RENCANA PEMBELAJARAN 32
Tirulah Sikap Munasabah Yehuwa
“Hendaklah sikap munasabah kamu diketahui semua orang.”—FLP. 4:5.
LAGU 89 Dengar, Patuh, dan Diberkati
PENGENALAN a
1. Bagaimanakah orang Kristian dapat menjadi seperti sepohon pokok? (Lihat juga gambar.)
“ANGIN kencang tidak dapat mematahkan pokok yang mudah lentur.” Peribahasa ini menonjolkan satu ciri penting yang membantu pokok terus bertumbuh, iaitu fleksibel, atau mudah lentur. Agar kita dapat bertumbuh dengan baik secara rohani, kita juga harus fleksibel, iaitu bersikap munasabah. Bagaimana? Apabila keadaan peribadi kita berubah, kita perlu sedia membuat penyesuaian. Selain itu, kita perlu menghormati pandangan dan keputusan orang lain.
2. Apakah sifat-sifat yang akan membantu kita menyesuaikan diri dengan perubahan? Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?
2 Sebagai penyembah Yehuwa, kita mahu bersikap munasabah. Kita juga mahu menunjukkan kerendahan hati dan belas kasihan. Dalam rencana ini, kita akan lihat bagaimana sifat-sifat ini telah membantu sesetengah orang Kristian untuk menghadapi perubahan. Kita juga akan lihat bagaimana sifat-sifat ini dapat membantu kita. Sebelum itu, mari kita bincang bagaimana Yehuwa dan Yesus merupakan teladan yang sempurna dalam menunjukkan sikap munasabah.
YEHUWA DAN YESUS BERSIKAP MUNASABAH
3. Apakah yang membuktikan bahawa Yehuwa ialah Tuhan yang munasabah?
3 Yehuwa digelar “gunung batu” kerana Dia teguh dan tidak tergoyah. (Ul. 32:4) Namun, Dia juga bersikap munasabah. Sepanjang sejarah manusia, Tuhan kita menyesuaikan tindakan-Nya mengikut peristiwa yang berlaku di dunia supaya tujuan-Nya tercapai. Yehuwa menciptakan manusia menurut gambaran-Nya. Maksudnya, manusia pun mampu menyesuaikan diri dengan perubahan. Selain itu, Yehuwa memberi kita prinsip Bible yang jelas supaya kita dapat membuat keputusan yang bijak tidak kira apa cabaran yang kita hadapi. Teladan Yehuwa dan prinsip yang diberikan-Nya membuktikan bahawa walaupun Dia teguh seperti “gunung batu,” Dia juga bersikap munasabah.
4. Berikan contoh yang menunjukkan bahawa Yehuwa munasabah. (Imamat 5:7, 11)
4 Haluan Yehuwa sempurna. Namun, Dia fleksibel dan munasabah semasa berurusan dengan manusia. Sebagai contoh, perhatikan bagaimana Yehuwa bersikap munasabah terhadap orang Israel dalam soal mempersembahkan korban. Dia tidak menuntut korban yang sama daripada orang yang kaya dan miskin. Dalam sesetengah situasi, Dia mengizinkan setiap orang untuk mempersembahkan korban mengikut kemampuan sendiri.—Baca Imamat 5:7, 11.
5. Berikan contoh yang menunjukkan bahawa Yehuwa rendah hati dan berbelas kasihan.
5 Kerendahan hati dan belas kasihan Yehuwa menggerakkan-Nya untuk bersikap munasabah. Sebagai contoh, perhatikan bagaimana Yehuwa menunjukkan kerendahan hati semasa Dia ingin memusnahkan kota Sodom. Melalui malaikat-Nya, Yehuwa mengarahkan Lot untuk melarikan diri ke kawasan pergunungan. Tetapi Lot berasa takut untuk pergi ke sana dan merayu agar dia dan keluarganya dibenarkan pergi ke Zoar, padahal Yehuwa pun ingin membinasakan kota itu. Sebenarnya Yehuwa boleh menolak permintaan Lot dan menyuruhnya untuk mengikut arahan yang diberikan. Namun Dia mengubah rancangan-Nya demi Lot dan tidak membinasakan Zoar. (Kej. 19:18-22) Berabad-abad kemudian, Yehuwa menunjukkan belas kasihan kepada penduduk Niniwe. Dia mengutus Nabi Yunus untuk mengumumkan bahawa kota itu dan penduduknya yang jahat akan dimusnahkan. Tetapi apabila penduduk Niniwe bertaubat, Yehuwa berbelas kasihan terhadap mereka dan tidak memusnahkan kota itu.—Yun. 3:1, 10; 4:10, 11.
