RENCANA PEMBELAJARAN 29
Sudahkah Anda Bersedia Menghadapi Kesengsaraan Besar?
“Pastikan bahawa kamu bersedia.”—MAT. 24:44.
LAGU 150 Carilah Tuhan agar Diselamatkan
PENGENALAN a
1. Mengapakah bijak untuk bersedia menghadapi bencana?
PERSEDIAAN yang baik dapat menyelamatkan nyawa. Sebagai contoh, apabila bencana melanda, kemungkinan besar orang yang sudah bersedia akan terselamat dan dapat membantu orang lain. Sebuah organisasi bantuan kemanusiaan di Eropah berkata, “Persediaan yang baik mampu mengubah kesudahannya.”
2. Mengapakah kita patut bersedia untuk menghadapi kesengsaraan besar? (Matius 24:44)
2 “Kesengsaraan besar” akan tiba-tiba bermula. (Mat. 24:21) Tetapi tidak seperti banyak bencana yang berlaku tanpa diduga, kita sudah tahu bahawa kesengsaraan besar akan berlaku. Kira-kira 2,000 tahun lalu, Yesus memberikan amaran kepada pengikutnya agar bersiap sedia untuk menghadapi hari itu. (Baca Matius 24:44.) Jika kita sudah bersedia, adalah lebih mudah bagi kita untuk menghadapi masa yang susah itu dan membantu orang lain melakukan hal yang sama.—Luk. 21:36.
3. Bagaimanakah ketabahan, belas kasihan, dan kasih, dapat membantu kita bersedia menghadapi kesengsaraan besar?
3 Perhatikan tiga sifat yang dapat membantu kita bersedia menghadapi kesengsaraan besar. Apakah reaksi kita jika kita perlu menyebarkan mesej penghakiman yang berat dan menghadapi tentangan? (Why. 16:21) Kita memerlukan ketabahan agar dapat mematuhi Yehuwa dan percaya bahawa Dia akan melindungi kita. Apakah reaksi kita jika rakan seiman kita kehilangan harta benda mereka? (Hab. 3:17, 18) Kita memerlukan belas kasihan agar dapat menghulurkan bantuan. Apakah reaksi kita jika bangsa-bangsa bersekutu menyerang kita, dan kita terpaksa hidup berhimpit bersama ramai saudara saudari buat suatu ketika? (Yeh. 38:10-12) Kita memerlukan kasih yang mendalam terhadap satu sama lain agar dapat mengharungi waktu yang mencabar itu.
4. Bagaimanakah Bible menunjukkan bahawa kita mesti terus memupuk ketabahan, belas kasihan, dan kasih?
4 Firman Tuhan menggalakkan kita untuk terus memupuk ketabahan, belas kasihan, dan kasih. Lukas 21:19 kata, “Jika kamu tabah, nyawa kamu akan terpelihara.” Kolose 3:12 kata, “Hendaklah kamu mengenakan belas kasihan.” Ayat di 1 Tesalonika 4:9, 10 kata, “Kamu sendiri diajar oleh Tuhan untuk saling mengasihi. . . . Tetapi saudara-saudara, kami menggesa kamu semua agar terus melakukannya dengan lebih bersungguh-sungguh lagi.” Ayat-ayat ini ditujukan kepada orang Kristian yang sudah menunjukkan ketabahan, belas kasihan, dan kasih. Namun, mereka digalakkan untuk terus memupuk sifat-sifat ini. Kita juga harus melakukan hal yang sama. Sekarang, kita akan lihat bagaimana orang Kristian abad pertama menunjukkan sifat-sifat ini. Kemudian, kita akan belajar bagaimana kita dapat meniru teladan mereka dan bersiap sedia untuk menghadapi kesengsaraan besar.
