Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Benarkan Hukum dan Prinsip Tuhan Melatih Hati Nuranimu

Benarkan Hukum dan Prinsip Tuhan Melatih Hati Nuranimu

“Aku merenungkan peringatan-Mu.”​—MZM. 119:99.

LAGU: 127, 88

1. Apakah yang menjadikan manusia lebih istimewa daripada binatang?

SALAH satu kurniaan yang menjadikan manusia lebih istimewa daripada binatang ialah hati nurani. Bagaimanakah kita tahu bahawa Adam dan Hawa memiliki hati nurani? Selepas melanggar hukum Yehuwa, mereka menyembunyikan diri. Sudah pasti hati nurani mereka terganggu.

2. Bagaimanakah hati nurani kita bagaikan sebuah kompas? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

2 Orang yang hati nuraninya tidak terlatih adalah seperti kapal yang belayar dengan kompas yang rosak. Angin dan keadaan laut dapat menyebabkan kapal menuju ke arah yang salah. Namun, kompas yang berfungsi dengan baik dapat membantu kapten memastikan kapal tidak tersimpang daripada haluan. Hati nurani dapat disamakan seperti kompas. Jika kita melatihnya dengan baik, hati nurani dapat bantu kita untuk mengenal pasti apa yang betul dan salah, dan dapat membimbing kita.

3. Apakah akibatnya jika hati nurani seseorang tidak dilatih dengan baik?

3 Hati nurani yang tidak terlatih tidak akan memberi kita amaran terhadap apa yang jahat. (1 Tim. 4:1, 2) Hati nurani sebegitu bahkan dapat memperdaya kita untuk percaya bahawa yang “jahat itu baik.” (Yes. 5:20) Yesus berkata kepada para pengikutnya, “Akan tiba masanya apabila setiap orang yang membunuh kamu akan menyangka bahawa dia sedang menjalankan khidmat suci kepada Tuhan.” (Yoh. 16:2) Itulah yang disangka oleh orang yang membunuh Stefanus. (Kis. 6:8, 12; 7:54-60) Banyak orang yang fanatik agama melakukan jenayah keji, seperti pembunuhan, dan mengaku bahawa mereka berbuat demikian demi Tuhan, padahal mereka sedang melanggar hukum-Nya! (Kel. 20:13) Jelaslah, hati nurani mereka telah memperdaya mereka.

4. Bagaimanakah kita dapat memastikan hati nurani kita berfungsi dengan baik?

4 Bagaimanakah kita dapat memastikan hati nurani kita berfungsi dengan baik? Hukum dan prinsip dalam Bible “berguna untuk mengajar, menegur, membetulkan segala sesuatu, dan mendidik orang untuk melakukan apa yang benar.” (2 Tim. 3:16) Kita perlu rajin mempelajari Bible, merenungkannya, dan menerapkannya dalam kehidupan kita. Dengan demikian, kita dapat melatih hati nurani kita untuk menjadi peka terhadap pemikiran Tuhan, supaya hati nurani kita dapat memberikan bimbingan yang benar. Mari kita bincangkan bagaimana hukum dan prinsip Yehuwa dapat membantu kita untuk melatih hati nurani kita.

BIARLAH HUKUM TUHAN MELATIH ANDA

5, 6. Apakah manfaat daripada mematuhi hukum Tuhan?

5 Untuk mendapat manfaat daripada Hukum Tuhan, kita bukan hanya perlu membaca dan mengetahuinya, kita juga perlu mengasihi dan menghormatinya. Firman Tuhan menyatakan, “Bencilah apa yang jahat, dan cintailah apa yang baik.” (Amo. 5:15) Kuncinya ialah kita perlu memiliki pandangan Yehuwa. Cuba bayangkan anda selalu berasa susah untuk tidur, dan doktor menyuruh anda makan makanan yang sihat, lebih kerap bersenam, dan mengubah gaya hidup anda. Apabila kesihatan anda bertambah baik setelah mengikut nasihatnya, anda tentu sangat menghargai bantuan doktor itu.

