Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

KISAH HIDUP

Menunjukkan Keprihatinan Membawa Berkat Seumur Hidup

Menunjukkan Keprihatinan Membawa Berkat Seumur Hidup

Bersama ibu dan adik saya Pat, tahun 1948

“GEREJA ANGLIKAN tidak mengajarkan kebenaran. Carilah agama yang benar di tempat lain.” Selepas nenek saya yang merupakan ahli gereja Anglikan berkata demikian, ibu saya mula mencari agama yang benar. Namun, ibu saya tidak mahu bercakap dengan Saksi-Saksi Yehuwa, dan menyuruh saya untuk bersembunyi jika mereka datang. Masa itu kami tinggal di Toronto, Kanada. Tetapi apabila mak cik saya mula belajar Bible dengan Saksi pada tahun 1950, ibu saya juga mula belajar Bible di rumahnya. Mereka berdua telah dibaptis.

Ayah ialah seorang pemimpin dalam Gereja Bersatu Kanada (United Church of Canada), jadi setiap minggu, dia menghantar saya dan adik perempuan saya untuk menghadiri sekolah minggu. Selepas itu, kami akan ikut sembahyang bersamanya pada jam 11:00 pagi. Pada sebelah petang, kami akan ikut mak ke Dewan Perjumpaan. Kami dapat lihat perbezaan antara kedua-dua agama ini dengan jelas.

Perhimpunan Antarabangsa Kehendak Tuhan pada tahun 1958 bersama keluarga Hutcheson

Ibu mengongsi kebenaran dengan kawan baiknya, iaitu Bob dan Marion Hutcheson. Pada kemudian hari, mereka juga dibaptis. Pada tahun 1958, keluarga Hutcheson membawa saya dan tiga orang anak lelaki mereka untuk menghadiri Perhimpunan Antarabangsa Kehendak Tuhan di Bandar Raya New York, yang berlangsung selama lapan hari. Sekarang, barulah saya sedar bahawa mereka harus membuat banyak pengorbanan untuk membawa saya. Namun, perhimpunan itu ialah salah satu kenangan paling indah dalam hidup saya.

KEPRIHATINAN SAUDARA SAUDARI MENGUBAH MASA DEPAN SAYA

Semasa saya remaja, keluarga saya tinggal di ladang dan menternak binatang. Saya suka menjaga haiwan dan terfikir untuk menjadi doktor haiwan. Selepas ibu saya memberitahu seorang penatua tentang cita-cita saya, penatua itu mengingatkan saya bahawa kita sedang hidup pada “hari-hari terakhir” dan menanya saya bagaimana hubungan saya dengan Yehuwa akan dipengaruhi jika saya masuk universiti untuk bertahun-tahun. (2 Tim. 3:1) Oleh itu, saya putuskan untuk tidak pergi ke universiti.

Saya masih tertanya-tanya apa yang akan saya lakukan selepas tamat sekolah. Walaupun saya keluar menginjil setiap hujung minggu, saya tidak suka kerja penyebaran, dan saya rasa saya tidak dapat merintis. Pada masa yang sama, bapa dan pak cik saya yang bukan Saksi menggalakkan saya untuk bekerja sepenuh masa dalam sebuah syarikat insurans yang besar di Toronto. Pak cik saya ada jawatan tinggi dalam syarikat itu, jadi saya pun bekerja di situ.

Di Toronto, saya menghabiskan banyak masa untuk bekerja dan bergaul dengan orang yang bukan Saksi. Oleh itu, saya tidak menghadiri perjumpaan secara tetap dan jarang menginjil. Pada mulanya saya tinggal bersama datuk saya yang bukan Saksi, tetapi selepas dia meninggal, saya perlu mencari tempat tinggal yang lain.

Saudara dan Saudari Hutcheson, yang membawa saya ke konvensyen pada tahun 1958, melayan saya seperti anak mereka. Mereka jemput saya untuk tinggal bersama mereka dan membantu saya bertumbuh secara rohani. Pada tahun 1960, saya dan anak mereka John telah dibaptis. Apabila John mula merintis, saya pun mula meningkatkan usaha dalam kerja penyebaran. Saudara-saudara dalam sidang memperhatikan kemajuan rohani saya, dan saya dilantik sebagai penyelia Sekolah Penyebaran Teokratik. a

TEMAN HIDUP DAN KHIDMAT PERINTIS

Hari perkahwinan kami pada tahun 1966

Pada tahun 1966, saya berkahwin dengan Randi Berge. Dia seorang perintis yang bersemangat dan ingin berkhidmat di tempat yang memerlukan lebih banyak penyiar. Penyelia lawatan kami prihatin terhadap kami dan menggalakkan kami untuk membantu sidang di Orillia, Ontario. Jadi kami mengemaskan barang dan berpindah ke situ.