MANTAPKAN KETABAHAN ANDA
5. Apakah yang membantu orang Kristian abad pertama bertabah menghadapi cubaan?
5 Orang Kristian abad pertama menghadapi banyak cubaan. (Ibr. 10:36) Selain berdepan dengan cabaran hidup seharian, mereka juga menghadapi masalah yang lain. Contohnya, ramai antara mereka bukan sahaja dianiaya oleh pemimpin agama Yahudi dan kerajaan Roma, tetapi juga oleh keluarga mereka sendiri. (Mat. 10:21) Tambahan lagi, mereka perlu berdepan dengan pengaruh dan ajaran orang murtad dalam sidang. (Kis. 20:29, 30) Namun, mereka menghadapi semua itu dengan tabah. (Why. 2:3) Apakah yang membantu mereka? Mereka merenungkan kisah Bible tentang hamba Tuhan yang tabah, seperti Ayub. (Yak. 5:10, 11) Mereka juga berdoa meminta kekuatan. (Kis. 4:29-31) Selain itu, mereka sentiasa ingat bahawa Yehuwa akan memberkati mereka jika mereka tetap tabah.—Kis. 5:41.
6. Apakah yang anda pelajari daripada cara Merita menghadapi tentangan?
6 Kita juga dapat menghadapi cubaan dengan tabah jika kita sering mengkaji dan merenungkan contoh penyembah Tuhan yang tabah, yang terdapat dalam Bible dan bahan bacaan kita. Itulah yang membantu Saudari Merita dari Albania untuk bertabah biarpun keluarganya menentangnya dan menderanya. Dia berkata, “Saya sangat tersentuh semasa mengkaji kisah Ayub. Hidupnya begitu sengsara, dan dia tidak tahu siapa yang menyebabkan penderitaannya. Tetapi Ayub berkata, ‘Sampai mati pun aku akan tetap setia kepada Tuhan!’ (Ayb. 27:5) Jika dibandingkan dengan Ayub, cubaan saya jauh lebih ringan. Tambahan lagi, saya tahu siapa dalang di sebalik semua cubaan ini.”
7. Biarpun kita tidak menghadapi cubaan yang teruk pada masa ini, apakah yang harus kita belajar untuk lakukan sekarang?
7 Kita juga dapat menguatkan ketabahan kita dengan sering meluahkan isi hati kita kepada Yehuwa dalam doa. (Flp. 4:6; 1 Tes. 5:17) Sekarang anda mungkin tidak menghadapi cubaan yang teruk. Biarpun begitu, adakah anda berdoa kepada Yehuwa untuk memohon bimbingan-Nya setiap kali anda berasa sedih, keliru, atau bingung? Jika anda sudah biasa meminta bantuan Yehuwa sekarang semasa menghadapi cabaran seharian, anda tidak akan teragak-agak untuk berbuat demikian semasa menghadapi masalah yang lebih besar pada masa depan. Ketika itu, anda akan yakin bahawa Yehuwa tahu cara yang terbaik dan masa yang terbaik untuk menjawab doa anda.—Mzm. 27:1, 3.
8. Bagaimanakah contoh Mira menunjukkan bahawa cubaan yang kita hadapi sekarang dapat membantu kita pada masa depan? (Yakobus 1:2-4) (Lihat juga gambar.)
8 Jika kita menghadapi cubaan dengan tabah sekarang, kita akan berasa lebih mudah untuk tetap setia kepada Yehuwa semasa kesengsaraan besar nanti. (Rm. 5:3) Mengapa? Ramai saudara saudari belajar bahawa setiap cubaan yang mereka lalui telah membantu mereka menghadapi cubaan yang seterusnya. Oleh sebab mereka bertabah, iman mereka dikuatkan. Mereka bertambah yakin bahawa Yehuwa sentiasa sedia membantu mereka. Setelah memiliki iman yang lebih kuat, mereka mampu menghadapi cubaan yang seterusnya dengan berjaya. (Baca Yakobus 1:2-4.) Perhatikan contoh Saudari Mira, seorang perintis di Albania. Dia mengaku bahawa ada kalanya, dia berasa bahawa dia sahajalah yang dilanda begitu banyak masalah. Tetapi apabila dia memikirkan bagaimana Yehuwa menolongnya selama 20 tahun yang lalu, dia mengingatkan dirinya, “Saya mesti tetap setia. Yehuwa sudah bantu saya mengatasi banyak masalah selama ini. Jangan mensia-siakannya.” Seperti Mira, renungkanlah bagaimana Yehuwa telah membantu anda menghadapi cabaran dengan tabah. Yakinlah bahawa Dia memerhatikan setiap cabaran yang anda lalui dan pasti memberkati anda. (Mat. 5:10-12) Jika anda belajar untuk memantapkan ketabahan anda sekarang, anda dapat terus bertabah semasa kesengsaraan besar bermula.