6 Begitu juga, Pencipta kita telah memberi kita hukum yang membawa manfaat kepada kita dan melindungi kita daripada akibat dosa. Contohnya, fikirkan manfaat yang kita raih kerana mengikut hukum Bible dan menjauhi amalan menipu, merancang perkara keji, mencuri, perbuatan tidak bermoral, keganasan, dan spiritisme. (Baca Amsal 6:16-19; Why. 21:8) Apabila kita merasakan berkat melimpah kerana mentaati Yehuwa, hati kita dipenuhi kasih dan penghargaan terhadap Yehuwa dan hukum-Nya.

7. Bagaimanakah membaca dan merenungkan kisah dalam Bible dapat membantu kita?

7 Kita tidak perlu menderita akibat melanggar hukum Tuhan untuk belajar apa yang betul dan salah. Kita boleh mempelajarinya melalui kesilapan orang pada masa lampau yang tercatat dalam Bible. Amsal 1:5 menyatakan, “Orang yang bijak suka mendengar dan menerima nasihat.” Kita boleh mendapat nasihat terbaik daripada Tuhan. Contohnya, fikirkan kepedihan yang dialami Raja Daud setelah dia melanggar perintah Yehuwa dan berzina dengan Bat-syeba. (2 Sam. 12:7-14) Semasa membaca dan merenungkan kisah itu, tanyalah diri: “Bagaimanakah Daud dapat mengelakkan masalah tersebut? Jika saya menghadapi godaan sebegitu, adakah saya mempunyai kekuatan untuk berpaling daripadanya? Adakah saya akan melarikan diri seperti Yusuf, atau menyerah seperti Daud?” (Kej. 39:11-15) Dengan merenungkan akibat dosa, kita akan lebih ‘membenci apa yang jahat.’

8, 9. (a) Hati nurani dapat membantu kita untuk melakukan apa? (b) Apakah kaitan prinsip Bible dengan hati nurani kita?

8 Kita menjauhi hal-hal yang dibenci oleh Tuhan. Namun, bagaimana pula jika Bible tidak memberikan hukum terperinci mengenai sesetengah situasi? Bagaimanakah kita dapat mengetahui apa yang menyenangkan hati Tuhan? Jika kita membenarkan Bible melatih hati nurani kita, kita dapat membuat keputusan yang bijak.

9 Yehuwa mengasihi kita, itulah sebabnya Dia memberi kita prinsip-prinsip untuk melatih hati nurani kita. Dia berkata, “Aku, Yehuwa, ialah Tuhan kamu. Aku mengajar kamu apa yang bermanfaat bagi kamu. Aku memimpin kamu di jalan yang harus kamu tempuh.” (Yes. 48:17, 18) Dengan merenungkan prinsip Bible dan membiarkannya menyentuh hati kita, kita dapat membetulkan dan menyelaraskan hati nurani kita. Hasilnya, kita akan dibantu untuk membuat keputusan yang bijak.

BIARLAH PRINSIP TUHAN MEMBIMBING ANDA

10. Apakah maksud prinsip, dan bagaimanakah Yesus menggunakan prinsip dengan berkesan?

10 Prinsip ialah kebenaran asas yang membimbing pemikiran kita, dan membantu kita membuat keputusan bijak. Memahami prinsip merangkumi memahami fikiran Pemberi Hukum dan sebab Dia memberikan hukum tertentu. Yesus telah menggunakan prinsip untuk mengajar murid-muridnya akibat daripada sikap atau tindakan tertentu. Contohnya, dia mengajar bahawa kemarahan menyebabkan keganasan, dan nafsu seks menyebabkan perzinaan. (Mat. 5:21, 22, 27, 28) Dengan membiarkan prinsip Yehuwa membimbing kita, kita dapat melatih hati nurani untuk membuat keputusan yang memuliakan Tuhan.​—1 Kor. 10:31.

