaman dan bahawa tidak salah untuk menuruti nafsu kita.

11. Apakah perbuatan yang mesti kita elakkan?

11 Ada kalanya, kita mungkin berasa bahawa arahan yang diberikan Yehuwa tidak cukup jelas. Kita mungkin ingin melakukan “sesuatu yang melebihi apa yang tertulis.” (1 Kor. 4:6) Itulah yang dilakukan oleh para pemimpin agama pada zaman Yesus. Mereka menokok tambah Hukum Musa sehingga membebankan rakyat. (Mat. 23:4) Arahan Yehuwa melalui Firman-Nya dan organisasi-Nya sudah cukup jelas. Maka, kita tidak perlu menambah apa-apa lagi. (Ams. 3:5-7) Oleh itu, kita tidak akan membuat peraturan bagi rakan seiman tentang hal yang tidak disebut dalam Bible atau tentang hal peribadi.

12. Bagaimanakah Syaitan menggunakan “tipu daya” untuk menyesatkan kita?

12 Tipu daya. Syaitan menggunakan “tipu daya” dan “perkara-perkara asas di dalam dunia” untuk menyesatkan dan memecahbelahkan manusia. (Kol. 2:8) Pada abad pertama, dia menggunakan falsafah manusia, ajaran agama Yahudi yang tidak berasaskan Firman Tuhan, dan pandangan bahawa orang Kristian mesti mematuhi Hukum Musa. Semua itu merupakan tipu daya kerana bertujuan menjauhkan orang daripada Sumber kebijaksanaan sejati, iaitu Yehuwa. Dewasa ini, Syaitan menggunakan media dan rangkaian sosial untuk menyebarkan teori konspirasi dan berita palsu daripada pemimpin politik. Hal ini sering berlaku terutamanya semasa pandemik COVID-19. c Ramai orang telah ditipu oleh maklumat palsu dan dibebani rasa risau. Tetapi Saksi-Saksi Yehuwa yang mematuhi arahan daripada organisasi Tuhan dapat mengelakkan kerisauan sedemikian.​—Mat. 24:45.

13. Mengapakah kita mesti berwaspada terhadap hal-hal yang menyimpangkan perhatian kita?

13 Hal-hal yang menyimpangkan perhatian. Kita mahu sentiasa bertumpu kepada “perkara-perkara yang lebih penting.” (Flp. 1:9, 10) Tetapi hal-hal yang menyimpangkan perhatian kita mungkin menelan banyak masa dan tenaga kita. Perkara biasa dalam hidup seperti makan, minum, rekreasi, dan kerja sekular, boleh menyimpangkan perhatian kita jika itu menjadi tumpuan utama hidup kita. (Luk. 21:34, 35) Selain itu, setiap hari kita dibanjiri laporan berita tentang isu sosial dan politik. Kita tidak mahu perhatian kita dialihkan oleh hal-hal ini. Jika tidak, kita mungkin menyokong salah satu pihak dalam hati atau minda kita. Setelah membincangkan taktik-taktik yang digunakan oleh Syaitan untuk melemahkan tekad kita, mari kita lihat bagaimana kita dapat melawan godaannya dan terus berpendirian teguh.

CARA UNTUK TETAP BERPENDIRIAN TEGUH

Agar dapat tetap berpendirian teguh, renungkanlah sebabnya anda membaktikan diri dan dibaptis, belajarlah dan renungkanlah Firman Tuhan, pupuklah hati yang teguh, dan percayalah kepada Yehuwa (Lihat perenggan 14-18)

14. Apakah yang dapat membantu kita untuk tetap berpihak kepada Yehuwa?

14 Renungkan sebabnya anda membaktikan diri dan dibaptis. Anda berbuat demikian kerana anda ingin berpihak kepada Yehuwa. Apakah yang meyakinkan anda bahawa anda sudah menemui kebenaran? Setelah menimba pengetahuan yang tepat tentang Yehuwa, anda semakin mengasihi dan menghormati-Nya. Iman anda semakin teguh, dan anda terdorong untuk bertaubat. Anda menghentikan tabiat yang salah dan berusaha hidup selaras dengan kehendak Tuhan. Anda berasa lega kerana mengetahui bahawa Tuhan sudah mengampuni anda. (Mzm. 32:1, 2) Kemudian anda menghadiri perjumpaan dan mula mengongsi dengan orang lain apa yang sudah anda pelajari. Selepas membaktikan diri dan dibaptis, anda berada di jalan yang menuju kehidupan, dan anda bertekad untuk tetap mengikut jalan itu.​—Mat. 7:13, 14.

15. Mengapakah penting untuk belajar dan merenungkan Bible?

15 Belajar dan merenungkan Firman Tuhan. Apabila sepohon pokok membesar, sistem akarnya akan menjadi semakin dalam dan luas. Hasilnya, pokok itu dapat berdiri teguh. Begitu juga, apabila kita belajar dan merenungkan Firman Tuhan, kita menguatkan iman kita dan menjadi lebih yakin bahawa haluan Tuhan adalah yang terbaik. Hasilnya, kita dapat tetap teguh. (Kol. 2:6, 7) Renungkanlah bagaimana Yehuwa membimbing, memberikan arahan, dan melindungi umat-Nya pada masa lalu. Sebagai contoh, dalam sebuah penglihatan, Yehezkiel memerhatikan bagaimana satu malaikat mengukur Rumah Tuhan dengan teliti. Penglihatan itu menguatkan Yehezkiel dan mengajar kita bagaimana kita dapat menjunjung standard Yehuwa yang tinggi untuk ibadat sejati. d (Yeh. 40:1-4; 43:10-12) Kita juga dapat meraih manfaat apabila kita meluangkan masa untuk belajar dan merenungkan ajaran Bible yang mendalam.