MENUNJUKKAN BELAS KASIHAN
9. Bagaimanakah saudara saudari dari Antiokhia di Siria menunjukkan belas kasihan?
9 Perhatikan apa yang berlaku semasa orang Kristian di Yudea dilanda kebuluran yang teruk. Apabila saudara saudari dari Antiokhia di Siria mendengar tentang hal itu, mereka bukan sahaja berasa kasihan terhadap rakan seiman di Yudea, tetapi juga mengambil tindakan. Mereka “membuat keputusan untuk mengirim bantuan kepada saudara-saudara yang tinggal di Yudea.” (Kis. 11:27-30) Walaupun Antiokhia terletak agak jauh dari Yudea, mereka bertekad untuk menghulurkan bantuan.—1 Yoh. 3:17, 18.
10. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan belas kasihan kepada rakan seiman yang ditimpa bencana? (Lihat juga gambar.)
10 Apabila rakan seiman kita ditimpa bencana, kita dapat menunjukkan belas kasihan dengan sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan. Kita dapat menyumbangkan duit untuk kerja sedunia, berdoa bagi mangsa bencana, atau menanya para penatua jika kita dapat menyertai projek untuk membantu mangsa bencana. b (Ams. 17:17) Sebagai contoh, semasa pandemik COVID-19 berlaku pada tahun 2020, lebih daripada 950 Jawatankuasa Bantuan Bencana telah ditubuhkan di seluas dunia untuk menghulurkan bantuan kepada saudara saudari kita. Saudara saudari yang menyokong Jawatankuasa Bantuan Bencana ini harus dipuji. Belas kasihan telah mendorong mereka untuk mengedarkan barang keperluan, menawarkan bantuan rohani, dan ada kalanya membaiki atau membina semula rumah dan tempat ibadat yang rosak.—Bandingkan 2 Korintus 8:1-4.
11. Bagaimanakah belas kasihan yang kita tunjukkan memuliakan Yehuwa?
11 Apabila kita sudi membuat pengorbanan untuk menunjukkan belas kasihan terhadap mangsa bencana, orang lain dapat melihat usaha kita. Pada tahun 2019, Taufan Dorian telah memusnahkan sebuah Dewan Perjumpaan di Bahamas. Semasa dewan itu dibina semula, saudara-saudara kita ingin mengupah seorang kontraktor yang bukan Saksi untuk melakukan sesetengah kerja. Semasa mereka bertanya tentang bayarannya, kontraktor itu berkata, “Saya tidak akan kenakan bayaran . . . untuk upah dan bahan binaan, dan kamu boleh guna peralatan saya dengan percuma. . . . Ini sumbangan saya kepada organisasi kamu. Saya sangat kagum melihat cara kamu melayan sahabat-sahabat kamu.” Ramai orang di dunia tidak mengenali Yehuwa, tetapi mereka dapat melihat apa yang dilakukan oleh Saksi-Saksi Yehuwa. Kita sangat gembira apabila belas kasihan yang kita tunjukkan mendorong orang lain untuk mengenali Tuhan kita yang “berlimpah-limpah dengan belas kasihan”!—Ef. 2:4.