Orang Kristian yang matang peka terhadap hati nurani orang lain (Lihat perenggan 11, 12)

11. Bagaimanakah orang Kristian mungkin memiliki hati nurani yang berbeza?

11 Walaupun orang Kristian melatih hati nurani menurut Bible, mereka mungkin membuat keputusan yang berbeza dalam hal tertentu, contohnya mengenai minuman beralkohol. Walaupun Bible tidak melarang kita untuk minum alkohol, kita diberi amaran untuk tidak minum secara berlebihan atau sehingga mabuk. (Ams. 20:1; 1 Tim. 3:8) Adakah hal ini bermaksud bahawa asalkan seorang Kristian tidak minum berlebihan, dia tidak perlu mempertimbangkan hal lain? Tidak. Walaupun hati nuraninya membenarkannya minum alkohol, dia perlu memikirkan hati nurani orang lain.

12. Bagaimanakah ayat di Roma 14:21 mendorong kita untuk menghormati hati nurani orang lain?

12 Mengenai pentingnya menghormati hati nurani orang lain, Paulus menulis, “Lebih baik tidak makan daging, minum wain, atau melakukan apa sahaja yang akan menyebabkan saudara kamu tersandung.” (Rm. 14:21) Jadi, walaupun anda berhak untuk minum alkohol, adakah anda akan rela mengorbankan hak itu agar tidak mengganggu hati nurani orang Kristian lain? Sesetengah saudara yang ketagih alkohol sebelum belajar kebenaran mungkin memutuskan untuk tidak minum alkohol sama sekali. Sudah pasti, kita tidak ingin melakukan apa-apa yang akan menyebabkannya kembali kepada tabiat buruk itu. (1 Kor. 6:9, 10) Maka, jika saudara itu menjadi tetamu di rumah kita dan menolak minuman beralkohol, kita tidak akan memaksanya.

13. Bagaimanakah Timotius menghormati hati nurani orang lain agar mereka menerima berita baik?

13 Semasa Timotius berumur sekitar 20 tahun, dia bersetuju untuk disunat. Dia sanggup melalui proses yang menyakitkan itu kerana dia akan menginjil kepada orang Yahudi, dan dia tidak mahu membuat mereka tersandung. Sikapnya itu sama seperti Rasul Paulus. (Kis. 16:3; 1 Kor. 9:19-23) Seperti Timotius, adakah anda rela membuat pengorbanan demi kebaikan orang lain?

“BERUSAHA BERSUNGGUH-SUNGGUH UNTUK MENJADI MATANG”

14, 15. (a) Apakah yang terangkum dalam menjadi seorang yang matang? (b) Bagaimanakah orang Kristian yang matang memperlakukan orang lain?

14 Semua orang Kristian bukan sahaja perlu “mempelajari ajaran asas tentang Kristus,” tetapi juga “berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi matang.” (Ibr. 6:1) Walaupun kita sudah lama dalam kebenaran, kita tidak menjadi matang secara automatik. Kita perlu “berusaha bersungguh-sungguh” untuk meningkatkan pengetahuan dan pengertian kita. Itulah sebabnya kita selalu digalakkan untuk membaca Bible setiap hari. (Mzm. 1:1-3) Sudahkah anda menetapkan matlamat sebegitu? Dengan melakukannya, anda akan lebih memahami Firman Tuhan serta memiliki pengertian yang lebih mendalam tentang hukum dan prinsip Yehuwa.