6. Jelaskan bagaimana Yesus meniru sikap munasabah Yehuwa.
6 Perhatikan bagaimana Yesus meniru sikap munasabah Yehuwa. Dia diutus untuk menginjil “hanya kepada orang Israel, yang bagaikan biri-biri yang sesat.” Tetapi Yesus bersikap munasabah semasa menjalankan tugas itu. Pernah sekali, seorang wanita bangsa asing merayu agar Yesus menyembuhkan anak perempuannya yang “sangat terseksa kerana dirasuk roh jahat.” Yesus berbelas kasihan terhadap wanita itu dan menyembuhkan anak perempuannya. (Mat. 15:21-28) Perhatikan satu lagi contoh. Yesus pernah berkata, “Sesiapa yang menyangkal aku di hadapan umum, aku pun akan menyangkal dia.” (Mat. 10:33) Tetapi adakah dia berbuat demikian kepada Petrus yang menyangkalnya sebanyak tiga kali? Tidak. Yesus tahu bahawa Petrus sudah bertaubat dan dia memang setia. Selepas dibangkitkan, Yesus menampakkan diri kepada Petrus. Pada masa itu, Yesus mungkin meyakinkan Petrus bahawa dia sudah memaafkannya dan masih mengasihinya.—Luk. 24:33, 34.
7. Menurut Filipi 4:5, bagaimanakah kita ingin orang lain memandang kita?
7 Kita sudah belajar bahawa Tuhan Yehuwa dan Yesus Kristus bersikap munasabah. Bagaimana pula dengan kita? Yehuwa juga mahu kita bersikap munasabah. (Baca Filipi 4:5.) Satu lagi Bible menterjemahkan ayat ini sebagai: “Hendaklah kamu dikenali sebagai orang yang munasabah.” Kita boleh menanya diri, “Adakah orang memandang saya sebagai orang yang munasabah dan sudi membuat penyesuaian? Atau adakah orang menganggap saya terlalu tegas atau keras kepala? Adakah saya memaksa orang lain untuk mengikut cara saya? Ataupun adakah saya sudi mendengar pendapat orang lain dan mengalah apabila perlu?” Sejauh mana kita bersikap munasabah, sejauh itulah kita sedang meniru teladan Yehuwa dan Yesus. Sekarang, mari kita lihat dua keadaan apabila sikap munasabah diperlukan: Semasa situasi peribadi kita berubah, dan semasa pandangan dan keputusan orang lain berbeza daripada kita.
BERSIKAP MUNASABAH KETIKA KEADAAN BERUBAH
8. Apakah yang dapat membantu kita bersikap munasabah ketika keadaan berubah? (Lihat juga nota kaki.)
8 Semasa keadaan kita berubah, kita perlu bersikap munasabah, atau fleksibel. Perubahan sedemikian mungkin membawa masalah yang tidak dijangkakan. Contohnya, kita mungkin tiba-tiba jatuh sakit, atau hidup kita mungkin tiba-tiba menjadi tunggang terbalik akibat masalah ekonomi atau pergolakan politik. (Pkh. 9:11; 1 Kor. 7:31) Selain itu, semasa tugasan kita dalam organisasi Yehuwa berubah, kita mungkin berasa susah untuk menerimanya. Tidak kira apa perubahan yang kita hadapi, kita dapat menyesuaikan diri jika kita (1) menerima kenyataan, (2) pandang ke depan, (3) bersikap positif, dan (4) membantu orang lain. b Mari kita membincangkan bagaimana empat langkah ini telah membantu saudara saudari kita.