12. Jika kita memupuk belas kasihan sekarang, bagaimanakah hal itu akan membantu kita bersedia menghadapi kesengsaraan besar? (Wahyu 13:16, 17)
12 Mengapakah kita perlu menunjukkan belas kasihan semasa kesengsaraan besar? Bible menyatakan bahawa mereka yang tidak menyokong sistem politik dunia akan menghadapi masalah, baik sekarang mahupun semasa kesengsaraan besar. (Baca Wahyu 13:16, 17.) Oleh itu, saudara saudari kita mungkin memerlukan bantuan untuk memenuhi keperluan asas mereka. Semasa Raja kita, Kristus Yesus, menghakimi dunia ini, semoga dia mendapati kita menunjukkan belas kasihan dan berkata kepada kita, “Warisilah Kerajaan Tuhan.”—Mat. 25:34-40.
KUATKAN KASIH ANDA
13. Seperti yang ditunjukkan di Roma 15:7, bagaimanakah orang Kristian abad pertama menguatkan ikatan kasih mereka?
13 Kasih ialah tanda pengenal orang Kristian abad pertama. Adakah mudah bagi mereka untuk menunjukkan kasih? Tidak. Perhatikan contoh sidang di Roma. Sidang itu ada orang Yahudi yang diajar untuk mematuhi Hukum Musa sejak kecil dan juga orang bukan Yahudi yang mempunyai latar belakang yang sangat berbeza. Ada yang merupakan hamba abdi, sementara yang lain ialah orang bebas, yang mungkin mempunyai hamba sendiri. Bagaimanakah orang Kristian pada masa itu dapat mengatasi perbezaan mereka dan menguatkan kasih mereka? Rasul Paulus menggalakkan mereka dengan berkata, “Sambutlah satu sama lain.” (Baca Roma 15:7.) Apakah maksudnya? Perkataan yang diterjemahkan sebagai “sambutlah” bermaksud menerima seseorang dengan ramah ke dalam rumah kita atau lingkungan kawan kita. Sebagai contoh, biarpun hamba Filemon yang bernama Onesimus telah melarikan diri, Paulus menggalakkan Filemon untuk menyambutnya dengan baik semasa dia pulang. (Flm. 17) Selain itu, walaupun Apolos tidak tahu banyak tentang agama Kristian, Priskila dan Akwila mengalu-alukannya dan “mengajaknya untuk menyertai mereka.” (Kis. 18:26) Orang Kristian pada abad pertama tidak mengizinkan perbezaan mereka untuk menimbulkan perpecahan. Sebaliknya, mereka mengatasi perbezaan mereka dan menyambut satu sama lain dengan ramah.
14. Bagaimanakah Anna dan suaminya menunjukkan kasih?
14 Kita juga dapat menunjukkan kasih kepada saudara saudari kita dengan sudi menjadi kawan mereka. Biasanya, perbuatan kita akan mendorong mereka untuk menunjukkan kasih kepada kita. (2 Kor. 6:11-13) Perhatikan pengalaman Anna dan suaminya, yang berkhidmat sebagai mubaligh. Tidak lama selepas mereka ditugaskan ke sidang baharu di Afrika Barat, pandemik COVID-19 melanda. Jadi mereka tidak dapat berjumpa dengan saudara saudari di sidang baharu itu secara bersemuka. Bagaimanakah mereka menunjukkan kasih? Mereka menggunakan panggilan video untuk menghubungi saudara saudari di sana dan menyatakan keinginan mereka untuk lebih mengenali satu sama lain. Hasilnya, ahli sidang mereka sangat tersentuh dan sering menelefon dan menghantar mesej kepada mereka. Mengapakah Anna dan suaminya berusaha mengenali rakan seiman mereka? Anna berkata, “Orang lain pernah menunjukkan kasih kepada saya dan keluarga saya pada masa yang senang dan susah. Perbuatan mereka terpahat di hati dan minda saya, dan mendorong saya untuk melakukan hal yang sama.”