16. Bagaimanakah Bob dilindungi kerana memiliki hati yang teguh? (Mazmur 112:7)

16 Pupuk hati yang teguh. Raja Daud bernyanyi, “Ya Tuhan, hatiku teguh.” (Mzm. 57:7) Kata-katanya menunjukkan bahawa dia sentiasa mengasihi Yehuwa dengan sepenuh hati. Kita juga dapat memiliki hati yang teguh jika kita mempercayai Yehuwa dengan sepenuh hati. (Baca Mazmur 112:7.) Perhatikan bagaimana Bob, yang disebut tadi, dilindungi kerana memiliki hati yang teguh. Semasa dia diberitahu bahawa pihak hospital akan menyediakan bekalan darah hanya sebagai langkah berjaga-jaga, Bob serta-merta menjawab bahawa jika mereka terfikir untuk memberinya darah pun, dia akan segera keluar dari hospital. Pada kemudian hari, Bob berkata, “Saya langsung tidak risau dan tidak ragu-ragu.”

Jika kita memiliki asas rohani yang kukuh, kita dapat tetap berdiri teguh tidak kira apa cubaan yang kita hadapi (Lihat perenggan 17)

17. Apakah yang dapat kita pelajari daripada pengalaman Bob? (Lihat juga gambar.)

17 Bob dapat berpendirian teguh kerana lama sebelum dia diwadkan, dia sudah bertekad untuk tetap setia kepada Yehuwa. Apakah yang membantunya? Pertama, dia ingin menggembirakan hati Yehuwa. Kedua, dia mengkaji apa yang dinyatakan dalam Bible dan bahan bacaan kita tentang kesucian darah dan nyawa. Ketiga, dia yakin bahawa jika dia mematuhi Yehuwa, dia akan meraih manfaat yang berkekalan. Seperti Bob, kita juga dapat memiliki hati yang teguh tidak kira apa cubaan yang kita hadapi.

Dengan berani, Barak dan askar-askarnya mengejar tentera Sisera (Lihat perenggan 18)

18. Bagaimanakah teladan Barak mengajar kita untuk percaya kepada Yehuwa? (Lihat gambar pada muka depan majalah.)

18 Percaya kepada Yehuwa. Perhatikan bagaimana Barak meraih kemenangan kerana dia mempercayai arahan Yehuwa. Pada masa itu, orang Israel belum bersedia untuk berperang, dan bahkan tiada apa-apa senjata. Tetapi Yehuwa menyuruh Barak untuk pergi berperang melawan Sisera, iaitu ketua tentera Kanaan dan 900 kereta kudanya. (Hak. 5:8) Selain itu, Nabi Debora menyuruh Barak untuk turun dari gunung dan melawan Sisera di tempat yang rata, padahal di sana sangat susah bagi orang Israel untuk melawan kereta kuda yang laju. Biarpun begitu, Barak mematuhi arahan itu. Semasa askar Israel turun dari Gunung Tabor, Yehuwa membawa hujan yang sangat lebat. Akibatnya, semua kereta kuda Sisera tersangkut dalam lumpur dan tidak dapat bergerak. Ya, Yehuwa memberi Barak kemenangan yang hebat kerana mempercayai arahan-Nya. (Hak. 4:1-7, 10, 13-16) Begitu juga, Yehuwa dapat memberi kita kemenangan jika kita mempercayai-Nya dan arahan yang diberikan melalui organisasi-Nya.​—Ul. 31:6.

BERTEKADLAH UNTUK TETAP TEGUH

19. Mengapakah anda ingin tetap teguh?

19 Selagi kita hidup dalam dunia jahat ini, kita perlu berjuang untuk tetap berdiri teguh. (1 Tim. 6:11, 12; 2 Ptr. 3:17) Semoga kita bertekad untuk tetap teguh dan tidak terumbang-ambing semasa menghadapi penganiayaan, serangan yang licik, pemikiran manusia, tipu daya, dan hal-hal yang menyimpangkan perhatian. (Ef. 4:14) Marilah kita tetap setia kepada Yehuwa dan tidak berganjak semasa mematuhi hukum-Nya. Namun, kita juga perlu bersikap munasabah. Dalam rencana berikutnya, kita akan membincangkan bagaimana Yehuwa dan Yesus menunjukkan sikap ini dengan sempurna.

LAGU 129 Terus Bertahan Sampai Akhir

a Sejak zaman Adam dan Hawa, Syaitan cuba membuat orang percaya bahawa mereka berhak menentukan apa yang betul dan apa yang salah. Dia juga mahu kita meragui perintah Yehuwa dan arahan daripada organisasi-Nya. Rencana ini akan membantu kita untuk melawan sikap dunia Syaitan dan menguatkan tekad kita untuk menyokong Yehuwa dengan teguh.

b Untuk maklumat lanjut tentang bagaimana orang Kristian dapat mematuhi perintah Tuhan tentang darah, lihat pelajaran 39 dalam buku Nikmati Hidup Selama-Lamanya!

c Lihat rencana “Lindungi Diri Anda daripada Maklumat Salah” di jw.org.