9. Apakah yang membantu sepasang mubaligh menghadapi cubaan yang tidak dijangkakan?
9 Menerima kenyataan. Emanuele dan Francesca ditugaskan sebagai mubaligh di negara asing. Tetapi apabila mereka baru hendak belajar bahasa tempatan dan mengenali saudara saudari di sidang baharu, pandemik COVID-19 berlaku dan mereka tidak dapat berjumpa dengan orang lain. Kemudian, ibu Francesca tiba-tiba meninggal. Francesca ingin pulang untuk menemani keluarganya, tetapi tidak dapat berbuat demikian disebabkan pandemik. Apakah yang membantunya menghadapi cubaan-cubaan ini? Pertama, Emanuele dan Francesca berdoa bersama-sama untuk memohon kebijaksanaan agar mereka dapat menghadapi cabaran setiap hari dan tidak terlalu khuatir tentang hari esok. Melalui organisasi-Nya, Yehuwa telah menjawab doa mereka tepat pada waktunya. Contohnya, mereka digalakkan setelah menonton video temu ramah seorang saudara yang berkata, “Semakin cepat kita menerima kenyataan, semakin cepat kita bersukacita semula, dan kita dapat mencari jalan untuk memberikan yang terbaik dalam situasi baharu.” c Kedua, mereka berusaha meningkatkan kemahiran dalam memberikan kesaksian menerusi telefon, dan mereka berjaya memulakan pembelajaran Bible. Ketiga, mereka sudi menerima bantuan, dan mereka menghargai galakan, kasih, dan sokongan daripada saudara saudari tempatan. Seorang saudari telah menghantar ayat Bible berserta mesej ringkas kepada mereka setiap hari selama setahun. Seperti pasangan mubaligh ini, apabila kita menerima kenyataan, kita dapat bersukacita kerana melakukan apa yang terdaya dalam situasi baharu.
10. Bagaimanakah seorang saudari membuat penyesuaian apabila menghadapi perubahan yang besar dalam hidupnya?
10 Pandanglah ke depan, dan bersikap positif. Christina, seorang saudari dari Romania yang tinggal di Jepun, berasa kecewa apabila sidang bahasa Inggeris yang dihadirinya dibubarkan. Namun, dia tidak bertumpu kepada apa yang telah berlaku. Sebaliknya, dia menghadiri sidang bahasa Jepun dan berusaha sedaya upaya untuk menginjil dalam bahasa itu. Untuk menjadi lebih fasih dalam bahasa Jepun, dia meminta bekas rakan sekerjanya untuk mengajarnya bahasa Jepun dengan menggunakan Bible dan brosur Nikmati Hidup Selama-Lamanya! Hasilnya, Christina bukan sahaja menjadi lebih fasih berbahasa Jepun, wanita yang membantunya itu juga mula berminat terhadap kebenaran. Jadi apabila kita memandang ke hadapan dan bersikap positif, perubahan yang tidak terduga dalam hidup kita dapat membawa berkat yang tidak disangkakan.
11. Apakah yang dilakukan oleh sepasang suami isteri yang menghadapi masalah kewangan?
11 Bantulah orang lain. Sepasang suami isteri di sebuah negara yang mengharamkan aktiviti kita kehilangan sumber pendapatan semasa negara itu dilanda kemelesetan ekonomi. Apakah penyesuaian yang mereka lakukan? Pertama, mereka menyederhanakan kehidupan mereka. Kemudian, daripada bertumpu kepada masalah mereka, mereka berusaha membantu orang lain dengan bergiat dalam kerja penyebaran. (Kis. 20:35) Saudara itu berkata, “Apabila kita sibuk menginjil, kita tidak ada banyak masa untuk fikir hal yang negatif dan ada lebih banyak masa untuk melakukan kehendak Tuhan.” Semasa keadaan kita berubah, berusahalah untuk membantu orang lain, khasnya melalui kerja penyebaran.