15. Apakah yang anda belajar daripada contoh Vanessa tentang mengasihi semua saudara saudari kita? (Lihat juga gambar.)
15 Sidang kita biasanya mempunyai saudara saudari daripada pelbagai latar belakang dan yang mempunyai keperibadian yang berbeza-beza. Kita dapat menguatkan kasih kita terhadap mereka semua jika kita bertumpu kepada sifat-sifat baik mereka. Seorang saudari di New Zealand yang bernama Vanessa pernah berasa susah untuk bersahabat dengan sesetengah orang di sidangnya. Namun, daripada mengelakkan orang yang tidak disukainya, dia memutuskan untuk meluangkan lebih banyak masa bersama mereka. Hasilnya, dia dapat memahami mengapa Yehuwa mengasihi mereka. Vanessa berkata, “Selepas suami saya menjadi penyelia litar, kami bergaul dengan lebih banyak saudara saudari yang beraneka ragam, dan saya berasa lebih senang untuk bersahabat dengan mereka. Saya bersyukur kerana organisasi kita terdiri daripada orang yang berbeza-beza. Yehuwa tentu menyukai kepelbagaian ini, kerana Dialah yang memimpin kita semua ke dalam organisasi-Nya.” Apabila kita memupuk pandangan Yehuwa terhadap orang lain, kita menunjukkan bahawa kita mengasihi mereka.—2 Kor. 8:24.
16. Mengapakah kasih sangat penting semasa kesengsaraan besar? (Lihat juga gambar.)
16 Kasih sangat penting semasa kesengsaraan besar. Semasa kesengsaraan besar bermula, di manakah kita dapat mencari perlindungan? Perhatikan arahan Yehuwa kepada umat-Nya semasa kota Babilon kuno diserang: “Hai umat-Ku, masuklah ke dalam bilik yang selamat dan tutuplah pintu. Bersembunyilah seketika sehingga kemurkaan-Ku berlalu.” (Yes. 26:20) Nampaknya, kita perlu mematuhi arahan yang sama semasa kesengsaraan besar. “Bilik yang selamat” itu mungkin merujuk kepada sidang kita. Semasa kesengsaraan besar, kita akan dilindungi Yehuwa jika kita tetap bersatu dengan saudara saudari kita. Oleh itu, kita mahu berusaha keras sekarang, bukan sahaja untuk bersabar dengan saudara saudari kita, tetapi juga untuk mengasihi mereka secara mendalam. Hal ini melibatkan hidup mati kita!
BERSEDIALAH SEKARANG
17. Jika kita membuat persiapan yang baik mulai sekarang, apakah yang dapat kita lakukan semasa kesengsaraan besar?
17 Semasa “hari besar Yehuwa,” semua orang akan hidup susah, termasuk umat Yehuwa. (Zef. 1:14, 15) Tetapi jika kita membuat persiapan mulai sekarang, pada masa itu kita dapat bertenang dan dapat membantu orang lain. Kita dapat menghadapi apa sahaja cabaran dengan tabah. Kita akan menunjukkan belas kasihan kepada rakan seiman kita yang menderita dengan melegakan hati mereka dan menyediakan keperluan mereka. Kita juga akan mempunyai hubungan yang rapat dengan saudara saudari kita kerana kita sudah belajar untuk mengasihi mereka. Selepas kesengsaraan besar, Yehuwa akan mengurniakan kehidupan yang kekal kepada kita di dunia yang bebas daripada bencana dan penderitaan.—Yes. 65:17.
LAGU 144 Tataplah Pahala!
a Tidak lama lagi, kesengsaraan besar akan bermula. Sifat-sifat seperti ketabahan, belas kasihan, dan kasih, akan membantu kita menghadapi peristiwa-peristiwa yang akan berlaku pada masa itu. Rencana ini akan membincangkan bagaimana orang Kristian pada abad pertama memupuk sifat-sifat ini dan bagaimana kita dapat meniru teladan mereka. Kita juga akan belajar bagaimana sifat-sifat ini dapat membantu kita bersedia menghadapi kesengsaraan besar.
b Mereka yang ingin menyertai projek untuk membantu mangsa bencana haruslah mengisi borang Local Design/Construction Volunteer Application (DC-50) (Permohonan Pekerja Sukarela Rekaan dan Pembinaan Tempatan) atau Permohonan untuk Khidmat Sukarela (A-19) terlebih dahulu. Kemudian, mereka harus menunggu sehingga dijemput untuk membantu.