Semangat Randi yang berkobar-kobar dalam kerja penyebaran telah menjangkiti saya. Maka sebaik sahaja kami tiba di Orillia, saya menjadi perintis biasa. Semasa merintis dengan bersungguh-sungguh, saya menikmati sukacita kerana dapat menggunakan Bible dan membantu orang memahami kebenaran. Kami berpeluang membantu sepasang suami isteri membuat perubahan dalam hidup mereka dan menjadi penyembah Yehuwa.

MEMPELAJARI BAHASA BAHARU DAN MENGUBAH PEMIKIRAN SENDIRI

Semasa melawat Toronto, saya bertemu dengan Arnold MacNamara, seorang saudara yang mengambil pimpinan di Bethel. Dia menanya kami jika kami ingin menjadi perintis khas. Saya segera menjawab, “Sudah tentu! Kami sudi pergi ke mana-mana sahaja kecuali Quebec!” Saya berkata demikian kerana saya dipengaruhi oleh orang Kanada berbahasa Inggeris yang berprasangka terhadap penduduk Quebec yang berbahasa Perancis. Pada masa itu, terdapat pergolakan politik di Quebec, dan penduduknya ingin menuntut kemerdekaan.

Arnold menjawab, “Sekarang, pejabat cawangan hanya menghantar perintis khas ke Quebec.” Dengan serta-merta, saya setuju untuk pergi. Saya sudah tahu Randi memang berminat untuk berkhidmat di sana. Bertahun-tahun kemudian, barulah saya sedar bahawa inilah antara keputusan yang terbaik dalam hidup kami!

Selepas menghadiri kelas bahasa Perancis untuk lima minggu, kami dan sepasang suami isteri yang lain telah pergi ke Rimouski, yang terletak kira-kira 540 kilometer ke arah timur laut Montreal. Biarpun begitu, saya masih tidak fasih dalam bahasa Perancis. Pernah sekali, saya membuat kesilapan semasa membaca pengumuman tentang konvensyen yang akan datang. Pengumuman itu menyatakan bahawa kami akan menerima “banyak wakil dari Austria,” tetapi saya membacanya sebagai “banyak ostrich (burung unta).”

“Rumah Putih” di Rimouski

Kami berempat berkhidmat di Rimouski bersama empat orang saudari bujang, Saudara dan Saudari Huberdeau, dan dua orang anak perempuan mereka. Keluarga Huberdeau telah menyewa sebuah rumah besar yang mempunyai tujuh bilik tidur. Para perintis tinggal bersama mereka dan memberikan sedikit sumbangan untuk menutupi kos sewa. Kami memanggil rumah itu “Rumah Putih” kerana rumah itu dan tiang-tiangnya berwarna putih. Biasanya terdapat antara 12 hingga 14 orang yang tinggal di situ. Sebagai perintis khas, saya dan Randi keluar menginjil setiap pagi, petang, dan malam, jadi kami bersyukur kerana selalu ada orang yang menemani kami, bahkan pada malam yang bersalji.

Kami dan perintis-perintis lain menjadi seperti sebuah keluarga dan hubungan kami sangat rapat. Kadangkala kami duduk di depan unggun api bersama-sama atau membalut dumpling dengan inti yang berbeza-beza. Ada seorang saudara yang pandai main alat muzik, jadi pada Sabtu malam kami biasanya bernyanyi dan menari.

Kawasan penyebaran di Rimouski membuahkan hasil yang baik! Dalam masa lima tahun, beberapa orang pelajar Bible telah maju sehingga dibaptis, dan bilangan penyiar dalam sidang bertambah menjadi 35 orang.