12. Bagaimanakah teladan Rasul Paulus membantu kita untuk membuat penyesuaian semasa menginjil?
12 Semasa menginjil, kita harus bersikap fleksibel. Mengapa? Kerana kita berjumpa dengan orang daripada pelbagai latar belakang yang mempunyai agama dan sikap yang berlainan. Rasul Paulus sangat fleksibel, dan kita dapat belajar daripada teladannya. Dia dilantik oleh Yesus sebagai “rasul yang diutus kepada bangsa-bangsa lain.” (Rm. 11:13) Hal ini bermaksud Paulus perlu menginjil kepada orang Yahudi, Yunani, orang yang terpelajar, orang yang kurang pendidikan, para pemimpin, dan raja. Untuk mencapai hati para pendengarnya, Paulus “melakukan apa sahaja yang terdaya untuk membantu segala macam orang.” (1 Kor. 9:19-23) Dia memerhatikan budaya, latar belakang, dan kepercayaan para pendengarnya, dan menyesuaikan penyampaiannya dengan keperluan mereka. Begitu juga, kita dapat menjadi penginjil yang lebih mahir jika kita bersikap fleksibel dan memikirkan cara yang terbaik untuk membantu setiap pendengar kita.
MENGHORMATI PANDANGAN ORANG LAIN
13. Apakah masalah yang disebut di 1 Korintus 8:9? Bagaimanakah kita dapat mengelakkan masalah ini?
13 Sikap munasabah juga membantu kita menghormati pandangan orang lain. Contohnya, sesetengah saudari suka bersolek, tetapi yang lain tidak. Ada orang Kristian yang menikmati sedikit alkohol dari masa ke masa, tetapi ada juga yang langsung tidak meminumnya. Semua orang Kristian menginginkan kesihatan yang baik, tetapi kita masing-masing memilih cara yang berbeza untuk menjaga kesihatan. Jika kita begitu mementingkan pandangan sendiri sehingga mendesak orang lain untuk menerimanya, kita mungkin membuat mereka tersandung dan menimbulkan perpecahan dalam sidang. Sudah tentu kita tidak mahu berbuat demikian! (Baca 1 Korintus 8:9; 10:23, 24) Mari kita lihat bagaimana prinsip Bible dapat membantu kita agar tetap seimbang dan menjaga kedamaian dalam dua hal berikut.
14. Apakah prinsip Bible yang dapat membantu kita dalam soal pakaian dan dandanan?
14 Pakaian dan dandanan. Yehuwa tidak memberi kita banyak perintah tentang pakaian. Sebaliknya, Dia memberi kita prinsip Bible. Contohnya, kita harus memilih pakaian yang sederhana, sopan, yang sesuai bagi orang yang mengaku diri sebagai penyembah Tuhan, dan yang mencerminkan “fikiran yang sihat.” (1 Tim. 2:9, 10; 1 Ptr. 3:3) Maka kita tidak mahu pakaian kita menarik terlalu banyak perhatian kepada diri kita. Prinsip Bible juga membantu para penatua agar tidak membuat peraturan sendiri tentang pakaian dan gaya rambut. Sebagai contoh, para penatua di sebuah sidang ingin membantu beberapa saudara muda yang mempunyai gaya rambut yang pendek tetapi tidak kemas. Bagaimanakah para penatua dapat membantu mereka dan pada masa yang sama tidak menetapkan peraturan sendiri? Penyelia litar menasihati para penatua untuk memberitahu saudara-saudara muda itu, “Jika kamu berada di atas pentas dan para hadirin memberikan lebih banyak perhatian kepada penampilan kamu daripada apa yang kamu katakan, maksudnya pakaian dan dandanan kamu ada masalah.” Penjelasan yang ringkas ini telah menyelesaikan isu yang timbul, dan para penatua tidak perlu membuat peraturan sendiri. d
15. Apakah hukum dan prinsip Bible yang patut membimbing kita dalam soal menjaga kesihatan? (Roma 14:5)