15 Hukum terpenting bagi orang Kristian ialah kasih. Yesus berkata kepada para pengikutnya, “Jika kamu saling mengasihi, semua orang akan tahu bahawa kamulah murid-muridku.” (Yoh. 13:35) Yakobus, adik tiri Yesus, menyebut kasih itu sebagai “hukum agung.” (Yak. 2:8) Paulus pula berkata bahawa “orang yang mengasihi orang lain sudah mematuhi hukum.” (Rm. 13:10) Penekanan tentang kasih tidak menghairankan kita, kerana Bible berkata bahawa “Tuhan itu kasih.” (1 Yoh. 4:8) Bagi Tuhan, kasih bukan sekadar suatu perasaan, sebaliknya Dia membuktikannya melalui tindakan. Yohanes menulis, “Inilah caranya Tuhan menunjukkan kasih kepada kita: Tuhan telah mengutus Anak tunggal-Nya ke dunia supaya melalui Anak-Nya kita memperoleh kehidupan.” (1 Yoh. 4:9) Maka, apabila kita menunjukkan kasih terhadap Yehuwa, Yesus, rakan seiman, dan orang lain, kita membuktikan bahawa kita menjadi matang secara rohani.​—Mat. 22:37-39.

Apabila kita berfikir berdasarkan prinsip Bible, hati nurani kita akan semakin terlatih (Lihat perenggan 16)

16. Apabila kita semakin matang secara rohani, mengapakah kita akan semakin menghargai prinsip Bible?

16 Apabila anda semakin matang secara rohani, anda akan semakin menghargai prinsip Bible. Hal ini kerana hukum biasanya diterapkan bagi suatu situasi yang spesifik, manakala prinsip dapat diterapkan dalam pelbagai situasi. Contohnya, seorang anak tidak memahami bahaya pergaulan buruk, maka ibu bapanya menetapkan peraturan untuk melindunginya. (1 Kor. 15:33) Namun, apabila anak itu semakin matang, daya pemikirannya akan semakin berkembang dan dia dapat membuat keputusan berdasarkan prinsip Bible. Dengan demikian, dia akan dibantu untuk memilih pergaulan dengan bijak. (Baca 1 Korintus 13:11; 14:20.) Apabila kita berfikir berdasarkan prinsip Bible, hati nurani kita akan semakin terlatih untuk membuat keputusan yang selaras dengan pemikiran Yehuwa.

17. Mengapakah kita dapat membuat keputusan yang menyenangkan hati Yehuwa?

17 Kita diberi banyak bantuan supaya kita dapat membuat keputusan yang menyenangkan hati Yehuwa. Dalam Bible, terdapat hukum dan prinsip Tuhan yang membantu kita “menjadi cekap dan dilengkapi dengan sepenuhnya untuk melakukan setiap perbuatan yang baik.” (2 Tim. 3:16, 17) Maka, carilah prinsip Bible untuk “memahami kehendak Yehuwa.” (Ef. 5:17) Gunakanlah alat bantuan yang disediakan, seperti Panduan Penyelidikan Saksi-Saksi Yehuwa, Watchtower Library, PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower, dan aplikasi JW LibrarySemua ini membantu kita untuk mendapat manfaat sepenuhnya daripada pembelajaran peribadi atau pembelajaran keluarga.

HATI NURANI YANG TERLATIH MEMBAWA BERKAT

18. Apakah berkat yang dinikmati apabila kita mentaati hukum dan prinsip Yehuwa?

18 Kita menikmati banyak berkat apabila kita mentaati hukum dan prinsip Yehuwa. Mazmur 119:97-100 menyatakan, “Aku sangat mencintai hukum-Mu! Aku merenungkannya sepanjang hari. Perintah-Mu menjadikan aku lebih bijak daripada musuh-musuhku, kerana aku selalu dibimbingnya. Pengertianku melebihi pengertian semua guruku, kerana aku merenungkan peringatan-Mu. Pemahamanku melebihi pemahaman orang tua, kerana aku mematuhi perintah-Mu.” Apabila kita meluangkan masa untuk “merenungkan” hukum dan prinsip Tuhan, kita akan memiliki pengertian dan dapat bertindak dengan bijak. Selain itu, dengan membiarkan hukum dan prinsip Tuhan melatih hati nurani kita, kita akan “menjadi orang yang matang dan mencapai tahap kematangan Kristus.”​—Ef. 4:13.