“Aku Bersyukur kerana Kebijaksanaanmu”
ITULAH kata-kata yang diucapkan oleh Daud kepada seorang wanita yang bernama Abigail. Mengapakah Daud memujinya? Apakah yang dapat kita pelajari daripada teladan Abigail?
Semasa melarikan diri daripada Raja Saul, Daud telah berjumpa dengan Abigail. Suami Abigail ialah Nabal, seorang lelaki yang kaya. Daud dan anak-anak buahnya telah melindungi para gembala dan kawanan bebiri Nabal di kawasan pergunungan selatan Yehuda. Oleh itu, Daud mengutus orang untuk meminta Nabal agar memberi mereka bekalan makanan ‘menurut kerelaannya.’ (1 Sam. 25:8, 15, 16) Permintaan Daud dan anak-anak buahnya memang munasabah, kerana mereka telah membantu menjaga harta milik Nabal.
Tetapi Nabal, yang namanya bermaksud “bodoh,” telah bertindak dengan bodoh. Dia bukan sahaja menolak permohonan Daud, malah menghinanya. Oleh sebab Nabal membalas kebaikan Daud dengan kejahatan, Daud bercadang untuk membalas dendam terhadap seisi rumah tangga Nabal.—1 Sam. 25:2-13, 21, 22.
Abigail tahu bahawa tindakan Daud yang terburu-buru itu akan membawa padah. Maka dia memberanikan diri dan bertindak. Dia merayu Daud yang bakal menjadi raja Israel agar memikirkan hubungannya dengan Yehuwa. Abigail juga memberinya dan anak-anak buahnya banyak makanan. Daud sedar bahawa Yehuwa telah menggunakan Abigail untuk mencegahnya daripada berdosa. Dia berkata kepada Abigail, “Aku bersyukur kerana kebijaksanaanmu. Tindakanmu pada hari ini telah mencegah aku melakukan pembunuhan untuk membalas dendam.”—1 Sam. 25:18, 19, 23-35.
Janganlah kita menjadi seperti Nabal yang tidak mengenang budi. Selain itu, apabila kita mendapati bahawa masalah bakal tercetus, ambillah langkah yang sewajarnya supaya situasi yang tidak diingini dapat dihindarkan. Seperti pemazmur, kita dapat memohon kepada Tuhan, “Berilah aku kebijaksanaan dan pengetahuan.”—Mzm. 119:66.
Orang lain dapat melihat kebijaksanaan di sebalik tindakan kita. Sama ada mereka memberitahu kita atau tidak, mereka akan berasa seperti Daud yang berkata, “Aku bersyukur kerana kebijaksanaanmu.”