15 Kesihatan. Setiap orang Kristian mesti memilih cara untuk menjaga kesihatan masing-masing. (Gal. 6:5) Dalam soal penjagaan kesihatan, hanya ada beberapa hukum Bible yang wajib dipatuhi, contohnya perintah untuk menjauhi darah dan amalan sihir. (Kis. 15:20; Gal. 5:19, 20) Yang lain merupakan pilihan peribadi. Sesetengah orang hanya mahu dirawat oleh doktor, manakala yang lain suka rawatan alternatif. Biarpun kita rasa suatu rawatan sangat berkesan, kita perlu menghormati kebebasan saudara saudari untuk membuat pilihan sendiri. Semasa menjaga kesihatan, ingatlah hal-hal ini: (1) Hanya Kerajaan Tuhan yang dapat menyembuhkan semua penyakit buat selama-lamanya. (Yes. 33:24) (2) Setiap orang Kristian mesti “yakin sepenuhnya” tentang rawatan yang paling sesuai bagi diri mereka. (Baca Roma 14:5.) (3) Kita tidak menghakimi keputusan orang lain atau membuat mereka tersandung. (Rm. 14:13) (4) Orang Kristian menunjukkan kasih dan lebih mementingkan perpaduan sidang daripada pandangan mereka sendiri. (Rm. 14:15, 19, 20) Jika kita ingat akan hal-hal ini, kita akan menjaga hubungan yang baik dengan saudara saudari dan menyumbang kepada kedamaian dalam sidang.
16. Bagaimanakah seorang penatua dapat menunjukkan sikap munasabah semasa berurusan dengan penatua lain? (Lihat juga gambar.)
16 Para penatua mesti menetapkan teladan yang baik dalam menunjukkan sikap munasabah. (1 Tim. 3:2, 3) Sebagai contoh, seorang penatua tidak akan berharap penatua lain akan sentiasa menerima pandangannya, semata-mata kerana dia lebih tua daripada mereka. Dia sedar bahawa kuasa suci Yehuwa dapat menggerakkan mana-mana penatua untuk menyumbangkan pandangan yang dapat membantu badan penatua membuat keputusan yang bijak. Selain itu, jika tiada prinsip Bible yang dilanggar, seorang penatua yang munasabah akan menyokong keputusan yang dibuat oleh kebanyakan penatua biarpun keputusan itu berbeza daripada apa yang diingininya.
BERSIKAP MUNASABAH MEMBAWA MANFAAT
17. Apakah berkat yang diraih oleh orang Kristian yang bersikap munasabah?
17 Orang Kristian yang bersikap munasabah meraih banyak manfaat. Kita menikmati hubungan yang lebih akrab dengan rakan seiman, dan kedamaian sidang juga terpelihara. Kita berasa gembira kerana dapat menyembah Yehuwa dengan bersatu padu bersama saudara saudari daripada pelbagai budaya dan yang mempunyai keperibadian yang berbeza-beza. Yang terpenting, kita berasa puas kerana kita tahu bahawa kita sedang meniru teladan Yehuwa, Tuhan kita yang munasabah.
LAGU 90 Galakkan Satu Sama Lain
a Yehuwa dan Yesus bersikap munasabah, dan mereka mahu kita bersikap munasabah juga. Jika kita memupuk sikap itu, kita akan berasa lebih mudah untuk menyesuaikan diri dengan perubahan hidup, contohnya perubahan dalam kesihatan atau keadaan kewangan. Kita juga akan menyumbang kepada kedamaian dan perpaduan sidang.
b Lihat rencana “Cara Menghadapi Perubahan” dalam Sadarlah! No. 4 2016 dalam bahasa Indonesia.
c Tonton video Temu Ramah dengan Saudara Dmitriy Mikhaylov. Pautannya terdapat dalam rencana “Yehuwa Menukar Penganiayaan Menjadi Peluang untuk Memberikan Kesaksian” dalam Kehidupan dan Kegiatan Kristian Kita—Lembaran Kerja terbitan Mac-April 2021.
d Untuk maklumat tambahan tentang pakaian dan dandanan, lihat pelajaran 52 dalam buku Nikmati Hidup Selama-Lamanya!