Di Quebec, kami terima banyak latihan sebagai penginjil. Kami nampak bagaimana Yehuwa membantu kami dalam kerja penyebaran, dan Dia juga menjaga keperluan fizikal kami. Selain itu, kami belajar untuk mengasihi penduduk Quebec, bahasa Perancis, dan kebudayaan mereka. Hal ini membantu kami menerima kebudayaan lain dengan hati yang terbuka.​—2 Kor. 6:13.

Kemudian, tanpa disangka, pejabat cawangan meminta kami berpindah ke pekan Tracadie yang terletak di pantai timur New Brunswick. Hal itu mencabar kerana kami baru sahaja membaharui kontrak sewa apartmen dan saya ada kontrak dengan sekolah untuk mengajar separuh masa. Tambahan lagi, beberapa pelajar Bible kami baru menjadi penyiar, dan kami tengah membina Dewan Perjumpaan yang baharu.

Sepanjang hujung minggu itu kami berdoa kepada Yehuwa tentang Tracadie. Kami juga melawat Tracadie dan mendapati tempat itu sangat berbeza daripada Rimouski. Tetapi kami tahu Yehuwalah yang mahu kami berpindah ke sana, jadi kami memutuskan untuk pergi. Kami menguji Yehuwa dengan mematuhi-Nya, dan kami telah melihat bagaimana Dia menyingkirkan setiap halangan. (Mal. 3:10) Oleh sebab Randi matang secara rohani, tidak mementingkan diri, dan suka ketawa, perubahan ini tidak begitu susah bagi kami.

Sidang di Tracadie hanya ada seorang penatua, iaitu Robert Ross. Dia pernah merintis di situ bersama isterinya Linda, dan mereka memutuskan untuk terus tinggal di sana selepas anak mereka lahir. Biarpun mereka perlu menjaga anak, mereka menyambut kami dengan mesra dan menginjil dengan bersemangat. Teladan mereka sangat menggalakkan kami.

DIBERKATI KERANA BERKHIDMAT DI TEMPAT YANG MEMERLUKAN BANTUAN

Musim sejuk semasa di litar kami yang pertama

Selepas berkhidmat sebagai perintis di Tracadie selama dua tahun, kami menerima tugasan yang tidak dijangkakan, iaitu kerja lawatan. Kami berkhidmat di litar bahasa Inggeris selama tujuh tahun, dan kemudian ditugaskan ke litar bahasa Perancis di Quebec. Penyelia distrik kami di Quebec, Léonce Crépeault, memuji ceramah saya. Tetapi selepas itu, dia selalu bertanya, “Bolehkah kamu mencari jalan untuk membuat ceramah kamu lebih praktikal?” b Keprihatinan yang ditunjukkannya telah membantu saya mengajar dalam cara yang lebih jelas dan mudah difahami.

Salah satu tugasan yang paling bermakna bagi saya ialah tugasan saya semasa Konvensyen Antarabangsa “Iman Membawa Kemenangan” di Montreal pada tahun 1978. Saya bekerja dalam Bahagian Perkhidmatan Makanan dan kami menjangkakan 80,000 orang akan hadir. Pada masa itu, terdapat aturan baharu untuk menyediakan makanan, dan kami juga diberi peralatan dan menu yang baharu. Kami mempunyai kira-kira 20 treler besar untuk digunakan sebagai peti sejuk, dan kadangkala, peti sejuk itu rosak. Sehari sebelum konvensyen bermula, kami tidak dapat masuk ke dalam stadium untuk membuat persiapan kerana terdapat acara sukan. Kami hanya dapat melakukannya pada waktu tengah malam, dan kami perlu memanaskan ketuhar pada waktu subuh untuk menyediakan sarapan! Kami memang penat, tetapi saya belajar banyak hal daripada para sukarelawan yang rajin, matang, dan suka ketawa. Peristiwa itu telah merapatkan hubungan kami dan kami menjadi sahabat baik sehingga hari ini. Konvensyen ini amat bersejarah kerana antara tahun 1940-an dan 1950-an, Saksi-Saksi di Quebec dianiaya dengan teruk!

Membuat persiapan untuk konvensyen bersama Randi di Montreal pada tahun 1985

Saya belajar banyak daripada penyelia lain semasa konvensyen yang besar di Montreal. Pada satu tahun, Saudara David Splane, kini seorang ahli Badan Pimpinan, menyelia pejabat konvensyen. Semasa saya diminta melakukan tugasan itu pada konvensyen yang lain, Saudara David banyak membantu saya.

Pada tahun 2011, selepas melakukan kerja lawatan selama 36 tahun, saya ditugaskan sebagai pengajar dalam Sekolah untuk Penatua Sidang. Dalam masa dua tahun, Saya dan Randi tidur di 75 katil yang berbeza, tetapi pengorbanan itu berbaloi. Pada akhir setiap sekolah, para penatua sangat bersyukur kerana Badan Pimpinan begitu prihatin terhadap kerohanian mereka.

Kemudian, saya ditugaskan sebagai pengajar di Sekolah Latihan Penginjil. Para pelajar di sekolah itu sering kali berasa bahawa jadual sekolah itu terlalu mencabar, kerana mereka perlu menghadiri kelas untuk tujuh jam sehari, membuat kerja rumah selama tiga jam setiap malam, dan menyiapkan empat atau lima tugasan setiap minggu. Jadi, saya dan pengajar yang seorang lagi menjelaskan bahawa mereka tidak dapat melakukannya tanpa bantuan Yehuwa. Saya selalu ingat betapa terkejutnya mereka semasa mereka berjaya melakukan jauh lebih banyak daripada apa yang mereka sangkakan kerana bergantung pada Yehuwa.

KEPRIHATINAN MEMBAWA BERKAT YANG BERKEKALAN

Keprihatinan yang ibu saya tunjukkan telah membantu pelajar Biblenya untuk membuat kemajuan, dan bahkan mengubah sikap bapa saya terhadap kebenaran. Tiga hari selepas ibu saya meninggal, kami terkejut semasa melihat bapa saya menghadiri ceramah umum di Dewan Perjumpaan, dan dia terus menghadiri perjumpaan untuk 26 tahun yang berikutnya. Biarpun bapa saya tidak dibaptis, para penatua memberitahu saya bahawa dialah orang pertama yang sampai di dewan bagi setiap perjumpaan.

Teladan ibu saya juga meninggalkan kesan yang mendalam kepada saya dan tiga orang adik perempuan saya. Semua adik perempuan saya bersama suami mereka menyembah Yehuwa dengan setia. Dua orang antara mereka berkhidmat di pejabat cawangan. Seorang di Portugal, dan seorang lagi di Haiti.

Sekarang, saya dan Randi berkhidmat sebagai perintis khas di Hamilton, Ontario. Semasa kami membuat kerja lawatan dulu, kami menyertai kunjungan kembali dan pembelajaran Bible orang lain. Tetapi kini, kami dapat membantu pelajar Bible sendiri membuat kemajuan rohani. Apabila kami semakin mengenali saudara saudari di sidang Hamilton, kami berasa digalakkan semasa melihat bagaimana Yehuwa membantu mereka pada masa yang senang dan susah.

Mengenang kembali hidup kami, kami sangat menghargai saudara saudari yang mengambil berat terhadap kami. Teladan mereka mendorong kami untuk menunjukkan bahawa kami juga “sangat mengambil berat” terhadap orang lain dan ingin membantu mereka memberikan yang terbaik kepada Yehuwa. (2 Kor. 7:6, 7) Sebagai contoh, dalam sebuah keluarga, isteri, anak lelaki, dan anak perempuan, menceburi khidmat sepenuh masa. Saya bertanya kepada si suami sama ada dia pernah terfikir untuk merintis. Dia menjawab bahawa dia sedang menyara hidup tiga orang perintis dalam keluarganya. Saya menanya dia, “Dapatkah kamu menjaga mereka lebih baik daripada Yehuwa menjaga mereka?” Saya menggalakkan dia untuk juga menikmati khidmat perintis. Enam bulan kemudian, dia mula merintis.

Randi dan saya bertekad untuk terus ‘mengumumkan segala perbuatan Yehuwa yang menakjubkan’ dan ‘mengisahkan keperkasaan-Nya kepada semua keturunan yang akan datang.’ Kami berharap agar mereka juga akan menikmati sukacita dalam khidmat kepada Yehuwa seperti kami.​—Mzm. 71:17, 18.

a Kini dikenali sebagai penyelia Perjumpaan Kehidupan dan Kegiatan Kristian.

b Lihat kisah hidup Léonce Crépeault dalam Menara Pengawal terbitan Februari 2020, ms. 26-30.